in

Cerpen: Kurung Kedah Kain Cita Nek Mah

Suasana yang gerimis akibat hujan lebat membuatkan dia terleka menikmati pemandangan pada hari itu. Seakan-akan kabus yang tebal menemaninya dibalkoni rumah flat di tengah bandar raya Kuala Lumpur. Memerhati kawasan sekeliling yang penuh dengan bangunan yang agak padat mula menyesakkan dadanya. Keserabutan dan bunyi bising hiruk-pikuk bandar raya membuatkannya teringat akan kampung halaman yang aman damai.

Terbayang wajah ibu yang membuat panggilan video kepadanya memberitahu bahawa musim buah durian sudah mula luruh di kampung.

 “Baliklah Timah makan buah durian di kampung, sekarang ni musim durian. Tahun lepas pun kamu tidak pulang ketika musim durian. Bolehlah merasa buah durian yang segar dari dusun atuk ini”. Kata ibu kepada Timah. 

Bukannya Timah tidak mahu pulang tetapi kekangan kerja membuatkan dirinya sibuk sehingga tidak sempat untuk pulang ke kampung. Timah seraya berkata kepada ibu “baiklah ibu nanti Timah balik kalau Timah dapat cuti daripada bos”. Timah hanya mengiyakan sahaja kerana dia tahu sekiranya dia memberi alasan sudah pasti ibunya akan memulakan sesi tazkirah yang panjang kepadanya. 

Keesokannya setelah Timah menghabiskan kerja di pejabat, dia terus memandu pacuan empat rodanya itu pulang ke rumah sewanya. Beg pakaian yang telah diisi dengan beberapa pasang baju diambil dan dimasukkan ke dalam bonet kereta untuk memudahkannya bertolak pada esok pagi. Cuti yang diminta daripada bosnya telah mendapat kelulusan. Puas juga dia merayu dan memberi alasan untuk pulang ke kampung. Akhirnya setelah mendapat persetujuan daripada bosnya untuk bercuti, kerja yang tertunggak mula dihabiskan dengan segera supaya nanti apabila balik ke kampung dia tidak perlu memikirkan lagi kerja di pejabat. 

Keadaan jalan raya pada hujung minggu itu agak sesak kerana ramai yang pulang ke kampung halaman masing-masing memandangkan musim cuti sekolah telah tiba. Sesekali pedal ditekan dengan laju kerana keterujaan hendak segera tiba ke haluan yang dituju, mengacah di liang benak. Sepertimana lonjakan perasaan yang ingin menikmati durian di dusun atuk yang telah lama tidak dia rasai. 

Dia tahu bahawa kepulangannya kali ini agak berbeza dari kebiasaan. Meskipun perjalanan ulang-alik ke Kampung Masjid Baru sudah menjadi rutin peribadinya saban waktu, terutamanya ketika menziarahi ibu yang mendiami rumah pusaka peninggalan moyang. Nek Mah juga kini sudah semakin uzur dimamah usia. Seringkali ibu menjenguk Nek Mah dengan menghantar makanan kepadanya memandangkan Nek Mah tinggal berseorangan. Namun apabila diajak untuk tinggal bersama ibu ada saja alasan yang diberi. Maklumlah orang yang berusia mana mahu untuk meninggalkan rumahnya, mungkin kerana sudah selesa dengan rumahnya sendiri. 

Perasaan gembira semakin membuak-buak tatkala papan tanda menunjukkan sempadan negeri Kedah Darul Aman. Terkadang mata sempat melirik ke ruang penumpang kereta di belakang melihat selonggok plastik besar. Dia tersenyum sendirian apabila mengingatkan gelagat Nek Mah yang sering memesan kain cita iaitu kain kapas yang berbunga kecil untuk dijadikan baju kurung Kedah. Tak semena-mena rasa lucu menjentik ke hati. Mengenangkan telatah Nek Mah, hatinya sudah mula berbunga-bunga. Beberapa minggu yang lalu, neneknya yang telah berusia senja itu tidak putus-putus menghubunginya memberi peringatan agar tidak lupa akan kain yang dipesannya. Menggesa untuk pulang ke kampung lebih awal dengan membawa kain tersebut sama sekali tidak masuk akal baginya.

