in

LoveLove

Di Sebalik Pelitup Muka

Jam menunjukkan pukul 10.05 pagi, kelas subjek Kalkulus yang diambil Fatimah semester ini baru sahaja berakhir. Sudah hampir 15 tahun Fatimah mengikuti pembelajaran secara maya, sejak dari sekolah rendah sehingga dia melanjutkan pelajaran ke universiti.

Pada tahun 2020, dunia telah digemparkan dengan pandemik corona virus yang menyebabkan satu dunia lumpuh. Fatimah baru berusia lima tahun ketika itu, belum mengerti apa yang berlaku. Dari tahun ke tahun, vaksin masih belum ditemukan lantaran virus semakin kerap bermutasi. Sektor pendidikan turut terkesan dan akhirnya dilaksanakan secara atas talian seiring dengan kemajuan teknologi.

Penyelidikan dalam penghasilan vaksin sentiasa berjalan, namun virus tersebut ternyata lebih pintar dan pantas berubah. Lama kelamaan, semua sudah berhenti berharap lalu meneruskan kehidupan norma baru. Pelitup muka sudah menjadi aksesori tetap, cecair pembersih ada di mana-mana. Aktiviti berkumpulan sudah lama dihentikan.

Kadang-kadang Fatimah mendengar ibunya bercerita dengan air mata bergenang mengenang memori lalu. Dahulu mereka boleh bersalaman dan berpelukan mesra dengan senyuman terukir di wajah tanpa dilindungi pelitup muka. Ingatan Fatimah tentang kehidupan normal yang asal juga sudah kabur. 

Renungannya terhenti apabila bahu kanannya ditepuk. Fatimah menoleh ke kanan, memandang ibunya yang sedang berdiri di tepinya. 

“Sudah habis kelas hari ini?” ibu bertanya. Fatimah sekadar mengangguk, mengiakan. 

“Tadi pesanan ayam dan sayur sudah sampai, ibu letakkan di sink. Boleh tolong basuhkan ayam dan potong sayur untuk makan tengahari. Ibu ada laporan perlu dihantar segera, selepas siap ibu akan masuk dapur,” ibunya meminta pertolongan.

Sebenarnya itu rutin biasa Fatimah jika tiada kelas atau tugasan yang perlu segera disiapkan. Ibunya memang bekerja di rumah sejak 15 tahun lalu, jika ada keperluan baru pergi ke pejabat. Bapa Fatimah pula bekerja sebagai jururawat, sudah tentu perlu bertugas di hospital. 

Fatimah bingkas bangun ingin menuju ke dapur bersama jam tangan pintar dan fon telinga tanpa wayar. Tiba-tiba jam pintarnya memberikan mesej makluman berbunyi: “Pengumuman Penting oleh Perdana Menteri pada pukul 10.30 pagi!”

Ibunya juga menerima mesej yang sama daripada jam tangan pintarnya. Wajah ibunya nampak berubah menjadi sedikit pucat. 

“Pengumuman apa pula ini,” terdengar ibunya bersuara perlahan. Sudah lama tiada pengumuman tergempar seperti ini. Kali terakhir ialah pada tahun lepas ketika Perdana Menteri mengumumkan satu virus baru telah dikesan di negara jiran, namun berjaya dikekang daripada merebak ke Malaysia. 

Ibunya tidak jadi menghadap komputer, sebaliknya beredar ke ruang tamu untuk menghidupkan peranti pemancar hologram. Fatimah turut mengekori ibunya, membatalkan niat ke dapur. Tepat jam 10.30 pagi, susuk tubuh Perdana Menteri muncul di hologram. Wajah Perdana Menteri tampak menyimpan seribu satu emosi.

“Saya ingin menyampaikan berita gembira. Alhamdulillah, kita telah berjaya menghasilkan vaksin pintar yang boleh beradaptasi dengan virus yang bermutasi. Projek pembikinan vaksin pintar ini sebenarnya sudah lama dijalankan oleh pasukan yang ditubuhkan secara rahsia sejak tahun 2022. Kenapa rahsia? Pertama, kerajaan Malaysia tidak mahu memberikan harapan palsu kepada rakyat jika ia tidak berjaya. Kedua, kita bimbang teknologi ini dirampas atau disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Sejak bulan lepas, projek ini telah berjaya melepasi segala ujian yang sewajarnya dan vaksin ini sudah boleh digunapakai dan dikeluarkan secara besar-besaran. Saya cuma menanti waktu yang betul-betul sesuai untuk mengumumkannya. Anda tahu apa maknanya ini bukan…” Perdana Menteri tidak mampu menghabiskan ayatnya, beliau kelihatan menahan sebak dan mula menitiskan air mata. 

Ibu Fatimah terduduk dan menutup wajahnya. Fatimah sedar yang ibunya sedang menangis teresak-esak. Sejujurnya walaupun Fatimah mengerti ini merupakan satu penemuan besar yang akan mengubah kehidupan mereka, namun dia tidak begitu dapat menghayatinya.

Kehidupan yang dikatakan norma baharu itu sudah menjadi normal baginya. Ibu Fatimah tiba-tiba berlari ke pintu dan membukanya. Fatimah turut bergegas ke luar. Rupa-rupanya jiran tetangganya turut keluar rumah. Mereka yang berusia lebih tua atau lingkungan ibunya semua mengalirkan air mata. Mereka keluar dari pagar rumah masing-masing dan berpelukan dengan tangisan, tanpa pelitup muka, tanpa cecair pencuci di tangan. 

Fatimah terpinga-pinga menyaksikannya. Aliya, jiran sebelah rumah yang sebaya dengannya turut termangu-mangu melihat suasana yang tidak terjangka itu. Dek kerana tabiat yang sudah terbina sejak kecil, mereka tetap mengenakan pelitup muka sebelum keluar rumah. Aliya dan Fatimah berpandangan, agak lama. Baru mereka menyedari, mereka tidak pernah melihat wajah masing-masing selain daripada di media sosial. Entah bila kali terakhir mereka berjabat tangan. 

Fatimah memberanikan diri keluar dari pagar dan menghampiri Aliya seraya menghulurkan tangan. Aliya nampak ragu-ragu tetapi tetap menyambutnya. Mereka bersalaman, erat sekali rasanya.

Suara tangisan kegembiraan orang sekeliling menjadi latar bunyi ketika Aliya dan Fatimah berjabat tangan. Perlahan-lahan Aliya memberanikan diri membuka pelitup mukanya. Melihat keberanian Aliya, Fatimah turut teruja. Walaupun teragak-agak, Fatimah melakukan perkara sama. Kedua-duanya mengukir senyuman mesra. Senyuman manis bergula yang selama ini tersembunyi di sebalik pelitup muka. 

Nukilan,

Nur Idawati Md Enzai

Mengenang Dia

Peritnya Rasa Kehilangan?