in

Cerpen: Perihal Orang Kita

Tuan Ghani merupakan seorang kontraktor dan pemilik kepada sebuah syarikat pembinaan di pusat bandar. Beliau seringkali mendapat projek-projek mega daripada kerajaan sama ada persekutuan atau negeri dan syarikat swasta hasil titik peluh beliau membanting tulang siang dan malam pada usia mudanya. Kesemuanya beliau perolehi tanpa menggunakan ‘jalan belakang’ dan ‘mencuri’. Hal ini kerana, beliau sering berpegang dengan nasihat bapanya,

 

“Ghani, jika hendak masuk ke dalam rumah orang jangan pernah menggunakan pintu belakang kerana perbuatan tersebut sangat tidak beradab dan menjijikkan.”

 

Maka, beliau menta’wilkan bahawa segala perkara melalui ‘belakang’ adalah buruk dan hina. Disebabkan kekayaan beliau yang melimpah ruah, beliau juga mengusahakan beberapa ladang sayur-sayuran dan dusun buah-buahan di kampung tempat kelahiran beliau. Perkara ini beliau lakukan kerana terinspirasi dengan pesanan ayahnya,

 

“Ghani, jika kamu sudah dewasa, walau apa pun pekerjaan kamu, berbaktilah kepada tanah dan manusia di sekelilingmu. Perkara tersebut akan membuatmu sering merendah diri dan mengingati asal-usulmu.”

 

Ladang dan dusun tersebut telah beliau upah beberapa orang penduduk kampung untuk mengusahakannya. Beliau ingin menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk kampung tersebut agar mereka tidak lagi hanya menghabiskan masa lapang dengan hanya duduk di warung kopi, berkomentar soal hal-hal negara dan pulang bagi menyambung mimpi. Bagi beliau, biarlah mereka juga menyumbang bakti kepada negara walaupun hanya sekecil-kecil perkara. Bukannya seperti orang politik. Awalnya berjanji soal kebajikan. Selepas dipilih dan mendapat elaun pinggan dan mangkuk, rakyat masih dalam kelaparan.

 

Salah seorang penduduk yang diupah oleh Tuan Ghani merupakan seorang sahabat beliau sejak di bangku persekolahan. Malah, mereka juga sahabat semeja sama ada di kelas mahupun di kantin. Jika tidak duduk bersebelahan, mereka akan duduk berhadapan. Jika di dalam dewan peperiksaan, sahabatnya akan duduk di meja hadapannya walaupun telah disusun mengikut abjad. Begitulah eratnya persahabatan beliau sehingga tiada apa-apa perkara yang mampu menjarakkan mereka. Namanya Faqih. Sepatutnya. Tetapi, lantaran pegawai di Jabatan Pendaftaran tersalah eja, menyebabkan namanya menjadi Faqir. Tambahan pula, bapanya yang buta huruf, menerima dan mengesahkan ejaan nama tersebut. Apabila sudah masuk ke alam persekolahan, guru-gurunya yang melihat surat beranak dia terkejut kerana ejaan namanya sebegitu rupa. Tanpa banyak soal, guru-guru menerima sahaja namanya. Maka, dipanggil dia sebagai Faqir sehingga ke dewasa. Benarlah nama itu merupakan doa, ditambah pula disebut-sebut orang, jadilah dia faqir dalam segala hal. Dia tidak berjaya dalam akademik, tidak mendapat pekerjaan yang diingini serta tidak berjaya mendapatkan isteri walaupun janda yang telah bercerai berkali-kali. Dia hanya mampu bekerja dalam bidang kemahiran seperti pertukangan. Itupun jika ada tempahan. Jika tidak, terpaksalah dia mengikat perut. Khilaf manusia kerana tidak berhati-hati, mampu menjahanamkan masa hadapan seseorang.

 

Kini dia bersyukur kerana berkat kesabarannya, dia mendapatkan pekerjaan walaupun hanya sekadar petani. Dia yakin suatu hari nanti dia mampu menjadi seperti sahabatnya, berjaya, tetapi sebagai ahli perniagaan sayur-sayuran. Ya lah, zaman sekarang mana ada sesiapa yang mahu dan mampu bercita-cita menjadi petani. Kalau boleh semuanya mahu berkot, berkomputer dan berpenghawa dingin. Dia dahulu berfikiran juga seperti orang kebanyakan. Tetapi, pengalaman mengajarnya untuk mempelbagaikan cita-cita agar kita tidak tenggelam dalam putus asa. Tidak mengapalah, lain orang, lain minatnya, lain rezekinya dan lain caranya.