Memandangkan kilang pembuatan kain tersebut berada di Kuala Lumpur, dapatlah dia membeli untuk Nek Mah dengan harga yang agak murah kerana saban tahun mereka mengadakan promosi jualan gudang. Harga kain tersebut agak mahal di Kedah berbanding membeli dikilangnya secara terus. Oleh sebab itulah, Nek Mah menyuruhnya membeli dengan kuantiti yang banyak.

“Timah kau bawa balik kain yang Nek Mah pesan tu nanti ya. Jangan dilupakan pulak”. Kata Nek Mah. 

“Nek Mah nak buat apa kain banyak-banyak tu? Kalau Nek Mah teringin sangat nak pakai baju Kedah tu, biar Timah beli yang dah siap dijahit ja terus untuk Nek Mah. Tak payah la Nek Mah bersusah payah nak menjahit lagi”. Dia mula mencelah.

“Nek Mah tak nak yang dah siap dijahit. Kau beli sajalah kain tu, nanti ada masa Nek Mah buat la baju”. 

Ada saja perkara yang  dijawabkan. Walaupun usia Nek Mah sudah semakin meningkat tetapi kudrat yang ada pada dirinya tidak pernah lelah. Kudratnya untuk menjahit baju masih lagi mampu cumanya sekarang dia sudah tidak lagi mengambil upah untuk menjahit pakaian kerana mahu fokus dengan ibadah. 

Dengus dihamburkan dengan perlahan. Papan tanda simpang masuk ke Daerah Padang Terap jelas terpampar di hadapan membuatkan lamunannya terhenti sejenak. Lagi setengah jam sampailah dia di kampung halaman. Matanya beralih arah melihat kehijauan sawah padi yang terbentang luas dan ditengahnya terdapat orang-orang yang digunakan untuk menakutkan haiwan seperti burung daripada menghampiri sawah padi. 

Ingatan sewaktu kanak-kanak mula menerjah di fikiran. Melihat arwah atuk yang sering meraut buluh untuk dijadikan layang-layang ketika musim menuai amatlah dirindui. Meskipun layang-layang yang dibuat oleh atuk adalah biasa tetapi kepakaran yang atuk miliki membolehkan layang-layang tersebut terbang tinggi. Buluh yang atuk gunakan diambil di sebelah rumah Nek Mah. Tetapi kini pokok buluh tersebut rimbun dan tidak lagi dipedulikan. Cuma kadangkala ketika waktu lapang, Nek Mah menyapu daunnya yang gugur kerana bimbang akan ada haiwan seperti ular berada di situ. 

Sejurus enjin kereta dimatikan kelihatan kelibat nek Mah datang ke rumah ibu pada petang itu. Agaknya Nek Mah mesti tidak sabar untuk melihat kain cita yang dipesannya beberapa minggu yang lepas. 

“Akhirnya setelah lama menunggu sampai juga kau, Timah!”. Kata ibu kepadanya.

Wajah ibu yang tersenyum girang menyambut kepulangannya tidak dapat disembunyikan lagi. Dia bersalaman dengan ibu dan Nek Mah disertai dengan pelukan erat keduanya. Perjalanan yang mengambil masa selama enam jam terasa begitu lama ditambah pula dengan kesesakan lalu lintas akibat terdapat kemalangan jalan raya yang menyebabkan lorong kanan terpaksa ditutup. Wajah kesayangan yang ditatap membuatkan penatnya terus tidak terasa. 

“Ayah mana, ibu? Tak nampak bayangnya pun, motosikalnya pun tidak ada”.

