in

CryCry

Berdamai Dengan Takdir

Bayangkan suatu hari nanti anda terjaga daripada tidur namun pandangan anda menjadi gelap. Tiada satu objek pun terbentuk daripada pantulan cahaya dan otak anda tidak menerima sebarang imej. Bayangkan dalam sekelip mata anda telah kehilangan upaya untuk melihat dan Allah telah menarik nikmat itu daripada anda.

Apakah yang akan dilakukan oleh anda ketika itu? Mampukah anda untuk menerima takdir yang telah ditetapkan oleh Allah atau adakah anda akan terus hidup dengan menyalahkan takdir yang telah berlaku?

Ketika pertama kali diberi diagnosis penyakit Bipolar Disorder oleh pakar psikiatri, dunia aku dirasakan seperti hancur. Musnah segala harapan aku untuk hidup normal seperti orang biasa. Aku tidak boleh menerima hakikat ini kerana aku melihat bagaimana manusia terdekat dengan aku menjalani kehidupannya sebagai pesakit Bipolar Disorder. Perkara yang paling menakutkan adalah kebergantungan kepada ubat tersebut hampir sepanjang hayat dan ubat-ubatan tersebut mempunyai kesannya yang tersendiri.

Masalah kesihatan aku bermula sebagai kemurungan namun setelah bertahun-tahun ia masih tidak sembuh, akhirnya doktor mengambil kira faktor orang terdekat denganku dan menganggap bahawa aku sebenarnya menderita penyakit Bipolar Disorder Type II. Ketika itu aku tidak mampu menerimanya dan mula mempersoalkan diagnosis tersebut.

Tidak cukupkah dengan masalah kemurungan aku ini? Kenapa aku perlu dilabelkan sebagai pesakit Bipolar Disorder pula dan mengambil antipsychotic? Akhirnya aku berpindah ke hospital lain untuk mencari pendapat kedua setelah aku mengalami gangguan jiwa yang teruk dan menangis teresak-esak di tempat awam bersama ibuku.

Doktor di hospital baru tersebut mencadangkan pula untuk aku mengambil antidepressant bersama antipsychotic yang diberikan dahulu. Alhamdulillah, selepas beberapa bulan keadaan aku bertambah baik dan aku mampu untuk kembali bekerja setelah menganggur hampir dua tahun. Biarpun begitu aku merahsiakan keadaan penyakitku ini daripada pihak majikan kerana tidak mahu stigma yang masih menebal menghalang peluang aku daripada mendapatkan pekerjaan. 

Aku juga bersyukur dengan kesediaan para doktor untuk menerima maklum balas daripada aku mengenai ubat yang diberikan. Kami akan berbincang sama ada ubat tersebut membantu atau pun tidak. Disebabkan itu akhirnya kami bertemu dengan ubat yang mampu untuk mengawal gejala yang aku alami dan memperbaiki emosi serta perasaan aku. 

Tips untuk anda yang menghidapi penyakit mental atau gangguan emosi, sentiasa berbincang dan berterus-terang dengan doktor anda mengenai kesan sampingan atau sama ada ubat itu membantu atau pun tidak. Ini kerana hanya kita yang betul-betul dapat menilai kesannya terhadap diri kita.

Perlahan-lahan aku merasakan hidup aku kembali normal dan akhirnya sampai ke satu tahap doktor ingin menilai kembali diagnosis mereka. Ini kerana ketika itu, aku mempunyai dua diagnosis, Major Depressive Disorder dan Bipolar Disorder. Disebabkan aku tidak mempunyai fasa mania atau hypomania yang jelas, doktor memutuskan untuk mengurangkan dan menghentikan ubat antipsychotic yang diberi.

Malangnya selepas beberapa bulan berhenti, keadaan aku bertambah teruk dan aku relapsed. Sehingga tahap aku ingin mati dan hidup ini tiada ertinya lagi. Akhirnya aku terpaksa mengambil antipsychotic semula untuk menstabilkan kembali keadaan diriku.

Ia mengambil masa yang lama untuk aku benar-benar faham kenapa ini semua terjadi. Aku terlupa bahawa telah banyak nikmat dan kebaikan yang Allah berikan melalui orang di sekeliling aku. Ahli keluargaku sentiasa memberi sokongan walaupun kadang-kadang mereka tidak tahu apa harus dibuat untuk membantuku.

