Kekecewaan adalah sesuatu yang pasti kita alami selama nadi kita ini masih berdenyut di dunia. Dari kecewa, mengajar kita tentang kesabaran. Namun, ada segelintir insan tidak mudah untuk menahan keluh-kesah saat jiwanya ditimpa kehampaan.

Ada pelbagai macam bentuk kekecewaan mengetuk pintu kehidupan. Kita berbeza-beza dugaannya. Mungkin ada yang putih mata kerana gagal dalam mencapai pekerjaan yang diidamkan selama ini. Mungkin ada yang berdukacita kerana mahligai perkahwinan yang telah runtuh di tengah jalan. Barangkali ada yang mendapat keputusan yang kurang memberansangkan dalam pelajaran. Ada pula patah hati kerana cinta yang tidak kesampaian, dan sebagainya.

Seperti yang kita sedia maklum bahawa bulan Ramadan merupakan bulan kemuliaan. Ketika Ramadan menjelang, gerbang-gerbang kebaikan telah dibuka seluas-luasnya. Manakala pintu-pintu keburukan ditutup serapat-rapatnya. Nabi Muhammad s.a.w walaupun telah dijamin Syurga oleh Allah SWT, tetapi baginda adalah seorang yang paling rajin beribadah sepanjang bulan yang mulia itu.

Imam Ibnu Qayyim al-Jawziyyah rahimahullah berkata, 

“Diantara petunjuk Nabi s.a.w di bulan Ramadan ialah; memperbanyakkan ibadah. Jibril menyemak bacaan al-Qurannya di bulan Ramadan. Jika Jibril menemuinya, maka beliau lebih dermawan dengan kebaikan daripada angin yang berhembus. Beliau adalah orang yang paling dermawan, dan lebih dermawan lagi di bulan Ramadan. Pada bulan itu, beliau memperbanyakkan sedekah dan kebaikan, membaca al-Quran, solat, zikir dan iktikaf. Beliau mengkhususkan bulan Ramadan dengan apa yang tidak beliau perbuat di bulan-bulan lainnya. [Zaadul Ma’aad]

Maka dari itu, sesiapapun yang sedang berada dalam fasa kenestapaan kalbu, inilah waktunya untuk move on

Pada bulan suci Ramadan kali ini, nyahkan kekesalan yang sekian lama mendap dalam hatimu itu. Sekaranglah masanya memperbaiki hubungan dengan Allah azza wa Jalla. Ingatlah bahawa Allah masih memilih kita untuk bertemu dengan bulan yang mulia, yakni bulan Ramadan. Adakah kita mahu menyia-nyiakan peluang yang diberi ini?

Rezeki, jodoh, ajal dan seumpamanya telah pun Allah tetapkan dalam luh mahfuz. Suatu takdir yang memang dituliskan Allah untuk setiap daripada makhluknya. Kendatipun ada sahaja manusia yang menghalangnya. Atau kerana jarak yang tidak memungkinkan. Atau apa sajalah namanya yang kita rasa itu adalah mustahil bagi diri kita, tetapi jika Allah berkehendak, maka tiada satu makhluk pun yang boleh menjadi penghalang.

Apakah kita masih ingat tentang rukun Iman? Salah satunya adalah; beriman kepada qada dan qadar daripada Allah SWT. Mulut kita yang mengaku bertauhid dan beramal, percaya bahawa apa jua perancangan-Nya, sungguh semua itu mengandungi fadhilat. Boleh jadi di mayapada ini, kita tak berjaya menggali hikmah tersebut tapi di negeri Abadi, bi’idznillah tiada lagi yang tersembunyi. 

Apabila kita sudah benar-benar beriman kepada qada dan qadar Allah, dibuktikan dari amalan zahir kita, bukan cuma sekadar di lisan, maka apapun badai kekecewaan yang cuba meluluh-lantakkan rumah kehidupan kita, insya-Allah kita mampu mendepaninya dengan penuh ketenangan. Sembari perlahan-lahan mengatur semula langkah, menyulam kembali impian-impian baharu.

Alangkah beruntungnya sekiranya waktu kita di sepanjang bulan Ramadan ini dihabiskan dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Berbanding dari meratapi nasib buruk yang menimpa diri.

Belajarlah tentang akidah orang Mukmin dengan tekun. Memandangkan selama bulan Ramadan ini, begitu banyak kuliah-kuliah diadakan. Baik secara online mahupun di dunia nyata. Semua itu terpulang kepada kita, antara malas atau rajin saja hendak mengulang kaji pelajaran agama tersebut.

Sementelahan itu, menghayati pesan-pesan cinta Allah dalam al-Quran juga mampu mendamaikan jiwa yang sedang sarat dengan kecewa. Membaca kitabullah pada bulan Ramadan tidak semestinya kita wajib mengkhatamkan kesemua juzuk. Apalah gunanya kita tergesa-gesa membacanya tapi maknanya langsung tidak kita fahami. Tidak pula meresap ke dalam hati. Tidak memberikan apa-apa impak dalam kehidupan kita.

Isi al-Quran menjadi sangat bererti ketika kita tidak terburu-buru membacanya. Kita renungi satu-persatu ayat-ayatnya sambil mengkaji tafsirnya sesuai dengan fahaman Salafus Sholeh. Para pendahulu kita apabila membaca kitabullah, mereka akan memeriksa apakah perintah Allah dalam ayat tersebut sudah mereka laksanakan atau belum. Mereka sangat takut sekiranya mereka hanya membaca tanpa beramal. Khuatir Allah akan tanya perihal itu di Hari Hisab kelak. Bagaimana pula dengan kita?

Begitu pula dengan Qiyamulail. Jangan pernah meninggalkannya di sepanjang bulan yang mulia ini. Dalam ibadah malam, rafakkan doa kepada Rabb Maha Penyayang dengan khusyuk. Kalau kita rasa hendak menangis, silakan saja. Usah ditahan-tahan. Adukan kesemuanya kepada Allah.

Kelak, apabila Ramadan sudah meninggalkan kita, keluarlah sebagai hamba Allah yang baharu. Yakni sudah move on dari sebarang kenestapaan. Memandang masalah dunia sebagai hal yang kecil. Hamba Ilahi yang lebih fokus mengejar kenikmatan ukhrawi.

Wallahua’lam..

Ditulis oleh: Shafiyyah Mei


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.