Menatap ayat demi ayat dalam novel pendek Hamka ini sangat mengujakan. Biarpun gaya bahasanya berbentuk penceritaan semula, hal itu tidak mengurangkan keindahan nilai yang ingin diutarakan. Saya belajar dan cuba memahami makna cinta yang diungkapkan dalam kisah bermakna ini.

Klik gambar untuk beli buku ini!

Kisah cinta suci antara Hamid dan Zainab. Hamid yang merupakan seorang anak miskin yang mendapat pembelaan daripada Engku Haji Jaafar, ayah Zainab. Dia diberi pendidikan dari sekolah desa hinggalah ke pondok untuk menuntut ilmu agama. Hamid seorang yang amat mulia akhlaknya jika dibandingkan dengan pemuda sebayanya. Antara Hamid dan Zainab, mereka punya satu rasa. Seperti yang diungkapkan Hamid:

“Cinta itu adalah ‘ jiwa’ antara cinta yang sejati dengan jiwa tak dapat dipisahkan, cinta pun mereka sebagaimana jiwa, ia tidak memperbezakan di antara darjat dan bangsa, di antara kaya dan miskin, mulia dan papa demikianlah jiwa saya, diluar dari pada resam basi, terlepas daripada kekang kerendahan saya dan kemuliaannya; saya merasainya, bahawa Zainab adalah diri saya, Saya merasai ingat kepadanya adalah kemestian hidup saya. Rindu kepadanya membukakan pintu angan-angan saya menghadapi zaman yang akan datang.

Saya teringat kata-kata Dr. Maza, ketika ditanya tentang persolan cinta, beliau menyatakan;

“Cinta itu adalah perasaan yang tertanam di jiwa, kita tidak boleh melarang perasaan tersebut, walaupun direjam di dalam air cinta itu takkan hilang begitu sahaja.”

Ibu Hamid yang menyedari rahsia yang tersimpan di jiwa anaknya itu pernah bertanya tentang cintanya pada Zainab. Hamid menyatakan:

” Ah, tidak ibu, itu barang yang amat mustahil dan itulah yang sangat anakanda takuti. Anakanda tak cinta padanya dan takut akan cinta, anakanda belum kenal ” cinta.” Anakanda tahu bahawa jika anakanda menyerahkan cinta kepadanya, takkan ubahnya seperti seorang yang mencurahkan semangkuk air tawar ke dalam lautan yang amat luas; laut tak akan berubah sifatnya kerana semangkuk air itu.”

Hamid sendiri sedar asal untung dirinya. Keluarga Zainab pasti tidak akan memandang dirinya pantas untuk menjadi suami Zainab.

Lantas itu juga, Ibu Hamid meredakan jiwa anak mudanya itu:

” Anakku …… sekarang cintamu masih bersifat angan-angan, cinta itu kadang-kadang hanya menurutkan perintah hati, bukan menurut pendapat otak. Dari belum berbahaya sebelum ia mendalam, kerap kali kalau yang kena cinta tak pandai ia merosakkan kemahuan dan kekerasan hati lelaki. Kalau engkau perturutkan tetap engkau menjadi seorang anak yang berputus asa, apa lagi kalau cinta itu tertolak, terpaksa ditolak oleh keadaan yang ada di sekelilingnya…..”

Saya tertarik dengan nilai dan adab yang dipegang oleh anak perempuan ketika zaman itu. Walaupun anak perempuan itu hanya dapat bersekolah di peringkat darjah sahaja, yang kemudiannya disambung dengan pelajaran rumah tangga di rumah sahaja, tetapi  nilai penerapan supaya mereka banyak berada di rumah dan menunggu masa untuk dikahwinkan, dan sekiranya keluar ditemani keluarga, menunjukkan fokus masyarakat tersebut dalam membangunkan peranan wanita di rumah. Saya terkesan dengan adab kesopanan yang berlaku dalam masyarakat dahulu yang mungkin sudah pudar sekarang.

Selepas kematian ayah Zainab, dan juga kematian ibu Hamid,  Zainab ingin dijodohkan dengan keluarga di sebelah ayahnya. Namun Zainab tidak ingin kerana hatinya ada pada Hamid. Atas permintaan Ibu Zainab, Hamid terpaksa menasihati Zainab supaya mengikut kehendak ibunya.

” Sampai hati abang memaksa aku?”

” Abang bukan memaksa engkau, adik… ingatlah ibumu.” Mendengar itu dia kembali terdiam, ibunya pun terdiam, ia telah menangis pula.

Bagi Hamid pula, karam rasanya bumi ini dia pijakkan, gelap tujuan yang akan ditempuhnya.

Tetapi Hamid kemudian  insaf, bahawa alam ini penuh dengan kekayaan. Allah menunjukkan kuasaNya. Tidaklah adil jika semua makhluk dijadikan dalam tertawa, yang akan menangis pun ada pula. Kita mesti mengukur perjalanan alam dengan ukuran yang luas, bukan dengan nasib diri sendiri.

