in

LoveLove CuteCute LOLLOL OMGOMG WTFWTF AngryAngry

Dr. MAZA Cerminan HAMKA?

forum hudud.starpix by Ibrahim Mohtar/Rahimy/12/0217

Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Arif Perkasa Dr. Muhammad Asri Zainal Abidin atau lebih dikenali dengan panggilan Dr. MAZA merupakan mufti bagi kerajaan negeri Perlis, Indera Kayangan. Insan yang hebat ini dilahirkan pada 1 Januari 1971. Beliau berasal dari Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Syariah dan Bahasa Arab dari Universiti of Jordan, Jordan. Kemudian beliau meneruskan pengajian beliau di peringkat Ijazah Sarjana dalam Pengajian Islam di Universiti Sains Malaysia (USM). Seterusnya, beliau dianugerahkan dengan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang hadith dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 2003 dengan tesis yang bertajuk, ‘Sabab Wurud al-Hadith : Asbabuh Wa Adawatuhu’.

Sebelum menjawat jawatan sebagai mufti bagi kerajaan negeri Perlis, beliau merupakan pensyarah dari Universiti Sains Malaysia, kemudiannya dipinjamkan oleh Kerajaan Negeri Perlis pada tahun 2006 sehingga 2008. Beliau diberi kepercayaan oleh Kerajaan Negeri Perlis untuk menjadi mufti buat kali kedua pada tahun 2015 sehingga kini.

Dr. MAZA merupakan seorang tokoh pemikir di Malaysia. Kesarjanaannya dan keahliannya di dalam bidang hadith, tidak dapat dipertikaikan lagi. Beliau banyak membentangkan puluhan kertas kerja dalam pelbagai seminar, sama ada di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa.

Selain aktif di dalam jawatannya selaku seorang mufti bagi Kerajaan Negeri Perlis, beliau juga merupakan seorang yang berjiwa sastera. Hal ini dibuktikan tulisan-tulisan beliau yang banyak menggunakan ayat-ayat yang puitis yang mudah menarik perhatian orang yang membacanya hasil karyanya.

Coretannya di dalam buku, media sosial banyak disertakan dengan puisi-puisi yang membangkitkan semangat, menyedarkan masyarakat, menempelak sang pengkhianat dan lain-lain, merupakan bukti bahawa beliau bukan sahaja ‘alim di dalam bidangnya (Pengajian Islam) semata-mata. Namun, beliau juga cakna akan perubahan arus perdana hal ehwal semasa negara dan juga antarabangsa. 

Mengapa beliau dikatakan sebagai ‘cerminan HAMKA’? Apa titik persamaan beliau dengan tokoh yang terkenal dari negara jiran, Indonesia tersebut? Adakah dari segi penampilannya? atau dari pemikirannya? atau hanya sangkaan penulis semata-mata?

Jawabnya, tidaklah penulis akan menyatakan sedemikian sekiranya tidak dibawakan bukti bahawa ada persamaan di antara HAMKA dan Dr.MAZA.

Pertamanya, HAMKA merupakan seorang ulama’ yang ‘alim di dalam bidangnya, lebih-lebih lagi di dalam bidang agama, disamping HAMKA amat menitikberatkan soal bertanya apabila tidak tahu tentang perkara-perkara agama yang menjadi persoalan di dalam diri. Hal ini dibuktikan di dalam buku, ‘Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor’, HAMKA menyatakan :

“Alhasil bagi kami ijtihad itu harus digalakkan dan bagi Kaum Tua pula, ‘taqlid dijadikan sebagai tiang agama’ dan kalua kami bantah taqlid, dikatakan kami merosak tiang agama.” 

Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m/s 65

Islam membenarkan penganutnya untuk bertanya kepada yang ahli berkenaan dengan sesuatu perkara yang kita tidak mengetahui tentangnya. Allah SWT berfirman : 

“Oleh yang demikian, bertanyalah kamu kepada orang-orang yang mengetahui, sekiranya kamu tidak mengetahui”

[ Surah an-Nahl : 43 ]

Dr. MAZA juga memperjuangkan perkara yang sama seperti yang dilakukan oleh HAMKA. Di mana, Dr. MAZA banyak membawa masyarakat Islam di Malaysia khususnya, dengan memperkenalkan bahawa Islam mengajak penganutnya untuk berfikir dan bertanya tentang perkara yang tidak menjadi keraguan di dalam diri.