 Dia menjenguk ke dalam rumah untuk melihat kelibat ayahnya. Namun susuk tubuh yang gagah itu tidak juga kelihatan. Selalunya ayah dan ibu orang pertama yang akan menyambut kepulangannya setiap kali dia pulang ke kampung. Tiba-tiba dia teringat bahawa kepulangannya itu secara mengejut dan tanpa memberitahu mereka bahawa dia akan pulang ke kampug dalam waktu terdekat. Mereka menyangka bahawa lagi seminggu dua dia akan pulang ke kampung memandangkan cutinya dibekukan. Namun ihsan yang diberikan bos membolehkan dia pulang ke kampung kerana dia jarang mengambil cuti sesuka hati. 

“Ada dirumah Tok Yam tu ha. Pergi memberi durian katanya. Durian di dusun atuk banyak sangat sampai tak termakan. Itu yang bagi dekat jiran-jiran tu. Kejab lagi pulanglah tu.”

Ibu menunjukkan tangan menghala ke rumah Tok Yam yang tidak jauh dari rumahnya. Ibu mungkin sudah dapat mengagak bahawa dia akan bertanyakan soalan tersebut. Bonet kereta dibuka dan tangannya lincah mengambil beg pakaiannya itu untuk dibawa masuk ke dalam rumah. Manakala Nek Mah sudah bersiap sedia menunggu di pintu kereta untuk mengambil kain yang dipesannya itu. 

“Itu kain yang dipesan Nek Mah ke?” tiba-tiba Nek Mah bersuara. 

Raut wajah keterujaan Nek Mah jelas terpancar apabila melihat kainnya itu. Pertanyaan Nek Mah disambut dengan anggukan kecil dan senyuman. Nek Mah dengan pantas mengambil plastik yang berisi kain cita itu membawa pulang ke rumahnya. Ibu ketawa lucu melihat gelagat Nek Mah yang termengah-mengah mengangkut plastik yang berisi kain tersebut. 

Setelah meningkat usia dan tidak lagi menerima upah menjahit, Nek Mah selalu membuat baju untuk kami anak beranak. Katanya hanya sekadar untuk mengisi masa lapang. Ada sahaja baju baru yang dibuatnya. Namun baju kurung Kedah yang menjadi rutin hariannya untuk menjahit. 

Kedengaran motosikal ayah diluar rumah membuatkan dia berlari-lari anak menuju ke arah ayahnya. Senyuman ayah dari jauh kelihatan apabila melihat anak tunggalnya itu pulang. Tangan ayah dicium dan digenggam erat. Setelah bersalaman dengan ayah, ibu menyuruhnya memanggil Nek Mah untuk makan tengah hari bersama-sama mereka di rumah. Kami jamah dengan berselera sekali kerana lauk kampung yang dimasak oleh ibu membangkitkan selera kami semua. Antara masakan yang dimasak oleh ibu ialah tempoyak ikan patin, ikan talapia bakar bersama tempoyak, ulam pucuk ubi rebus dan jantung pisang bersama sambal belacan. Walaupun hanya lauk biasa tetapi itu sudah cukup membangkitkan selera kami. 

Keesokannya, ayah membawanya ke dusun durian milik atuk. Lokasi dusun tersebut tidaklah jauh dari rumah, hanya mengambil masa 10 minit sahaja sekiranya menaiki motosikal untuk sampai ke dusun tersebut. Setibanya kami di dusun, ayah mengutip buah durian yang gugur pada hari tersebut. Dia bersama ibunya menuju ke sebuah pondok kecil yang dibuat oleh ayah untuk berehat sewaktu menunggu buah luruh di dusun. Ayah memberitahu bahawa setiap petang ayah akan menunggu di dusun kerana terdapat kera atau monyet yang datang dari hutan berdekatan untuk memakan buah durian. Jika tidak dijaga maka tidak sempatlah untuk kita merasa buah durian pada tahun tersebut kerana dihabiskan oleh kera yang sering berkunjung di dusun tersebut. 

