Demokrasi – demos (rakyat) dan kratos (pemerintahan) yang merujuk kepada the rule of demos iaitu jaminan pemerintahan yang memberikan hak-hak rakyat dalam membuat keputusan mengenai isu dan maslahah umum. Demokrasi pada asalnya membenarkan rakyat secara langsung menggubal dasar dan menyelesaikan isu di peringkat nasional dan ia diklasifikasikan sebagai demokrasi langsung (Direct Democracy). 

Perubahan zaman yang mementingkan praktikal dan logik, lahirlah demokrasi tidak langsung atau demokrasi perwakilan (Indirect Democracy and Representative Democracy) sepertimana yang diamalkan di negara-negara bersistem demokrasi. Demokrasi perwakilan ialah rakyat diberi hak memilih perwakilannya yang akan membawa dan mengangkat keluhan di meja bulat kabinet dan persidangan Parlimen. Namun begitu, sejauh manakah Malaysia yang mengamalkan demokrasi perwakilan ini layak menggelar negara ini sendiri sebagai sebuah negara demokratik? 

Abraham Lincoln dengan kata-kata terkenalnya mengenai demokrasi; Democracy is the government of the people, by the people, for the people. Lima tahun sekali, rakyat Malaysia yang dijamin haknya dibawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan akan menjalankan haknya mengundi dalam pilihan raya umum. 

Pilihan raya adalah salah satu fungsi mengangkat martabat rakyat dalam memilih. Rakyat berhak menukar pemerintah bobrok lima tahun lepas dan juga boleh mengekalkan pemerintah cemerlang untuk lima tahun mendatang. Persoalannya, apakah jaminan pertukaran kerajaan baharu yang lebih baik itu mampu berkekalan? 

Jika ditelusuri peristiwa terdekat tiga tahun lepas, Malaysia bertukar kerajaan sebanyak tiga kali. Satu daripadanya melalui pilihan raya umum yang sah, dan dua daripada keruntuhan integriti ahli politik yang melompat parti. Bukan itu sahaja, di peringkat negeri, dua negeri iaitu Melaka dan Johor turut bertukar kerajaan negeri sebelum tamat tempoh matang lima tahun.

Adakah kerajaan yang bertukar-tukar ini kerajaan rakyat seperti didakwa sebagai asas demokrasi? Demokratik kah Malaysia dengan bertukar-tukar kerajaan melalui lompat parti tanpa kerelaan rakyat? Manakala dalam pilihan raya Negeri Melaka dan Johor, adakah rakyat sebenar-benarnya mahukan pertukaran kerajaan?

Bagi menjawab persoalan-persoalan di atas, beberapa faktor menghina demokrasi akan dibincangkan. Pertama, politik wang. Selain menyebut soal integriti dan pengkhianatan ahli politik menyebabkan runtuhnya kerajaan, adalah lebih baik kita berbincang soal politik wang yang telah melenyapkan semangat demokrasi tanah air ini. Demokrasi lahir atas semangat kerakyatan tetapi ia telah hilang kerana wang. Rakyat hanya menjadi alat untuk memastikan pilihan raya itu berlangsung, namun, haknya untuk memilih telah ditetapkan dengan wang. 

Politik menjadi alat orang kaya mengumpul kekayaan selain melobi ahli politik agar kekal berkuasa melindungi kekayaan mereka. Wang itu dilabur dan dileburkan dalam minda rakyat agar memilih sesuatu parti ini. Rakyat menjadi candu terhadap wang dan kesenangan sementara. Dengan itu, kewarasan rakyat dijual beli dengan wang selain mengambil kira faktor kesempitan dan keterdesakan rakyat ketika ini yang memerlukan wang tunai untuk kelangsungan hidup.

Selain itu, biaya pilihanraya bukanlah murah. Ia menelan ratusan juta ringgit. Politik demokrasi telah berubah daripada politics of yesteryear: low-cost, low-tech and labour intensive) kepada politics of today: expensive, businesslike and capital-intensive and it relies to a greater extent than ever before on mass communication via the media and advertising. Segala agensi kerajaan termasuk korporat tidak bebas dalam negara ini apabila mereka bakal menerima ancaman polisi tidak menguntungkan jika mereka tidak bersama kerajaan. Ini menjadi sebab mengapa politik demokrasi telah berubah. Oleh itu, jika suatu pilihanraya yang menelan belanja ratusan juta dan melebihi kemampuan individu bertanding, ke manakah kiblat ahli-ahli politik bertanding? Sudah pasti ke sektor swasta iaitu korporat dan kaum pelabur. Demokrasi bukan milik rakyat tetapi milik orang kaya dan politikus.

Barah politik wang bukan sahaja membeli minda rakyat. Namun, ia turut mempengaruhi undi melalui pembelian undi. Si perasuah dan pengabsah rasuah tidak akan meletakkan politik wang sebagai rasuah tetapi sumbangan politik. Jika ingin bertanding, mesti menanam tebu di tepi bibir selain menghulur wang sebagai “sumbangan”.  Amalan ini menghina kuasa rakyat yang berakal dan memperlekeh semangat demokrasi. 

