Aku mengangkat wajah dari meja. Wap air terbentuk dek haba daripada pernafasanku. Meja kayu teman sebilikku menjadi saksi malam itu aku menangis. Menangis sambil menyembunyikan suara tangis adalah satu daripada kebolehanku yang sekian lama aku miliki. 

Cepat-cepat aku kesat air mata yang laju menuruni pipi dengan bahagian bahu baju sehingga kulit wajahku terasa pedih kerana geseran yang agak kuat. Aku ambil tisu dan menghembus hingusku sesenyap yang boleh kerana khuatir aku akan membuat temanku terjaga. Sedu kian mereda dan aku kembali memegang pena.

“Apa kelebihan mempelajari bahasa Arab dalam bahasa ibunda?” 

Itulah terjemahan kepada topik debat yang akan dipersembahkan di hadapan pensyarahku esok. Aku kembali menangis sambil membaca poin-poin yang telah kucatat di atas kertas kajang tiada jenama itu. Poin-poinnya lemah dan tiada fakta yang jitu. Hampir puluhan artikel yang aku selongkar melalui Google namun tak satu pun yang berpihak kepada tajuk itu.

Aku semakin tertekan tatkala menjeling jam yang berdetik ke angka 3.30pagi. Ya Tuhan, sejak awal malam sehingga dini hari aku berteleku di meja ini masih buntu yang aku temukan. Air mataku menderas lagi. Akhirnya, berbekalkan keyakinan yang hampir tiada, aku gagahkan jua jemariku menulis poin-poin yang kurasakan boleh aku bentangkan esok. Kemudian aku tidur dikala jarum pendek berpindah ke angka empat.

Esoknya aku terlewat namun tak menyegerakan apapun. Lambat-lambat aku menyeterika tudungku. Lambat-lambat aku buat segalanya dengan harapan aku akan pitam dan tak perlu ke kelas Seni Berpidato pagi itu. Kenapa aku bersikap begini? Ada beberapa sebab: 

Pertama: Pensyarahku dikatakan seorang yang garang oleh seniorku.

Kedua: Aku tidak pernah suka debat bahkan ketika aku ditawarkan menjadi wakil sekolah dalam acara debat bahasa Inggeris, aku menolak menjadi Pendebat Pertama beberapa minit sebelum dimulakan dan selepasnya aku hanya menjadi pencari poin penting dan pembantu taip teks debat. 

Ketiga: Aku tidak pandai bahasa Arab.

Atau lebih baik yang ketiga itu, aku letakkan ia di tempat pertama. Bahasa yang bukan bahasa Ibundaku, bahasa yang tidak biasa bermain di lidahku, bahasa yang asalnya beribu-ribu batu dari negaraku. Dan, semua itu adalah alasan kenapa aku belum pandai lagi bahasa ini biarpun sudah naik semester tiga.

Jika sistem pendidikan universiti hari ini masih mengguna pakai sistem orang dulu-dulu pasti aku selamanya tersangkut di semester satu kerana lemahnya penguasaanku terhadap bahasa Arab. Biarpun sudah naik semester tiga, aku masih terkunci dengan satu persoalan; Bila aku boleh pandai bahasa Arab ni?

Kawanku, Ummu Maryam setia menungguku sambil duduk di katil. Dia sekumpulan denganku, sama gugupnya denganku dan sama takutnya denganku terhadap pensyarah. Paling utama, sama-sama tidak bersedia. Jauh dalam hatiku, aku serba salah kerana terlewat. Kelas bermula jam 8 pagi tapi 8.15 pagi aku masih meniup-niup tudungku yang enggan terbentuk kemas. Bergumam aku sendiri, dalam banyak-banyak hari kenapa hari ini tudungku tidak jadi?!