 

Tuan Ghani juga merupakan seorang bapa yang sangat penyayang terhadap anaknya. Setakat ini beliau hanya mempunyai seorang anak, Najihah. Apa sahaja yang diingini oleh anaknya pasti beliau akan tunaikan termasuklah memberikan kelas dan kemahiran tambahan dengan mengupah guru-guru profesional. Hal ini kerana, beliau hendak anaknya mempunyai masa hadapan yang cerah. Tidak gelap dan suram. Biasalah, orang yang berharta pasti mempunyai pelbagai peluang. Beliau juga yang menentukan masa hadapan anaknya kerana beliau yakin setiap pilihan ibu bapa adalah tepat dan sesuai dengan anak mereka. Bak kata ayahnya,

 

“Ghani, reda ibu bapa itu penting dalam kehidupan. Maka turutilah keputusan, perancangan dan pilihan ibu bapa.”

 

Malangnya, setiap impian beliau terhadap anaknya tidak berjaya. Anaknya hanya sederhana dalam akademik melainkan subjek pendidikan seni. Tidak seperti beliau semasa di alam persekolahan. Sentiasa cemerlang. Setiap kali beliau memperolehi kad laporan anaknya, guru kelasnya akan memberi komentar,

 

Tahniah. Teruskan usaha Najihah dan kecemerlangan akan Najihah perolehi. Najihah seorang murid yang baik kerana selalu membantu guru-gurunya. Semoga terus mengekalkan akhlak baik ini.”

 

Jika hendak dibandingkan dengan kawan-kawan anaknya, mereka sering cemerlang dalam akademik. Ibu bapa mereka pasti bangga dengan keputusan yang anak-anak mereka perolehi. Sehinggalah sebelum anaknya mendapatkan keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), beliau sentiasa berharap agar anaknya diberikan keputusan yang cemerlang agar masa hadapannya cerah. Tidak gelap dan suram. Namun, keputusan yang diperolehi oleh anaknya biasa-biasa sahaja. Tidak melayakkannya untuk mendapatkan tajaan daripada mana-mana pihak. Universiti awam pula hanya menawarkan bidang kemahiran dan seni sahaja. Perkara yang paling ditakuti olehnya telah berlaku. Anaknya tidak mempunyai masa hadapan yang cerah. Gelap dan suram. Namanya tidak menjadi doa.

 

Akibat terlalu kecewa terhadap anaknya, Tuan Ghani pulang sebentar ke kampungnya untuk melihat perkembangan projek dusun dan ladang beliau. Setelah beliau sampai di salah satu ladangnya, beliau terlihat sahabatnya, Faqih sedang membuat batas untuk menyediakan ruang bagi menanam benih sayur-sayuran baharu bagi menggantikan sayur-sayuran yang telah dipetik. Tuan Ghani hanya memerhatikan dari jauh. Beliau tidak mahu kerja sahabatnya terganggu akibat kehadirannya. Beliau kagum dengan kesungguhan dan kecekalan sahabatnya itu.

 

“Faqih, aku sangat kagum dengan semangat kau untuk terus hidup walaupun kau selalu tidak berjaya dalam segala hal yang kau kerjakan”, Tuan Ghani berkata dalam hati.

 

Faqih yang telah selesai membuat batas menyedari kehadiran sahabatnya itu. Dia perasan sahabatnya seperti sedang memikirkan sesuatu yang meresahkan hati. Dia menghampiri sahabatnya dan menegur.

 

“Assalamualaikum. Apa khabar Tuan Ghani? Apa yang tuan menungkan?”

“Waalaikumussalam. Eh, Faqih. Ish, dengan aku tak perlu ber ‘tuan’. Maaf aku ganggu kau buat kerja.”

“Tak mengapa. Aku panggil kau ‘tuan’ atas dasar hormat. Kau tak ganggu aku pun. Aku pun dah selesaikan kerja aku untuk hari ini.”

“Wah! Baguslah begitu. Jom kita pergi minum petang di Warung Esok Masih Ada. Aku belanja kau.”

“Huish, kecil tapak tangan, nyiru aku tadahkan. Jom, aku pun penat buat kerja.”

 

Mereka berdua pergi ke warung tersebut menaiki kenderaan yang berbeza kerana Faqih memberikan alasan bahawa setelah minum petang dia hendak pulang terus ke rumah. Setelah sampai di warung tersebut, mereka memesan dua  gelas kopi ‘o’ serta pisang goreng dan keropok lekor untuk mengisi perut. Mereka berborak beberapa hal tentang perkembangan projek dusun dan ladang. Keuntungan, perancangan dan idea baharu menjadi topik perbualan pada awalnya sebelum mereka berborak tentang hal-hal kehidupan mereka. Faqih memberitahu,

 

“Bagi aku, hidup aku sudah aku tidak perlu risaukan. Hidup aku sudah cukup sempurna. Ada pekerjaan yang tetap dan pekerjaan sampingan. Soal kahwin, mungkin di syurga nantilah.” tergelak Faqih ketika dia menyebut ayat terakhir tersebut.

“Alhamdulillah. Aku harap hidup kau sentiasa baik-baik sahaja dan dipermudahkan dalam segala urusan. Sebenarnya aku bersyukur kau ada di kampung ini. Boleh aku amanahkan pada kau berkenaan projek dusun dan ladang.”

