Sabtu, jam 11 malam.

Di ruangan kecil dalam sebuah bilik tidur yang dibuat sebagai ruang perpustakaan peribadi, kelihatan seorang professor universiti tempatan, Prof. Ahmad sedang memegang bahan bacaannya di situ.

Professor Ahmad kelihatan sangat tekun dalam pembacaannya. 

Matanya kelihatan agak serius di balik cermin matanya yang bulat ketika sedang asyik meneliti kandungan buku yang dipegangnya itu. Belakangnya disandar sedikit kepada kerusi pejabatnya yang berwarna hitam di depan meja pejabatnya yang diletak di tengah-tengah ruang itu. Kerusi itu pula dikelilingi oleh beberapa rak-rak buku yang menempatkan pelbagai bahan bacaan seperti buku, tesis, jurnal dan kertas-kertas kajian yang kadangkala dirujuk oleh prof. Ahmad. 

Tok! Tok! Tok! Pintu diketuk.

Pintu bilik perpustakaan itu kemudiannya dibuka perlahan dari luar.

“Assalamualaikum ayah…ayah tengah sibuk ke?”  Tanya seorang pemuda berusia lingkungan akhir 20-an yang turut berkaca mata bulat, berkain pelikat dan berbaju T-Shirt pasukan bola sepak Arsenal itu kepada Prof. Ahmad dengan nada yang perlahan.

“Oh Amran, anak sulung Ayah.” Getus hati Prof. Ahmad.

Pandangan Prof. Ahmad kini dialihkan kepada pemuda tersebut. Buku yang dibaca tadi diselitkan penanda buku kecil pada mukasurat yang ditelitinya tadi dan  diletakkan di atas meja.

“Tak adalah. Masuklah abang. Ayah cuma revise semula isi ceramah untuk kuliah Subuh esok. Baru sahaja selesai ni.” Prof. Ahmad menjawab soalan anaknya tadi.d

“Baik, terima kasih ayah.” Ujar Amran. Pintu tadi kemudiannya ditutup sambil melangkah dengan perlahan. Amran terus melabuhkan punggungnya ke sebuah lagi kerusi hitam yang diletakkan bertentangan dengan meja Prof Ahmad.

“Ada apa anak sulung Ayah datang library Ayah malam ni? Malam ni tak ada mesyuarat ke?” Soal Prof. Ahmad yang kenal benar dengan anak sulungnya yang aktif berpersatuan di luar.

“Haha…tak ada apa, ayah. Malam ni tak ada apa-apa mesyuarat pun. Cuma abang ingat nak rujuk ayah sedikit. Dan…..abang nak rakam jawapan ayah sekali, boleh ke? Untuk rujukan abang bila-bila nanti.” Soal Amran.

“Sementara ayah masih ada, boleh sahaja, abang. Berkenaan apa, abang?” Soal Prof. Ahmad pula.

“Berkenaan menjadi dewasa, ayah. Menjadi dewasa yang bertanggungjawab dan matang.” Jawab Amran bersahaja namun ada riak-riak separa serius dalam pandangan matanya.

“Wow….okay….boleh spesifik lagi? Takut nanti meleret pula dan tidak mencapai objektif perbincangan kita.” Sambung Prof. Ahmad sambil memahami bahawa jawapannya akan menjadi penting untuk anaknya nanti.

“Hmmmm….ayah, kenapa orang masih memilih untuk menipu? Mereka tak tahu ke yang kebenaran itu sangat diperlukan walaupun ia tidak selalunya indah? Bukan Tuhan tahu semua ke? Kenapa kita perlu tipu orang lagi?” Soal Amran panjang lebar. 

“Hmmmm…. Ada banyak kemungkinan. Bergantung juga.” Jawab Prof. Ahmad sambil membetulkan sedikit cermin matanya yang bulat.

“Bergantung macam mana, ayah?” Amran kembali menyoal, riak wajahnya semakin serius, cuba menghadam bait-bait jawapan ayahnya.

