Home Artikel Resensi Buku Falsafah Ketuhanan

Falsafah Ketuhanan

Falsafah Ketuhanan ialah sebuah buku yang ditulis oleh seorang tokoh yang tidak asing lagi daripada dunia nusantara ini, iaitu Haji Abdul Malik Karim (Hamka). Buku ini tidak menggunakan bahasa falsafah yang berbelit-belit. Maka, ia sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat.

Perbincangan falsafah yang terperinci itu sebaiknya dibiarkan sahaja kepada mereka yang benar-benar mahu mendalaminya. Tetapi untuk orang kebanyakannya, falsafah ketuhanan yang ditulis Hamka ini sudah cukup mudah untuk dihayati tanpa memerlukan perbincangan yang lebih rumit.

Premis Utama

Premis utama karya Hamka ini ialah manusia secara semula jadi mengakui bahawa ada satu Kuasa yang berada di sebalik segala sesuatu dan mengatur alam ini. Alam ini bukan sahaja “Terjadi” malah juga “Tersusun”. Kejadian dan Susunan Aturan ini merupakan penunjuk kepada Tuhan. Sama seperti apabila seorang tukang jahit menjahit, baju yang disiapkan ialah alamat tanda kudrat yang dimiliki penjahitnya, biarpun kita hanya melihat baju yang sudah siap tetapi bukan kudrat itu sendiri yang tidak nampak dengan mata kasar.

Ya, naluri murni hati manusia ialah mahu mengakui bahawa adanya satu Kuasa yang menggerakkan alam ini. Tetapi mereka memanggil Kuasa itu dengan bermacam-macam nama. Kemudiannya, naluri jiwa yang tulus ini dicemari oleh pemuka-pemuka agama yang palsu serta penguasa yang menangguk di air yang keruh sehingga berlakunya kacau bilau dalam pemahaman terhadap konsep ketuhanan.

Ada yang menghormati peranan alat sulit melahirkan kehidupan, lalu menyembahnya. Ada yang takut kepada kematian, lalu menyembah roh nenek moyang. Mereka yang mencari rezeki pada waktu siang atau mengambil manfaat daripada alam seperti tali-tali air menjadikan matahari dan tali air itu objek sembahan mereka juga biarpun objek-objek itu juga sekadar makhluk seperti mereka.

Pemuka-pemuka agama seperti shaman dan pendita menjadikan diri mereka perantara antara manusia dan Tuhan. Segala doa-doa dan harapan yang ingin dipanjatkan kepada Tuhan itu perlu melalui sebuah proses seakan-akan birokrasi, iaitu melalui wakil-wakil perantara ini sebelum tiba kepada Tuhan. Mereka juga yang menentukan ritual-ritual apa yang dituntut ke atas masyarakat. Raja-raja dan penguasa pada zaman dahulu juga tidak terlepas daripada mengambil kesempatan. Mereka menyebut diri mereka sebagai jelmaan Tuhan di bumi yang segala perintahnya tidak boleh dipersoal. Masyarakat jadi keliru antara Tuhan yang sebenar dan imej-imej serta objek-objek palsu.

Sekalipun manusia membangkang kewujudan Tuhan, bangkangan ini datang kemudian

daripada kepercayaan. Percaya kepada Tuhan itu ialah asal jiwa manusia. Kemudian perjalanan berfikir yang bersimpang siur itu yang membawanya kepada terus percaya atau tidak percaya. Kerana keterbatasan akal manusia, percaya itu susah tetapi tidak percaya sebenarnya jauh lebih susah.

Hamka Seorang Tokoh Agama Yang Membaca

Daripada tulisan Hamka ini, auranya terasa begitu kuat sekali. Aura seorang pembaca yang tegar dan membaca secara meluas. Seperti kata Dr Mazslee Malik dalam buku Risalah Malaysia Membaca terbitan Jejak Tarbiah, “membaca Hamka ialah meneroka sebuah peradaban. Ada kiotik, ada dinamika, dan ada hikmah yang cukup indah di dalam Hamka”.

Hamka menyebut secara ringkas tentang tokoh-tokoh seperti Plato, Anaximander, Al Farabi, Goethe, Herbert Spencer dan Ludwig Buchner. Hamka bercerita mengenai perbahasan dualisme badan-ruh/benda-nyawa (Mind-Body) Descartes dengan ayat yang mudah.

Hamka juga mengetahui perkembangan dalam dunia sains seperti Nuklear Oppenheimer dan antiproton. Hamka juga kagum akan keteraturan yang wujud dalam reaksi kimia, kerana baginya sekiranya segala sesuatu itu bebas terjadi sendiri tanpa ikatan kepada kehendak seorang Pengatur, tidak akan berlaku keseragaman hukum kimia itu.

