Dakwah bermaksud mengajak, memanggil, menjemput atau boleh dikatakan menyeru. Dakwah merupakan tanggungjawab setiap orang yang bergelar muslim, tidak kira apa pun latar belakangnya. dan bukan lah satu pilihan ya atau tidak. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud :

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang baik dan mencegah dari yang mungkar, mereka lah orang-orang yang beruntung”

Tiada ajakan, jemputan dan seruan yang lebih mulia dan lebih tinggi melainkan mengajak dan menyeru manusia mentauhidkan Allah. Perkara ini disebutkan oleh Allah SWT dalam surah Al Fussilat ayat 33 yang bermaksud :

“Dan tidak ada yang lebih baik perkatannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal soleh, sambil berkata : “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah).”

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

“Demi Allah apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (sejenis unta yang paling baik).”

Demikian beberapa dalil hujah yang menunjukkan bahawa betapa tinggi dan besarnya kedudukan serta ganjaran bagi mereka yang berdakwah khususnya kepada golongan bukan muslim, mengajak manusia mentauhidkan Allah. Barangkali ada dikalangan muslim yang berusaha keras untuk menyampaikan dakwah kepada bukan muslim, tetapi dalam masa yang sama jangan sesekali kita tersasar daripada niat asal kita berdakwah.

Berkemampuan berdakwah adalah salah satu anugerah nikmat yang tidak ternilai bagi kita. Selain kelebihan, kelapangan masa dan kekuatan diri sendiri itulah yang membuatkan seseorang itu mampu berdiri sebagai seorang pendakwah hebat. Apatah lagi berjaya mengislamkan orang bukan muslim, bertambah nikmat serta rahmat di sisiNya. Namun disebalik semua ini, jangan pula kita sombong, berlagak, mudah merendahkan orang lain yang tidak mampu berdakwah seperti kita.

Ingat lah bahawa iblis yang juga dahulu penghuni syurga, dihalau keluar dan di laknat angkara sifat sombong, takabbur dan bangga diri. Semua sifat ini boleh kita simpulkan sebagai “berlagak”. Tidak adil untuk menghukum orang lain tidak bersemangat dakwah hanya kerana tidak mampu bergerak melakukan kerja seperti kita. Setiap diri manusia itu telah dijadikan kelebihan dan kekurangan sebagai tanda hamba itu lemah.

Allah S.W.T berfirman dalam surah An Nisa’ ayat 2 yang bermaksud :

“Dan manusia diciptakan dalam keadaan lemah”

Kata Imam Ibn Qayyim dalam kitab karangannya, Thariqul Hijratain, yang paling tepat makna kelemahan di sini meliputi semua aspek secara umum. Kelemahannya lebih dari itu, bukan sekadar lelaki tidak tahan dengan godaan wanita, bahkan manusia itu juga lemah dari segala sudut kehidupan. Ini bermakna, kelebihan dan kekurangan setiap manusia adalah bukti manusia itu lemah dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

Oleh itu, kita seharusnya meluruskan dan memperbetulkan niat berdakwah adalah untuk mengajak manusia kembali mentauhidkan Allah, dan bukannya untuk mendabik dada akan kejayaan kerja dakwah kita semata-mata. Ukuran iman, ketaqwaan serta keikhlasan yang paling tepat adalah daripada Allah. Manusia sekadar bersangka-sangka atas apa yang terlihat zahirnya. Hakikatnya Allah jualah yang lebih mengetahui. Semoga Allah merahmati dan meredhai kita semua.

Disediakan oleh,

Faidhi Azis

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.