in

Gambaran Syurga Ransangan Nikmat Beribadah

فَلَا تَعۡلَمُ نَفۡسࣱ مَّاۤ أُخۡفِیَ لَهُم مِّن قُرَّةِ أَعۡیُنࣲ جَزَاۤءَۢ بِمَا كَانُوا۟ یَعۡمَلُونَ

Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan. 

(Surah As-Sajdah, Ayat 17)

Ayat di atas menggambarkan keindahan akan berita kenikmatan Syurga. Setiap daripada kita sudah pasti mahu masuk ke dalamnya dan menikmati segala isinya. Oleh itu, jikalau beritanya sudah indah dan sedap di dengar, apatah lagi dengan kelazatan  melihat serta merasainya? 

Bayangkan-lah wahai sekalian ummat, seandainya sesaat sahaja penduduk bumi yang sementara ini diberikan kesempatan untuk melihat segala keindahan serta nikmat Syurga, pastinya perkara tersebut akan mengganggu perasaan juga tingkah-laku, merobek jiwa-jiwa dan menggoncangkan hatinya.

Akan tetapi itu sebenarnya sesuatu yang sangat-sangat mustahil. Oleh itu, kerana apa Allah SWT menciptakan dunia yang sementara dengan segala perhiasannya? 

Menerusi hadis Qudsi: “Aku menyediakan syurga kepada hamba-Ku yang soleh. Sesungguhnya suatu pemandangan yang tidak pernah terpandang oleh pandangan mata dan telinga ini tidak pernah mendengar betapa indahnya syurga itu. Hati kita tidak pernah terdetik seindah ini syurga Allah.”

Kadangkala, kita semua lesu dan hilang nikmat beribadah disebabkan tidak mendapat gambaran kenikmatan Syurga itu sendiri. Nabi SAW sentiasa mengulang-ulang cerita akan kenikmatan Syurga bagi memberi rangsangan kepada ummatnya dalam beribadah demi meraih Syurga-Nya. Oleh sebab keinginan yang tinggi untuk mendapatkan Syurga, kita melihat manusia pada hari ini berusaha sebaiknya bagi mendapatkannya.

Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya kamu mahukannya, bacalah ayat ini, seperti mana firman Allah dalam surah As-Sajdah, ayat 17”

Seperti mana kita sekarang, sudah diberikan nikmat untuk berada di 10 malam terakhir. Hanya ada satu malam yang malamnya lebih baik dari 1000 bulan. Tidak terpukau-kah kita semua dengan nikmat yang sangat berbaloi ini? Bukanlah yang dikejar itu tanda-tanda malam lailatul qadr, tetapi yang dikejar sebaiknya adalah amalan-amalan di waktu-waktu terakhir ini. 

Oleh itu marilah kita besama-sama berjuang serta mengerah kudrat untuk mendapatkannya. Nikmat ini perlu kita berjuang bersama!

 وَفِي ذَٰلِكَ فَلۡيَتَنَافَسِ ٱلۡمُتَنَٰفِسُونَ 

dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan; 

(Surah Al-Mutaffifin, Ayat 26)

Disediakan oleh,

Anwar Shahir

Lenyapnya Mahkamah Syariah Dari Bumi Kinanah

Mengapa Ulasan Buku Penting di Kalangan Pembaca?