Hamid tekad untuk pergi mengembara, meninggalkan apa yang mungkin bukan ditakdirkan untuknya. Sempat jua dia menitipkan surat buat Zainab. Demikian di akhir surat itu berbunyi:

“Akan hal diri saya ini, ingatlah sebagai mengingat seorang yang telah pernah bertemu dalam peri penghidupanmu, seorang sahabat dan boleh juga disebut saudara yang ikhlas dan saya sendiri akan memandang tetap engkau sebagai adikku. Jika pergaulanmu kelak dengan suamimu berjalan dengan gembira dan beruntung, sampaikanlah salam abang kepadanya. Katakan bahawa di suatu negeri yang jauh, yang tak tentu tanahnya, ada seorang sahabat yang sentiasa ingat akan kita. Dan biarlah Allah memberi perlindungan atas kita semuanya.”

Saya fikirkan ramai dikalangan belia muda yang gagal menghadapi cinta dengan sebaiknya, bahkan terburu-buru mengikut hati sahaja.

Padahal “rindu dendam” atau “cinta berahi” itu laksana lautan Jawa, orang yang tidak berhati-hati mengayuh perahu memegang kemudi dan menjaga layar, karamlah ia diguling oleh ombak dan gelombang, hilang ditengah samudera yang luas itu, tidak akan tercapai selama-lamanya tanah tepi.

Saya amat teruja dengan perjalanan Hamid ke Mekah. Perjalanan cintanya sehingga mengabdikan diri di rumah Allah. Apatah lagi pada zamannya perjalanan ke Mekah itu sangat lama.

Negeri Mekah baharu sahaja pindah dari tangan Shariff Hussin ke tangan Ibn Sa’ud, Raja Hijaz dan Najad dan daerah takluknya yang kemudian ditukarkan namanya menjadi kerajaan “Arabiah Sa’udiah”. Keamanan negeri Hijaz, telah tersiar. Kerana itu banyak orang yang berniat menyempurnakan Islam yang kelima itu. Tiap-tiap kapal haji yang berangkat menuju Jeddah penuh sesak membawa jemaah haji.

Di Mekah Hamid  hidupnya sangat sederhana, tiada lalai daripada beribadat, tiada suka membuang-buang waktu kepada yang tidak berfaedah, lagi pula sangat suka memerhatikan buku-buku agama, terutama kitab-kitab yang menerangkan kehidupan orang-orang yang suci, ahli-ahli tasauf yang tinggi.

Akhir kisah ini, Zainab meninggal dunia, menanggung derita di jiwanya. Hamid jua Meninggal ketika sedang melaksanakan haji.  Sebelum kematiannya dia sempat berdoa:

” Ya Rabbi, ya Tuhanku, Yang Maha Pengasih dan Penyayang, di bawah lindungan Ka`bah, rumah Engkau yang suci dan terpilih ini, saya menadahkan tangan memohon kurnia. Kepada siapa lagi yang saya akan pergi memohon ampun, kalau bukan Engkau ya Tuhanku!
Tidak ada suatu tali pun tempat saya bergantung, lain daripada tali Engkau, tidak ada pintu yang akan saya tutup, lain daripada pintu Engkau. Berilah kelapangan jalan buat saya, saya hendak pulang ke hasrat Engkau; saya menuruti orang-orang yang dahulu daripada saya, orang-orang yang bertali hidupnya dengan hidup saya. Ya Rabbi, Engkaulah Yang Maha Kuasa, kepada Engkaulah kami sekalian akan kembali…..”

Setelah itu suaranya tidak kedengaran lagi; di mukanya terbayang suatu cahaya muka yang jernih dan damai, cahaya keredaan daripada Ilahi. Di bibirnya terbayang suatu senyuman dan….sampailah waktunya lepaslah ia daripada tanggungan dunia yang amat berat ini, dengan keizinan Tuhannya, di bawah lindungan Ka`bah!

Biarpun kisah mereka tidak berakhir dengan bersatunya di dunia. Tetapi keyakinan kepada kebahagiaan di alam sebenar, membuatkan apa yang ditanggung tidak akan pernah sia-sia.

Penghidupan yang tiada mengenal putus asa, kesabaran dan ketenangan dia menanggung sengsara. Hamid telah mengambil jalan yang lurus dan jujur di dalam memupuk dan mempertahankan cinta. Allah adalah Maha adil, jika sempit bagimu dunia ini berdua, maka alam akhirat adalah lebih lapang dan luas, di sanalah kelak makhluk menerima balasan daripada kejujuran dan kesabarannya; di sanalah penghidupan yang sebenarnya, bukan mimpi dan bukan khayalan.

Disediakan oleh,

Saadiah Ali

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.