in

COVID-19 : APA DI SEBALIK ANGKA?

Jendela Depan

Makalah ini bertajukkan angka. Tetapi, para pembaca tidak akan banyak menemui angka melainkan sedikit. Saya bukan ahli analisis matematik yang layak menampilkan kira-mengira, atau ahli perubatan yang patut memberikan kaedah perawatan atau pakar strategi yang layak mengunjur kemungkinan ekonomi pasca covid-19. Kerana tiada kelayakan itu yang menghidangkan sajian berzat pada menghadapi menu Covid – 19 ini, maka para pembaca tidak akan menemuinya. Tiada angka yang banyak, tiada istilah perubatan dan tiada graf ekonomi.

Cumalah sebagai seorang awam pemerhati yang menggeluti cuti 14 hari ditambah bonus lagi 14 hari yang dihadiahi kepada kami yang tidak berbarisan ini untuk memberi secubit dua rasa untuk dirasa difikiri.

Dunia yang Terhenti

Dunia seakan dirasuk oleh makhluk seni yang bergelar Covid-19. Makhluk ini mulai muncul pada Disember 2019, lahir dan membiak dengan suburnya di Tanah Besar China. Disebabkan dunia ini ditembok oleh gunung, laut, hutan dan pulau-pulau tidak banyak sekutu dan lawan yang ambil peduli tentang ancamannya. Situasi di Malaysia mengesahkan hal ini. Tanpa berasa terganggu, bimbang dan ragu situasi semasa Covid – 19 telah dimanfaatkan oleh ketumbukan gerakan politik menyusun atur rencana mengambil alih stereng kerajaan yang sedang beroperasi pada waktu itu. Peristiwa kegalauan politik (political morass) ini menjelaskan lagi betapa bergayanya pemain politik kita membelakangi arus berjaga-jaga menghadapi virus pembunuh tersebut. Kini lebih sebulan kita meninggalkan kegalauan berkenaan, tiba masa untuk kita memandang ke hadapan mengambil segala langkah perlu, disamping meminjamkan akal rohani untuk merenungi musibah ini.

Sejumlah lebih 200 negara daripada keseluruhan 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) dilaporkan terdapat kes COVID-19. Isyaratnya bahawa, negara-negara kecil yang tidak bergabung dalam PBB juga tidak dapat lari daripada diceroboh oleh virus covid-19 ini. Makhluk seni bernama Covid-19 telah mengetuk pintu, bertamu tanpa diundang di ruangan, menceroboh masuk ke kamar tidur, kamar mandi, dapur, merajai rumah yang didatangi. Datangnya tidak berberita perginya tidak berkhabar. Alih-alih dah menghantarkan kita ke hospital. Pandemik ini dikatakan radiusnya lebih luas dan kesannya berganda dirasai berbanding wabah yang berlaku kebelakangan. Dunia seakan menyambut Perang Dunia. Segala kekuatan negara-negara dikerahkan menjadi barisan depan menahan serangan bertubi-tubi lawan tidak nampak ini. Perjalanan ekonomi terhenti, kapal terbang yang setiap hari membelah angkasa tersadai sementara, pasaran saham jatuh, pelabur lari, pekerja direhatkan manakala ada yang diberhentikan, pergerakan dihadkan, di beberapa negara warga telah dikurung, kehidupan sosial terjarak, curiga menghinggapi serba serbi. Di sana-sini slogan kita mesti menang. Barisan hadapan (frontliner) mendapat dukungan massa. Di China sesudah berjaya memenangi pertarungan ini para petugas kesihatan di hujani pujian, rakyat berbaris di jalanan memberikan kalungan bunga kepada barisan depan (frontliner).

Di tanah air kita hangat doa dan dorongan, kata-kata sokongan dipanjatkan kepada pasukan kesihatan diketuai Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia yang dilihat tabah dalam lelah berkubu menanggung serangan bertali arus ini. Saban hari (ketika masa genting) laporan jumlah yang positif oleh makhluk seni ini antara 3,662 orang, manakala yang berjaya dipulihkan dalam 1,005 orang, manakala yang meninggal dunia seramai 61 orang. Mereka dilihat tabah terus berkubu dengan segala jentera dan kesiapsiagaannya. Benteng yang diharapkan terus kuat menghadapi penat lelah melawan serangan makhluk ini walaupun tahu risiko mereka sendiri dijangkiti tetap tidak dapat dielakkan.

Makhluk Seni

Istilah ini sengaja dipilih dalam makalah yang sedang ditentang mata oleh para pembaca sekarang. Atas beberapa alasan, pertama untuk menunjukkan bahawa sekecil-kecil makhluk sampai tidak ternampak oleh mata kasar telah menjadi duri dalam daging yang mendatangkan kepanikan kepada dunia. 7 billion manusia di dunia dengan segala kepandaian, kehandalan, ketangkasan menundukkan mata angin, merubah aliran sungai, meruntuh gunung, membangun gedung pencakar pengoyak langit tidak ada lagi yang terdaya menahan makhluk ini daripada berleluasa bekerja. Begitu cepat rasukannya sehingga kita canggung membaca setiap hari secara kumulatif ribuan yang mati sehingga hari ini di seluruh dunia (05 April 2020) sebanyak 1,274,346 kes dilaporkan di seluruh dunia dengan kematian sebanyak 69,485 orang. Angka ini mungkin belum lagi dianggap kritikal berbanding pandemik lain yang pernah melanda dunia, seperti demam Sepanyol yang Membunuh 50 ke 100 juta orang hanya dalam masa kurang 2 tahun, menjangkiti kira – kira 500 juta orang di seluruh dunia iaitu kira – kira satu pertiga penduduk Bumi pada ketika itu.

Pandemik ini masih jauh daripada menjadi pembunuh paling ramai orang mengatasi bidikan Hitler, atau hentaman bom atom dan senjata nuklear. Tidak lagi. Tetapi, rentapan kesannya dalam abad yang serba serbi moden ini sangat luar biasa. Belum ada persenjataan moden yang mampu membendungnya walaupun manusia telah mendarat di bulan, membina hotel di angkasa, menerbangkan drone penghantar pesanan, robot yang boleh berkarya. Pakar beranggapan untuk mengendurkan jumlah jangkitan dan memulihkan keadaan ekonomi mengambil masa 1-2 tahun. Bayangkan berapakah lagi nyawa yang akan melayang dan orang akan kehilangan sumber pencarian? Pertanyaannya, makhluk jenis apakah ini, besar sangatkah ia? Berkuasa benarkah ia sehingga banyak sektor mengalami derita?

