Melayari bahtera rumah tangga adalah idaman bagi setiap wanita, keterujaan dan kebahagiaan terpancar dari raut wajah setiap pasangan yang baru bernikah. Diijabkabulkan dengan suasana yang pastinya menjadi detik indah yang ingin dikenang sampai ke tua.

Memasuki alam rumah tangga bukanlah suatu perkara yang mudah seperti yang disangka. Pada fasa ini, ujian kehidupan, tekanan dan beban tanggungjawab bertambah bahkan tidak berkurang. Persediaan mental juga harus dititikberatkan, lebih-lebih lagi bagi kaum wanita yang menjadi tiang dalam sesebuah rumah tangga.  Kerana itu seorang wanita harus bijak dalam memilih pasangan hidup yang akan sama-sama berkongsi suka duka, penat lelah dalam kehidupan rumah tangga.

Asma’ binti Abu Bakar radiyallahu ‘anha berpesan kepada para wanita muslimah agar tidak bermudah-mudah memilih pasangan hidup, katanya :

“Perkahwinan adalah pengabdian bagi wanita, maka hendaknya seorang wanita memperhatikan kepada siapa dia menyerahkan pengabdiannya”

(Bahjah al-Majlis wa Ansu al-Majalis, Jilid 1, Hlm. 189)

Perkahwinan merupakan satu institusi yang memerlukan perlaksanaan tanggungjawab dan kewajipan di atas hak sebagai suami dan isteri. 

Selain itu, panduan yang diajar oleh agama Islam supaya sentiasa bergaul dan bertoleransi di antara keduanya bagi melahirkan hubungan yang mahabbah. Ini kerana pasangan suami isteri itu saling melengkapi antara satu sama lain. Dan tidak menjadikan pasangan sebagai ‘hamba’ yang hanya perlu mendengar arahan dan memenuhi kehendak sebelah pihak sahaja. Setiap pasangan harus faham bahawa dalam pergaulan suami isteri akhlak baik amatlah dituntut. 

Syaikh Sulaiman Ar Ruhaili hafizahullah berkata :

“Tidak bermanfaat kecantikkan tanpa agama, tidak bermanfaat harta tanpa agama, tidak bermanfaat silsilah keturunan tanpa agama, dan agama itu harus disertai akhlak yang baik kerana jalan kehidupan pernikahan itu panjang, suatu kebutuhan, pergaulan yang terus menerus, membutuhkan motivasi dan keberlangsungan itu diatas agama dan akhlak yang baik. 

(Muhadhoroh haqqu  az zaujain)

Mentaliti dan salah faham sebahagian orang yang masih ramai menggunakan agama untuk mengugut para isteri untuk ‘taat setia’, terutama para suami yang dipenuhi perasaan ego dalam diri, sukar mengalah dan memperbetulkan kesalahan diri. Gemar memandang enteng dalam hal tanggungjawab dan nafkah keluarga. Terlalu banyak kes yang tersebar tentang kecurangan para suami dalam menjalankan amanah sebagai seorang pemimpin dalam keluarga. 

Daripada Mu’awiyah al-Qusyairi katanya :

“Aku menemui Rasulullah SAW dan bertanya: Apakah pandanganmu tentang isteri-isteri kami?” Rasulullah SAW menjawab: “Berilah mereka makan, sama seperti yang kamu makan, berilah mereka pakaian, sama seperti yang kamu pakai dan janganlah pukul serta hina mereka”.

Riwayat Abu Daud (2144)

Tuntutan memperlakukan isteri dengan baik adalah termasuk memberikan hak mereka, tidak menyakiti dengan memukul atau melemparkan perkataan yang buruk. Tidak sedikit para wanita yang diperlakukan dengan zalim oleh para suami, dan kemudian mengambil keputusan untuk berpisah. Akibat penat dan lelah menghadapi sikap kurang matang pasangan, bagaimana agaknya perasaan derita mampu dipendam sendiri? Hanya kerana ingin berkorban demi kebahagiaan bersama? Sedangkan ramai para suami tidak mempedulikan perasaan dan keperluan seorang isteri untuk mendapatkan kehidupan yang tenang dalam hubungan rumah tangga. 

Ingatlah firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 187 :

“Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka”

Diperlakukan dengan baik adalah suatu kebutuhan yang berimpak besar kepada emosi seorang isteri, selain dari nafkah lahiriah, perasaan juga tentunya adalah faktor yang penting untuk dijaga. Kerana gangguan emosi lebih berimpak negatif yang membawa kepada penderaan emosi. Ini antara hal yang dianggap remeh oleh ramai kaum suami masa kini. 

Berapa ramai pasangan yang sedar bahawa kebahagiaan itu bukan hanya janji-janji manis yang diucapkan tetapi perlu usaha dalam membina dan mengekalkannya. Dan ini tidak mungkin terjadi sekiranya hanya sebelah pihak sahaja yang bersungguh-sungguh membuat pengorbanan dan berusaha memperbaiki hubungan, sedangkan sebelah pihak bersikap leka dan tidak peduli.

Justeru sekiranya sudah melakukan pelbagai ikhtiar untuk memperbaiki hubungan rumah tangga, tetapi keadaan masih tidak menunjukkan sebarang perubahan, rujuklah kepada pihak-pihak tertentu yang berkelayakan bagi mendapatkan nasihat sebelum mengambil keputusan untuk mengakhiri sebuah perkahwinan. 

Tidak dinafikan pandangan sinis masyarakat setempat kepada para wanita yang mengambil keputusan untuk berpisah kadangkala menjadi beban hati yang berat, lebih-lebih lagi jika disertakan dengan tohmahan dan andaian semata-mata. Berbagai jolokan yang menyakitkan, seolah-olah orang-orang yang diuji dengan penceraian adalah orang-orang yang kurang pegangan agama, kurang beriman dan sebagainya.

Tidak perlu terlalu bimbang dalam membuat sebarang keputusan, serahkan kepada-Nya kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik bagi setiap hambanya. Agama menghalalkan pernikahan, begitu juga agama menghalalkan penceraian sekiranya terdapat ketidakadilan dalam sesebuah pernikahan dan berlaku penindasan di dalamnya.

Syaikh Al-Uthsaimin Rahimahullah berkata :

“Para wanita itu bukanlah suatu pakaian yang kamu pakai dan kamu lepaskan sebagaimana sekehendakmu. Mereka dimuliakan dan mereka mempunyai hak-hak mereka.” 

(Al-Liqa Ash-Shahri 80)

Ingatlah, wanita juga berhak untuk mendapat kebahagiaan dan ketenangan dalam hidup, dan kebahagiaan tidak hanya diukur melalui pasangan hidup. Definisi bahagia itu terlalu luas jika ingin diterokai, tidak perlu dibatasi dengan hanya memandang satu sisi sahaja, berbahagialah dengan mensyukuri nikmat yang dipinjamkan saat ini. 

Disediakan oleh : Aishah Nerina

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.