in

Benarkah Gaya Ibu Bapa Masa Kini Mempengaruhi Tingkahlaku Anak-anak?

Berdasarkan Surah Luqman Ayat 14 jelas sekali bahawa anak-anak diperintahkan untuk taat kepada ibu bapa. Hal ini kerana ibu bapa merupakan individu terawal yang mencorakkan personaliti seorang kanak-kanak. Namun fenomena hari ini begitu menyedihkan dek kerana pengaruh urbanisasi dan faktor kemodenan jelas memperlihatkan bahawa generasi hari ini semakin kurang empati dan yang paling menyedihkan ada diantara anak-anak hari ini yang tergamak membuang ibu bapa mereka.

Dimana khilafnya ibu bapa? Adakah sikap ibu bapa pada hari ini yang begitu memanjakan anak-anak atau terlalu garang kepada anak-anak mereka menjadi punca kepada gejala ini?

Apabila diteliti dan diperhalusi, terdapat beberapa garis panduan menurut Rasulullah S.A.W yang telah dijadikan panduan kepada para ibu bapa. Antaranya, ibu bapa hendaklah bersifat lemah lembut kepada anak-anak mereka.

Kedua, ibu bapa perlu menilai sikap anak-anak terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukuman iaitu dengan memberi nasihat dan hendaklah memberikan teguran dengan berhikmah sekiranya mereka melakukan kesalahan.

Menurut pandangan Ibnu Sina dan juga  Ibnu Khaldun, tidak perlu menjatuhkan hukuman kepada kanak-kanak sekiranya mereka tidak mengancam. Pada usia kanak-kanak berumur empat tahun hingga enam tahun, tidak perlu menghukum kanak-kanak dengan rotan sebaliknya perlulah dibaja dengan kasih sayang. Hal ini kerana ibu bapa perlu mengambil peluang untuk mencanai karekter anak-anak pada peringkat ini.

Namun yang menyedihkan pada hari ini, kanak-kanak pada usia ini sudahpun didera secara emosi dan fizikal atas alasan pendidikan. Kesan kanak-kanak yang didera secara emosi akan menyebabkan mereka mempunyai keyakinan diri yang rendah.

Seterusnya, pada usia tujuh tahun hingga 14 tahun ibu bapa boleh menerapkan unsur disiplin kepada anak-anak misalnya memerintahkan anak-anak untuk menunaikan solat lima waktu.

Manakala, pada usia 15 tahun sehingga 21 tahun anak-anak sudah memasuki fasa remaja dan cenderung mencari identiti diri mereka yang tersendiri.Pada peringkat ini ibu bapa sewajarnya menjadi sahabat baik kepada anak-anak mereka dalam memberikan mereka bimbingan agar mereka tidak tersasar di landasan yang tidak baik.

Ketiga, ketika anak-anak berusia 21 tahun keatas pada adalah fasa  anak-anak sudah dalam tempoh matang untuk menempuhi realiti kehidupan dan ibubapa hanya perlu menasihati sahaja anak-anak mereka dan memberikan kebebasan untuk mereka ( anak) dalam membuat keputusan sendiri.

Namun begitu, pada hari ini masih terdapat ibu bapa yang masih mengonkong anak-anak meskipun anak-anak sudahpun mencapai usia matang seterusnya mendorong kepada gejala pemberontakan anak-anak. Hal ini diburukkan lagi dengan kadar perceraian yang semakin meningkat setiap hari yang memberi kesan kepada emosi dan mental anak-anak.

Laporan Utusan Malaysia Bertarikh 4 November 2015

.

Teringat akan kata-kata Buya Hamka:

“Hidup ini bukanlah suatu jalan yang datar dan ditaburi bunga melainkan adakalanya disiram air mata”

Anak-anak ini ibarat kain putih yang perlu dicorakkan oleh ibu bapa. Baik coraknya maka baiklah anaknya, begitu juga sebaliknya. Oleh itu, ibu bapa haruslah menyiapkan anak-anak dengan benteng keimanan dan ketakwaan yang teguh bagi medepani cabaran yang mendatang.

Ibu bapa berperanan dalam mendidik anak-anak berlandaskan nilai-nilai islam agar keluarga yang kukuh dapat membina masyarakat yang utuh. Pembentukan masyarakat dalam negara yang mapan bermula dari ibu bapa yang hebat mengembeleng tenaga dan fikiran dalam membentuk peribadi anak-anak. 

“Jelas sekali bahwasanya rumah tangga yang aman damai ialah gabungan diantara tegapnya laki-laki dan halusnya perempuan”

Buya Hamka

Disediakan oleh,

Nur Izzati Hazwani 

Aku Sedang Jatuh Saat Ini

Si Sabariah: Cerminan Perempuan Berperibadi Mulia