Ketika awal kemasukan ke universiti, saya telah mengalami kejutan budaya. Budaya senioriti begitu menebal dan tidak terkawal. Terutamanya dalam isu penempatan kolej kediaman pelajar apabila pelajar senior yang tidak mendapat penempatan telah memasuki mana-mana bilik junior secara haram. Oleh kerana takut diganggu pelajar senior, kebanyakan pelajar hanya menerima sahaja asalkan tidak berlaku sesuatu serius.

Semasa minggu orientasi, pelajar baru terpaksa mengikuti arahan senior untuk berlatih tarian ‘hakka‘ sehingga tengah malam demi mendapat tempat pertama pada acara perlawanan antara kolej nanti. Kebanyakan pelajar senior kolej akan menjerit-jerit dengan panggilan keji menyuruh turun ke bawah untuk berlatih hampir setiap malam. Yang menjadi-jadi ialah pelajar senior memegang portfolio jawatankuasa kolej berdiri di beranda sambil memandang pelajar semester satu dengan angkuh.

Pernah terjadi satu ketegangan berlaku apabila ada seorang pelajar baru yang sebelum ini tidak hadir diherdik oleh seorang senior dan pelajar tersebut membalas balik dengan marah. Kami yang lain hanya diam sahaja memerhati kerana tidak mahu berlaku sebarang masalah, memandangkan ibu bapa menghantar ke universiti untuk belajar dengan baik. Tambahan pula, kami pelajar baru lepasan sekolah kebanyakannya kurang berpengalaman dan agak naif untuk bertindak.

وَلَا تَنَابَزُوْا بِالْاَلْقَابِۗ

“Dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.”

(Surah al Hujurat ayat 11)

Selain paksaan mengikuti latihan setiap malam, berlaku juga sesi suai kenal antara senior kolej kediaman dan pelajar baru. Dalam sesi perkenalan biasanya akan diperkenalkan setiap seorang supaya dapat eratkan hubungan satu sama lain. Perkara ini pada zahirnya memang baik dan terpuji. Namun yang menjadi masalah apabila mereka akan memberikan nama gelaran yang buruk kepada pelajar baru berdasarkan kisah mereka.. Begitulah sketsa kehidupan di awal alam universiti. 

Dulu, saya menganggap universiti ialah satu institusi keramat yang penuh dengan budaya ilmiah dan akhlak baik. Namun, tanggapan saya jatuh meleset. Nama bukanlah penentu kualiti kepada sesuatu. Nama gah dan baik sekalipun boleh menjadi lekeh dan teruk sekiranya kualiti di dalamnya itu rendah. Contohnya ialah pusat tahfiz sekalipun jika tidak ditapis dan dikumpulkan anak-anak bermasalah yang tidak diberi perhatian, besar kemungkinan menghasilkan isu baru di dalam pusat tersebut seperti buli, gangguan seksual, dan penyalahgunaan dadah.

فَإِنَّ الشَّرِيعَةَ مَبْنَاهَا وَأَسَاسُهَا عَلَى الْحِكَمِ وَمَصَالِحِ الْعِبَادِ فِي الْمَعَاشِ وَالْمَعَادِ، وَهِيَ عَدْلٌ كُلُّهَا، وَرَحْمَةٌ كُلُّهَا، وَمَصَالِحُ كُلُّهَا، وَحِكْمَةٌ كُلُّهَا؛ فَكُلُّ مَسْأَلَةٍ خَرَجَتْ عَنْ الْعَدْلِ إلَى الْجَوْرِ، وَعَنْ الرَّحْمَةِ إلَى ضِدِّهَا، وَعَنْ الْمَصْلَحَةِ إلَى الْمَفْسَدَةِ، وَعَنْ الْحِكْمَةِ إلَى الْبَعْثِ؛ فَلَيْسَتْ مِنْ الشَّرِيعَةِ وَإِنْ أُدْخِلَتْ فِيهَا بِالتَّأْوِيلِ

Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kerahmatan, kemaslahatan dan hikmah. Maka setiap perkara yang berubah dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmah kepada sia-sia maka ia bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya“.

(Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail)

Sepertimana yang dinukilkan oleh Jabatan Mufti Perlis dalam laman web rasminya, Ibn Qayyim menjelaskan bahawa sekalipun sesebuah perkara itu dipaparkan sebagai syariah Islam, namun jika pelaksanaannya tidak mengikut apa yang dibawa Islam, maka itu bukanlah benar. Hal ini boleh juga kita kaitkan dengan konsep lain. Walaupun sesebuah tempat itu dinamakan sebagai pusat didikan akhlak dan penyuburan ilmu, namun apabila pelaksanaan dalaman dibiarkan ke tangan pihak yang  tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan masalah kepada yang lain, tidak boleh dibiarkan dan berpuas hati saja. Tujuan pendidikan bukan pada pencapaian akademik sahaja lalu membiarkan sahsiah pelajar universiti menjadi tidak terkawal.

Pada 18 Julai 2010, jam 10.30 malam, Ahmad Zulhelmi, yang ketika itu pelajar diploma Sains Kuantitatif mendakwa telah dibelasah oleh sebelas orang senior beliau. Bagaimanapun, pada tahun 2012, semua pesalah yang diwakili oleh peguam telah membuat permohonan maaf kepada mangsa di dalam mahkamah sepertimana dilaporkan oleh Astro Awani. 

Ragam dunia, permohonan maaf hanya diterima apabila tindakan undang-undang dibuat. Jika tiada apa-apa tindakan mahupun laporan, pesalah dapat menikmati kehidupan bebas tanpa hukuman manakala mangsa terkontang-kanting bergelut dengan trauma peribadi.

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ

Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.

(Surah Taha ayat 124)

Saya percaya meskipun pesalah dikurniakan kesenangan dalam hidup pasti tiada ketenangan dan kelapangan dalam dada mereka. Malah jika tidak bertaubat dan meminta maaf dengan ikhlas, kecenderungan untuk terus terjerumus dalam lembah kemungkaran semakin tinggi. Hati mereka semakin kelam, sukar untuk menerima hidayah disebabkan perbuatan sendiri dan akhirnya sebati dengan kejahatan.

الْبِرُّ مَا اطْمَأَنَّتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي النَّفْسِ وَتَرَدَّدَ فِي الصَّدْرِ

Kebaikan ialah apa yang membuatkan jiwa tenang. Manakala dosa adalah yang membuat jiwamu gelisah dan ragu-ragu di hatimu.”

(Riwayat Ahmad)

Disediakan oleh: Baha’uddin Hamizan

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.