“Mungkin kerana mereka mula untuk memilih hidup dalam fantasi mereka sahaja. Satu dimensi dunia yang mereka sangkakan bahawa tidak wujud orang yang berilmu di dunia ini dan hanya mereka yang layak menentukan apakah itu kebenaran. Walaupun kebiasaannya penipuan itu sudah diketahui orang dan orang keliling hanya mahu melihat sejauh mana penipuan itu akan membawa kejatuhan kepada diri-diri mereka yang berbohong. Atau mungkin kerana, hilangnya iman mereka terhadap Tuhan. Boleh jadi juga, kerana mereka mula ada perasaan sombong yang berpaksikan kejahilan mereka kerana mereka sangkakan diri mereka itu milik mereka sahaja. Oleh itu, mereka rasa diri mereka layak memegang definisi kebenaran dan mereka mula mereka-reka kebenaran yang palsu walhal diri dan hati kita ini cuma pinjaman yang sementara dan kita ini sentiasa milik Tuhan. Atau mungkin juga mereka mula hilang kepercayaan terhadap kewujudan malaikat. Mereka lupa bahawa kedua-dua malaikat itu tugasnya sentiasa mencatat apa yang dilakukan oleh mereka. Atau mungkin kerana hilangnya sifat malu yang mulia dan ilmu dalam diri mereka, menyebabkan mereka berani sahaja mengaku mereka orang Islam pada zahirnya walaupun tidak sempurna keseluruhan imannya seperti tadi dan mungkin sahaja mereka terlupa bahawa Tuhan itu sentiasa mengetahui setiap perkara, walaupun sepicis penipuan mereka tadi sehinggalah perkara-perkara yang tidak dapat dilihat mata kasar. Perkara-perkara ghaib.” Terang Prof. Ahmad panjang lebar.

“Banyak juga kemungkinan itu ya…” Sambil Amran mengangguk perlahan.

“Iya….oleh sebab itu, usah direndahkan harga jiwa kita dan ditiru tindakan “murahan” dan “picisan” seperti ini. Sekali kita mula menipu, itu permulaan kita akan dibiasakan dengan tabiat hina ini iaitu perlu menipu berkali-berkali. Walaupun ianya kadangkala dialas atau dilapik dengan pelbagai nama-nama yang indah namun sebenarnya palsu seperti “helah survival”, “taktik” ataupun “strategi”. Oleh itu, perlu sentiasa berhati-hati! Jangan sesekali kita dekati ciri-ciri munafik yang ini! Iman mereka itu palsu. Keimanan mereka itu kosong, seolah-olah tiada makna. Pada hakikatnya, mereka tidak menipu siapapun kecuali diri mereka sendiri. Mereka menyangka bahawa penipuan itu boleh diterima orang tetapi sebenarnya tidak diredai Tuhan. Mereka sangkakan penipuan itu telah dipercayai dengan mudah oleh orang sekeliling dan kebenaran itu tidak akan muncul selama-lamanya. Mereka sangkakan orang lain turut mempunyai kejahilan serendah mereka dan dengan mudahnya percaya akan kebenaran yang palsu.” Prof. Ahmad menyambung lagi jawapannya.

Amran kelihatan serius dalam menghadam kata-kata Prof. Ahmad itu.  

“Tapi Ayah, macam mana kalau penipuan itu dapat kekal lama? Bukankah itu menguntungkan mereka?” Amran kembali menyoal ayahnya.

“Tidak, nak. Itu ilusi mereka sahaja. Mungkin ilusi palsu seperti itu dapat berlaku dalam imaginasi jiwa penipu-penipu picisan itu sahaja. Hal ini berlaku kerana imaginasi mereka itu bukan berasaskan ilmu, tetapi berasaskan ego yang sombong dan kejahilan yang tidak beriman. Ini adalah ilusi jiwa yang pengecut. Mereka takut akan kebenaran. Hidup mereka tidak pernah tenang. Mereka sangat takut sekiranya “kebenaran” mereka yang direka itu diketahui orang. Mereka ini takut dengan realiti sendiri.” Prof. Ahmad menjawab tenang.

Sekali lagi, Amran mengangguk perlahan.