Nasi pulut yang ditanak dan santan yang disediakan oleh ibu pada pagi itu diletakkan di atas pondok. Menunggu hasil kutipan durian yang dikutip oleh ayah membuatkan dia tidak sabar untuk menikmati durian tersebut. Bau yang kuat dan isinya yang berwarna kuning amat menyelerakan ditambah pula dimakan didalam dusun itu sendiri. Suasana itu yang membuatkan dia berasa tenang dan bebas daripada hiruk-pikuk bandar. 

Seusai memakan durian di dusun, kami terus pulang ke rumah. Belum sempat untuk dia meredakan lelah, kelibat Nek Mah telah muncul di muka pintu. 

“Ya Nek Mah nak jumpa ibu ke? Sekejap ya Timah panggilkan”. Belum sempat dia memanggil ibu, Nek Mah mencelah.

“Eh taklah, Nek Mah kesini nak mengajak kamu ke rumah Nek Mah sekejap boleh?”. Balas Nek Mah.

Dia mengangguk tanda bersetuju. Permintaan Nek Mah terpaksa diakur walaupun dirinya masih kepenatan.

“Nek Mah nak suruh Timah buat apa ni?”. Pelbagai persoalan mula berlegar di fikiran.

Terkadang dia tersenyum melihat gelagat Nek Mah. Meskipun sudah berusia tetapi tetap tampak bersemangat. Padahal titisan peluh kelihatan di dahi tua itu. Sesekali dia terpandang juga baju kurung Kedah yang sering dipakai oleh Nek Mah itu. Cantik dan sopan. 

Setibanya di rumah Nek Mah, kelihatan kain yang dibelinya berada di lantai. Nek Mah tersenyum seraya berkata “meh sini Nek Mah ajarkan cara untuk membuat baju kurung Kedah ni. Nanti adalah jugalah pewaris Nek Mah yang tahu membuat baju ini.” 

Walaupun sedikit penat namun melihat kesungguhan Nek Mah membuatkan dia terus bersemangat untuk belajar. Nek Mah mula bercerita sedikit sebanyak tentang baju kurung Kedah ini. Katanya baju kurung Kedah ini dipercayai berasal daripada Selatan Thailand. Jenis kain memainkan peranan penting kerana pemilihan kain yang betul menentukan keselesaan kita ketika memakai. Selalunya baju Kedah diperbuat daripada kain cita iaitu kain kapas yang berbunga kecil ataupun kain kasa nipis yang jarang dan keras. 

Baju kurung Kedah juga dijadikan sebagai pakaian harian atau pakaian basahan pada suatu ketika dahulu. Ia dibuat singkat sampai ke paras punggung dan biasanya dipakai dengan kain batik ataupun kain pelikat tanpa banyak hiasan. Setelah diterang dengan lebih lanjut oleh Nek Mah kini baru dia mengerti kenapa Nek Mah selalu memakai baju kurung Kedah sehingga lusuh. Keselesaan ketika memakai baju Kedah tidak sama seperti memakai baju lain.

Meskipun sedikit benak ketika belajar membuat baju bersama Nek Mah namun sikap ketekunan Nek Mah untuk mengajarnya tidak pernah luntur. Akhirnya, dia mampu untuk membuat sehelai baju kurung Kedah pada hari itu. Nampak senang tetapi agak rumit jika tidak dibuat dengan teliti. Keterujaan Nek Mah jelas terpancar kerana dapat juga dia mengajar Timah untuk membuat baju tersebut. 

“Nah, baju ni kamu pakailah Nek Mah percaya pasti kamu tidak akan menyesal.” Kata Nek Mah kepadanya.

Setelah pulang ke rumah dengan memakai baju kurung Kedah tersebut, ibu kelihatan terkejut dan terbeliak matanya melihat anak gadisnya itu berpakaian sebegitu. Mana tidaknya, anaknya itu tidak pernah berbaju kurung Kedah. 