WHO, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, memberikan nama COVID-19 bagi penyakit virus corona yang mula berlaku di Wuhan, China, pada akhir Disember 2019. CO membawa maksud corona, VI bagi virus dan D bagi ‘disease’ atau penyakit. Kemudian diletakkan tanda sempang (-) dan 19, yang merujuk kepada 2019. Sehingga 11 Feb, apabila WHO merumuskan terma itu, COVID-19 dirujuk sebagai novel coronavirus, novel bermaksud baharu. Virus itu sebenarnya digelar sindrom pernafasan akut teruk coronavirus 2 (SARS-CoV-2).

 

 

Makhluk bernama Covid-19 ini benar-benar telah menghentikan peredaran dunia. Industri yang menjadikan perut bumi dan dindingnya gondol dan menipis berhenti seketika. Suatu yang sulit untuk dilakukan pada waktu-waktu lain. Industri yang dipacu pemodal-pemodal besar, mana pernah mahu untung, yang mereka mahukan adalah kehalobaan yang lebih daripada sekadar untung. Biarkan bumi diperah, perubahan iklim, pemanasan global kesan penipisan lapisan ozon, pencemaran udara, mereka yang kaya membeli hidup di atas telapak bumi manusia lain yang dirosakkan. Kebanyakan pemacu industri ini tidaklah lain datang daripada negara-negara maju, dengan negara-negara lain ikut menjadi pemain-pemain amaturnya.

Mengejutkan, negara-negara yang paling teruk digodam oleh makhluk ini adalah daripada kalangan negara yang terkenal kemajuannya, gaya hidupnya serba serbi ditiru, produk ciptaannya di langgan. Jutaan penduduk di dunia mengambil faedah daripada kerja tangan mereka. Membantu pada menyampaikan kemaslahatan hidup manusia di zaman canggih ini. Kerja aqal mereka yang membangunkan perkakas memudahkan urusan manusia patutlah dikalungkan ucapan terima kasih. Tetapi kita juga dituntut membangunkan fikiran kritis, bahawa gaya hidup, kebebasan orientasi seks, tafsiran terhadap teologi, budaya bebas nilai dan banyak lagi yang menyimpang daripada landasan tabii.

Negara Maju yang Lumpuh

Eloklah kita terus lancang. Dalam senarai pusat yang dikeluarkan oleh WHO yang kita cemburui saban hari untuk mengekori rapat angka-angka mangsa jangkitan dan korban, empat mata kita menyaksikan dalam 5 negara ranking tertinggi paling terjejas dengan makhluk ini datangnya daripada negara-negara maju, negara penakluk, pemain ekonomi terpenting di dunia. China sebagai juara awal, dirampas oleh Italy kemudian di pintas Amerika Syarikat, tidak mahu ketinggalan Sepanyol sedang mengintai rapat, Jerman, Perancis dan barisan senarai lain yang tuan-puan boleh ikuti[1]. Ini sangat mengejutkan. Negara yang mapan, dikenali membangunkan sejarah tamaddun berabad-abad berpotensi runtuh dirempuh virus ini.

Ironinya, negara-negara yang dikatakan memiliki sistem kesihatan yang lemah seperti negara-negara miskin dan baru membangun terlepas bebas daripada musibah ini. Kita ada jawapan tuntas tentangnya. Kebanyakan negara yang terjejas teruk ini adalah negara yang membuka luas laluan dagang dengan tembok besar China, mempunyai kepentingan ekonomi strategik dengan lubuk virus ini muncul. Tanpa menyangka begitu berbekas sekali kesan wabak ini, kebanyakan negara maju berkenaan lengah mengambil tindakan menutup pintu sempadan negara mereka. Itu jawapan yang ramai penganalisis ajukan. Tapi tulisan sederhana ini tidak berhasrat menumpukan pada titik kenapa, tetapi hikmah disebalik itu.

Ego yang Tercabar

Negara Italy yang menumpangkan tamaddun Roman yang berusia 1000 tahun ini antara paling remuk terjejas. Siapa tidak kenal negara ini? Melalui sukan bola sepak, Italy adalah Juara World Cup sebanyak 4 kali. Sukan yang dianggap sebagai perayaan dunia yang disambut, dirayakan oleh negara yang paling akhir sekali kedudukannya di ranking dunia. Semua mengetahui tentang kemasyhuran Italy.

Disamping beberapa kehebatan lainnya, Itali adalah pusat rujukan fesyen dari seluruh dunia. Pengeluar jentera jalan raya paling hebat di dunia seperti Ducati, Ferrari, Lamborghini dan Maserati. Itali lah yang memulakan era Renaissance seterusnya mengubah haluan sejarah Eropah dan dunia amnya. Itali secara literal adalah The Great Roman Empire yang pernah menerajui ketamadunan manusia hampir 1,000 tahun lamanya.

Negara Polis dunia tidak mahu ketinggalan. Kekukuhan rejim pertahanannya, keberahian nafsu ketenteraannya membelasah Iraq, mengganyang Afghanistan akhirnya tersembam juga di tangan musuh yang paling seni. Dunia kehilangan polis yang sering didakwa dakwi oleh negara itu. Tiada lagi polis antarabangsa buat masa sekarang ini. Uniformnya digantung di Rumah Putih. Namun, egonya tidak mahu kalah, Trump dalam kenyataannya pada 21 Mac 2020 lalu mengatakan “Negara kita – bukan dibina untuk ditutup. Anda boleh memusnahkan sebuah negara dengan menutupnya. “Saya suka negara ini dibuka dan terus bergerak ke depan menjelang sambutan Easter,” katanya melalui siaran Fox News sambil mengisytiharkan beliau dapat melihat ‘cahaya di hujung terowong’ bagi krisis penularan COVID-19 di AS. Nampaknya, hingga hari ini suasana di USA semakin malap.

Presiden US, Donald Trump

Jerman pusat ekonomi dan kecanggihan teknologi automatif. Kuasa besar yang mencatur perang dunia kedua. Negara pemenang 4 kali Piala Dunia yang bersilih ganti mendatangkan saingan kepada negara bapa bola sepak dunia – Brazil. Kehebatan ekonomi dan teknologi Jerman tidak ada yang bantah. BMW, Mercedes Benz cukup menaikkan ego pemandunya di jalan raya ratusan negara di dunia. Jerman juga telah melahirkan ribuan ahli falsafah, saintis berpengaruh dunia. Karl Max pengasas ideologi komunis, Immanual Kant tokoh falsafah berpengaruh di zaman pencerahan dan ramai lagi. Produk buatan Jerman, kata orang laku keras. Pewasit di mana-mana telah mengesahkan secara merit hasil kerja tangan Jerman. Teknologi yang dihasilkan negara ini mendapat pengiktiran dunia. Tapi, kini paling tidak pun, sedang masa dibuli makhluk covid ini.

