Buya HAMKA terlebih dahulu memberikan gambaran umum mengenai perihal perbuatan bohong seperti nukilan dibawah.

“Sikap kejujuran dan keberanian mempertahankan kebenaran, adalah intisari dari jiwa yang merdeka. Sementara itu, kebohongan atau kemunafikan adalah gejala dari jiwa budak!”

Buya HAMKA turut menyelitkan sebuah nas daripada hadis yang bermaksud,

“Dusta adalah pangkal daripada segala dosa”(HR Al-Bukhari).

Pepatah Arab ada menyebut,

“Tinggalkanlah berbohong meskipun pada mulanya engkau memandang berbohong itu akan memberi manfaat bagi dirimu. Padahal pada hakikatnya, ia mendatangkan bahaya. Berkatalah benar meskipun pada mulanya engkau memandang berkata benar akan memberi bahaya. Padahal pada hakikatnya, ia akan memberi manfaat padamu.”

Buku ini sebenarnya banyak mengunakan rujukan daripada karya ‘Filsafat Bohong’, karya Dr. Muhammad Mandi Alam (Professor di Universiti Iskandariah, Mesir). Ini diakui sendiri oleh Buya HAMKA.

Bohong di Dunia - HAMKA | JT Books
Klik gambar untuk beli buku Bohong di Dunia

Buya HAMKA juga menggunakan kitab ‘Afatul Lisan’ karya Al-Imam Ghazali untuk rujukan dalam menghasilkan buku yang mengandungi 11 bab ini.

Kalimat bohong adalah lawan kepada benar (jujur), dan kata-kata juga terbahagi kepada dua yakni, berita dan tuntutan. Berita bermaksud sesuatu frasa yang memperihalkan sesuatu keadaan baik merujuk kepada individu, objek dan hidupan lain. Buya HAMKA menjelaskan secara sinis dan pedas,

“Dengan itu, dapatlah dipastikan bahawa di dalam segala macam bentuk kata, baik berita mahupun tuntutan, pasti terdapat kebohongan dan kebenaran.

Bukan sahaja dalam susunan kata berita dan tuntutan terdapat kesan bohong atau benar. Dalam perbuatan kita sendiri pun, ada perbuatan bohong dan ada perbuatan yang benar.”

Buya HAMKA juga memperincikan metodologi mengenai ‘Sikap Benar’ yang dijelaskan oleh Imam Al-Ghazali di dalam Filsafat Tasawufnya. dengan baik sekali

Terdapat enam kriteria yang digariskan oleh Al-Imam Ghazali iaitu, benar dalam kata-kata, benar dalam niat dan kemahuan (Iradah), benar dalam berazam, benar ketika menunaikan kehendak, benar dalam bekerja, dan terakhir sekali benar di dalam kedudukan agama.

Perbuatan bohong juga merosakkan akhlak pelakunya, ia kadang -kadang dilakukan untuk mencari kedudukan, kehormatan dan melepaskan rasa tanggungjawab terhadap beban yang dipikul.

“Orang yang berani berkata terus-terang adalah orang yang mendidik jiwanya untuk merdeka. Orang yang berani menerima perkataan orang yang berterus-terang adalah orang yang membimbing jiwanya, kepada kemerdekaan. Oleh sebab itu, kebenaran adalah kemerdekaan.”

Mahar kepada kebenaran ini sememangnya adalah sangat mahal. Malah, sifat berterus-terang ini kadang menyakitkan dan menyinggung perasaan orang lain.

Bohong juga sebenarnya mampu menumbangkan (baca: membinasakan) masyarakat. Bilamana budaya berbohong sudah menjadi suatu ‘Norm’ (Acceptable Behaviour).

Maka, perasaan malu untuk berbohong dalam struktur masyarakat sudah diterima pakai sebagai suatu ‘budaya’. Ini sebenarnya memeritkan dan tidak seharusnya dipandang enteng dan mudah.

