Perasaan cinta itu adalah naluri semula jadi manusia. Dengannya, manusia saling berkasih sayang tanpa mengira bangsa dan juga usia. Cinta terhadap ibu bapa dan kaum kerabat, cinta kepada sahabat, cinta untuk pasangan dan lain sebagainya. Dengan cinta juga dapat melembutkan hati yang keras. Mampu mendekatkan yang jauh, merapatkan yang renggang. 

Sesungguhnya manusia takkan boleh lari dari fitrah mahu mencintai dan dicintai. Agama Islam juga tidak melarang penganutnya untuk jatuh cinta. Cumanya, apabila melibatkan cinta sesama makhluk dan juga berlainan jantina, maka Islam meletakkan garis panduan yang wajib kita patuhi. Ini supaya cinta tersebut tidak jatuh dalam kategori syirik kepada Allah. 

Jangan sesekali meletakkan cinta kita terhadap insan lain lebih besar berbanding daripada cinta kepada Allah. Dibimbangi perkara ini dapat merosakkan akidah tauhid kita. Sebagai contoh, ada seseorang tokoh agama yang begitu kita minati dan kita pun mengikuti setiap kuliah yang diajarkannya. Namun sampai suatu masa dia melakukan kesalahan. Boleh jadi hal itu berlaku kerana kecuaian dia atau dia memang sudah berpaling dari landasan sebenar. 

Apabila kita menyedari perkara tersebut, tindakan sewajarnya yang perlu kita ambil adalah menegur dengan sopan akan kesalahan tokoh tersebut dan meninggalkan ajaran dia yang tersilap itu. Bukannya malah menyokong dan taasub umpama dia adalah manusia maksum. Sedangkan kita sedia tahu bahawa tiada satu pun individu di muka bumi ini suci dari dosa melainkan para anbiya. 

Sekiranya kita sudah menasihati dengan baik tetapi beliau tidak mengendahkan bahkan lagi menegakkan benang yang basah, maka tak perlu kita layan dengan amarah membuak-buak. Sebaliknya, tinggalkanlah dia dan teruskan pembelajaran kita dalam menadah ilmu akhirat yang betul. Agamawan bukan cuma seorang, ada banyak lagi bertebaran di serata dunia.

Ulama terdahulu banyak memberikan pesan untuk direnungkan oleh generasi kemudian berkenaan isu taklid buta kepada agamawan. Salah satunya daripada Imam Malik bin Anas rahimahullah:

“Aku hanyalah seorang manusia, terkadang benar dan salah. Maka, telitilah pendapatku. Setiap pendapat yang sesuai dengan al-Quran dan sunnah nabi, maka ambillah. Dan jika tidak sesuai dengan keduanya, maka tinggalkanlah.”

(Jami’ Bayan al-‘Ilmi wa Fadhlih 2/32. Sumber: Muslim.or.id)

Cintailah tokoh itu kerana kebenaran daripada Allah yang disebarkannya. Bukan kerana susuk peribadinya semata. 

Masing-masing daripada kita mesti pernah jatuh cinta kepada seseorang. Sehingga kita bercita-cita mahu sehidup dan semati dengan dia. Semasa kita menginjak usia remaja pula, ada yang namanya ‘cinta monyet’. Walaupun ketika itu semua bukanlah serius belaka tapi tetap perasaan itu wujud dalam sanubari kita. 

Jatuh cinta kepada insan lain kadang tak berakhir dengan plot yang kita impikan. Harapan sering berbuah kekecewaan. Keinginan kita supaya dapat membina mahligai bahagia bersama si dia tapi kesudahannya punah begitu sahaja. Ada pula sudah berjaya mendirikan rumah tangga, tapi bercerai-berai di tengah jalan. Tiada sesiapa yang mengaku bersalah. Masing-masing mahu mempertahankan diri bahawa dia lah yang jujur. 

Adakalanya, suami atau isteri tak memahami apa itu konsep cinta dalam sesebuah perkahwinan. 

“Cinta itu adalah tindakan, memberi maaf, dan saling memahami. Tidak berpijak pada prinsip; berilah aku maka aku akan memberimu. Pengabdian tanpa batas dan pengorbanan tanpa henti.”

