Suatu malam usai solat Isyak, aku disapa mesra oleh seorang pakcik berbangsa Indonesia lalu aku memanggilnya Bapak. Mulanya Bapak bertanya padaku apakah aku buat di Madinah. Lalu aku menjawab, aku merupakan pelajar di sini. Bapa mengatakan beliau baru sahaja bekerja di Jeddah dan baru selesai mengerjakan umrah dan saat itu beliau berkunjung ke Madinah untuk menziarahi Nabi. Lalu aku bertanya, adakah beliau sudah mengerjakan Haji dan beliau menjawab sudah. Lantas aku memanggilnya mesra dengan gelaran Pak Haji kerana itulah amalan kebiasaannya masyarakat Nusantara. 

    Namun, Bapak kaget saat aku memanggilnya begitu. Aku menjadi hairan, apakah aku sudah berbuat silap? Bapak menyebut bahawa tidak sepatutnya seorang Muslim dipanggil sedemikian. Katanya tidak perlu dipamerkan kepada orang lain bahawa kita sudah mengerjakan sesuatu ibadah. Baginya dipanggil Pak Haji bukanlah suatu jaminan amalan Haji kita diterima. 

    Jawapannya membuatku tersentak namun bicaranya seakan memukauku. Bapak meneruskan bicaranya, dan menegaskan bahawa mengapa amalan Haji sahaja kita mahu pamerkan kepada orang lain dengan diletakkan di pangkal nama misalnya Haji Fulan bin Fulan. Sedangkan ada amalan lain yang lebih utama dan agung seperti solat puasa dan sebagainya. Tambah beliau, kenapa amalan-amalan sedemikian tidak diletakkan di pangkal nama kita sedangkan ianya lebih utama daripada ibadah Haji itu sendiri? Masakan gelaran Haji itu sahaja digunapakai? 

     Bicara Bapak membuatku termenung sebentar. Walaupun kata-katanya tampak mudah, namun ada kebenarannya. Berapa ramai kita hari ini berbangga dengan gelaran Haji itu sedangkan sikap dan perangai kita adakalanya tidak selari dengan seorang yang sudah mengerjakan ibadah Haji. 

Secara umumnya, saya berpendapat adalah tidak salah untuk memanggil mereka yang telah mengerjakan Haji dengan gelaran Haji atau Hajjah, namun sebaiknya mereka yang telah mengerjakan Haji tidak perlu membahasakan diri mereka dengan Haji tatkala memperkenalkan diri kepada orang lain bagi menutup pintu yang boleh membawa kepada rasa ‘ujub dan riya’ melainkan ada keperluan untuk bertindak sedemikian. 

    Di akhir pertemuan itu, pakcik itu meminta izin untuk pergi dan mengucapkan terima kasih kerana sudi mendengar tazkirahnya dan beliau memaklumkan bahawa beliau daripada jemaah Tabligh. Walaupun itu mungkin kali pertama dan mungkin terakhir aku berjumpa Bapak tersebut, namun untaian kata-kata nasihat akan diingati sampai bila-bila.

Satu perkara yang tidak boleh dinafikan adalah ahli jemaah Tabligh telah menjadi asbab hidayah kepada ramai umat Islam di seantero dunia. Berapa ramai orang Muslim di luar sana bagaikan diketuk pintu hati untuk menerima kebenaran apabila didatangi oleh ahli jemaah Tabligh. Kegigihan jemaah Tabligh dalam menyampaikan dakwah di mana-mana dan kepada sesiapa sahaja mengingatkan aku sepotong hadith Nabi Muhammad Sollahualaiwasalam:

فَوَاللَّهِ لِأَنَّ يَهْدِيَ اللهُ بِكَ رَجُلًا وَاحِدًا خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ يَكُونَ لَكَ حُمْرُ النَّعّمِ

Maksudnya: “Demi Allah, apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah” (HR Al Bukhari No. 2847).

Manakala dalam sebuah hadith yang lain Nabi Sollahualaiwasalam bersabda:

إِنَّ الدّالَ عَلَى الْخَيْرِ كَفَاعِلِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya yang menunjukkan orang lain ke arah kebaikan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakan kebaikan tersebut.

     Walaupun mempunyai kekurangan dan kesilapan yang dilakukan ahli jemaah Tabligh tersebut, ianya hanya menunjukkan bahawa manusia tidak sepi dari sebarang kesilapan dan kita hendaklah berlaku adil dengan mengiktiraf kegigihan mereka dalam beramal dan berdakwah sebagaimana firman Allah dalam ayat 8, surah Al Ma’idah:

وَلَا يَجِرِمَنَّكُمْ شَنَئَانُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلِوا اِعْدِلُوا هُو أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى

Maksudnya: Dan jangan sesekali kebencian kamu untuk sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. 

   Saya mengakhiri coretan ini dengan merujuk firman Allah pada ayat 33, Surah Fussilat:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِيْ مِنَ المُسْلِمِيْنَ

Maksudnya: Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”

    Semoga Allah sentiasa melimpahkan taufik dan hidayah-Nya buat kita dan diberikan kekuatan untuk terus istiqamah dalam jalan agama-Nya. Semoga ada manfaatnya walaupun sedikit.

Disediakan oleh,

Muhammad Fathi Anwar

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.