Selama ini aku hidup dalam persoalan dan rasa tidak puas hati kenapa aku harus diuji begini oleh Allah. Mengapa aku tidak boleh hidup normal seperti orang lain? Kenapa aku sebagai graduan luar negara tidak boleh bekerja di syarikat korporat seperti orang lain? Kenapa aku perlu berhenti kerja dan menganggur dua tahun semata-mata kerana mentalku tidak stabil?

Aku pernah membaca hadis ini namun apabila membacanya sekali lagi, aku tersentak dan tersedar. Baru aku faham akan hikmah ujian ini buatku. Sesungguhnya penyakit dan kesembuhan ini semuanya berlaku dengan izin Allah. Aku terlupa mengenai rahmat dan kasih sayang yang telah Allah limpahkan buatku. Terlalu banyak sehingga aku sendiri tidak mampu menghitungnya tanpa sedar. 

Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah seorang Muslim ditimpa keletihan, sakit, kesusahan, kesedihan, kegundahan dan kegelisahan hinggalah duri yang menusuknya, melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian dosa-dosanya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosanya seperti pohon menggugurkan daun-daunnya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiada yang memperoleh keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya” (HR Muslim)

Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT berfirman: Apabila Aku timpakan ujian (dengan musibah, sakit dan lain-lain kesusahan) ke atas salah seorang daripada hamba-hamba-Ku yang beriman dan dia memuji Daku (kerana reda) maka (Aku akan memerintahkan para malaikat) Tulislah segala ganjaran amalannya yang baik sebagaimana yang biasa kamu tulis semasa dia sihat.” (Riwayat Ahmad dan Thabrani)

Kesemua yang berlaku hanyalah semata-mata untuk Allah menguji dan menganugerahkan kepadaku pahala dan keampunan-Nya selagi aku bersabar dengan ujian ini. Mungkin aku tidak dapat melihat ganjarannya di sini tetapi di akhirat nanti dengan izin Allah. Semua yang berlaku ini adalah bukti bahawa Allah menyayangiku sebagai hamba-Nya. Ujian ini adalah tanda cinta-Nya. 

Aku teringat kata-kata Ustaz Hanafi menerusi perkongsiannya di Koolfm. Dia mengucapkan “Alhamdulillah” apabila doktor memberitahunya dia menghidapi kanser. Boleh anda bayangkan bagaimana seseorang mampu mengucapkan syukur apabila diberitahu bahawa hayatnya mungkin akan berakhir? Kadangkala, kita yang tersepak kerusi dan terhantuk kepala pun mudah sekali menyumpah seranah.

Ustaz Hanafi berkongsi bahawa dia percaya dengan janji Allah, jika engkau bersyukur maka Allah akan menambah nikmatmu. Betapa hebatnya kepercayaan Ustaz Hanafi terhadap takdir dan ujian daripada Allah ini. Kata-katanya itu membuatkan aku insaf dan menilai kembali sikap dan penerimaan aku terhadap ujian Allah ini. 

Akhirnya aku memilih untuk berdamai dengan takdir ini. Cukuplah aku mempersoalkan takdir, cukuplah aku bersedih dan menyalahkan diri, orang sekeliling dan Allah. Ujian ini tanda Allah sayang kepadaku, untuk menjadikan aku lebih kuat dan tabah, memberi peluang untuk aku memperoleh pahala atas kesabaranku. Terima kasih ya Allah atau ujian ini. Alhamdulillah!

Perbanyakkanlah doa Ummu Salamah r.a. yang diajari oleh Rasulullah saw sehingga dia diberi ganti dengan Rasulullah s.a.w sebagai suami setelah kematian suaminya yang terdahulu. Ummu Salamah menganggap tiada suami yang lebih baik daripada Abu Salamah namun alangkah ajaibnya! Dia dikurniakan sebaik-sebaik manusia di atas buka bumi ini iaitu Rasulullah s.a.w sebagai suami. 

“Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Ya Allah, berilah aku pahala dalam musibahku ini dan berilah ganti yang lebih baik daripadanya.”

Semoga teman-teman yang menghadapi ujian sepertiku dapat juga berdamai dengan takdir ini. Sesungguhnya Allah menyanyangimu dan hanya inginkan kebaikan untukmu!

Ditulis oleh,

Syafi

Bahana Agamawan Segera!

Lelaki Itu, Lukisan Biru dan Gadis di Galeri