Tokoh prolifik lagi masyhur di nusantara ini sudah tidak perlu lagi diperkenalkan. Buya Hamka, seorang ulama, ahli politik, nasionalis, pengarang, jurnalis sidang redaksi, pensyarah, sasterawan, sekaligus bapa serta ketua keluarga yang telah banyak berjuang untuk agama, bangsa dan tanah airnya.

Buya Hamka

Setelah beberapa karya novel beliau diangkat menjadi filem, seperti ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’ (2013) dan ‘Di Bawah Lindungan Kaabah’ (2011), kini sudah tiba masanya Sang Pengarang itu sendiri diangkat ke sutradara sebagai sumber inspiratif bagi mengenal jerit perih perjuangan membela ketauhidan, bangsa dan negara dari sebarang ancaman yang datang dengan jiwa cekal tanpa mengenal lelah dan menyerah. Selain dari itu, turut dipaparkan juga sisi pergelutan jiwa Buya Hamka itu sendiri sehingga beliau nekad membawa diri jauh ke bumi suci Makkah pada usia remajanya.

Filem Di Bawah Lindungan Kaabah
Filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Filem ini telah diarahkan oleh Fajar Bustomi dan diterbitkan dengan usahasama Starvision dan Falcon Pictures. Tidak sekadar itu, sutradara ini juga mendapat seliaan, panduan dan nasihat dari Majlis Ulama Indonesia (MUI). Sekalipun penggambaran telah dimulakan pada tahun 2019 yang lalu, kemudian tertangguh dek pandemik COVID-19 selama dua tahun, namun hanya pada 2023 ini baharulah pihak produksi telah menetapkan waktu tayangannya. Antara alasan yang jelas ialah, filem ini digarap dengan semaksimum baik yang mungkin dan durasi tayangan yang panjang, iaitu selama tujuh (7) jam! Pun begitu, filem biopik Buya Hamka ini dibahagikan kepada tiga filem besar, iaitu ‘Buya Hamka Vol.I’, ‘Buya Hamka Vol.II’ dan ‘Buya Hamka Vol.III’.

Tarikh mula tayangan dijangka tanggal 20 April 2023–untuk Vol.I–di pawagam-pawagam di Indonesia sahaja. Kesinambungan untuk Vol.II dan Vol.III–semasa artikel ini ditulis–masih belum diwar-warkan, namun difahamkan akan tetap ditayangkan kesemuanya pada tahun ini. Dipetik dari sumber merdeka.com juga, filem biopik Buya Hamka ini mencatat rekodnya tersendiri dengan penghasilan filem paling mahal dalam sejarah perfileman Indonesia. Keseluruhan bajet tersebut termasuklah bermula dari tercetusnya ilham penghasilan filem itu seawal tahun 2014 yang dikelolai oleh Ketua MUI itu sendiri, iaitu Din Syamsuddin.

Pengarah filem tersebut, Fajar Bustomi juga menyatakan proses penulisan skrip dan lakon layar itu sendiri sudah memakan masa lebih dari empat tahun. Selain dari itu, turut juga dibarisi oleh profil para pelakon yang bukan calang-calang seperti Vino G. Bastian (sebagai Buya Hamka), Laudya Cynthia Bella (Siti Raham), Desy Ratnasari (Ummi Safiyah), Reza Rahadian (Hos Tjokoaminoto), Donny Damara, Ayu Laksmi, Anjasmara, Yoriko Angeline dan ramai lagi.

Dipetik dari sumber kaltenglima.com dan twitter Habis Nonton Film (@HabisNontonFilm), kesemua filem tersebut dinaratfikan berkisar tahun 1908 sehingga 1981. Vol.I berkisar kisah hidup Hamka sekitar kehidupan dewasanya. Ketika beliau menjadi Pengurus Muhammadiyah Makassar dan mengembangkan kariernya sebagai pengarang prolifik. Dari situlah pelbagai karya-karya kesusateraan dan Islamik terhasil. Tatkala menulis di akhbar, karya fiksyennya telah menyentuh hati ramai pembaca dan mendapat sambutan hangat. Dan karya itu akhirnya dibukukan menjadi sebuah novel dan tajuk itu ialah ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’. Kemudiannya karya ‘Di Bawah Lindungan Kaabah’ menyusul dan banyak lagi karya-karyanya yang lain yang turut mendapat sambutan memberangsangkan. Dan itulah di antara magis sentuhan pengarangan Buya Hamka.

Novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck
Novel Di Bawah Lindungan Kaabah

Menjadi pemimpin di dalam perusahaan Majalah Pedoman Masyarakat, Hamka menggunakan medium penulisan dan jurnal sebagai medan perjuangannya untuk menegakkan kedaulatan agama dan negara. Menentang khurafat dan bidaah, juga menentang penjajahan. Dengan jawatan tinggi itulah yang membuatkan Hamka sekeluarga berpindah ke Medan. Pun begitu, zaman penjajahan Jepun telah menarik Hamka ke kancah propaganda yang menimbulkan salah faham dikalangan bangsanya sendiri. Hamka dituduh lebih memihak kepada Jepun dan ini menyebabkan redaksi pimpinannya iaitu Majalah Pedoman Masyarakat diancam dan ditutup. Tidak sekadar itu, Hamka diuji dengan dahsyat sekali lagi dengan kematian salah satu anaknya yang sebelumnya menderita sakit.