Jepun sebagai harimau Asia ribuan tahun dengan kemegahan tradisinya, kemajuan teknologi robotik, keampuhan kuasa pertahanan semuanya gawat. Korea Selatan dengan senjata kuasa lunaknya (soft power) melalui pengenalan budaya negara mereka telah membawa jutaan manusia bertandang untuk mengenali dan merasai sendiri iklim cinta di Seoul, Pulau Jeju. Belum lagi ditambah kepesatan ekonomi mereka sehingga melayakkan muncul sebagai negara maju yang masih dikira muda, 9 tahun kemerdekaannya lebih awal daripada kemerdekaan negara kita. Kederasan pembangunan ekonomi negara tersebut dipacu oleh banyaknya syarikat gergasi berteknologi tinggi seperti Samsung, LG, Hyundai dan Kia yang menjadi pemacu kemajuan ekonomi negara mereka.

Tidak terkecuali negara-negara lain. Semuanya menghadapi nasib sama yang dideritai negara-negara raksasa ekonomi dan teknologi ini. Kecuali, terkecuali, negara miskin yang selalu dibuli, negara tidak memiliki yang selalu dikhianati, negara yang tidak pernah bermimpi suara mereka akan didengari, negara yang hasil masyhul buminya hanya untuk memenuhi tembolok kuasa besar dunia. Hari ini mereka bebas merdeka, menikmati hari-hari tanpa resah dan desah. Keadilan mengambil pergilirannya untuk mereka.

Orang Besar Sakit

Untuk mencapai tahap negara maju setiap negara perlu mengecapi pendapatan per kapita sekurang-kurangnya AS$ 15,000 – 25,000 untuk diiktiraf sebagai negara berpendapatan tinggi. Pencapaian negara maju didorong oleh perkembangan pesat sektor industri berteknologi tinggi yang memberikan pulangan besar kepada ekonomi. Faktor penolaknya datang daripada kemajuan sumber daya manusia yang dapat dilihat daripada kecemerlangan institusi pendidikan yang mencetak haywan ekonomi (economic animal) menjadi ketumbukan yang memecah kubu dan halangan menjadi negara maju. Maka, dalam sektor kesihatan juga penilaian negara maju diambil kira, jangka hayat penduduk, kualiti sistem kesihatan.

Kebanyakan negara yang dinyatakan di atas telah pun berjaya melepasi garisan minimum yang ditetapkan. Belum lagi dikira indeks pembangunan sumber manusia yang merangkumi sukatan ekonomi, pendapatan negara dengan langkah lain seperti jangka hayat penduduk serta kemajuan sektor pendidikan. Tiada mata industri yang picik (menyepetkan) perhatian terhadap graduan-graduan yang mereka dengari tamat daripada universiti daripada negara ini.

Namun, begitulah ironinya dalam menghadapi pandemik terdasyat abad ini, semua negara-negara besar yang mengungguli pentas teratas yang paling terjejas ekoran makhluk seni ini. Negara-negara ini menjadi orang besar yang sakit. Ternyata, kebesaran, keangkuhan, ketenaran itu hanya terubati oleh sesuatu yang seni.

Setara Mana Kuasa Manusia?

Waktu ketidaktentuan begini bukanlah yang tepat untuk mencari salah. Cuma mengajak fikir bermuhasabah. Supaya dengannya kita dapat mengambil tauladan untuk mengurus dunia ini pada kadar kuasa kita. Sebelumnya dunia memandang tinggi negara-negara besar, penguasa ekonomi, pemacu teknologi seperti Amerika Syarikat, Italy, Jerman, Perancis, Jepun, China sebagai memiliki pertahanan terampuh. Janganlah cuba-cuba disentuh. Pasca kebangkitan dan zaman pencerahan barat pada abad ke-17, mereka memecut laju menjuarai dunia sebagai pemain moden yang paling hebat. Apa yang tidak dicapai oleh negara-negara ini? Budaya pop, perfileman, muzik, fesyen, teknologi automatif, perkomputeran, robotik, teknologi 4.0, 5.0, sukan (Piala Dunia Bolas Sepak, Sukan Olimpik – semua dijuarai oleh negara-negara ini amnya). Lantaran itu, sesetengah daripada mereka mencapai tahap kesombongan tinggi. Segmen-segmen penting dunia dipergilirkan sesama yang kuat ini sahaja. Sudah resamnya, yang kuat memerintah yang lemah. Institusi global yang tujuannya bersifat kolektif seperti PBB nampak jadi alat mengabsahkan tindakan-tindakan demi kepentingan negara-negara maju kuasa besar ini. Tiada lawan setara yang nampaknya dapat menginsafkan mereka. Banyak negara-negara kecil yang hanya mengharapkan ihsan dan pertolongan daripada Tuhan setelah berputusan harapan kepada manusia kerana dunia ini dikuasai oleh negara bernafsu besar ini. Palestin sebagai mithal, Rohingya, Syria boleh dirujuk.

Sehinggalah datangnya makhluk seni bernama Covid-19 ini. Gawang pertahanan negara-negara gergasi ini bolos dengan begitu mengejutkan. Laporan yang melambak-lambak dikeluarkan oleh pihak media antaranya menyatakan bahawa ramai yang pesakit yang positif terlantar di luar prasarana hospital. Pihak berkuasa kesihatan bahkan terpaksa memilih-milih siapa yang berpotensi diselamatkan dan siapa yang dibiarkan menghitung hari. Keadaan sangat mengharukan. Angka kematian sehari mencecah ribuan orang bagi negara-negara Eropah dan USA khususnya. Sehingga ada yang membuat unjuran, jika negara-negara ini yang lebih jauh terkehadapan dalam sistem kesihatan awam telah lumpuh, bagaimana kiranya negara-negara lain yang tidak terbilang. Keadaan kritikal di negara Eropah khususnya telah menghantarkan batin mereka untuk kembali menyambung tali pergantungan kepada Tuhan, tali yang telah lama waktunya mereka putuskan. Seperti ada yang berkata “We lost control of the pandemic. We died physically and mentally, we don’t know what to do anymore. All solutions on earth have ended. The only solution is to the sky 

Nilai Hidup Bertuhan

Ahli sains, sarjana ulung boleh menganalisis alasan daripada sudut rasional dan santifik, kami juga mengajukan alasan daripada sudut tauhidik. Mereka berintrospeksi, membangun pelan mitigasi, memutus rantaian jangkitan, menyediakan rumusan naratif ekonomi baharu. Di sini kami juga begitu melihat begitu, dengan nilai tambah; mengamati pesan-pesan Tuhan.