Dr. MAZA, menerusi buku beliau yang bertajuk, ‘Mengemudi Bahtera Perubahan Minda’ yang pada asalnya ia merupakan kolum khas beliau yang bertajuk, ‘Pena Mufti’ di dalam akhbar Mingguan Malaysia yang telah disiarkan pada tahun 2007, telah membincangkan isu ini dengan panjang lebar. Kata Dr. MAZA di dalam tajuk ‘Hak Bertanya’ :

“Di sini ingin disimpulkan bahawa adalah menjadi hak masyarakat untuk bertanyakan dalil dan alasan kepada setiap yang membicarakan agama ini. Seorang ustaz atau tuk guru bukannya wakil Tuhan yang ditabalkan seperti rasul sehingga apa sahaja yang diucapkan olehnya sekalipun tidak berdalil mesti kita mengiyakannya.”

Mengemudi Bahtera Perubahan Minda, m/s 6 -7

Di dalam kebanyakkan rakaman ceramah dan kuliahnya, Dr. MAZA sentiasa mengajak umat Islam supaya berfikir, menggerakkan keupayaan berfikir dalam kalangan umat Islam, disamping menyedarkan masyarakat akan keburukan taqlid buta yang tidak memberi keuntungan kepada umat Islam, bahkan lebih merugikan umat Islam dari pelbagai sudut, seterusnya membawa persepsi kepada orang bukan Islam bahwa Islam itu agama yang ketinggalan zaman dan terbelakang. 

Kedua, HAMKA terkenal dengan puisi-puisi nya yang indah dan bahasanya yang sangat puitis. Antara karya puisi HAMKA yang masyhur dari dahulu hingga kini adalah terlena. Puisi yang dinukilkan tidak jauh daripada pesan-pesan buat umat Islam khususnya, disamping motivasi dan pengajaran yang berbekas di dalam hati.

Dr. MAZA pula sering menukilkan puisi-puisi yang bertemakan situasi yang dihadapinya sepanjang perjalanan dakwah tajdid (pembaharuan) nya di bumi Malaysia. Antara puisi yang dinukilkan oleh beliau, bertajuk ‘Yang Benar Tetap Benar’.

Puisi ini menceritakan keperitan dakwah yang membawa kepada perkara yang benar dan menolak kepalsuan, disamping menceritakan berkenaan dengan keutamaan menyampaikan perkara yang benar walaupun harus berhadapan dengan pelbagai tohmahan dan ujian yang datang dari pelbagai sudut. Akhir rangkap puisi tersebut, diselitkan pujukan kepada pendakwah yang berdakwah dengan dakwah yang benar tetapi dibalas dengan cemuhan dan diuji dengan keperitan, dengan pembelaan daripada Tuhan Yang Maha Benar dan Sang Rasul sebagai obor sabar cahaya sinar buat yang benar.

Ketiga, HAMKA sentiasa mempertahankan golongan tajdid, iaitu golongan yang membawa perubahan kepada Islam. Yang dimaksudkan dengan ‘tajdid (pembaharuan)’ di dalam agama ini, bukanlah bermaksud membuat atau menambah perkara yang ‘baharu’ di dalam agama, yang lebih dikenali sebagai ‘bidaah di dalam agama’. Namun, tajdid yang dimaksudkan adalah pembaharuan dari sudut pemikiran, penerimaan terhadap sesuatu maklumat dan perubahan di dalam urusan dunia yang berteraskan keluasan berfikir di dalam agama Islam.

Di dalam buku Ayah Ku, Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor dan beberapa karya beliau yang lain, banyak membela Kaum Muda di dalam banyak hal yang beliau setujui. Kaum Muda yang dimaksudkan di dalam karya beliau adalah golongan yang dituduh sebagai golongan ‘Wahabi’.

Umat Islam di Nusantara khususnya, dan dunia amnya, sering dimomokkan dengan istilah ‘Wahabi’ ini. Walaupun sejarah sebenar ‘Wahabi’ itu sendiri masih kabur dan belum diketahui sejauh mana kebenaran atas tuduhan yang dinyatakan oleh kebanyakkan umat Islam.

Kaum Muda dimaksudkan oleh HAMKA, ialah golongan yang membawa pembaharuan di dalam dakwah Islam, yang menyeru kepada kebolehan berfikir dan bertanya tentang perkara yang kita tidak ketahui dan menolak taqlid buta di dalam agama yang merencatkan kebolehan akal umat Islam daripada berfikir. Lantaran itu, HAMKA juga dituduh sebagai golongan Kaum Muda, atau lebih dikenali sebagai ‘Wahabi’.

