in , ,

Hamka Inspirasi Sepanjang Zaman

Membaca buku ini membuatkan rasa sayang untuk lelapkan mata selagi tidak habis membacanya hingga ke noktah terakhir. Sebelum berbicara lebih lanjut tentang buku ‘Seruan Lelaki Budiman, lebih baik kita fahamkan maksud perkataan ‘budiman’ supaya dapat mengubah sudut pandang kita terhadap buku ini.

Klik gambar untuk beli buku!

Merujuk Dewan Bahasa dan Pustaka, budiman bermaksud berbudi, berakal atau bijaksana dan tidak terhad kepada romantisme terhadap kaum hawa semata-mata. Buku ini adalah himpunan tulisan dan kajian tentang kehidupan dan karya Hamka. Setiap dari penulis mengkaji aspek yang berbeza yang membentuk diri Hamka menjadi seorang yang hebat. 

Bukan sekadar hebat sebagai seorang penulis, pengkarya dan ulama sahaja, malahan banyak sudut pandang yang baru yang dapat ditemui dalam buku ini. Sebagai contoh dari sudut Hamka merupakan seorang sejarawan dan pengembara.

Begitu juga ilmu baru yang saya perolehi apabila membaca tentang peranan surau dalam membentuk diri Hamka menjadi seorang yang berdikari dan berani. Apabila kita melihat perjalanan hidup Hamka yang bermula dengan seorang anak yang nakal, memberontak, ingkar dan enggan terhadap perintah ibu ayahnya, namun ia tidak berterusan begitu sebaliknya menjadikan Hamka seorang yang amat dihormati ketika dewasanya.

Siapa sangka beliau akhirnya begitu menjiwai permintaan ayahnya untuk menjadi seorang ulama walaupun pada awalnya hatinya seperti tidak dapat menunaikan hasrat ayahnya. Dari sudut ini, kita boleh simpulkan bahawa kita seharusnya tidak terus menghukum kesudahan hidup seseorang dengan kejahatan yang dilakukan sekarang atau dahulu. Kerana Allah yang memberi hidayah dan mengubah diri seseorang. Malahan perubahan itu bukan terhad kepada dirinya sahaja, bahkan mengubah masyarakat menjangkau masa dan tempat, hatta sesudah pemergiannya. 

Sungguh besar peranan Hamka. Manfaat kehidupan dan karyanya menjangkau usianya. Walaupun hayat tidak lagi dikandung badan, namun kehidupan dan ilmunya terus dikaji, memberi inspirasi, teladan dan keinsafan kepada masyarakat.

Membaca buku ini juga membuatkan saya teringatkan permintaan Nabi Ibrahim Alaihissalam di dalam Surah Ash Shuara’, ayat 84:

“Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian;”

Imam Ibnu Katsir dan Imam Al Qurtubi mentafsirkan bahawa ayat ini bermaksud seseorang itu diingati dan disebut-sebut kebaikannya, menjadi contoh dan inspirasi kepada masyarakat. Apabila menjadi ikutan kepada orang lain, pasti akan memberatkan timbangan kebaikan pada hari akhirat.

Betapa beruntungnya Hamka, menjadi ikutan dan inspirasi ramai walau berpuluh tahun telah pergi. Moga kita juga berpeluang menjadi seperti itu.

Disediakan oleh,

Dr. Aishah binti Hashimee

Cara-cara Berhadapan Dengan “Reading Slump”

Kemelut Politik Kartel: Siapa Mangsa?