Bahasa Tuhan dan Akal Saintifik

Kepercayaan yang datang bersama agama sering kali dilihat berseberangan dengan sains moden oleh kelompok yang pandangan alam (worldview) keliru. Samada satu pihak membunuh agama dan satu pihak lagi membunuh sains. Kedua-duanya adalah bentuk pensekularan dalam erti kata menentang segala bentuk kenyataan satuan dan memilih dualisme sebagai alat menanggapi kewujudan. Agama tidak boleh masuk campur dalam urusan pemerintahan manusia.

Sekuralisme yang parah ialah yang berkiblatkan faham mematikan peranan agama dan wahyu sebagai pedoman dalam mengharungi hidup. Faham ini memberikan refleksi yang menandai ‘hilangnya pengaruh agama daripada simbol-simbol kehidupan manusia’ Proses sekularisasi dalam faham Barat khususnya ialah, penghilangan pesona dari alam tabii (disentchanment of nature), peniadaan kesucian dan kewibawaan agama dari politik (desacralization of politics), dan penghapusan kesucian dan kemutlakan nilai-nilai agama daripada kehidupan (deconsecration of values). Dengan demikian, agama atau wahyu yang menyimpan pesan-pesan Tuhan tidak diperlukan dalam mentadbir manusia di bumi. Manakala, alam ini hanya dilihat sebagai objek ekonomi yang tidak memiliki nilai-nilai kudus, justeru manusia boleh mengekploitasikan sesuka hatinya bagi tujuan mendapatkan pulangan dollar.

 

“Penghilangan pesona dari alam tabii” merupakan konsep yang difahami daripada Max Weber yang membawa maksud pembebasan alam tabii dari unsur tambahan keagamaan dan ini termasuk penghapusan makna-makna rohani, dewa-dewa dan kekuatan ghaib dari alam tabii, memisahkannya manusia dari Tuhan dan mengasingkan manusia dari alam tersebut. Dengan yang demikian, manusia tidak lagi menganggap alam sebagai sesuatu kejadian yang kudus sehingga membolehkannya untuk bertindak bebas terhadap alam tabii, memanfaatkannya mengikut keperluan dan perancangannya, maka dengan demikian manusia dapat menciptakan perubahan dalam sejarah dan pembangunan”

 

 

                                                                                                                                                                                                                                

Keyakinan baru ini membuahkan panduan kepada mereka menjalankan siasatan kepada segala yang terdapat di pamah bumi ini untuk keperluan dan kehendak mereka, membangunkannya mengikut citarasa mereka tanpa perlu dikawal oleh peraturan agama dan rasa kekudusan mereka terhadap alam ini.

Maka jadilah manusia tempang, membangun alam dengan membelakangi pencipta alam. Mereka hidup berpedomankan faham humanisme dan rasionalisme. Segala elok, patut, baik, buruk dirasa-rasa, dinilai oleh aqal fikiran semata-mata. Dalam sektor pendidikan, tujuan asasinya untuk melahirkan manusia yang baik (al-Insan al-Kamil, universal man) telah tercoreng oleh kecintaan melulu terhadap kebendaanisme. Sistem pendidikan telah kehilangan kompas. Seperti yang disyarahkan oleh Siddiq Fadhil sebagai “

Gejala shorttermism telah menular, hanya melihat dunia sebatas kehidupan sebelum mati. Kehidupan selepas mati tidak masuk dalam perhitungan. Jsuteru, mereka mengabaikan misi asasi pembinaan dan pengutuhan insan. Graduan yang keluar daripada sistem pendidikan hanya untuk memenuhi matlamat kebendaan, memenuhi production lines yang tertembok oleh faham sempit untuk menghasilkan barang bagi tujuan mencapai kenikmatan hidup manusia di dunia semata. Ujaran Prof. Harry R. Lewis tentang bencana kependidikan yang sedang menimpa Universiti Harvard, Excellence Without a Soul (Kecemerlangan Tanpa, Roh), tepat untuk menggambarkan gejala global – krisis pendidikan yang kehilangan esensi, erti hakiki dan misi asasinya.

Walhasilnya seperti yang direnungkan oleh Prof. al-Attas;

“Meskipun banyak maslahat dan pendapat baru yang berjaya dicapai dan memberikan lebih perangsang bagi dayacipta fikiran insan, namun, tidak juga dapat dinafikan dorongan ilmu sains telah mendesak mereka membuka tembelang yang mengandungi aneka bibit kekeliruan, huru-hara dan kesengsaraan yang maha dasyat; bibit yang kini sedang menyebarkan penyakitnya dikalangan manusia, binatang, pohonan dan tumbuhan, pendek kata di alam tabii dan di dunia seluruhnya. ‘Dalam masa lima puluh tahun, mereka telah menjadi lebih pandai daripada burung yang telah terbang 50 ribu tahun”.

Akal manusia memang berjasa besar menggugah iman. Melihat kejayaan sains meruntuhkan gunung dengan bom cepat menghinggapkan keyakinan akan kekuasaannya daripada kita mendengar “doa boleh mengalihkan gunung”. Orang-orang yang berfikir linear akan merasakan bahawa itulah sikap pesimis yang patut dijauhi. Tetapi kita menjawab hubungan manusia di atas muka bumi ini bukan semata horizontal, tapi juga vertikal. Ini yang banyak pemerintah muka bumi ini abaikan. Setengahnya mentadbir dengan menganut faham humanisme. Tentang bagaimana tataurus dunia (worldcraft) ini harus diolah segalanya diserahkan kepada citarasa manusia. Otak yang hanya mengandungi faham sebab – akibat, yang membuat penaakulan berdasarkan gejala segala sesuatu itu dapat diukur menurut premis sains. Sehingga mereka meremehkan manual sebenar yang diturunkan Tuhan daripada Arasy-Nya yang tinggi.

Terlepas daripada itu, negara-negara Islam yang tetap teguh pergantungannya kepada Allah, secara zahir tetap melangsungkan keimanan mereka bahawa segala yang datang ini adalah ujian Allah untuk kembali membawa kita menyemak dan menginsafi betapa kerdilnya manusia. Fatwa tentang keharusan meninggalkan solat berjemaah, masjid di tutup, dan jaminan pahala syahid kepada mereka yang tinggal di rumah dilihat memberi kesan kepada negara Islam. Ternyata kecuali Turki yang gaya hidup individualisme yang menurut Barat, dan Iran yang kompas moralnya telah tersasar jauh, kepada negara-negara Islam yang lain keadaan bencana ini masih terkawal. Allah tidaklah menurunkan bencana itu hanya mengenai orang-orang yang berbuat zalim sahaja, tetapi turut mengenai orang mukmin. Cuma, kesannya sedikit sebanyak masih boleh diduga. Solat hajat, doa, ratap diiringi takut dan harap, munajat dipanjatkan ke langit dengan seribu satu pengharapan agar musibah ini segera diangkat oleh Allah. Dengan ikthiar tangan terus melawan. Kaedah sains yang menurut faham Islam menjadi alat bukan matlamat, telah dikerah bagi membina kubu dan bergumul di gelanggang melawan makhluk tidak nampak ini. Manakala, hati dan jiwa dihantarkan ke langit mengharapkan pertolongan daripada Raja segala kuasa.

