in

Bercerai Bukanlah Perkara yang Keji

Lumrah bagi mana-mana pasangan di dunia ini, yang mendirikan rumah tangga berharap agar mahligai kasih yang dibina akan kekal utuh nan damai bersulam kasih sayang bertakhtakan cinta sehingga ke syurga kelak. Tidak ada satu pasangan pun yang berkahwin secara serius dan berazam untuk bercerai suatu hari kelak. Malah, sangat pelik apabila berkahwin namun bercita-cita untuk bercerai pula.

Tujuan sesebuah rumah tangga itu dibina adalah berlandaskan perasaan cinta, kasih dan sayang. Hal ini sepertimana yang terdapat di dalam al Quran, menerusi surah al Rum ayat 21, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“Dan diantara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan Nya diantaramu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”

Mendirikan sebuah perkahwinan juga merupakan suatu ibadah yang dituntut. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Benarkah kalian telah berkata begini dan begitu, sungguh demi Allah, sesungguhnya akulah yang paling takut dan taqwa di antara kalian. Akan tetapi aku berpuasa dan aku berbuka, aku solat dan aku juga tidur dan aku juga mengahwini perempuan. Maka barangsiapa yang tidak menyukai sunnahku, maka ia tidak termasuk golonganku”

Namun begitu, apabila tujuan asal berumah tangga tidak dapat diterjemahkan, hidup menjadi tertekan dan parah, sudah tidak ada lagi keamanan dan ketenteraman dalam berumah tangga, maka Islam telah memberi jalan keluar kepada masalah itu dengan jalan berpisah yakni bercerai. Dengan itu, Islam mensyariatkan talak dengan beberapa kaedah lain seperti khulu’ dan fasakh bagi membolehkan seseorang keluar dari neraka kehidupan berumah tangga serta mencapai makna sebuah kedamaian.

Malangnya, sebahagian besar pemikiran masyarakat kita memandang bahawa penceraian adalah sesuatu yang buruk dan keji. Malah, tidak kurang juga ada yang beranggapan bercerai ibarat telah melakukan dosa besar dan tidak ada keampunan bagi mereka. Pandangan dan anggapan sebegini adalah tidak benar. Allah tidak pernah mensyariatkan sesuatu yang buruk seperti talak. Apabila hidup berumah tangga tidak dapat lagi menggapai tujuan asalnya iaitu ketenangan, ketenteraman dan kasih sayang, maka bercerai adalah solusi yang baik bagi umat manusia.

Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah al Baqarah ayat 231 yang bermaksud :

“Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik, dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan tujuan memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka) ; dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menzalimi dirinya sendiri…”

Maka berdasarkan ayat ini, jelas lagi bersuluh bahawa syariat penceraian bukanlah sesuatu yang buruk dan keji bahkan sebaliknya hal itu menjadikan kita lebih mulia dan terselamat daripada melakukan kezaliman terhadap pasangan dan kepada diri kita sendiri. Adapun sebahagian masyarakat yang membaca sebuah hadith yang bermaksud :

“Berkahwinlah dan janganlah kamu bercerai. Maka sesungguhnya talak (bercerai) itu akan menggegarkan arasy”

Berkenaan hadith ini, sebahagian besar ulama seperti Imam Ibnu al Jauzi, Imam al Sakhawi dan juga Imam al Suyuthi, mereka telah menyatakan bahawa hadith tersebut adalah tidak sahih, palsu serta sanad hadithnya daif. Mana mungkin hal itu boleh terjadi sedangkan baginda Nabi SAW juga pernah menceraikan isteri baginda Nabi SAW. Adalah sangat tidak masuk akal apabila hal itu berlaku. Dalam kerahmatan Islam, Allah tidak pernah memaksa kita untuk hidup di atas kezaliman pasangan. Seandainya benar-benar kenikmatan hidup berumah tangga sudah hilang arah dan tujuan, maka apa lagi yang boleh didambakan melainkan berpisah demi kebaikan bersama.

Meskipun Islam memberikam kuasa talak kepada pihak lelaki, Islam yang merupakan sebuah agama yang penuh kerahmatan, memberikan pilihan kepada kaum wanita bagi menuntut perpisahan bagi tujuan keluar daripada belenggu masalah rumah tangga. Dalam kitab al – Mughni, Imam Ibn Qudamah al Maqdisi menyatakan bahawa :

“Sesungguhnya wanita apabila membenci suaminya disebabkan akhlak atau rupa paras atau agama atau usianya yang tua atau lemah atau seumpamanya dan dia takut tidak dapat menunaikan perintah Allah dalam mentaati suami, maka harus baginya khulu’ (tebus talak) dengan bayaran gantian untuk dirinya”

Kata Imam Ibnu Qudamah al Maqdisi ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 229, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“Jika kamu takut keduanya (suami isteri) tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya”

Keadaan ini terpakai pada realiti pada masa ini. Misalnya sebahagian kes, terdapat seorang suami penagih dadah, dan sudah tentu hal ini boleh mengundang mudarat kepada anak isterinya. Juga barangkali suaminya seorang kaki pukul, kaki botol, kaki judi yang semuanya itu boleh mengundang masalah sosial dalam berumah tangga. Oleh kerana itu, Islam mensyariatkan penceraian bagi kebaikan mereka yang tertindas. Begitu juga bagi kaum wanita, dibolehkan bagi mereka untuk menuntut fasakh (berpisah) dengan alasan yang munasabah di sisi syarak.

Dalam kitab al Mufassal fi Ahkam al Mar’ah, Dr. Abdul Karim Zaidan ketika berbicara soal tafriq (memisahkan) suami isteri, beliau menyatakan bahawa terdapat dua jenis sebab menjadi mudarat yang membolehkan isteri menuntut fasakh. Pertamanya, mudarat dari segi fizikal seperti suami memukul atau seumpama perbuatan yang boleh mendatangkan kecederaan. Keduanya, mudarat dari segi jiwa atau psikologi. Misalnya seperti suami memakinya atau tidak mahu bersetubuh dengannya. Keadaan tersebut membolehkan para isteri memohon fasakh (berpisah).

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa sesuatu pensyariatan adalah bertujuan membawa kebaikan dan kerahmatan dalam kehidupan manusia. Penceraian adalah jalan terakhir bagi sesebuah perhubungan. Perpisahan tersebut bukanlah suatu langkah buruk dan keji tetapi secara tidak langsung, memberikan kehidupan yang lebih baik daripada sebelum ini dan Islam memberikan solusi sebaiknya selari dengan tuntutan fitrah dan naluri sebagai seorang manusia. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Disediakan oleh: Faidhi Azis

Bersangka Baiklah Nescaya Engkau Tenang

Membersihkan Hati Meyambut Bulan Ramadan