in

Gerakan Syiah dari Politik Berubah Menjadi Sebuah Agama Baru

Kemunculan kumpulan Syiah asalnya daripada gerakan politik untuk menjatuhkan khalifah Uthman bin Affan. Kemudian gerakan ini telah berubah corak daripada politik bertukar ke kumpulan akidah yang seterusnya membawa kepada ijtihad dalam pelbagai bidang termasuklah bidang fiqah.

Gerakan ini telah dipelopori oleh seorang lelaki Yahudi berasal dari Madinah yang bernama Abdullah bin Saba’. Beliau telah merencanakan pelbagai fitnah untuk memburukkan Uthman bin Affan dan menghasut seluruh umat Islam untuk memerangi khalifah Uthman. Menurut kitab Milal Wa Nihal tulisan al Shahrastani, beliau yakni Abdullah bin Saba’ merupakan orang pertama yang mendewakan Ali sehingga ke peringkat melampaui batas.

Sikap pelampau golongan Syiah ini telah mencetuskan pemberontakan sehingga mengakibatkan pembunuhan khalifah Uthman bin Affan. Pembunuhan terancang ini telah mencetuskan fenomena ketidak stabilan politik yang akhirnya menjadikan Ali bin Abi Talib diangkat menjadi khalifah keempat menggantikan Uthman bin Affan.

Sejarah pelampau Syiah ini terus tercatat dalam lembaran sejarah ketika dibawah pemerintahan khalifah Ali bin Abi Talib. Tatkala keadaan politik masih tegang dan tidak stabil, para penyokong Ali bin Abi Talib suatu ketika dulu telah menarik semula sokongan terhadapnya ekoran tindakan Ali bin Abi Talib yang mahu berdamai dengan golongan yang menuntut bela atas kematian Uthman bin Affan yang diketuai oleh Muawiyah. Akhirnya, kelompok yang menarik sokongan terhadap Ali ini telah menggelarkan diri mereka sebagai Khawarij.

Apa yang boleh kita fahami ialah Syiah ditubuhkan atas dasar kepentingan politik. Agenda pemecahan umat Islam ini telah berjaya merasuki tubuh umat, termakan fitnah dan berita palsu yang akhirnya menjadikan punca episod pertelagahan sesama umat Islam bermula. Demi kepentingan dan cita-cita politik, tanpa kita sedar umat Islam telah menjerat diri mereka sendiri dengan bermusuhan sesama Islam. Ini adalah sebahagian episod duka yang merugikan Islam.

Setelah itu, Syiah telah berubah corak pemikiran. Bukan setakat politik, malah ketaasuban mereka terhadap Ali bin Abi Talib telah mengheret mereka kepada isu akidah. Antaranya iktikad akidah terpesong mereka ialah mengangkat Ali bin Abi Talib sebagai imam pertama mereka sesudah wafatnya baginda Nabi SAW. Iktikad ini berpunca daripada sebuah hadis palsu yang dikenali sebagai “Hadis Ghadir Khum”. Mereka percaya bahawa Ali adalah pengganti sebenar kepada Nabi Muhammad SAW.

Mereka juga percaya bahawa al Quran versi yang ada pada hari ini adalah tidak sah. Al Quran versi sah di sisi mereka dikenali sebagai “Mashaf Ali”. Berbeza dengan kepercayaan Ahli Sunnah Wa Jamaah, al Quran versi sah yang ada hari ini dikenali sebagai “Mashaf Uthmani”. 

Seluruh sahabat pada waktu khalifah Uthman telah bersepakat menyatakan bahawa al Quran yang telah dilengkapkan isi dan susunannya pada zaman khalifah Uthman adalah sah dan paling sempurna. Sebaliknya, sikap fanatik dan ekstrim mereka terhadap Ali telah menolak dan menafikan kesahihan al quran mushaf Uthmani.

Begitu juga mereka menolak semua hadis yang diriwayatkan oleh tiga para sahabat besar, Abu Bakar, Umar dan Uthman. Mereka menerima hanya hadis-hadis riwayat Ali bin Abi Talib dan kaum kerabatnya. 

Oleh itu, Syiah tidak mengiktiraf serta mengakui kesahihan hadis-hadis yang dikumpul selain daripada imam hadis mereka sendiri. Disebabkan itu, prinsip hukum syarak dalam ilmu fiqh oleh kaum Syiah dalam beberapa aspek tidak sama dan berlainan dengan pegangan Ahli Sunnah Wa Jamaah.

Antara konsep keimanan mereka juga disebut sebagai Taqiyah. Konsep Taqiyah dapat kita fahami nya sebagai suatu cara mengizinkan kaum Syiah berpura-pura atau menyembunyikan fahaman dan pegangan mereka dimana pendedahannya boleh memberi kesan buruk kepada diri mereka. Dalam maksud yang mudah, Syiah telah menghalalkan pembohongan demi merahsiakan identiti mereka.

Selain itu, dalam soal fiqah munakahat (perkahwinan), Syiah menghalalkan nikah sementara yang dipanggil “Nikah Mut’ah”. Amalan nikah mut’ah ini biasanya dilakukan oleh orang Arab pada zaman sebelum Islam. 

Menurut fatwa mereka, nikah mut’ah boleh dilakukan tanpa wali dan tanpa saksi. Asalkan wanita yang terlibat bersetuju dan diberi upahnya. Dengan kata mudah, lelaki dan wanita boleh menikahkan diri mereka sendiri untuk menjadi suami isteri dan kemudian boleh berpisah dengan persetujuan bersama.

Demikianlah beberapa kepercayaan kaum Syiah yang pada awalnya sebagai gerakan politik semata-mata dan berubah dasar menjadi suatu pegangan agama yang sangat bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wa Jamaah. 

Terdapat banyak lagi kepercayaan pesong mereka di sebalik wajah taqiyah mereka. Juga perbezaan ibadah kesan daripada menolak hadis-hadis riwayat sahabat Nabi yang besar. Walau apa pun, umat Islam harus mengambil pelajaran daripada gerakan ini agar kita tidak terjerumus dalam tipu daya iblis. Semoga Allah memberkati kita semua.

Disediakan oleh,

Faidhi Azis

Berdoa untuk Memohon atau Memaksa?

Aku Penuntut Ilmu di Musim Pandemik