Amalan ini mendidik rakyat menjadi lebih tidak bermaruah dimana mereka sanggup menjual pendirian dengan harga yang murah. Rakyat hilang kewarasan dengan politik wang kerana mereka diperdaya politikus. Jika pilihanraya dimenangi pemberi rasuah dan pengamal politik wang, ia bererti bukan rakyat yang menang, tetapi rasuah yang menang. Adalah perlu kita berdukacita dengan demokrasi yang dikalahkan rasuah dan membenci sistem dibina hasil penipuan ini. Lebih kritikal, rakyat menyorak dan mempestakan perasuah yang memenangi pilihanraya dan mereka ini sebenarnya mempestakan kematian demokrasi dan meratapi kehilangan maruah dengan suka-ria. 

Faktor lain yang perlu diambil kira disebalik hilangnya semangat demokrasi di Malaysia adalah agama yang menjadi alat pengabsah salah laku pemerintah. Beberapa ulama politik daripada parti agama yang berada dalam kerajaan dan memegang portfolio bersikap kaku dan kelu terhadap salah laku, intimidasi dan kecuaian pemerintah terhadap hak rakyat. Memetik kata-kata seorang ulamak politik suatu ketika dahulu bahawa perlembagaan negara ini ialah perlembagaan jahiliyyah, sekular dan bersifat barat. Namun, apabila dia berada dalam kuasa, rakyat dan ahli politik disuruh menghormati perlembagaan negara walaupun tiada sedikitpun penggubalan dibuat mengikut acuan ‘Islam” parti tersebut. 

Perkara yang boleh disimpulkan disini ialah ulama politik tempang dan menjadi alat pengabsah pemerintah bobrok. Mereka ini juga menolak semangat demokrasi kerana bersikap jumud dan membeku. Menggelar dan melabel tidak memajukan malah menghinakan agama dan individu kerana tidak mampu memperbaiki sistem sedia ada yang diagungkan.

Jika demokrasi dianggap barat, sekular dan jahiliyyah, adakah pemerintahan Islam yang disemai ketika ini telah menjamin hak-hak rakyat di sisi pemerintah? Jika soal hak air bersih juga mengambil 30 tahun untuk diselesaikan, itu adalah bencana buat rakyat, malapetaka buat generasi akan datang dan penghinaan kepada agama. Agama datang membebaskan dan menghilangkan lapar dan haus rakyat. Ada beberapa prinsip demokrasi yang boleh diserap masuk dalam agama. Namun begitu, mengakui kelebihan-kelebihan demokrasi bererti tidak menafikan keburukan-keburukannya. Demokrasi adalah ciptaan manusia yang tidak sempurna. Agama yang sebenar boleh menyempurnakannya dengan limitasi tidak ekstrem, obses, fanatik dan candu terhadapnya. 

Faktor terakhir yang boleh diambil kira ialah rakyat muak dengan politik setelah peristiwa hitam demokrasi, Langkah Sheraton. Analogi mudah untuk memperlihatkan demokrasi yang maju tetapi diburukkan adalah seperti pembelian jentera termaju di dunia. Jentera memerlukan pengendalian manusia walaupun ia mungkin sebuah robot. Lambat-laun, ia tetap akan rosak. Ia mungkin rosak kerana pengendaliannya. Demikian juga dengan demokrasi, ia ciptaan manusia dan dikendalikan manusia. Manusia jugalah yang memajukannya dan merosakkannya. Rakyat muak melihat politik demokrasi yang diamalkan politikus ketika ini. 

Dengan sebab itu, rakyat perlu bangkit selepas ini untuk memperbaiki sistem sedia ada. Rakyat perlu akui bahawa rakyat sendirilah pencorak demokrasi dan hala tuju negara buat tahun-tahun mendatang. Rakyat perlu ada sikap kritikal dan maruah yang tinggi untuk melawan politik kotor. Rakyat perlu memperbaiki demokrasi dan mekanismenya dengan memugar nilai dan idealisme demokrasi. 

Dalam konteks umat Islam, watak dan perilaku politik harus dibina dalam acuan syariat dan nilai-nilai makarim al-akhlaq. Dalam kekancahan mahupun keamanan, umat Islam tidak seharusnya kehilangan idealisme. Dengan sebab itu, Saad Eddin Ibrahim menyifatkan sejarah umat-umat Islam pada abad-abad seterusnya adalah sebagai mencari dan mengembalikan paradise lost.

Akhirul kalam, demokrasi di Malaysia akan berkekalan jika setiap orang ingin berpolitik itu jujur dalam menghormati kuasa rakyat, jujur mendidik dan mencerdaskan rakyat. Demokrasi mesti difahami dengan erti yang luas dan tidak terhad kepada pilihan raya. Kesamarataan dan perapatan jurang ekonomi, sosial, pendidikan dan politik adalah demokrasi. Kesamarataan dan perapatan jurang ekonomi, sosial, pendidikan dan politik itu juga Islam. 

Demokrasi hanya akan bererti jika rakyat di negara ini mempunyai kemampuan berfikir. Hanya masyarakat yang berfikir yang mampu membuat pilihan dan keputusan yang bijak dan dengan demikianlah kuasa rakyat itu benar-benar menjadi kenyataan. Akhirnya, politik mestilah bersifat bebas, edukatif, informatif kerana politik adalah salah satu sistem pencerdasan rakyat, bukan suatu strategi pembodohan. 

Disediakan oleh: Birr Zamier

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.