in

Gerakan Feminisme; Antara Sosialis-Liberalis

Perkataan “feminisme” merujuk kepada sebuah gerakan perjuangan oleh wanita dalam usaha membela serta menuntut hak kesamarataan tanpa bias gender. Gerakan feminisme secara ringkasnya adalah suatu gerakan politik dan komitmen intelektual yang menuntut keadilan untuk wanita serta menamatkan seksisme di dalam semua bentuk serta merangkumi perspektif yang luas termasuk soal sosial, budaya, ekonomi dan politik.

Gerakan ini merupakan gabungan pemikiran dan ideologi sosialis – liberalis yang mencantumkan makna kebebasan dan keterbukaan dalam menentukan pilihan kehidupan.

Pada awal gerakan perjuangan feminisme ini adalah berfokus melindungi hak-hak wanita terhadap pengalaman yang dialami oleh golongan wanita. Perkara ini menjadi fokus mereka kerana dilihat kelemahan wanita boleh dikesan secara merata sama ada dalam bidang ekonomi, politik dan sosial.

Pelbagai tuntutan dibuat terhadap sejarah asal dan perjuangan awal gerakan ini yang membawa kepada terbentuknya gerakan dan falsafahnya yang tersendiri. Namun setelah diberi ruang seluasnya kepada mereka maka apa sahaja yang ditafsirkan sebagai sekatan terhadap wanita akan dibela.

Objektif feminisme ini walaupun pada asasnya adalah bertujuan membela hak-hak kaum wanita namun dilihat pendekatan gerakan yang digunakan berpotensi untuk memberi kesan dan impak kepada hak-hak golongan lain yang turut dinafikan selama ini. Gerakan ini telah mengarus perdanakan agenda mereka yang juga turut menyumbang kepada keluasan maksud hak asasi manusia khususnya dalam menggabungkan makna terhadap hak-hak wanita.

Kunci kepada agenda gerakan Feminisme ini adalah melibatkan penyertaan wanita di dalam ruang arus perdana tidak kira dalam apa jua bidang sekalipun.

Sejarah mencatatkan pada tahun 1995, telah berlaku suatu persidangan Wanita Sedunia berlangsung di Beijing China. Persidangan ini merupakan suatu sidang kemuncak yang memperkukuhkan tuntutan hak-hak wanita sebagai bahagian utama di dalam Hak Asasi Manusia.

Dalam persidangan tersebut, dianggarkan seramai 17,000 peserta dan 30,000 aktivis yang terdiri dari pelbagai latar belakang telah menghadiri persidangan tersebut. Rentetan dari persidangan tersebut, maka lahirlah Deklarasi Beijing dan Platform Tindakan yang memberi perhatian kepada sector kritikal yang melibatkan golongan wanita.

Pada asasnya, gerakan feminisme ini ada baiknya di dalam perjuangan mereka ini. Dalam sejarah perjuangan mereka, gerakan ini secara lantang bersuara berkenaan beberapa pengamalan budaya dan adat yang dilihat merendahkan kedudukan serta martabat kaum wanita.

Antara budaya yang dikritik oleh gerakan ini adalah seperti amalan sati. Amalan sati adalah merujuk kepada kepercayaan agama Hindu. Dalam amalan sati ini, balu yang kematian suaminya turut dibakar bersama-sama mayat suaminya. Turut menjadi penentangan mereka adalah amalan pembunuhan anak perempuan kerana mengutamakan anak lelaki, perkahwinan kanak-kanak dan lain-lain.

Namun  beberapa agenda perjuangan mereka dilihat menyimpang dari sudut agama dan moral. Antaranya mempertikaikan serta mengkritik syariat poligami, mempertikaikan tentang pembahagian harta warisan dan sebagainya.

Misalnya, isu aturan pemakaian skarf di Iran selepas Revolusi Iran 1979, pernah menjadi kontroversi sehingga ada pihak yang berani mencabar keputusan aturan tersebut di mahkamah. Muhammad Said Ashmawi, seorang pemikir liberal pernah berhujah dengan mengatakan bahawa makna sebenar bagi hijab terletak kepada menggagalkan seseorang daripada menyimpang kepada keinginan nafsu seksual yang tidak sah tanpa perlu menggabungkan makna sebenar ini dengan bentuk pakaian tertentu.

Leila Ahmed, seorang pendokong agenda feminism di dalam “Women and Gender in Islam” membawakan sebuah tesis yang ditulis oleh Qasim Amin telah mencetuskan provokasi apabila beliau menyatakan perlunya suatu tindakan transformasi sosial budaya melibatkan wanita dengan menyeru kepada penghapusan peraturan pemakaian tudung. Lord Cromer di dalam penulisannya menyifafkan bahawa pemakaian hijab adalah salah satu faktor kemunduran dan penderitaan kaum wanita di timur.

Demikian beberapa lagi kenyataan, penulisan dan pendirian ahli sosialis yang menyifatkan nilai agama tidak lah jauh makna kecuali untuk mengongkong dan menyekat semata-mata.

Di Malaysia, pelbagai gerakan feminisme wujud berlindung dibawah nama Hak Asasi Manusia secara agresif mula mempertikai isu syariat termasuklah soal hijab, poligami, Marital Rape (rogol dalam perkahwinan) dan pewarisan harta.

Walau bagaimana pun, umat Islam hari ini perlu lebih prihatin dan memandang serius terhadap isu-isu ini supaya diri kita tidak terjerat dan terperangkap masuk dalam permainan falsafah golongan ini. Perjuangan mereka adalah bertuhankan iedologi sosialis-liberalis berpandukan kitab agung mereka iaitu Hak Asasi Manusia yang digubal dan di olah oleh akal fikiran manusia yang cetek.

Hakikatnya, Allah jualah selayaknya memberi dan mengiktiraf sesuatu hak kerana Dia lah yang menjadikan kita manusia. Dia juga lah yang lebih mengetahui akan hak sebenar hamba Nya. Berjuang tidak salah tapi biarlah di atas landasan dan neraca agama yang benar dan selamat. Semoga Allah merahmati kita semua.

Disediakan oleh,

Faidhi Azis

Membaca Untuk Pandai Atau Untuk Hidup?

Bukan Mudah Hidup Sebagai OKU