Seni merupakan sesuatu yang amat dekat di dalam kehidupan masyarakat. Perbezaan latar belakang manusia membawa kita kepada resam budaya yang pelbagai. Dipengaruhi geografi, politik dan kebiasaan masyarakat, semuanya ditafsirkan melalui seni supaya kita dapat melihat kekayaan anugerah yang telah Allah SWT berikan.

Seiring peredaran zaman, seni juga turut berkembang di samping kepesatan perkembangan teknologi. Sudah tentu, Islam juga mengambil berat perihal kesenian yang menjadi wadah kehidupan masyarakat. Islam tidak mengabaikan seni, malah seni menjadi antara alat utama dalam memahami Al-Quran dan menyampaikan dakwah. Melihatkan pentingnya seni di dalam kehidupan insan, Islam telah menetapkan pelbagai garis panduan dalam memastikan segala aktiviti kesenian tidak lari dari segi akidah dan syariah.

Industri perfileman secara khususnya memberi gambaran yang jelas tentang bagaimana sesuatu karya seni itu memberi pengaruh yang besar dalam kalangan masyarakat. Perkara ini disebut oleh Tuan Zabidi Mohamed, penulis skrip drama Islami serta pengkritik filem di dalam Majlis Wacana Sastera Islam 4.0 yang dianjurkan oleh Nadi Sastera Islam, USIM. Pengaruh filem yang dimaksudkan terlihat apabila gaya hidup masyarakat mulai mengikut ‘trend’ yang ditunjukkan di dalam sesebuah karya filem. Hollywood, Bollywood dan yang terkini gelombang Korea sentiasa menjadi ikutan masyarakat dari segi cara berpakaian, makanan, serta keterampilan diri. 

Di dalam program yang sama, Ketua Penolong Mufti di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Syed Sharidzan Syed Mohamed juga memberikan pendapat yang sama berkenaan pengaruh sesebuah karya filem di dalam kehidupan manusia. Di dalam forum tersebut, beliau juga menggalakkan para belia Islam untuk berjinak-jinak di dalam industri karya kreatif bagi menyebarkan dakwah Islam dengan menggunakan pengaruh kuat industri perfileman.

Wacana Sastera Islam kali ini membawakan perbincangan berkenaan isu hangat di dalam industri perfileman Malaysia tidak lain berkenaan filem Mentega Terbang (2021) yang diarahkan oleh Khairi Anwar. Tayangan filem ini telah menerima pelbagai respon daripada rakyat Malaysia. 

Secara ringkas, filem ini berkisarkan tentang seorang remaja bernama Aisyah bersama ibu bapanya mencari jawapan tentang kehidupan setelah mati. Pelbagai kitab agama telah dikaji oleh Aisyah termasuklah Bible dan Taurat. Ulas Tuan Zabidi, istilah menghina agama Islam sahaja tidak menepati keadaaan ini kerana istilah tersebut sudah terlalu banyak digunapakai. Beliau memperkenalkan istilah ‘blasphemy’ sebagai satu terma yang tepat bagi menggambarkan intipati keseluruhan filem tersebut.  Ringkas beliau, blasphemy bermaksud perbuatan atau percakapan mengenai sesuatu yang tidak elok terhadap Tuhan atau agama. Pengertian dari sudut Islam pula; menghina atau melecehkan Allah, Rasul, Al-Quran dan Hadis. 

Di dalam konteks filem Mentega Terbang ini, contoh blasphemy ditunjukkan oleh Aisyah apabila dia mula mempercayai fenomena kelahiran semula (reincarnation) yang jelas bersalahan dalam akidah Islam. Selain itu, babak di mana bapanya membenarkan Aisyah untuk menukar agama kepada agama lain yang dirasakan betul adalah satu bentuk sokongan kepada murtad. Ini dilarang keras di dalam agama dan tertulis di dalam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Walau bagaimanapun, terdapat juga segelintir masyarakat yang menyokong pembikinan filem ini dan membenarkan mesej yang disampaikan dengan alasan kebebasan berkarya. Mereka menyeru supaya masyarakat lainnya bersikap lebih terbuka dalam penghasilan karya seni. Berbeza dengan penerimaan beberapa anak seni sendiri seperti Dato’ Awie dan Fauziah Nawi yang mengkritik keras penghasilan filem ini. 

Persoalannya, adakah mempertikaikan penghasilan karya seni yang mempunyai unsur blasphemy dianggap kolot dan minda tertutup? Jawapannya ada pada kata-kata daripada Buya HAMKA; 

“Jika diam saat melihat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kafan.” 

Buya HAMKA

Islam tidak menghalang penghasilan karya seni yang membuatkan manusia berfikir. Malah melihat, mengamati dan berfikir tentang kehidupan adalah galakan dalam Islam. Namun begitu, Islam merupakan agama yang mempunyai prinsip. Mempersoalkan ketetapan Allah SWT seperti hari akhirat adalah bertentangan daripada akidah apatah lagi menggalakkan murtad yang jelas menafikan keimanan terhadap Allah SWT. Inilah peranan dan tanggungjawab penggiat seni Islam dalam menentukan di mana letak duduknya akidah dalam penghasilan sesebuah karya.

Di penghujung forum Filem Mentega Terbang: Antara Sempadan Akidah dan Kebebasan Berkarya di dalam Majlis Wacana Sastera Islam 4.0 itu, Tuan Zabidi Mohamed mengambil kesempatan untuk memberi cadangan kepada para pelajar jurusan Bahasa Arab dan Kesusasteraan Islam agar menghasilkan karya-karya yang mengangkat budaya tempatan dan agama Islam seperti yang dilakukan oleh negara jiran, Indonesia yang mengangkat tokoh-tokoh pejuang agama seperti HAMKA dengan menghasilkan filem daripada karya beliau. Menurutnya, Malaysia juga mempunyai banyak tokoh yang seharusnya lebih dihargai dan dikenang sepanjang zaman seperti Ibu Zain dan Za’ba.

Oleh: Syuhada Lukman

Leave your vote

11 Points
Upvote Downvote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.