Lain pula kisah Dr. MAZA di Malaysia yang sudah disenaraikan sebagai ‘Wahabi’ oleh sesetengah netizen yang serba tahu, berfatwa dengan bersumberkan media sosial semata-mata tanpa bacaan dan kajian yang teliti, mufti media sosial dan lain-lain gelaran yang berhak ditujukan kepada golongan ini.

Perjuangan Dr. MAZA dari dahulu sehingga kini, dilihat istiqamah dengan pendirian dan jalannya yang ingin mengajak umat Islam di rantau Malaysia ini, supaya menjadi golongan yang berfikir, mengasah bakat kebolehan berfikir, membawa kepada pemikiran yang kritis, iaitu suatu pemikiran yang menilai sesuatu perkara terlebih dahulu sebelum mengiyakannya atau menidakkannya.

Selain itu, Dr. MAZA kekal dengan pendiriannya untuk membasmi kejahilan dan kekarutan yang ditimbulkan oleh para asatizah di Malaysia. Kekarutan yang dibawa oleh para asatizah ini telah mematikan akal umat Islam daripada berfikir akan kesahihannya dengan menggunakan logik akal yang benar selari dengan wahyu Tuhan dan sabda rasul.

Banyak perkara karut yang didedahkan oleh Dr. MAZA yang kemudiannya membuka mata ramai pihak yang selama ini terpukau oleh kisah-kisah dongeng dan karut-marut golongan asatizah ini, bahkan ada juga golongan yang tetap setia bertaqlid buta dengan golongan asatizah yang tidak jujur di dalam menyampaikan kebenaran Islam yang mulia ini, kemudiannya menggerakan suatu jentera bagi menjatuhkan Dr. MAZA bersama pemikiran-pemikirannya.

Ada juga yang menggunakan kuasa di dalam kerajaan negeri untuk menyekat Dr. MAZA untuk berceramah di beberapa buah negeri, alasannya disebabkan Dr. MAZA adalah ‘Wahabi’. Demikian juga yang berlaku kepada HAMKA yang disekat daripada berceramah di beberapa buah negeri di Tanah Melayu pada ketika itu, antaranya adalah negeri Johor.

HAMKA telah membela dirinya menerusi tulisannya di dalam buku, ‘Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor’ :

“Memang apabila orang kehabisan hujah dan alasan, mereka pun kemabli memakai perkakas fitnah. Dan inilah yang menyebabkan pecah belah umat Islam, berkaum Tua berkaum Muda. Bagi kami yang dikatakan Kaum Muda itu tidaklah keberatan jika dituduhkan Wahabi. Kalau 20 atau 30 tahun yang lalu semasa pengetahuan agama hanya boleh dipercayai oleh mufti-mufti sahaja, mungkin orang takut diktakan Wahabi. Tetapi sekarang orang telah tahu bahawa Wahabi tidak lain adalah daripada penganut Mazhab Hanbali dan memang mazhab Hanbali terkenal mazhab yang keras mempertahankan sunnah. Dan berpengaruh memperbaharui faham Mazhab Hanbali itu adalah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim al-Jauzi. Oleh sebab itu, bagi kami dituduh Wahabi bukanlah satu penghinaan.”

Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m/s 76 – 77

Terdapat banyak lagi persamaan antara HAMKA dan Dr. MAZA yang tidak dapat dinyatakan di sini. Sekiranya, dinyatakan di sini, maka ia dapat dijadikan sebuah karya yang menarik untuk diterbitkan.

Antara persamaan yang dapat dikongsikan secara ringkas adalah pegangan akidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang dipegang erat oleh HAMKA dan Dr. MAZA, iaitu Islam bersih daripada segala penyimpangan, kepentingan menjaga kesahihan hadith Rasulullah SAW, kritikan kepada pihak lawan yang membina, kritikan-kritikan yang bernas berdasarkan fakta-fakta yang sahih dan logik yang benar dan lain-lain.

Semoga dengan sedikit pengenalan berkenaan dengan Dr. MAZA ini dapat memperkenalkan kepada umat Islam di Malaysia khususnya dan bumi Nusantara amnya, bahawa negara Malaysia juga mempunyai ‘Permata Nusantara’ yang sangat berkebolehan di dalam apa jua bidang yang disukainya, sehinggakan penulis menggelar beliau sebagai cerminan HAMKA. 

Disediakan oleh,

Muhammad Hamzani al-Kanowiti


Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, bukan kenyataan rasmi Jejak Tarbiah

Merentasi Lautan Bendera

Anekdot Secangkir Kopi