Apa kaitannya dengan situasi semasa mengenai Covid-19? Kenyataan di atas membawa kita untuk merenungi kebebasan manusia di negara-negara moden merajai alam ini dengan nafsu haywani yang terlepas daripada kawalan agama telah membawa mereka melampau batas, sehingga terbabas, merempuh sempadan yang telah diancamkan Tuhan. Memang makhluk seseni ini datangnya daripada soal makan. Memakan perkara yang haram telah melahirkan makhluk yang kejam ini. Tentu setiap tegahan yang terhitung di dalam al-Quran mengandungi saranan yang bermaksud menjamin kesejahteraan manusia. Soal memakan yang haram itu hanya asbab sahaja, jika dibanding demikian banyak lagi kerosakan yang dituai daripada kemajuan benda seperti yang ditayangkan oleh negara-negara maju hari ini.

Tafakkur 

Tulisan ini tidak sama sekali meremehkan kaedah rasional, empirikal yang menjadi rumusan dunia moden dipandu saintisme. Cuma mahu menambah lagi bahawa perkara tauhidisme jangan sesekali kita pinggirkan. Tadbirlah dunia menurut neraca yang diperturunkan oleh Tuhan melalui kitab-Nya dan sunnah Nabi-Nya. Di sana ada banyak hikmah yang akan menjamin kesejahteraan kepada seluruh alam. Musibah jika dihadiahkan Allah. Bukan sahaja mengenai ahli batil, bahkan melanda juga orang beriman. Tegahan makan benda-benda yang haram, dalam konteks ini memakan kelawar yang dikatakan menjadi punca penyakit yang bermuara di Wuhan, China ini (walaupun masih didebatkan), tegahan gaya hidup hedonisme, individualisme yang tidak mementingkan kemaslahatan umum (seperti yang dilaporkan bagaimana Italy lumpuh – disebabkan kedegilan warganya yang tidak endahkan perintah berkurung) dan beberapa tegahan lain bukanlah bermaksud untuk menyedikitkan pilihan kita. Banyak lagi kehalalan dan kebenaran yang Allah berikan untuk manusia nikmati secara leluasa. Pakailah yang itu, janganlah direntap juga barang yang tidak dibenarkan.

Mendatarkan Keluk Jangkitan (Flattening the Curve)

Beginilah sikap dan pandangan alam kita bagaimana dunia ini harus dilihat. Sekarang, sudah hampir tiga minggu perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan. Kebebasan manusia dicabut. Hampir di seluruh dunia sedang merasainya. Kebebasan yang dulu Allah berikan tetapi sering dilanggar. Sekarang ditarik sementara untuk membawa manusia merenung. Waktu-waktu sukar ini kita digertak lagi oleh berita menghantui yang pasti disambut hambar. Bahawa kemungkinan 2.4 Juta rakyat Malaysia bakal kehilangan pekerjaan kesan makhluk seni ini. Makhluk mikororganisme ini telah mencucurkan airmata ramai orang. Bukan sekadar hilang kerja, ada pula yang terputus bekalan makanan, ada yang terpaksa berpisah dengan ahli keluarga sementara untuk proses kuarantin, bahkan ada yang terpaksa berpisah dengan keluarga selamanya. Jenazahnya tidak dapat dikucup, kelopak matanya tidak dapat ditatap, redup wajahnya tidak berkuasa kita melihat. Semuanya demi “memutuskan rantaian jangkitan”. Apa lagi yang tidak mendukacitakan dan menginsafkan kita lantaran ini? Semuanya berlaku dalam waktu yang sangat pantas.

Memilih berdiam di rumah kediaman bukanlah kehendak, tetapi satu keperluan yang bukan lagi muakkad, tetapi mandatori. Pertimbangan utama sekarang bagaimana untuk mendatarkan keluk jangkitan (flattening the curve). Terbaru kita baru sahaja mendengar perintah dua kawasan penduduk di Simpang Renggam, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 27 Mac 2020 selepas 61 penduduknya dikesan positif COVID-19. Dua kawasan itu ialah Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati 83 kes positif COVID-19 di Kluang dan daripada jumlah itu, 61 kes adalah dari Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid. Perintah PKPD membabitkan 3,570 orang penduduk tempatan terdiri daripada 650 keluarga. Saudara-saudari boleh rujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kanan Pertahanan berhubung penguatkuasaan perintah ini.

Kita masyarakat awam yang tidak memiliki kepakaran profesional dalam bidang perubatan, sumbangan pasif yang boleh kita mainkan hanyalah mudah; diam di rumah. Duduk ‘ontok-ontok’ kata orang Negeri Sembilan. Ini sebagai menzahirkan juga sokongan moral kita kepada semua pihak yang terjejas. Jangan sombong seperti Donald Trumph dan pentingkan diri. Jika tidak mampu mengurang, janganlah menambah lagi. Nyawa bukan perkara lelucon. Ketenteraman awam pada waktu genting bukan perkara main-main. Hentikan sebar berita palsu. Bakat suka berkelahi tu rehatkan ke tepi. Berbeza warna bukan berbeza rasa manusia. Berhimpunlah di situ. Tugas kita sekarang sama menyumbang, minimakan kemudharatan. Sumbangan pasif kita mengelak penularan Covid-19; jangan menonong-nonong, mendedahkan diri di tempat awam berkerumun tanpa tujuan yg pasti. Kawal daripada menyibukkan diri di luar jika tak mendesak. Simpati pada mangsa, ahli keluarga, petugas kesihatan dan pihak berkuasa yang 24 jam berjuang melawan kebimbangan warga”

Ubah Pelan

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menganggarkan kira-kira 2.4 juta rakyat akan hilang pekerjaan akibat krisis Covid-19, jika perintah kawalan pergerakan dilanjutkan 2 minggu lagi. Dalam laporan mengenai impak ekonomi akibat penularan Covid-19, badan pemikir itu berkata, sebahagian besar daripada 2.4 juta pekerja itu dibayar mengikut jam, dengan 67% terdiri daripada pekerja tidak berkemahiran. Ia turut meramalkan pendapatan isi rumah akan jatuh 12% daripada garis dasar yang berjumlah RM95 bilion akibat penurunan dalam perbelanjaan pengguna sebanyak 11%.

