Antara nikmat yang Allah SWT berikan kepada para hambanya ialah hati yang tenang dan ikhlas. Akan tetapi, dalam ketenangan itu kadang kala terselit perasaan resah, gelisah dan kesedihan. Sedaya upaya manusia melunturkan segala kekalutan yang bersarang dalam fikiran namun gagal mencari jalan pulang ataupun ketenangan. Di manakah silapnya?

Dalam kamus hidup ini, masing-masing dalam kalangan kita mempunyai masalah yang pelbagai urna. Namun, ada yang gemar menzahirkan ataupun meluahkan bagi meringankan sedikit bebanan. Ada pula yang lebih selesa berahsia daripada menceritakan ketegangan.

Bagi sesetengah orang, ini adalah salah satu cara bagi mengurangkan tekanan. Namun, tahukah anda bahawa terdapat cara paling mujarab bagi merawat kebimbangan dan ketakutan yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Baginda sendiri mengalaminya dalam perjuangan sengit menghadapi musuh yang membenci Islam. Kendatipun begitu, Rasulullah SAW tidak membiarkan perasaan ini menenggelamkan jasad dalam arus kesengsaraan.

 Malahan, setiap kali ditimpa kesusahan baginda bangkit memohon pertolongan dengan cara menunaikan solat. Ini dibuktikan dalam hadis yang menyebutkan,

Daripada Huzaifah dia berkata,

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا حَزَبَهُ أَمْرٌ صَلَّى

“Apabila Nabi SAW tertekan oleh suatu urusan, baginda mengerjakan solat.” [Shahih Sunan Abu Daud no. 1319]

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda,

جعلت قُرَّة عَيْني فِي الصَّلَاة

“Dijadikan sesuatu yang paling menyenangkan hatiku ada pada saat mengerjakan solat.” [Shahih Sunan An-Nasaa’i no. 3940]

Tindakan baginda menunjukkan epitome yang sangat terbaik. Nabi SAW menjadikan solat sebagai jalan keluar demi menyingkirkan permasalahan. Saat musibah datang menjengah, solat menjadi pelindung dan sandaran dalam menagih ketenteraman.

Khasiat solat ini sangat luar biasa. Para sahabat juga mencontohi akhlak Nabi Muhammad SAW. Inilah sebab mengapa umat Islam diperintahkan untuk menunaikan solat, kerana solat telah menjadikan tubuh semakin kuat dan hati dikurniakan ketenangan.

Dr. Anas Ahmad Karzon, pakar psikologi membuktikan kebaikan solat. Menurutnya,

“Solat yang benar juga merupakan ubat penolong yang sangat mujarab bagi manusia yang sedang sedih dan gundah gelana akibat masalah hidup dan musibah yang menimpanya. Ketika seorang hamba yang sedang ditimpa berbagai kesusahan dan kesulitan hidup, lalu dia di dalam solatnya berlindung kepada Tuhannya maka ia akan mampu mententeramkan jiwanya, dan merasa dikuatkan oleh Allah, serta menerima kasih sayangnya.”

[Tazkiyatun Nafs, hal 86-87. Penerbit Akbar Media. Cetakan Ketiga, Januari 2015M. Penulis: Dr. Anas Ahmad Karzon]

Solat mampu menjadi senjata dalam melawan badai yang melanda jiwa dan minda. Tiadalah kesulitan itu menjadi mudah melainkan hanyalah kepada Allah kita meminta untuk diringankan.

Carilah ketenangan dalam solat yang dikerjakan dengan khusyuk dan penuh penghambaan. Ciptalah kedamaian dalam solat yang dilaksanakan dengan tekun agar kebahagiaan perlahan-lahan muncul seperti pelangi yang timbul selepas hujan.

Mungkin, kekhuatiran itu muncul kerana hubungan kita yang longgar dengan Allah SWT. Justeru itu, peliharalah solat kita. Mudah-mudahan ia membantu memadamkan kegundahan dan dilapangkan dada daripada perasaan cemas. 

Jelas dalam firman Allah juga telah menyatakan kewajipan solat sekali gus kepentingannya kepada sesiapa yang mengerjakan dengan jayanya,

Allah berfirman,

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ

“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk’.” [Surah Al-Baqarah: 45]

Disediakan oleh,

Syuhara Suriati

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.