(Untuk sepasang kekasih, Karim asy-Syadzili, Bab Adam & Hawa m/s 33. Penerbit: Maghfirah Pustaka. Cetakan Tahun 2014)

Ya, cinta itu adalah amanah dan tanggungjawab. Apakah pasangan suami isteri itu dahulunya pernah mempelajari ilmu rumah tangga? Atau berkahwin sekadar suka-suka mengikuti trend? 

Walaupun demikian, terdapat beberapa perkahwinan yang sudah lama bertahan tapi terpaksa diruntuhkan. Barangkali itulah takdir yang terbaik dan menurunkan ketenangan kepada jiwa bekas suami dan isteri tersebut. Sememangnya tiada insan berhasrat perpisahan dari orang yang pernah dikasihi tapi apakan daya kalau dua  sudah tak mampu dicantumkan kembali? 

Disamping cinta dalam rumah tangga, turut hadir cinta kepada individu yang belum halal untuk kita. Sama ada itu cinta pandang pertama yang tak disengaja, cinta dari kejauhan, cimta kerana memiliki kegemaran yang sama, cinta kerana kagum pada keperibadiannya dan apapun gelarannya yang dapat membuat kita menyukai makhluk Allah itu. 

Cinta sebegini agak mudah menjerumuskan kita ke dalam hal-hal yang kurang elok. Ya, Islam tak mengharamkan kita jatuh cinta. Namun berapa ramai lelaki dan perempuan terjerat dengan talbis iblis atas alasan cinta? Kalau benar kita sayang kepadanya, apa salahnya untuk terus meluahkan isi hati dan diteruskan pada proses pernikahan? Tak semestinya tergesa-gesa mahu bernikah tapi semua itu ada prosesnya dalam agama Islam. Apa yang utama adalah fasa itu tidak dicemari dengan kubang maksiat sebagaimana yang banyak kita saksikan pada hari ini. Terlalu ramai pemuda pemudi berjalan berduaan, saling berpegangan tangan padahal mereka belum berstatus pasangan halal. Wal’iyadzubillah

Seandainya lamaran kita itu ditolak, tak mengapa. Usah berduka meratapi nasib. Sekurang-kurangnya kita sudah tahu jawaban dari awal dan tidak berharap terlalu lama yang natijahnya akan menorehkan luka paling dalam. Beringatlah sentiasa bahawa apa yang Allah tuliskan di lauh mahfuz untuk kita, itulah yang terindah. Mungkin dia bukan jodoh kita. Bunga bukan hanya satu dan kumbang bukan cuma seekor.

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (QS. Al Baqarah: 216).

Untuk yang jatuh cinta dari kejauhan, mengagumi si dia secara diam-diam, tiada apa yang mampu kita lakukan selain membanjiri langit dengan doa-doa kepada Allah semoga dialah takdirmu yang tertulis 50 ribu tahun sebelum diciptakan-Nya langit dan bumi. Orang-orang beriman selalu yakin terhadap perancangan Allah. Kalaupun nantinya dia telah melayar bahtera terlebih dahulu bersama orang lain, Allah akan gantikan seseorang yang lebih tepat untuk kita. 

Jangan patah hati seolah-olah duniamu sudah hancur. Tetaplah fokus dengan kegiatan yang kau lakukan sebelum ini. Usah difikir-fikir lagi tentang dia. Luaskan skop persahabatanmu dan berkawanlah dengan mereka yang solehin. Insya-Allah, rasa hampa yang memendap di hatimu akan cepat terhakis dan menghilang.

Pendek kata, bersederhanalah dalam mencintai. Agar kalau cinta itu tak berbalas, kita menghadapinya dengan jiwa yang tenteram. 

Cintailah orang yang engkau cintai seperlunya, kerana boleh jadi suatu hari dia akan menjadi musuhmu, dan bencilah orang yang kamu benci seperlunya, kerana boleh jadi suatu hari kelak dia akan menjadi orang yang engkau cintai.”(HR. Imam at-Tirmidzi no. 1920)

Seharusnya, cinta kepada Allah adalah lebih kita besar-besarkan dan kita letak ia pada tangga yang paling atas. Mencurahkan sepenuh cinta kepada-Nya takkan pernah pulang dengan tangan yang kosong. Andai cinta Ilahi itu sudah terpahat kuat dalam kalbu kita, maka kita akan sentiasa berlapang dada dalam setiap keadaan. 

Disediakan oleh:  Shafiyyah Mei.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.