“Keluaran dalam negara kasar sebenar Malaysia mungkin susut kira-kira 6.9% berbanding garis dasar 2020. Ini diterjemah kepada kadar KDNK sebenar -2.9% bagi 2020 berbanding 2019.”

Melalui pemerhatian memang patut diprihatinkan kenyataan ini yang berpadanan langsung dengan kenyataan. Ramai yang merengek kehilangan pendapatan bukan dalam tempoh sebulan ini sahaja tetapi ada yang telah berbulan-bulan. Rakan-rakan yang terlibat dalam industri pelancongan kehilangan kerja, trip dibatalkan, tiada manusia yang berani ke luar negara walaupun menikmati cuti yang panjang. Covid-19 ini benar-benar merasuk bukan perkara asing lagi.

Matlamat untuk dituju tetap tekal, kekal tidak berubah. Cuma jalannya sahaja perlu dipelbagai. Warga tidak lagi boleh bergantung kepada industri bersifat konvensional, dengan perkembangan pasaran terbuka melalui penawaran bidang gig ekonomi. Semua bebas berekpresi bukan semata dalam lapangan kehidupan peribadi tetapi kehidupan ekonomi. Pola baru sistem ekonomi yang akan lebih banyak bergantung kepada teknologi atas talian akan memonopoli. Waktu yang panjang di rumah manfaatkan dengan meneroka segala kemungkinan yang bakal dihadapi.

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا۟ مَا بِأَنفُسِهِمْ

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (Surah al-Ra’du,13:11)

Menggempur Rintangan

Kawalan wabak penyakit menular biasanya berhadapan beberapa kubu halangan yang lahir daripada budaya dan sikap.

Antara rintangan yang kita hadapi ialah bentuk kefahaman Jabariyyah atau fatalisme. Dalam dunia yang mana pendidikan formal telah menganjurkan kita tentang rasional, sebab dan akibat masih ada lagi yang berfikiran polos seperti ini. Mengubah yang mawjud tidak sesusah memerangi segala yang bersifat mujarad seperti kepercayaan. Orang beriman yang murni tiada akan membantah bahawa segala sesuatu yang berlaku adalah takdir Allah. Tetapi, manusia diberikan ikthiyar untuk menuguruskan sesuatu itu sebelum muktamad sebagai takdir. Mengikut fahaman ini, kalau sudah ditakdirkan jangkitan, makhluk tidak mampu buat apa-apa. Makhluk tiada kuasa.

Golongan berfahaman Jabariyyah menafikan ikhtiar pencegahan. Dalam falsafah, ini pemikiran “fatalisme” berserah sepenuhnya kepada takdir menjadi alasan kenapa kelompok ini mengingkari fatwa atau undang-undang contohnya menghalang orang datang ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah. Mereka katakan bahawa hanya takutkan Allah bukan makhluk. Jawapan Mufti Singapura, Sahibus Samahah Ustaz Fatris Bakaram terhadap kesilapan logik ini menarik untuk dibentangkan di sini;

Manusia perlu takut kepada Allah, dan di antara bukti takut kepada Allah adalah mematuhi segala perintahNya. Antara perintahNya adalah;

  1. Mensyukuri nikmat nyawa, tubuh badan dan kesihatan.
  2. Memelihara kesihatan, nyawa dan hal mudarat,
  3. Taat kepada perintahNya dan ajaran rasul, yakni menyuruh kita untuk mengelak dari wabak.

Maka, jika benar takut Allah – semua langkah untuk mengelakkan diri dari terkena jangkitan perlu diambil. Beliau turut menambah nasihat; takut kepada Allah memerlukan kewarasan akal, bukan dengan membutakan mata hati atau membekukan otak yang dikurniakan tuhan.

Kisah di bawah juga besar iktibarnya kepada golongan yang berjangkit faham ini;

Abdullah bin Abbas RA, meriwayatkan pernah suatu ketika Khalifah Umar bin al-Khattab pergi ke Syam tetapi beliau mendapati Syam dijangkiti wabak penyakit. Beliau bermesyuarat dengan para sahabat nabi dan pemimpin kaum. Setelah lama berbincang Umar akhirnya mengambil keputusan untuk pulang ke Madinah dan tidak memasuki Syam yang sudah dijangkiti wabak penyakit. Tindakan Umar ditegur oleh Abu ‘Ubaydah al-Jarrah yang berkata: “Mengapa kita harus lari daripada ketentuan (qadar) Allah?” Umar menjawab: “Kalaulah orang lain yang berkata demikian wahai Abu ‘Ubaydah (keluhan kerana kenyataan yang kurang teliti itu keluar daripada seorang tokoh seperti Abu ‘Ubaydah). “Benar! Kita lari daripada ketentuan Allah (tetapi kita juga sedang) menuju kepada ketentuan Allah yang lain. Apa pandanganmu jika kamu miliki seekor unta, lalu ia turun ke sebuah lembah yang ada dua bahagian, satu bahagian subur manakala bahagian lain pula tandus. Jika kamu bawa untamu meragut pada bahagian lembah yang subur, maka bukankah itu bererti kamu membawanya meragut berdasarkan ketentuan Allah? Sebaliknya, jika kamu membawanya ke bahagian yang tandus, maka bukankah itu bererti kamu juga membawanya meragut menurut ketentuan Allah?”

Lalu Ibnu Abbas berkata, “Tak lama kemudian datanglah Abdul Rahman bin ‘Awf, lalu dia berkata: “Sesungguhnya saya punyai maklumat mengenai perkara ini. Saya pernah dengar Rasulullah bersabda: “apabila kamu dengar ada wabak penyakit (yang berjangkit) di suatu tempat, maka janganlah kalian pergi ke sana, dan apabila wabak tersebut telah berjangkit di tempat yang kamu tempati, maka janganlah kamu keluar darinya.” Ibnu Abbas berkata, “Lalu Umar bin Khaththab memuji Allah dan kemudian kembali pulang ke Madinah.”

(Sahih al-Bukhari & Muslim).

Mengambil tindakan berseberangan akan menyelamatkan kita daripada tercampak ke daerah kemudharatan. Begitu seninya ‘itiqad yang diajarkan kepada kita dalam menghadapi teka-teki hidup. Maka itu digalakkan beragama secara waras dan sihat, bukan secara dogma. Rintangan ini nescaya akan dapat dipatahkan.

Rintangan lain ialah literasi peranan sosial. Ada golongan yang tidak faham “social distancing“. Mereka tidak dapat memahami asas bagaimana jangkitan makhluk ini boleh menghinggapi paru-paru mereka. Hal yang asas begini tidak difahami dengan memadai jelas mendatangkan kesukaran kepada pihak berkuasa untuk memastikan keberkesanan langkah-langkah yang diambil sehingga memaksa tempoh PKP dilanjutkan lagi dua minggu. Penjarakan sosial telah dijenamakan sebagai penjarakan fizikal (physical distancing) untuk memahamkan, bahawa rakyat bahawa kita perlu mengelakkan diri daripada mendekati orang secara fizikal apalagi dikerumuni di majlis keramaian.

