Pada 14 Julai 1958, mufti Johor telah menyiarkan satu pernyataan yang melibatkan agama sehingga Hamka mengambil keputusan menulis sebuah naskah untuk menegur pernyataan mufti Johor ketika itu. Bagi Hamka, pernyataan mufti Johor tersebut merupakan satu tuduhan yang berat terhadap agama. Seperti biasa Hamka yang penuh berhikmah dan bijaksana, tegas menangkis kenyataan tersebut tanpa memperkecilkan peribadi Mufti Johor.

Jarang kita jumpa teguran-teguran berhikmah lebih-lebih lagi pada masa kini. “Budi Bahasa Budaya Kita” yang semakin terhakis. Kebanyakan teguran serta perdebatan agama biasa disertai kata-kata kesat, merendah-rendahkan dan saling menghukum. Lebih malang lagi perdebatan tersebut lebih kepada kepentingan peribadi daripada kepentingan agama.

Saya cenderung merujuk pendapat-pendapat Hamka untuk mencari jawapan kepada perselisihan yang berlaku serta perdebatan tanpa noktah yang melanda golongan agamawan kerana peribadi Hamka yang lebih mementingkan persefahaman dan berbudi bahasa.

Terima kasih kepada pihak Jejak Tarbiah kerana telah menerbitkan karya-karya Hamka dengan pendekatan dan reka bentuk yang lebih menarik.

Buku Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor dimulakan dengan mukadimah yang mempunyai salinan halaman ‘Akhbar Semenanjung’ mengenai pendapat mufti Johor iaitu as-Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad. Di dalam akhbar tersebut, mufti Johor telah memburuk-burukkan Gerakan Kaum Muda serta menjatuhkan hukuman kafir terhadap Kaum Muda. Hal ini menyebabkan Hamka terpanggil untuk membetulkan pernyataantersebut supaya akidah Kaum Muda tidak sewenang-wenangnya dihukumkan kafir sedemikian rupa. 

Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor - Hamka | Shopee Malaysia

Hamka memulakan tegurannya dengan menyatakan bahawa setiap manusia pasti ada silapnya, ada khilafnya, begitu juga Mufti Johor. Kemudian teguran diteruskan dengan menyatakan setiap fakta kenyataan mufti dijawab satu persatu yang memudahkan pembaca memahami kenyataan yang betul.

Jika pernyataan mufti itu menyentuh sejarah, maka Hamka menerangkan dengan sejarah dengan ringkas dan padat. Jika pernyataan tersebut menyentuh peribadi seseorang, maka Hamka menerangkan biografi individu tersebut. Adapun pernyataan berkaitan statistik, juga dihujahkan oleh Hamka menggunakan statistik. Begitulah telitinya Hamka dalam mengemukakan hujah demi menjawab pernyataan mufti berkenaan.

Buku ini mengajar kita bahawa sebelum mengeluarkan sesuatu hukum tertentu dikeluarkan, pentingnya mengkaji dan mencari ilmu terlebih dahulu agar dalil-dalil yang diguna pakai dapat diaplikasikan mengikut konteks isu tersebut.

Misalnya dalam penetapan hukum halal dan haram sesuatu perubatan, ilmu mengenai perubatan perlu difahami atau dirujuk kepada yang pakar agar dalil-dalil yang digunakan dapat diaplikasikan dengan tepat.

Dalam buku ini, isu yang timbul adalah berkaitan sejarah dan ketokohan individu, maka rujukan yang diguna pakai Hamka adalah berkaitan isu tersebut telah diperhalusi sumbernya sebelum mengeluarkan hujah.

Hamka juga menyatakan beberapa kemungkinan dan sangka baik yang menyebabkan mufti Johor terkhilaf dalam mengeluarkan pernyataan tersebut demi mengelakkan buruk sangka orang ramai terhadap seorang mufti. Hal Ini menunjukkan bahawa Hamka sama sekali tidak berniat bermusuh atau menjatuhkan sosok seorang mufti tetapi hanya untuk menjernihkan kekeruhan yang berlaku.

Amatlah sesuai buku ini dibaca bersama karya Hamka “Di Tepi Sungai Dajlah” yang juga menonjolkan keperibadian mulia Hamka serta hikmah kebijaksanaan beliau dalam mendepani perbezaan pendapat.

Teguran Hamka diakhiri dengan penuh hormat terhadap mufti Johor:

“Sungguhpun sudah berpanjang-panjang saya menulis yang kadang-kadang keras  sebagai menentang namun saya tidaklah menaruh dendam rasa permusuhan terhadap Samahah Mufti. Malah sebaliknya rasa hormat dan kasih kepada orang tua menyebabkan saya berasa wajib menyampaikan peringatan ini…”

Hal ini menunjukkan beliau tetap menghormati dan bersangka baik dengan mufti walaupun mereka berbeza pendapat dan pendirian.

Buku ini juga mengajar kita agar sentiasa menuntut ilmu dalam pelbagai bidang kerana Islam itu merangkumi segala perkara dan tidak mudah bertaklid agar seruan “amar makruf nahi munkar” dapat ditegakkan.

Saya mengesyorkan agar buku ini dimiliki oleh semua orang lebih-lebih lagi perbincangan yang dibawa masih amat relevan ketika ini walaupun karya ini selesai ditulis pada 8 Ogos 1958. Jika berpeluang, saya ingin menghadiahkan buku ini kepada semua orang Islam supaya kita dapat hidup saling menghormati walaupun berbeza pendapat dan pendirian.

Semakin ramai yang membaca buku ini, nescaya akan lahirlah ramai “Sahibus Samahah” yang bermaksud orang memiliki sifat toleransi atau orang yang berlapang dada dan berkuranglah gelaran-gelaran yang memecahkan umat Islam.

Hamka berkata,

“Pada hakikatnya, tidaklah ada faedahnya kita memakai segala gelaran atau nama yang akan mendatangkan ragu atau perpecahan”

“Kita bersatu pada urat dan pada pohon, adapun jika banyak cabang kayu adalah itu alamat suburnya”.

Terima kasih juga kepada rakan saya yang telah menghadiahkan saya buku ini, semoga bertemu di syurga kelak. Semoga bermanfaat!

Disediakan oleh,

Nur Aina

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.