in

CryCry

Benarkah Hidup Akan Tenteram Tanpa Media Sosial?

Semenjak tiga hari yang lalu saya bercadang untuk berhenti menggunakan media sosial, namun keputusan ini bukanlah satu perkiraan yang tepat untuk bertindak sedemikian pada ketika ini.

Terdapat satu kaedah fiqhiyah yang berbunyi:

“Menjauhkan diri dari sesuatu yang berbahaya lebih diutamakan dari mengambil manfaat daripadanya.”

Pendapat saya, media sosial memainkan peranan dalam kebaikan atau keburukan, bergantung kepada sang pengguna. Larangan penggunaan media sosial adalah sesuatu yang tidak wajar. Pengguna sepatutnya bijak memilih dan menggunakan media sosial dalam kehidupan mereka. 

Melarang atau menyekat penggunaan media sosial sebenarnya bukanlah pilihan yang tepat. Adakah dengan melarang ahli keluarga untuk menggunakan media sosial akan menjadikan keluarga kita bahagia? Tidak semestinya.

Pentingnya kita mengetahui waktu, tempat dan disiplin penggunaannya. Disiplin bermaksud proses mengendalikan sesuatu perkara. Persoalannya, adakah kita yang mengendalikan media sosial atau kita yang dikendalikan olehnya?

Kanak-kanak yang berumur di bawah 13 tahun adalah waktu terbaik dalam pembentukan sahsiah dan jati diri. Sekiranya mereka biasa terdedah dengan suatu perkara, maka perkara itulah corak kehidupan mereka seterusnya.

Sebaiknya, kanak-kanak perlu dididik dengan disiplin menjaga waktu, dan peranti elektronik bukanlah pengganti kasih-sayang di usia semuda itu. Namun, untuk sedikit penggunaan seharusnya di bawah pemantauan ibu bapa supaya tidak menjadi ketagihan.

Disiplin waktu dalam penggunaan media sosial atau peranti elektronik adalah sangat penting bukan sahaja kepada kanak-kanak, bahkan juga kepada golongan remaja dan dewasa. Ramai yang mengalami masalah kualiti tidur terganggu disebabkan oleh penggunaan peranti elektronik yang berlebihan. Kesannya, pelajar akan bermasalah dalam pembelajaran dan melahirkan pekerja yang tidak fokus dalam pekerjaan mereka. 

Selain itu, ketika berkumpul bersama kawan-kawan atau keluarga tersayang juga, sebaiknya dimanfaatkan untuk menjalin silaturrahim dengan mereka. Acapkali kita melihat setiap ahli keluarga walaupun bersama namun kurang berkomunikasi kerana masing-masing melayan telefon pintar. Sedangkan itulah waktu berkualiti untuk sesebuah keluarga saling berkasih-sayang dan bertukar pendapat. 

Ibu bapa sewajarnya menjadi qudwah hasanah terhadap ahli keluarga dalam membendung penggunaan media sosial yang keterlaluan. Sekadar melarang anak-anak melayari media sosial, tetapi ibu bapa sendiri yang tidak boleh berenggang dengan gajet terutama sekali di hadapan keluarga, bak kata pepatah melayu, seperti ketam mengajar anaknya berjalan.

Kesimpulannya, penggunaan media sosial mempunyai kebaikan dan keburukan dalam kehidupan seharian. Kita sebagai manusia yang berakal seharusnya bijak memilih supaya tidak terkeliru dengan pilihan yang terbaik.

Disediakan oleh,

Azim Sholehin

Rupanya Baguette itu Lembut!

Membaca Untuk Pandai Atau Untuk Hidup?