Mesej “duduk rumah diam-diam” paling mudah difahami. Tapi ironinya ia paling susah diikuti. Sifat manusia sosial (social animal) itu terbenam sungguh dalam jantung setiap diri. Mereka tidak boleh dalam sehari tidak meramahi orang sekeliling. Jika tiada, dicarilah cara untuk bersua, bersembang cerita. Untuk pertama kalinya dalam sejarah tanah air, bersatu kita binasa, bercerai kita bahagia. Renggangkan saf untuk menang, rapatkan saf kita tumbang. Ramai yang terlalu optimistik mereka tidak akan terkena jangkitan. Dalam psikologi, ini “optimism bias” merasakan bahawa dalam keramaian manusia berpusu-pusu keluar dia tidak akan kena, makhluk itu rabun mata tidak terpandang olehnya akan dia. Cara berfikir begini sukar ditemukan ubatnya, selain di tangan askar.

Kita juga hadapi rintangan politik partisan. Waktu krisis genting begini bahtera kerajaan yang kukuh telah dtebuk, bocor dan karam di tengah pelayaran. Dalam waktu tidak menentu ini, tanpa nakhoda berkuasa amatlah sukar untuk keputusan-keputusan nasional diambil. Contohnya untuk menghalang, menangguh, menggantung sebarang bentuk himpunan massa, seperti yang terlepas pandang pada perhimpunan tabligh yang menjadi kluster utama di negara ini. Perlu diingat, kluster raksasa jangan kita tutup mata, lubuknya daripada Wuhan, China. Cuma tanpa bersikap apologetik, kesilapan main politik kita menjadikan kumpulan pelaksana tertunggu apa langkah penting seterusnya untuk diambil. Ketika awal keputusan pelaksanaan PKP, kecelaruan pelaksanaannya dapat dihidu oleh warganegara yang celik. Pelajar diminta mengosongkan kampus, perjalanan lintas negeri disekat dan perlu mendapatkan permit khas daripada pihak polis, stesen bas dibanjiri manusia, tidakkah ini semuanya menambahkan lagi kluster-kluster yang menyumbang saham kepada meroket naik jumlah jangkitan?

Disamping itu, orang politik masih tetap dengan DNA-nya yang mengintip-intip peluang untuk menembak lawan politiknya. Maka, tidak susah untuk kita temui di sana sini mencari salah (fault-finding) sama sahaja naiknya dengan jangkitan makhluk seni ini. Kegagalan menguruskan keutamaan ini patut segera diinsafi.

Gerak Kerja Lembaga Swadaya Masyarakat (LSM) Terhalang

Istimewanya tanah air kita ini subur sekali dengan semangat berbahagi. Pantang tengok ada orang yang susah, sekelip mata bantuan mencurah. Dalam tempoh PKP ada beberapa keadaan sukar yang dilalui oleh rakyat kita. Pelajar-pelajar yang terkandas di kampus tidak dapat balik ke kampung, orang-orang miskin yang terputus belanja, gelandangan di kota raya yang bertukar sepi. Semua ini serentak didatangi. LSM bergerak tanpa disuruh, melenggangkan usaha tanpa diarah. Rasa untuk membantu orang yang perlu sangat dipuji.

Masuk minggu kedua tempoh PKP, prosedur kaedah bantuan daripada Lembaga Swadaya Masyarakat (LSM) kepada kumpulan sasar yang terjejas teruk dalam tempoh PKP ini semakin diperketatkan. Awalnya semua dihalang daripada menyampaikan langsung bantuan mereka kepada kumpulan sasar. Keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ini ada yang dibantah secara terang (reaksioner) ada yang bantahan senyap, tanpa suara, tetapi kesannya terasa. Kebimbangan mereka berasas, suara orang kecil yang keputusan pintu rezeki, kaum terpinggir, gelandangan, masyarakat pedalaman yang sentiasa mereka santuni terhalang atas prosedur baharu ini.

Sebagai teman yang ikut menyumbang di lapangan kerja tidak berasaskan keuntungan (non-prophitable orientation) ini, kami memahami bagaimana suara nurani para pendidik tidak formal (informal educator) dalam LSM (NGO) yang saban waktu menggeluti denyut nadi keperitan rakyat ini dirasai. Justeru, isu berkenaan turut disinggung dalam makalah untuk memberikan sudut pandang yang dinamika terhadap polemik ini dan beberapa saranan.

Keputusan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada ketika itu mengambil kira situasi semasa yang menyaksikan pertambahan mendadak kes-kes baru sekaligus memberi isyarat belum nampak tanda-tanda pendataran keluk jangkitan (flattening the curve) berjaya dicapai. Ia juga bagi mengekang exponential spike atau graf kadar peningkatan kes menjadi lebih cepat. Justeru keputusan memusatkan bantuan di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk semua LSM sebelum diagihkan kepada golongan sasar diambil sebagai upaya memecahkan graf ini.

Justeru, kedua-duanya telah kita ketahui alasan masing-masing mewajarkan pendirian. Di satu pihak, keberahian untuk terus memberi dalam keadaan virus ini telah merebak sehingga negara polis dunia dan negara-negara raksasa ekonomi lumpuh. Manakala, di satu pihak ulul amri, pemegang taruh secara sivik, demokratik dan syarie mengambil keputusan dalam waktu yang sukar ini untuk memutuskan rantaian jangkitan. MKN berhadapan dengan situasi melibatkan maqasid nyawa, suatu tujuan yang besar kenapa didatangkan undang-undang (syariah), juga berhadapan dengan kemungkinan terputusnya bekalan keperluan asas (basic needs) masyarakat yang merupakan asas hak asasi. Namun, dalam waktu sulit, keberanian untuk mengambil keputusan tetap perlu dan ianya telahpun diambil. Kita haruslah menyambutnya dengan lapang dada, laraskan tindakan dan gerak kerja berdasarkan template yang disediakan.

