in

Emosi Kanak-kanak Juga Perlu Dijaga

Saya teringat satu hantaran yang saya terbaca di LinkedIn, tentang salah seorang dari pasangan kembar yang berkongsi kejayaannya menamatkan alam ijazah sarjana muda, serta bagaimana sepanjang kehidupan nya yang mempunyai kembar, terpaksa berhadapan dengan perbandingan dari orang sekeliling termasuk kedua ibu bapanya. Perkara pertama yang saya terfikir usai membaca hantaran tersebut – “Mak ayah dia tak terasa ke dia tulis sebegini?”

Hantaran tersebut tular juga di Facebook, dan saya ternampak ibu kepada pasangan kembar tersebut menulis komen di hantaran tersebut dan berkata, “Saya tak pernah membandingkan anak-anak saya”.

Saya teringat akan perbualan saya bersama rakan serumah saya pada suatu malam sekitar perihal – “apa yang orang dewasa di sekeliling kita katakan pada kita waktu kecil, yang masih kita ingat sampai hari ini”. Panjang perbualan kami pada malam itu. Dan satu konklusi besar yang saya peroleh daripada perbualan lewat malam kami pada hari itu;

Apa yang kita kata mungkin nampak kecil, kita rasakan kanak-kanak ini cuma “budak”, tidak punya emosi marah,sedih atau terasa dengan kata-kata kita. Hakikatnya, itulah yang paling mereka ingat sehingga mereka dewasa.

Saya masih teringat momen saya ketika di sekolah rendah, apabila ibu saya membandingkan saya dengan sepupu saya yang dekat usianya dengan saya. Saya kemudian menangis teresak-esak dan katakan kepada salah seorang sepupu saya –“ Umi tak sayang aku”. Saya masih ingat momen itu sampai ke hari ini. 

Baru- baru ini, kami adakan perhimpunan keluarga setelah hampir dua tahun tidak berjumpa. Pada sebelah malam, kami raikan anak-anak kecil dengan bermain kerusi muzik. Pada pusingan pertama, seorang sepupu saya, ‘S’ yang usianya baru darjah 4 tersingkir. Jujurnya, saya tidak tahu, permainan yang hanya terlihat sebagai “permainan” bagi orang dewasa, memberi kesan kepada emosi anak kecil tersebut. Usai bermain, kami makan malam. Saya duduk di sebelah ibu ‘S’, dan ternampak mata ‘S’ merah sebab menangis. Rupanya anak kecil ini baru sahaja  menangis dan merajuk, sebab tersingkir di pusingan pertama permainan tadi.

Atas kesedaran bahawa emosi kanak-kanak juga ‘valid’, saya cuba melayan dengan baik sepupu tadi. Dan saya juga perhatikan bagaimana orang dewasa respon pada situasi tersebut. Syukur, ibu dan adik beradik ‘S’ meraikan emosi ‘S’, tapi  tidak bagi sesetengah ibu saudara yang lain. Respon mereka seolah-olah merendahkan atau merasa “benda kecik je ni” bagi kanak-kanak. Mereka lupa, pada peringkat kehidupan mana pun kita, emosi kita semua “valid”.

***

Masyarakat selalu berkata  tentang “jaga mulut kita agar tidak sakiti hati orang lain”. Tapi kita mungkin lupa, “hati orang lain” itu termasuk hati anak-anak di sekeliling kita. Ibu bapa memang juga sepasang manusia yang tidak sempurna dan penuh kekurangan. Barangkali, bagi ibu bapa yang kini merupakan generasi  X atau “baby boomers” , mereka kurang pendedahan tentang ilmu keibubapaan pada zaman mereka. Tetapi, sebagai orang dewasa pada zaman  ilmu pengetahuan senang diakses dan diperoleh, kita perlu melengkapkan diri kita dengan ilmu psikologi bukan untuk berhadapan dengan orang seusia kita atau lebih tua sahaja, tapi juga kanak-kanak. 

Saya tidak merasakan hal ini menjadikan keperluan pada zaman sekarang kerana anak-anak zaman sekarang terlebih manja, tapi dengan perkembangan pengetahuan, berubahnya zaman, kita perlukan sistem sokongan terhadap emosi kanak-kanak dengan lebih baik agar mereka bertumbuh menjadi seorang dewasa yang lebih baik daripada kita, dan sesuai dengan zaman yang mana semua orang mempamerkan “kejayaan” kehidupan masing-masing. 

Membandingkan anak sendiri dengan anak orang lain, membandingkan sepupu-sepupu , anak saudara atau anak kawan-kawan kita dengan orang lain, “body-shaming”,  bertanya hal-hal sensitif kepada kanak-kanak dan juga orang dewasa, adalah hal yg patut kita elakkan sedari awal. 

Hidup kita mungkin ternampak indah, terasa senang dan lancar, tetapi ia tetap tidak boleh menjadi tiket untuk membandingkan kehidupan orang lain kerana kita tidak tahu apa yang setiap orang lalui. Jika kita selalu menjadi “ mangsa” perbandingan oleh ibu bapa atau orang lain, barangkali kita harus niatkan dalam hati untuk “break the chain” supaya kita atau orang lain tidak berbuat hal yang sama. 

Pada usia saya ke-25 tahun ini pun sekali sekala masih berhadapan dengan perbandingan oleh ibu kerana kehidupan sederhana yang saya pilih untuk belum memiliki kereta, rumah, mahupun berkahwin. Dan apa yang saya lakukan pada usia begini, ialah menyampaikan yang tujuan hidup dan kemampuan setiap orang adalah berlainan, dan syukur, ayah saya menyokong keputusan-keputusan saya. 

Tujuan hantaran (jika disiarkan) ini bukan untuk mengkritik kemahiran keibubapaan mak ayah saya, tetapi ia lebih kepada muhasabah kita bersama sebagai orang dewasa, yang sudah, bakal dan belum menjadi ibu bapa. Saya kira, menilai ibu bapa sendiri merupakan satu fasa dari menjadi dewasa. 

Saya teringat mesej di dalam satu artikel sebuah buku, “bila anak-anak meningkat remaja, tidur di rumah kawan-kawan, mereka tidak boleh mengelak dari mempersoalkan cara dan layanan ibu bapa mereka ketika mereka dibesarkan”. Tetapi ketika remaja, kita mungkin cuma persoalkan “kenapa mak ayah aku tak macam ayah dia? Kenapa mak aku tak layan aku sebaik mak ayah dia?” .  Namun, semakin meningkat dewasa, kita tahu dan faham, ibu bapa juga manusia, dan mereka juga belajar dari pengalaman, dan mereka juga punya kekurangan. 

Akhir kata, kita juga diingatkan oleh Nabi kesayangan kita dalam satu hadisnya, 

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam…” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Disediakan oleh,

Mastura,

6 November 2021,Perak. 

Tanggungjawab yang Belum Selesai

Sejauh Manakah Penghargaan Bahasa Melayu Dalam Kalangan Masyarakat di Negara Ini?