“Kerana semua itu jugalah abang perlu menjadi orang yang memperjuangkan kebenaran. Pedulikan sahaja penilaian insan yang hakikatnya tidak sempurna, fokus kepada reda Tuhan. Hidup kita ini, berTuhan. Bukan keseorangan. Berdusta juga tidak pernah memuliakan siapapun. Dan kebenaran hanya akan hadir kepada mereka yang benar. Bijak pandai pernah berkata, kejujuran  itu hanya terdapat dalam diri yang “mulia”,“mahal” dan “berharga”, oleh itu kamu tidak akan mendapatkannya dalam diri-diri yang “hina”, “murah” dan tidak “berharga” serta tidak “bernilai”.” Prof. Ahmad menyambung jawapannya.

“Kalau begitu….apakah persediaan yang perlu abang sediakan kalau hendak menjadi berharga seperti itu, Ayah?” Soal Amran setelah ayahnya selesai menjawab persoalannya yang awal tadi.

“Tingkatkan ilmu. Kerana dengan ilmu, kita dapat mengelak daripada menjadi jahil dan seterusnya dapat mengenali Tuhan dengan lebih akrab dan rapat! Kemudian, kita perlu sentiasa mendidik diri menjadi matang agar diri kita dapat menjadi lebih bertanggungjawab dan lebih matang untuk menerima dan menyampaikan kebenaran walaupun kebenaran tidak sentiasa indah untuk diterima. Dengan cara ini, nilai integriti, akauntabiliti malah nilai keadilan akan hadir kerana kita sedang membentuk nilai-nilai kebenaran dalam diri kita. Tidak usah terlalu gelojoh mengejar tanggungjawab seperti menjadi pemimpin kepada organisasi mahupun keluarga kalau diri kita sendiri masih tidak mampu untuk menyampaikan kebenaran secara matang. Jadilah orang yang ada pegangan kukuh yang mulia. Orang yang dapat berdiri kukuh di atas landasan kebenaran. Bukan landasan picisan penipuan yang rapuh. Orang yang berani! Orang yang ada cita-cita yang bermakna dan berlandaskan ilmu yang benar untuk diperjuangkan. Juga, jadilah orang yang merendah diri.” Jawab Prof. Ahmad panjang lebar kepada anaknya.

“Oleh sebab itu, hidup ini hanya akan bermakna apabila kita berkiblatkan kebenaran. Orang yang hidupnya berkiblatkan reda Tuhan. Orang yang hidupnya dipandu dengan ilmu dan hikmah. Sia-sia peluang hidup kita yang sekali dan singkat ini kalau kiblat kita adalah kepalsuan dan penipuan. Tambahan lagi, apakah kemuliaan yang masih ada pada jiwa kita berbanding haiwan kalau hidup kita ini berlatar belakangkan penipuan dan pembohongan yang kita sendiri pilih? Haiwan pun tidak memilih untuk menipu. Sungguh ironi kita mengaku kita ini berakal berbanding haiwan tetapi kita memilih jalan yang lebih rendah dan rapuh malah palsu!” Sambung Prof. Ahmad lagi.

Amran kembali mengangguk perlahan.

“Namun awas, kita mungkin tidak sentiasa mendapat nama dan kemegahan kerana kita tidak berpihak kepada mana-mana kebenaran yang  dimanipulasi secara “pintar” untuk “keuntungan” yang picisan namun kewujudan kita sentiasa diperlukan dalam jangka masa panjang kerana penipuan dan kebohongan yang berasaskan dalil-dalil palsu tidak dapat bertahan secara berpanjangan. Moga dengan itu, kita akan menjadi dewasa yang matang. Dan bertanggungjawab.” Sambung Prof. Ahmad panjang lebar.

“Baik Ayah, terima kasih atas semua nasihat ini! Moga abang dapat memaknakan semua nasihat ayah malam ni.” Amran tersenyum perlahan. 

“Ayah percaya dengan abang.” Ringkas dan padat harapan itu disampaikan kepada anaknya.

Prof. Ahmad juga, tersenyum kecil.

Disediakan oleh: Anwar Mohd Nor

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.