Bagi sesiapa yang bercita cita untuk menjadi ustaz atau guru agama, berusahalah untuk cakna akan sains seperti Hamka juga. Seorang ustaz itu kerjanya mendidik dan memimpin peradaban, dan peradaban itu terlalu luas selok beloknya merangkumi bukan sahaja agama tetapi juga falsafah, sains, sastera dan ilmu pengetahuan.

Bahasa Mudah Tetapi Indah

Hamka menulis dengan ayat yang mudah-mudah sahaja tetapi indah. Tidak ada jargon yang susah-susah, sesuai untuk mendekati hati pembaca daripada semua lapisan masyarakat yang mahu mengambil manfaat daripada mutiara-mutiara hikmah seorang Hamka.

Dengan ayat ayatnya yang mudah ini jugalah, Hamka berjaya membawa pelbagai konsep falsafah ketuhanan yang penting seperti Prime Mover, Necessary Cause that is uncaused, Wajibul Wujud dan Al-Aql Awwal.

Hamka juga membangkang salah faham “Tuhan Lompong-Lompong” (God of Gaps) secara tidak langsung melalui cara beliau menghuraikan konsep sebab dan akibat. Tuhan Lompong- Lompong atau God of Gaps ialah sebuah tohmahan yang dilemparkan ke atas kepercayaan kepada Tuhan. Katanya, Tuhan ialah sebuah teori yang malas dan tidak matang yang dikemukakan oleh manusia primitif untuk menjelaskan fenomena alam yang mereka tidak faham kerana keterbatasan teknologi. Maka apabila teknologi berkembang, sebab-musabab kejadian alam itu dapat dihuraikan satu persatu dan Tuhan makin lama makin tidak releven lagi, mendiami hanya lompong-lompong (gaps) yang belum boleh dihuraikan oleh sains.

Saya mengenali tohmahan Tuhan Lompong-Lompong atau God of Gaps ini melalui karya God Delusion oleh Richard Dawkins. Saya tidak jelas akan masa sebenar awal-awal kemunculannya dan siapa sebenarnya yang mereka-reka tohmahan ini, jadi sebab itu saya tidak pasti sama ada Hamka sedar atau tidak mengenai kewujudan tohmahan ini. Boleh jadi Hamka tahu jika tohmahan ini sudah tersebar lebih awal dan boleh jadi tidak. Tetapi, tidak kisah sama ada Hamka tahu atau tidak mengenai tohmahan ini, Hamka telah pun mengemukakan hujah yang sebenarnya boleh memberi inspirasi kepada kita secara tidak langsung cara untuk menolak kekeliruan Tuhan Lompong-Lompong tersebut.

Hamka menyebut dalam buku Falsafah Ketuhanan ini:

Kita berdiri di tepi laut. Kita lihat ombak bergulung. Lalu kita bertanya,

Mengapa ombak itu bergulung?

Kerana udara!

Mengapa udara bergerak?

Karena hawa panas!

Dari mana datangnya panas itu?

Dari matahari ?

Siapa yang meletakkan panas pada matahari ?

…..Diam !

Sebab dan akibat itu ialah tali temali yang berterusan, yang di pangkalnya itulah Tuhan, dan kekuasaan Tuhan menyelimuti setiap arah dan menyelaputi seluruh tali temali sebab musabab itu. Tali temali sebab musabab itu sendiri datangnya daripada aturan yang juga dicipta oleh Tuhan. Manusia menggelar aturan itu sebagai sains. Kita melihat hujan, lalu kita kata sebabnya ialah penyejatan. Kita lihat penyejatan, lalu kita katakan sebabnya ialah tenaga haba. Tetapi sebab itu terus menerus memerlukan kepada sebab yang lain, sehingga tiba ke Sebab Pertama yang tidak Disebabkan oleh apa-apa Sebab. Itulah Tuhan yang menyebabkan segala sesuatu termasuklah aturan alam dan tali temali sebab musabab tersebut. Percaya kepada Tuhan penting untuk membentuk sebuah pandang alam yang koheren.

Kesimpulan

Buku ini bagus dibaca semua orang yang ingin berjinak jinak dalam meneroka falsafah ketuhanan. Terutamanya untuk tujuan praktikal bagi amalan diri sendiri, untuk menginsafi hakikat diri. Dalam dunia masa kini yang makin celaru tentang ketuhanan, adalah sangat penting untuk kita meningkatakan martabat cara kita beragama. Beragama dengan keyakinan dan bukannya ikut-ikutan yang diwarisi daripada keluarga dan masyarakat. Membaca buku ini tidak pun menjadikan kita ahli falsafah, tetapi membantu untuk meningkatkan pengetahuan dan kekuatan hujah bagi meningkatkan martabat iman dan agama, sebuah komitmen untuk menunjukkan bahawa iman itu bukannya serendah bahan tawa sahaja.

Buku Falsafah Ketuhanan boleh dibeli melalui pautan ini:
https://jejaktarbiah.com/kedai/falsafah-ketuhanan/

Oleh: Muhammad Faiz Mohd Nor

Share:

You may also like

Leave a Reply