Umat islam ketika ini melalui dasawarsa kedua abad ke-21 dengan pelbagai persoalan yang semakin ruwet dan membingungkan. Inilah cabaran terbesar bagi para dai atau ilmuwan dalam menghadapi keberagaman umat Islam zaman ini. Pelbagai polemik dan isu-isu baru yang timbul seiring dengan peredaran zaman yang menuntut para ‘doktor umat’ ini untuk bijak merealisasikan permasalahan ummah.

Malang sekali apabila ada dai yang tidak cukup persiapan ilmunya memaksa diri dengan berani dan terburu untuk mengeluarkan pandangan dan fatwa mereka. menatijahkan “kemalangan ilmu”. Inilah antara krisis keilmuan sepanjang zaman oleh “para dai” yang membawa kepada jenayah ilmu yang kronik.

Tanpa Didasari Ilmu

Apabila seseorang dai yang membicarakan perihal islam, gagal untuk mengaitkan pandangan atau fatwanya itu dengan ilmu, maka mereka telah tenggelam dalam dosa dan pendustaan. Mereka lupa untuk menghitung bicara atau pandangan mereka itu sama ada membawa kepada keredaan Allah atau kemurkaan-Nya.

Dalam sebuah hadis marfu’ yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, dijelaskan bahawa, “Barangsiapa yang memberikan fatwa tanpa didasari oleh sandaran yang kuat, nescaya berdosa bagi orang yang memfatwakannya”.

Begitu juga pesan Ibn Taimiyah di dalam Majmu’ al-Fatawa, beliau menyatakan, “Barangsiapa yang berbicara tentang hal ehwal agama tanpa ilmu, maka dia dikira berdusta sekalipun dia tidak berniat untuk berdusta

Tawaduk dengan Ilmu

Keikhlasan dan kemuliaan diri para dai dapat dilihat apabila mereka mempunyai sifat tawaduk dengan ilmu. Mereka ini membataskan diri daripada berkata-kata pada perkara yang mereka tiada pengetahuan tentangnya. Malah, mereka juga tidak malu untuk mengatakan ‘aku tidak tahu’ mengenai sesuatu urusan yang tidak diketahuinya.

Ramai para salafussoleh telah ditanya tentang banyak masalah lalu mereka menjawab bagi sebahagian lain dengan apa yang mereka ketahui. Abdullah Ibnu Mas’ud RA di dalam sebuah hadis, “Orang yang mengetahui sesuatu hendaklah mengatakan apa yang diketahuinya, tetapi yang tidak mengetahui hendaklah berkata ‘Wallahu a’lam (allah Yang Maha Mengetahui)’. Ini kerana salah satu aspek daripada ilmu adalah mengatakan, ‘Aku tidak tahu’  jika kamu tidak mengetahui sesuatu secara pasti” (HR Bukhari).

Jangan ‘Goreng

Mereka-reka sesuatu yang tidak diketahui adalah musuh agama ini. Islam meraikan pelbagai pandangan ilmiah yang disertakan hujah dan dalil tetapi juga menolak apa jua rekaan atau tokok tambah dalam agama. Ini sesuai dengan firman Allah SWT yang dituju kepada nabi-Nya;

Ketahuilah Wahai Muhammmad, aku tidak meminta upah sedikit pun kepadamu atas dakwahku dan bukanlah aku termasuk orang yang mereka-reka(Surah As-Sod: Ayat 86).

Para dai perlu rajin dan proaktif dalam melakukan kajian, rujukan mendalam dan pembacaan ilmiah yang meluas dalam pelbagai bidang. Namun, sekiranya sesuatu bidang itu kita tiada pengetahuan tentangnya, rujuklah pada yang lebih pakar. Tidak perlu tergesa-gesa dan semberono dalam mengeluarkan pandangan. Apabila kita ‘menggoreng’ sesuatu perkara yang kita tidak ketahui tentangnya, maka hanya akan menjadi bahan ketawa dan membunuh karakter dai itu sendiri. Tambahan pula apabila ianya sudah sebati dengan diri dalam menyampaikan pendapat atau fatwa, akan timbullah pandangan yang pelik-pelik, cerita yang tidak masuk akal, riwayat dongeng dan pelbagai lagi kisah kartun semata-mata untuk memikat para audiens.

Amanah dalam Menyampaikan

Para dai perlu jujur dan amanah dalam menyampaikan ilmu. Setiap yang disampaikan atau diperkatakan perlu mengikuti disiplin ilmu dan tidak terburu-buru memperkatakan sesuatu sebelum memastikan keshahihannya.

Para mad’u hari ini lebih kritis dalam beragama. Mereka sentiasa menyemak dan mengkaji apa jua maklumat, dalil atau hujah yang diberikan oleh para dai atau agamawan. Oleh itu, tindakan seorang dai mengaku sesuatu yang tidak diketahuinya, tidaklah menjatuhkan kredibiliti dan kemuliannya malah sebaliknya menunjukkan keikhlasan dan sikap amanah pada ilmu yang dimiliki.

Ibnu Qayyim ada memetik kata-kata Ibnu Sirin dalam kitabnya yang masyhur, ‘I’lamul Muwaqi’in’, “Kematian seseorang dalam kebodohan dianggap lebih baik daripada mengatakan sesuatu yang tidak dia ketahui

Oleh itu, menjadi tanggungjawab para dai agar berterusan mempertingkatkan piawaian ilmu agar dalam bidang yang dimiliki. Tidak sekadar itu juga perlu ikhlas dan mengakui kekurangan diri serta tidak malu bertanya kepada yang lebih berilmu. Agar nilai agama ini tidak menjadi fitnah dan memberi gambaran buruk kepada penganut agama lain.

____

Artikel ini ditulis oleh Khairul Haikal ([email protected])

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.