Vol.II pula berkisarkan perjuangan Hamka setelah Indonesia memproklamasi kemerdekaan. Pada ketika itu, Indonesia masih dibayangi ancaman keganasan dari tentera sekutu. Maka, dengan segenap jiwa patriotiknya, Hamka telah menggesa masyarakat di seluruh pelosok Medan untuk bersatu padu secara besar-besaran dari pelbagai pihak, termasuklah masyarakat awam, tokoh-tokoh agama dan pihak militer Indonesia. Namun begitu, usaha ini tidak mudah, kerahan segenap kudratnya telah menimbulkan ancaman bahaya untuk nyawanya apabila Hamka telah ditembak. Umurnya masih panjang, Hamka terselamat dan berpindah ke Jakarta dan disanalah beliau berjuang di medan dakwah dengan mendirikan al-Azhar.

Cabaran dakwahnya tetap juga muncul di era pemerintahan Soekarno. Beliau difitnah dengan berat kerana dianggap penghasut yang ingin mengganggu-gugat keharmonian sistem pemerintahan di bawah presiden itu. Akhirnya Hamka ditahan, diseksa dengan dahsyat sehingga terdetik hatinya ingin membunuh diri kerana tidak tahan menanggung derita dan keperitan. Namun begitu, Hamka tetap dapat bertahan dan dipenjarakan selama dua tahun dan empat bulan. Di dalam kurungan penjara yang sepi itulah Hamka menggoreskan kalam dan tinta di atas kertas dengan menghasilkan karya magnum opus yang sangat besar sumbangannya untuk umat Islam nusantara, iaitu siri-siri karya Tafsir Al-Azhar. Sekalipun dia dipenjarakan dan disakiti, namun tidak pernah ada dendam di dalam hatinya sebagaimana kata-kata beliau:

“Saya tidak pernah dendam kepada orang yang pernah menyakiti saya. Dendam itu termasuk dosa. Selama dua tahun empat bulan saya ditahan, saya merasa itu semua merupakan anugerah yang tiada terhingga dari Allah kepada saya, sehingga saya dapat menyelesaikan kitab tafsir al-Quran 30 juz. Bila bukan dalam tahanan, tidak mungkin ada waktu saya untuk menyelesaikan pekerjaan itu…”

Manakala pada Vol.III pula, penonton akan dibawa ke belakang pula, iaitu memutarkan kembali masa tatkala Hamka dilahirkan sehingga membesar di Maninjau, Sumatera Barat. Menceritakan sisi Hamka kecil yang gemar dan cenderung kepada kesusasteraan. Bahan-bahan bacaan novel dan kisah-kisah sastera lebih beliau minati berbanding belajar agama di pesantren. Ini membuatkan ayahnya, yang juga seorang pendakwah dan kiyai tidak senang dengan keadaan itu. Pertikaian Hamka dengan ayahnya ditambah pilu lagi dengan perceraian kedua-dua ibubapanya. Lantas dia membawa diri ke Makkah dan mengerjakan haji dengan usahanya sendiri. Di sana, beliau belajar banyak ilmu-ilmu agama dan menetap di sana dengan agak lama. Setelah itu beliau pulang ke tanah air untuk mencurahkan bakti sebagai pendidik agama dan pendakwah untuk bangsa dan negaranya, bersama isteri tercinta, Siti Raham.

Sutradara filem ini, iaitu Fajar Bustomi mengaku bahawa beliau sudah sangat lama berharap supaya dapat menghasilkan filem ini dengan sentuhan jiwa seninya. Dipetik dari Kompas.com, beliau berkata, “Sepanjang syuting filem ‘Dilan’ dan bahkan sesudah syuting filem ‘Dilan’, setiap habis shalat saya selalu berdoa, “Ya Allah semoga saya bisa bikin film tentang Buya Hamka versi saya.” ujarnya.

Menurut merdeka.com, pada mulanya filem ini hanya berdurasi lima jam sahaja, iaitu dibahagikan kepada dua filem utama (Vol.I dan Vol.II). Namun, setelah mendapat perhatian yang mendalam dari setiap pelakon dan penghasil filem, garapan dikemaskan dan ditambah naratifnya menjadi tiga bahagian filem secara keseluruhannya. Sekaligus filem ini adalah antara sutradara yang dinanti-nantikan oleh seluruh pelosok nusantara yang mengenali dan mengagumi tokoh agamawan yang berjiwa besar dan cekal berjuang ini, iaitu Buya Hamka.

Sumber:
1. https://www.kaltenglima.com/entertainment/3518192399/dibagi-menjadi-tiga-volume-berikut-sinopsis-dari-film-buya-hamka-yang-akan-tayang-di-bulan-april-mendatang
2. https://twitter.com/HabisNontonFilm/status/1638917735349620738
https://www.kompas.com/hype/read/2023/03/24/100351366/saking-inginnya-bikin-film-buya-hamka-fajar-bustomi-kalau-perlu-saya-yang
3. https://www.kapanlagi.com/showbiz/film/indonesia/sinopsis-jadwal-tayang-dan-para-pemain-film-buya-hamka-tentang-perjalanan-hidup-seorang-tokoh-berpengaruh-di-indonesia-220146.html
4. https://ms.wikipedia.org/wiki/Hamka
5. https://www.merdeka.com/sumut/rilis-official-trailer-ini-fakta-menarik-film-buya-hamka-yang-tayang-dalam-3-volume.html

Penulis: Faiz al-Ahmadi


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.