in

LoveLove

HAMKA; Kisah Hidup Seorang Lelaki Budiman

Buku Seruan Lelaki Budiman mengandungi sudut pandang penulis-penulis daripada pelbagai latar belakang terhadap karya-karya Hamka serta sosok peribadi Hamka itu sendiri. Mengenali Hamka dan memahami karya-karya beliau serta hubung kait diantara Hamka dan penulisannya menjadi lebih mudah melalui buku ini yang hanya terdiri daripada lapan bab termasuk prakata. 

Di dalam empat bab terawal banyak berkisar mengenai kehidupan peribadi Hamka sendiri yang dimulakan dengan prakata bertajuk Hamka Roman Si Bujang Jauh yang menumpukan kepada kehidupan Hamka sendiri iaitu meliputi tempat beliau membesar, pendidikan beliau, karakternya ketika kecil sehingga dewasa, konflik keluarga, cabaran hidup yang ditempuhinya serta perjalanan beliau menjadi seorang penulis.

Hamka digelar Si Bujang Jauh kerana beliau sudah mula merantau dami menimba ilmu dan pengalaman seawal usia 14 tahun.  Persekitaran hidupnya yang dibesarkan di dalam konflik keluarga seperti perceraian ibu bapanya dan adat Minangkabau yang meninggikan martabat kaum wanita menjadikan Hamka seorang yang sangat menghormati wanita. Penulis berjaya menggambarkan pengalaman hidup Hamka yang membuatkan pembaca lebih memahami setiap karakter dan pengajaran penulisannya.

Bab Legasi Seorang Ulama Kepada Anaknya menceritakan kisah Hamka menjadi seorang ulama yang multi-dimensi hasil daripada didikan ayahnya, konflik keluarga Hamka, konflik ayah-anak sehinggalah  kisah pendidikan Hamka yang penuh ragam yang akhirnya wujud tolak ansur di antara anak dan ayah yang memainkan peranan besar dalam membentuk seorang Hamka. 

Kemudian, bab Ulama Penuh Romansa menarik pembaca untuk melihat makna ulama dari sudut pandang yang lebih luas yang dinukilkan oleh Hamka. Banyak keperibadian Hamka serta sejarah hidup beliau yang membuatkan pembaca memahami karya Hamka bukan sekadar kisah romantis tetapi satu dakwah bahawa cinta, budaya dan agama saling itu melengkapi.

Kemahiran Hamka dalam pelbagai bidang mampu mencetuskan pengabdian kepada Tuhan dalam pelbagai cara bukan hanya terhad kepada satu kaedah yang mungkin sukar untuk bertahan buat satu masa yang panjang.

Bab Pengaruh Alam Dalam Mencetak Lelaki Seperti Hamka juga membolehkan pembaca dapat mengenali Hamka secara peribadi kerana penulis menumpukan kepada persekitaran Hamka membesar sehingga terbentuknya seorang ilmuwan yang hebat.

Kemudian penulisan bertumpukan karya-karya Hamka seperti di dalam bab Insan Budiman. Penulis mengolah watak lelaki budiman dari sudut pandang Hamka melalui dua buah novel hebat Hamka iaitu Di Bawah Lindungan Kaabah dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Pembaca akan lebih menghayati novel-novel tersebut dari sudut pandang yang berbeza.

Di dalam bab Kerana Hamka Aku Mengembara, penulis merupakan seorang pencinta sejarah telah mengangkat peranan Hamka sebagai pengembara hebat dalam mencari hikmat sejarah berikutan karya Hamka berkaitan sejarah seperti Dari Perbendaharaan Lama, Sejarah Umat Islam, Kenang-Kenangan Hidup, Tafsir al-Azhar serta Islam dan Adat Minangkabau. 

Manakala di dalam bab Mencari lelaki Pembela Perempuan, penulis memfokuskan maksud kepimpinan dan pandangan Hamka terhadap kepimpinan lelaki serta elemen cemburu yang mesti ada pada lelaki dalam membela wanita berdasarkan karya-karya Hamka.

Akhir sekali, bab Lelaki Tangguh oleh penulis dari Indonesia menghuraikan tentang sikap dan tanggungjawab seorang lelaki menurut pandangan Hamka terhadap para lelaki berdasarkan karya-karya Hamka

Natijahnya, kisah-kisah Hamka di dalam karya Seruan Lelaki Budiman memberi pedoman bahawa tiada yang mustahil untuk memanfaatkan diri kepada masyarakat walaupun pelbagai ujian yang dilalui. Mungkin ada sebahagian yang berfikir bahawa seseorang yang hebat pasti lahir dan membesar dalam keadaan yang tiada masalah, tetapi Hamka membuktikan sebaliknya. Walaupun ayah Hamka seorang ulama, tetapi kisah perjalanan hidup Hamka menunjukkanbahawa status ayahnya bukanlah merupakan satu-satunya faktor kejayaan beliau. Kejayaan itu terletak pada keazaman diri sendiri.

Disediakan oleh,

Nur Aina


Hantar karya anda di emel [email protected]

Kisah Kembara Anak Bangsa ke Negara Matahari Terbit

Mengenang 61 Tahun Kepergian Badiuzzaman Said Nursi