“Belajar tinggi-tinggi, awak nak jadi cikgu saja?” Itulah soalan yang pernah disoal acuh tidak acuh oleh seorang dewasa kepada saya tatkala saya baru saja memasuki tahun pertama pengajian sarjana muda. Menjadi seorang guru merupakan cita-cita teragung saya semenjak saya kecil lagi, tidak pernah berubah dan tidak akan berubah. 

Asalnya saya ingin menjadi seorang ustazah. Seorang ustazah yang mengajarkan alif, ba, ta; seorang ustazah yang mengajarkan nama-nama Allah; juga seorang ustazah yang mengajarkan jawi kepada anak muridnya. Tergelak kecil respon seorang dewasa itu yang mendengarkan cita-cita saya yang mungkin tidak semegah kerjaya lain, namun sedikit pun tidak melemahkan semangat saya. 

Zaman semakin pantas berkembang, begitu juga dengan karenah manusia yang turut sama berubah seiring dengan perkembangan semasa. Menjadi seorang guru pada zaman sekarang tidak mudah, namun tidaklah terlampau susah. Biasalah,  setiap pekerjaan ada turun naik, ada suka duka; yang penting adalah menghadirkan ikhlas ketika bekerja, menjadi seorang guru yang seronok mengajar, seronok berjumpa anak murid dan mempunyai hubungan yang baik dengan ibu bapa. 

Sungguh, memang mudah bermadah pujangga sebelum turun sendiri ke lapangan. Para guru kini perlu dengan sangat pantas beradaptasi dengan perkembangan teknologi semasa; ia akan menguji kemahiran dan kesabaran seorang guru untuk menjadi seorang pendidik dalam masa yang sama perlu memberikan pengalaman pembelajaran bermakna kepada anak-anak murid seiring dengan persekitaran dan perkembangan semasa. Jika menjaga seorang anak pun sudah cukup mencabar, apatah lagi mahu menjaga 40 orang anak di dalam bilik darjah.

Adakah guru tugasnya hanya mengajar sahaja? Tidak. Sebelum masuk mengajar, guru hendak membuat persediaan mengajar, menulis rancangan pengajaran, menyediakan bahan, memikirkan strategi dan idea pengajaran. 

Semasa mengajar, guru hendaklah menilai anak-anak murid di hadapan mata dan memikirkan strategi berbeza untuk murid-murid yang mempunyai tahap pembelajaran yang tidak sama. Ada yang sudah mahir, ada yang baru mula hendak faham, ada yang ketinggalan; jadi kesemuanya harus difikirkan dan dianalisis serta perlu memikirkan dan melaksanakan tindakan selanjutnya. 

Selesai mengajar, guru perlu memikirkan cara, teknik dan langkah yang sesuai untuk anak murid terus-menerus mendapat sesuatu melalui pembelajaran di sekolah.  Bukan setakat mengajar, malah jika boleh ditulis tugas-tugas guru yang lain, maka orang mungkin bilang, “Betul ke?”, kerana mereka tidak percaya bahawa guru-guru ini tidak pernah sedikit pun mengeluh dan mengungkit akan segala tenaga, wang, daya fikir hanya untuk melorongkan jalan kepada anak bangsa. Maka, rantaian rutin ini akan terus berlaku, semestinya dalam kepala seorang guru tidak lekang daripada memikirkan tugas mereka saban waktu. 

Jadi, berbaloikah menjadi seorang guru pada zaman sekarang? Bukankah banyak lagi pekerjaan lain yang dapat memberi gaji lebih besar daripada seorang guru kerajaan? Adakah sanggup menghadapi karenah murid serta penjaga yang luar biasa pada zaman kini? 

Walaupun begitu, semua itu tidaklah langsung menjadi beban paling berat dalam hidup. Saya yakin, niat utama setiap pendidik bukanlah kerana wang, pangkat atau populariti tetapi ada niat untuk membuka jalan-jalan kepada anak bangsa seikhlasnya. Niat teragung semata Yang Maha Agung pastinya memberi kesenangan dalam kepayahan. Sokongan ahli keluarga, kerjasama daripada ibu bapa dan penjaga, bantuan daripada para pentadbir dan rakan-rakan guru sedikit sebanyak membantu guru-guru di Malaysia ini kuat semangat dalam meneruskan kerjaya mereka. Semoga para pendidik anak-anak kita ini dilimpahi sebesar-besar ganjaran oleh Yang Maha Esa atas pengorbanan mereka yang tidak mampu menandingi nilai emas mahupun wang ringgit.

Disediakan oleh: Jiha Jahari


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.