“In syaa Allah aku cuba lakukan yang terbaik. Kau apa pula cerita? Tadi aku lihat kau termenung panjang.”

“Ouh. Sebenarnya, sebab aku balik adalah untuk menenangkan diri. Aku kecewa dengan anak aku. Keputusan peperiksaannya tidak cemerlang. Tawarannya yang anak aku dapat juga hanyalah bidang kemahiran dan seni. Aku nak anak aku masuk bidang kejuruteraan. Bolehlah dia menggantikan tempat aku di syarikat.”

“Ouh. Kau kecewa sebab anak kau gagal memenuhi jangkaan kau?”

“Ya. Aku dah laburkan banyak perkara untuk anak aku. Aku dah sediakan macam-macam untuk anak aku. Tapi, impian aku tidak tercapai.”

“Aku faham masalah kau. Tapi, kau pernah tanya perasaan atau keinginan anak kau sebenar? Aku tahu kewajipan ibu bapa adalah menyediakan sebaik mungkin untuk anak-anaknya. Tapi, aku lebih percaya bahawa ibu bapa tidak boleh menafikan perasaan atau keinginan anak mereka. Ibu bapa juga tidak boleh memaksa untuk anak mereka mengikut jalan yang dipilih oleh mereka. Keupayaan setiap anak adalah berbeza dan ibu bapa perlu tahu perbezaan tersebut agar ‘kejayaan’ boleh dicapai oleh anak mereka.”

“Tapi, anak aku tak dapat apa-apa ‘kejayaan’.”

“Pada pendapat kau, apa maksud ‘kejayaan’? Jika kau fikir ‘kejayaan’ adalah mendapat keputusan dengan gred A, mendapat ijazah dengan kepujian kelas pertama dan mendapat pekerjaan yang hebat, itu adalah definisi ‘kejayaan’ yang tidak adil untuk anak kau.”

“Kenapa pula? Bukankah itu ‘kejayaan’ yang dipegang oleh semua orang?”

“Bagi anak kau adakah itu suatu ‘kejayaan’? Kenapa kau boleh mempunyai definsi ‘kejayaan’ tersendiri tetapi anak kau tidak boleh ada definisi ‘kejayaan’ dia tersendiri? Bagi aku, sebagai seorang yang ‘gagal’, apa yang boleh aku banggakan? Apa yang boleh aku jadikan motivasi untuk teruskan hidup? Pengalaman mengajar aku. Aku keluar daripada kelompok manusia yang mendefinisikan sesuatu kerana mereka memperolehi perkara tersebut. Bagi aku, segala perkara yang aku lakukan adalah suatu ‘kejayaan’. Aku tolong orang, bagi aku itu adalah ‘kejayaan’. Jangan kita menyalahkan perkara lain. Benar, kita perlu bercita-cita setinggi mungkin untuk mendapatkan perkara yang bagus-bagus. Tetapi, jika kita tidak dapat mencapainya, adakah kehidupan telah berakhir? Tidak. Anak kau juga masih punyai banyak peluang jika kau percaya kepada dia. Jangan putus harapan. Teruskan menyokong dia agar dia tahu bahawa keluarganya sentiasa ada pada setiap masa.”

“Herm. Ada benarnya juga kata-kata kau. Aku pernah menyalahkan nama anak aku kerana tidak mejadi suatu doa kepadanya. Tetapi, mungkin tuhan ingin menunjukkan hikmah yang lebih besar dan menegur aku. ‘Kejayaan’ perlu aku lihat daripada konteks yang lebih besar. Aku percaya, Najihah anak aku boleh berjaya. Terima kasih, Faqih. Sesungguhnya kau memang seorang yang Faqih. Bijaksana dalam hal-hal kehidupan.”

“Sama-sama. Maaf kalau ayat aku ada yang menyinggung perasaan kau. Aku menasihati kerana aku rasa masyarakat perlu diubah perspektifnya bermula daripada kau. Biasalah, perihal orang kita memang begini acuannya. Aku harap kau dapat manfaatnya.”

Petang itu, merupakan petang yang tidak boleh Tuan Ghani lupakan. Petang yang mengubah pandangan beliau sebagai seorang manusia dan ayah. Kejayaan merupakan anugerah yang berbeza bagi setiap manusia dan kejayaan tidak pernah sesekali tersalah alamat. Sebenarnya, kita semua telah mendapatkan kejayaan sekiranya kita menghargai segala perkata yang kita telah lakukan. Manusia selalu perlu yakin dengan rezeki daripada tuhan dan beringat,

 

“Everybody is a genius. But, if you judge a fish by its ability to climb a tree, it will live its whole life believing that it is stupid.” – Albert Einstein.

 

 

Disediakan oleh,

Nabil Nur Akmal Bin Musa

Leave a Reply

Loading…

4 Bulan Di Amerika: Introspeksi Diri

Bagaimana Mengekalkan Motivasi Dalam Membaca?