Para penggerak LSM boleh sahaja beramal dengan cara yang dijajarkan itu. Memberikan arah dan petunjuk untuk memudahcarakan pihak berkuasa tembus kepada golongan sasar. Faktanya, ada sesetengah aktivis LSM terus diberikan mandat khas oleh pihak berkuasa untuk berada di garis depan membantu pihak kerajaan menyampaikan sumbangan. Hal ini menurut kami membuktikan keputusan ini tidaklah ketat, cuma garis panduan am untuk mengelakkan ada daripada kalangan aktivis LSM yang diminta kuarantin oleh pihak berkuasa boleh turun di lapangan memberi sumbangan, kerana gembira benar hatinya berada di depan kamera. Laporan yang kami terima begitulah. Sesetengah aktivis yang baru balik daripada kawasan/negara terjejas akibat Covid-19 ini terus berleluasa beraksi di lapangan, sehingga ia mencetuskan kebimbangan gelombang tsunami yang boleh meruntuhkan barisan depan negara. Jika cukup syaratnya, terbukti tiada tempoh kuarantin atau masalah kesihatan bincanglah melalui budi bicara dengan pihak berkuasa.

Cara lain yang boleh mendamaikan antara semangat dan kebimbangan gelombang jangkitan meroket lagi adalah dengan cara mendaftar LSM yang layak, terbukti bekerja dengan beberapa syarat diperketatkan seperti pematuhan 100 % terhadap prosedur KKM, termasuklah prosedur ketika pulang ke rumah yang tentulah tidak dapat disiasat oleh pihak berkuasa. Cuci tangan dan peralatan kalis air, mandi, jangan menyentuh individu lain sebelum melakukan pencegahan diri.

Tindakan oleh pihak MKN ini tidak sekali-kali membunuh semangat mandiri LSM. Malah meluaskan lagi kreativiti kita untuk memberi. Soal kerajaan menghalang kemerdekaan mereka daripada berbakti tidak timbul. Keputusan ini hanya diambil dalam tempoh singkat ini berbanding ribuan hari-hari lepas (ketika sebelum pandemik), LSM bebas memperagakan jasa kepada khalayak. Cuma, waktu ini sahaja, bakat itu dialihkan oleh kerajaan melalui pemusatan bantuan.

Patut kita faham, tindakan ini bukan menafikan peranan besar LSM. Jangan beromantisme pada musim-musim kini. Kerja sukarela ini bukan muluk-muluk dapatkan bantuan, berswafoto bersama penerima. Ianya mensyaratkan kerja keras, teliti dan tentu sekali harus faham, bukan hanya semangat melambung berdengung. Kita tetap boleh bekerja, di luar tabir atau di balik tabir, bergantung kepada kecondongan hati masing-masing. Menghimpunkan sumbangan kepada JKM bukan isyarat kita diketepi, cuma dihargai seadilnya pada waktu-waktu yang sukar begini. Ianya bukan berkait menang – kalah, tetapi menang – menang. Sama rasa, sama merasa.  Rintangan ini walaupun bukan dilihat membelakangi kerja kemanusiaan, tetapi yang lebih utama ditekankan di sini adalah segala proses mitigasi tidak diganggu buat masa ini.

Menginsafi Waktu Bersendiri

“Waktu ini besar hikmahnya. Supaya kita bersunyi, bersembunyi, menyaksi, menginsafi, sesudah puluh tahun mendedah diri, memenuhi segala habuk, kotoran, debu dan cemar, ada yang berterbangan singgah, ada yang sengaja dihinggapi.

Inilah waktu untuk mencium harum mawar, memetik kuntum kemboja, merasai ranum buah yang telah dijuangkan puluhan tahun. Bicara dengan ranting, dahan dan daun-daun gugur disapa angin atau mendengar burung berirama di pohon rendang.

Ini waktu berbisik-bisik, menyiasat kembali diri, mengintai masa lalu yang pergi tiada berpamit, sedar-sedar umur dah meninggi, baki usia tak banyak lagi, amal bakti sedikit, cita-cita ditambah angan-angan masih belum hilang, kudrat dah berkurang, mimpi masih jauh dari ribaan.

Tebus segala dendam. Baca, hafal, tulis, amal, hal-hal yang diperhutang dahulu oleh masa yang selalu cemburu. Kenang segala dosa, yang tercoreng di usia alpa. Rawat semua salah silap, sembuhkan ketika sempat.

Sebelum masing-masing melangkah ke daerah lebih sunyi nanti, eloklah kita dipaksakan bersembunyi, diam di rumah, bersama teman hidup, ketawa menangis bersama, sebelum pasti nanti terpaksa bersendiri di liang berteman sepi”

Sebenarnya inilah hadiah yang sebilangan besar daripada kita jadikan sebagai alasan. Tidak cukup masa. Tidak cukup masa. Untuk buat hal-hal yang tertaklif kepada diri. Sekarang, waktunya masa sungguh lumayan. Tebuslah segala yang dihutangi, rawat diri di tempat rehat sebentar untuk kemudiannya kembali berbakti terhadap diri, keluarga, ummah dan negara.

Kesimpulan

Kita kembali merenungkan betapa ujian yang dihadapi oleh dunia hari ini bukan hanya dapat diukur oleh angka bukan sekadar dimatematikkan, tetapi untuk diiktibari khususnya kepada kita yang beriman dengan Allah dan hari kemudian. Setiap segala yang zahir di muka menunjukkan betapa besar pun kita, jalan menongkat langit, terbang membelah bumi, meruntuhkan gunung, menawan air, menggondolkan bukit atau menghidupi waktu dengan kesedapan hedonisme, melampaui batas yang ditetapkan hanyasanya mengundang kemurkaan Tuhan. Bila ujian menyapa melalui makhluk paling seni sebegini, tiada daya dapat menahannya.

أَوَلَمْ يَسِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَيَنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ كَانُوٓا۟ أَشَدَّ مِنْهُمْ قُوَّةً وَأَثَارُوا۟ ٱلْأَرْضَ وَعَمَرُوهَآ أَكْثَرَ مِمَّا عَمَرُوهَا وَجَآءَتْهُمْ رُسُلُهُم بِٱلْبَيِّنَٰتِ فَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَٰكِن كَانُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

 “Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri, dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka, dan orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-rasulnya dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri’ Surah al-Rum (30:09)

Pesan Buya Hamka yang menumbuhkan cita-cita. Dikutip, dicantum daripada beberapa perkataannya;

“Yang jangan dibiarkan mati; Iman dan Harapan.

Jika segala jalan di dunia telah ditutup orang, jalan di langit luas terbentang.

Dua cahaya menembusi kegelapan, cahaya iman, cahaya harapan. Segelap-gelap malam kini, esok fajar menyingsing. Selelah-lelah mendaki kita pasti menurun, ke dataran yang datar, ke pengharapan yg besar”

Selagi ada iman, harapan akan sentiasa ada. Teruskan berdoa. Semoga beredar segera ujian ini.

 

-Muhamad Hanapi b. Jamaludin

 

Leave a Reply

Loading…

Meninjau Kesusasteraan: Ustazah Zaman Dulu-Dulu

Pedoman Menyemai Sabar