“Bohong adalah kehinaan yang paling bawah”

Michael De Montaigne pernah ditanya penyebab berbohong, maka beliau menjawab,

“Seseorang pembohong adalah seseorang yang bermasalah, dan dia sangat pengecut menghadapi sesama manusia.”

Kemampuan Buya HAMKA mengolah idea dan pandangan daripada ahli falsafah Barat sangat mengujakan. Malah dalam buku ini juga mengupas dengan lebih lanjut pandangan Aristotles, J.J Rousseau, Granville Stanley Hall dan Ferriani mengenai takrifan Bohong.

Ini membuktikan bahawa Buya HAMKA juga mengambil pandangan-pandangan sarjana Barat untuk dimasukkan di dalam buku ini tanpa prejudis dan asumsi liar.

Kesan berbohong ini juga sebenarnya menjatuhkan harga diri seseorang dalam masyarakat. Malah, ia sebenarnya mencemarkan reputasi yang kita bina selama kita hidup di dunia.

“Bohong kerap kali menjatuhkan harga diri seseorang di hadapan sesama manusia selamanya.

Untuk membaikinya, dia harus terlebih dahulu membuktikan berpuluh kali ucapan dan perbuatan yang benar (jujur), barulah orang lain akan menganggapnya sebagai kebohongan dari suatu kesalahan yang bisa dimaafkan.”

Kesan akibat menjadi pembohong juga menyebabkan pelakunya menjadi seseorang yang pelupa. Kerana kebenaran itu senantiasa terakam di lubuk sanubari, berbanding kebohongan yang hanyalah rekayarsa sahaja sifatnya.

Ini sangat benar. Bagi yang pernah berbohong, pasti kebohongan yang kita lakukan adalah hasil rekacipta kita untuk menutupi kekurangan dan kelemahan diri kita sendiri yang sifatnya sementara.

Justeru, mana mungkin kita bisa mengimbau kembali sorotan peristiwa yang kita cipta ketika berbohong pada suatu masa yang lalu.

Dalam buku ini juga Buya HAMKA menjelaskan bagaimana pandangan agama (Samawi) seperti Yahudi, Nasrani dan Islam yang sepakat menolak perbuatan bohong, sebagai perbuatan tercela dalam agama.

Iman menimbulkan takwa, iaitu memelihara dari pengaruh-pengaruh perbuatan jahat yang akan menjatuhkan martabat manusia. Iman juga menjaga manusia agar senantiasa berhubung dengan Allah”

Malah, terdapat kisah yang menarik bilamana terdapat seorang yang baru sahaja memeluk Islam bertemu dengan Nabi S.A.W untuk bertaubat.

Dia mengatakan bahawa kebiasaan buruknya adalah dengan melakukan perbuatan zina, mencuri, meminum khamr (arak) dan suka berdusta (berbohong).

Lalu beliau meminta kepada Baginda untuk memberikan nasihat dan panduan untuk menghentikan keempat-empat perbuatan tersebut.

Baginda memberikan bimbingan dengan menyatakan bahawa yang perlu dilakukan, adalah menghentikan kebiasaan buruknya untuk berdusta. Itu yang penting dahulu.

Maka tenanglah hati orang tersebut. Sebab yang dia fikirkan hanya perlu meninggalkan dusta tapi tidak perbuatan lain. Dalam fikirannya, dia boleh sahaja berzina, minum arak dan mencuri, asalkan jangan berdusta atau berbohong.

Akhirnya, apabila dia sampai di tempat perzinaan, dia terfikir untuk melakukan zina, namun dia resah dan takut jika keesokkan harinya bertemu Rasulullah, apakah beliau bisa berbohong kepada Baginda, sedangkan beliau sudah berjanji terlebih dahulu.

Dia pun meninggalkan tempat tersebut dengan tidak melakukan perbuatan zina.

Maka, dia melanjutkan perjalanannya, dan terserempak pula dengan kawan-kawan lain yang sedang meminum arak. Akibat teringat dengan pesanan Rasulullah, maka beliau memutuskan untuk tidak ikut serta untuk meminum arak.