“Wah, sopannya anak ibu. Tenang ja ibu tengok kamu berpakaian sebegini.” Ibu mula bersuara.

Hatinya mula berbunga-bunga dan muka bertukar merah-kemerahan apabila dipuji sebegitu rupa oleh ibu. Sejak daripada itu, dia mula membantu Nek Mah membuat baju kurung Kedah. Hal ini sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan kemahirannya dalam bidang jahitan. Dapat jahit baju sendiri sudah bersyukur kalau nak dibandingkan dengan baju yang dibeli memang harganya sangat mahal. 

Setelah tiga hari di kampung, kini tibalah masa untuk pulang ke Kuala Lumpur. Berat hatinya untuk meninggalkan ibu ayah dan juga Nek Mah. Namun atas urusan pekerjaan, dia terpaksa pulang untuk menyelesaikan tugasannya. Walaupun hanya cuti yang singkat, pengalaman yang dia peroleh selama tiga hari itu sangatlah bermakna terutamanya cara yang diajar oleh Nek Mah untuk menjahit baju kurung Kedah. 

Baju kurung Kedah telah menjadi trend masa kini dalam dunia fesyen. Terdapat banyak permintaan terhadap baju kurung Kedah. Namun keaslian baju kurung Kedah telah diubah suai mengikut kehendak pelanggan. Ada yang ingin menambah labuci atau manik dan dipadankan juga dengan kain sarung moden. Pemilihan kain juga bukanlah seperti kain bunga kecil tetapi kain kosong yang tidak bercorak. Walaupun telah diubah suai namun identiti baju kurung Kedah tetap menjadi pilihan pelanggan. 

Dengan langkah longlai, dia menonong masuk ke dalam perut kereta. Sempat juga dia menjamah makanan kegemarannya yang dimasak oleh ibu. Lambaian kepada Nek Mah yang berada di atas tangga itu masih terngiang-ngiang didalam ingatannya. Dia menguntum senyuman apabila teringatkan wajah jernih Nek Mah. 

Setelah bergelut dengan kesesakan lalu lintas selama beberapa jam akhirnya dia sampai dirumah flat yang disewanya. Hati berdegus kecil memikirkan kehidupan di bandar yang tidak pernah tenteram daripada bunyi kenderaan. Namun dia harus akur kerana dengan pekerjaan itulah dia dapat membantu ibu dan ayah di kampung. 

Pengalaman berada di dusun hanya setahun sekali sahaja dapat dia rasai. Mujurlah tahun ini sempat juga dia pulang ke kampung memandangkan pada tahun lepas ketika musim durian dia terpaksa bekerja menggantikan kawannya yang sedang cuti bersalin. Dia juga berhasrat untuk membeli mesin jahit supaya dapat menjana pendapatan sampingan ketika hujung minggu. Maklumlah upah menjahit di sekitar ibu kota boleh mencecah ratusan ringgit bergantung kepada jenis baju yang dibuat. 

Dia bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang sering memberi dorongan kepadanya terutamanya Nek Mah yang selalu memberi galakan kepadanya untuk menjahit baju. Kini baju kurung Kedah menjadi pakaian kegemarannya di tempat kerja sehinggakan ada yang ingin menempah baju tersebut kepadanya. Namun dia hanya menerima tempahan baju pada hujung minggu sahaja untuk mengisi masa lapang. Pada mulanya dia hanya menjahit secara suka-suka tetapi sekarang menjahit telahpun menjadi pekerjaan sampingannya. Benarlah kata ibu dan Nek Mah bahawa warisan melayu memang tidak akan lupus ditelan zaman. 

Tamat

 

Disediakan oleh,

Hafizah binti Bahari

Pelajar,

Universiti Putra Malaysia

 

Leave a Reply

Loading…

Dari Penjara Taliban Menuju Iman

Feeling Not Motivated To Pray?