in

Guru Aini: Belajar Menjadi Guru Yang Memaksa Anak Muridnya Memasang Cita-Cita

Saya percaya, sesiapa yang membaca karya “Orang-Orang Biasa” pasti teruja dan kagum akan kebolehan Pak Andrea membawa tema keadilan dalam kehidupan masyarakat melalui karyanya. Pak Andrea memang handal dalam memasukkan mesej tersirat yang cuba disampaikan melalui setiap watak dan plot yang terhasil. Tetapi, untuk membahaskan secara lebih lanjut mengenai “Orang-Orang Biasa” akan saya muatkan pada artikel yang akan datang kerana ada satu lagi karya yang berjaya menambat hati saya untuk terus menulis dan membahaskannya pada kali ini, iaitu “Guru Aini.”

 

 

 

“Guru Aini” adalah prekuel kepada karya “Orang-Orang Biasa” yang memuatkan kisah suka dan duka Aini yang gigih mengejar cita-citanya untuk masuk ke fakulti perubatan. Ranjau perjalanan Aini bermula apabila beliau bertekad untuk menjadikan Bu Desi sebagai tutor matematiknya. Aini seperti menempah bala kerana Bu Desi itu terkenal dengan kegarangan dan ketegasannya.

 Masuk ke kelasnya, mungkin akan menghadapi satu saja jalan terakhir iaitu “drop out” daripada sekolah. 

Namun, tekad Aini telah mengaburkan segala ancaman dan bahaya yang bakal ditempuh kerana baginya Bu Desi satu-satunya kunci yang boleh membuka pintu harapannya. Baginya, belajar daripada Bu Desi itu adalah kesempatan yang terbaik yang pernah terjadi dalam hidupnya. 

Saya cuba memahami jiwa Aini yang begitu kagum dan mempercayai gurunya dengan sepenuh hati. Dan, ini yang dapat saya simpulkan perihal Bu Desi, guru yang paling disayangi Aini di atas muka bumi ini: 

 

1.Tulus dalam bercita-cita

Sebagai seorang anak yang pintar, sudah semestinya banyak pilihan yang ditawarkan kepada Desi Istiqamah ketika berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Tetapi, Desi tetap memegang teguh cita-citanya untuk menjadi seorang guru matematik walaupun masyarakat setempatnya memandang dunia perguruan bukanlah dunia yang menggemukkan poket seseorang. 

Diingatnya pesan Bu Marlis, guru teladan yang menjadi pemangkin Bu Desi untuk tetap teguh mendukung cita:

“Kita takkan menjadi kaya dan takkan selalu mendapat kesenangan dengan menjadi guru, namun akan sangat bahagia.” 

2.Berani menempuh cabaran

Sudah semestinya, alam pekerjaan menjanjikan naik dan turunnya kehidupan seseorang. Seperti juga Bu Desi. Ketika beliau memilih untuk bertukar tempat penempatan ke sekolah dengan rakannya, beliau sudah menjangkakan apakah situasi yang akan terjadi. 

Menempuh segala badai ombak, berhari-hari dalam perjalanan dan mengalami ujian fizikal yang sangat dahsyat tidak pernah mematahkan semangatnya untuk menjadi seorang guru.

3.Idealis dan “actionist”

Menjadi seorang Bu Desi ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana beliau merupakan seorang yang begitu banyak idea dan bertindak melaksanakan ideanya. Pendek kata, orangnya proaktif. Ketika sampai ke Kota Belantik, beliau bertekad untuk tidak menukar sepatu pemberian ayahnya sehinggalah murid pintar matematika ditemui. 

“Sepatu itu adalah pengingat terbaik baginya bahawa dia telah menempuh perjalanan amat jauh dari kotanya dan dia takkan mengganti sepatunya sebelum tercapai apa yang diimpikannya.” 

Idealis bukan? Tetapi cukupkah dia berdiri atas dasar idea sahaja?

Sudah tentu tidak. 

Kerana idea tidak akan terhasil jika tidak disusuli dengan tindakan.

Bu Desi gigih dan tidak pernah kenal erti lelah dalam mencari dan melahirkan murid yang pintar dalam matematik. Beliau memikirkan pelbagai cara demi memastikan anak didiknya dapat meresapi dan menjiwai segala ilmu yang diajar.

Ilmu pendidikan seperti pedagogi dan psikologi diintegrasikan dalam usaha menaikkan minat dan semangat anak murid yang rata-ratanya berasal daripada latar belakang keluarga yang susah supaya mereka merasakan erti sebenar sebuah pendidikan yang mampu mengubah diri mereka suatu hari nanti. 

Hayatilah jiwa Bu Desi ini: 

“Sebagai guru dia memahami psikologi pendidikan bagi anak-anak kampung. Kemiskinan dan kepercayaan diri yang rendah membuat mereka selalu merasa hal-hal akademik yang hebat akan selalu menjadi milik orang lain, milik orang kota, milik anak-anak orang kaya di sekolah-sekolah hebat.”

Tidak dapat disangkal lagi, Bu Desi adalah guru Aini yang tangguh. Besar jiwanya. Anugerah yang terindah dalam sebuah dunia pendidikan.

Terima kasih Bu Desi.

 

Yang mengagumi, 

Ainin bukan Aini. 

 


Syuhadah Ainin, pengulas buku yang aktif berkongsi mengenai buku di media sosial seperti Facebook dan Goodreads.

Leave a Reply

Loading…

Kalau Zainuddin Jadi Suami Kepada Hayati, Hayati Takkan Boleh Keluar Rumah

Kenyataan Melampau Mufti Johor Sehingga Menyebabkan Hamka Bangun Menegur