Begitu juga apabila keinginnanya untuk mencuri. Teringat akan pesanan Rasulullah untuk beliau tidak berdusta maka, dia tidak sanggup untuk melakukan hal tersebut.

Akhirnya, dia menemui Rasulullah dan mengakui betapa besarnya pengaruh dan hikmah daripada perbuatan tidak berdusta dan berkata bohong.

Sejak daripada itu, beliau mengistyharkan di depan Rasulullah bahawa dia telah meninggalkan kesemua perkara tersebut.

Sungguh, kisah ini sangat menarik untuk kita jadikan tauladan, ikhtibar dan panduan di dalam kehidupan. Betapa besarnya pengaruh bohong dalam kehidupan kita hari ini.

Menurut Buya HAMKA, Al-Imam Ghazali menerangkan tiga hal yang dibolehkan berdusta, iaitu untuk mendamaikan dua golongan yang berselisih, tipu muslihat untuk sebagai strategi perang dan suami kepada isterinya untuk mendamaikan hatinya.

Namun, realitinya, ramai yang mengambil kesempatan di sebalik takrifan sebegini. Baik agamawan, politikus, bahkan mereka yang bertaraf ilmuan. Semuanya dijenamakan sebagai ‘Kebohongan Syarie’ yang berlandaskan dalil dan nas yang jelas.

Buya HAMKA juga menjelaskan bagaimana pengaruh Psikologi terhadap perkembangan anak-anak mengenai perihal berkata benar.

“Jika anak-anak melihat sesuatu kejadian atau mendengar sesuatu, lalu diserap ke dalam otaknya, tentu akan diterjemahkan dengan lidahnya secara benar, dengan sebenar-benarnya.”

Ini adalah manifestasi kepada perbuatan yang diperolehi anak-anak secara tidak langsung daripada perbuatan orang dewasa dan orang disekeliling.

Malah, Albert Bandura seorang psikologis moden hari ini menyebutkan ia sebagai teori pembelajaran atau dikenali sebagai ‘Modelling’, yang mana anak-anak usia dini akan meniru tingkah laku dan perbuatan yang mereka lihat, baik di televisyen ataupun tingkahlaku manusia disekeliling mereka.

Pendapat Albert Bandura ini sebenarnya didokong oleh Buya HAMKA. Penyebab anak-anak berdusta adalah kerana pengaruh daripada pengasuh yang mendidiknya. ‘Bagaimana mana acuan, begitulah kuihnya.’

“Perkataan anak-anak pada dasarnya benar, tapi bercampur dengan banyak kebohongan. Orang-orang yang tidak mengetahui jiwa anak-anak segera menuduh anak-anak itu berbohong.”

Akhir sekali, kita sebenarnya tidak akan pernah terlepas daripada sebarang kebohongan dalam kehidupan kita sebagai insan.

Namun, yang paling penting adalah bila mana kita menyikapi dengan penuh kejujuran, dan menyedari kesilapan diri kita daripada ketidaksempurnaan sebegitu.

Buya HAMKA menitipkan sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Ad-Dailami yang bermaksud,

“Berbahagialah orang yang sentiasa memerhatikan aib dan cela dirinya sendiri dan bukan mencari-cari aib dan cela orang lain.”

Dan ayat Al-Quran sebagai penegasan kepada setiap perbuatan bohong yang kita kerjakan semasa hidup di dunia.

“…bahawa pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semuanya akan diminta pertanggungjawabannya.”

(Al-Isra: 36).

Konklusinya, pelaku bohong tidak kira apa pun status dan kedudukannya dalam masyarakat, sekali ia berbohong, ia akan tetap meninggalkan kesan terhadap reputasi, maruah dan harga dirinya.

Semoga kebaikan dan manfaat buku ini sentiasa mengalir untuk almarhum Buya HAMKA.

Oleh: Rashidin Idris


Hantar karya anda di emel [email protected].

Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.