8.30pagi

Aku dan Ummu Maryam sampai ke kelas tingkat dua di Fakulti Pendidikan. Takut-takut aku memulas tombol pintu. Takut dimarahi kerana lewat– ya, betul tidak beradab begini tapi, ketahuilah ini adalah kali pertama dalam sejarah hidupku, aku lewat ke kelas. Tak pernah terjadi sebelumnya. Paling mengejutkan, hari itu hampir sebahagian kelas datang lewat. Agenda apa ini?

“Ha, cepat-cepat kenapa lambat ni?” Itulah pertanyaan pensyarah kami yang kedengaran marah tapi disembunyikan. 

“Mana kumpulan pertama hari ini?” Soal pensyarahku apabila kami semua buat-buat lupa apa yang akan terjadi hari ini.

Seperti tadi lambat-lambat aku bangkit dan menyusun bangku. Lambat-lambat semuanya. Apabila sudah duduk, kami masih tak mulakan apa-apa. Masih duduk menyepi. Wajah lawan pertama antara kumpulanku dan kumpulan satu lagi semuanya sugul macam kucing yang diberi Whiskas sepanjang minggu. 

“Kenapa ada yang tak kenakah?” Soal pensyarahku.

Senyap. Hanya bunyi pendingin hawa kedengaran. Ngung…ngung…ngung…

“Macam ada yang tak kena dengan awak semua. Belum bersediakah?” Soal beliau lagi setelah soalan pertama hanya dijawab dengan sepi berteman bunyi pendingin hawa tadi.

“Belum, ustaz.” Ya, kami hanya tahu perkataan belum untuk pagi ini. Aku juga begitu, ditambah gelengan dan tunduk sambung menggulung hujung kertas kajang tiada jenama. 

“Kenapa belum? Mulakan sekarang. Penjaga masa dan pengerusi majlis, sila bersedia.” Kata-kata pensyarahku menambah “makin” dalam perkataan “gugup” sehingga ia menjadi “makin gugup”. Apa yang kami harapkan, pensyarah akan berbaik hati untuk batalkan debat hari ini dan bincangkan bersama-sama poin baik untuk kerajaan atau pembangkang. Yang kami dapat, perkataan makin tadi. 

Maka bermulalah sesi debat yang kucar-kacir bahasanya, muannas, muzakkar entah kemana nahu serupa tak pernah baca Matan Al-Ajurumiyyah dan tidak usahlah berangan aku dapat i’rab kembali ayat yang aku lontarkan bukan kerana aku tidak mahir i’rab tetapi ayat-ayatku itu, tidak boleh di i’rabkan pun kerana salah. 

Habis pusingan debat, penggulungan pun selesai kami dipanahi dengan anak panah yang membunuh ego dalam hati kami. Ego bahawa aku sudah cukup tahu bahasa Arab. Sudah ‘A’ subjek Nahu dan Sorof di semester satu. Sudah dekan keputusan semester-semester lepas. Tercalar dan terluka ‘A’ pada kertas keputusanku semester dulu.

“Karen Risager itu lelaki atau perempuan?” Soal pensyarahku bila tiba giliranku dioperasi hasil perdebatan.

“Er…perempuan.” jawabku ragu-ragu meski tak tahu pun jawapan sebenar.

“Jadi, kenapa guna muallif? Sudah bertukar jantina?” Cing! Itu bunyi mata panah yang terkena egoku.

“Kalau perkara asas begini pun masih tak kuasai macam mana? Atau mungkin awak tersasul. Tersasul ini biasa dalam perdebatan. Tersasulkah tadi?” Pensyarahku menyoal. Soalan untuk aku.

Ah, soalan perangkap! Jika geleng, aku mewartakan kejahilanku dengan perkara asas. Jika angguk, aku mungkin ditanya lagi soalan yang membuktikan aku bijak sehingga boleh tersasul begitu. Kesudahannya, aku mengangguk dan menggeleng sambil tunduk memejamkan mata kuat-kuat kalau-kalau dipanah lagi. Dan aku disergah kerana keliru dan mengheret orang lain dalam kekeliruan.

Itu adalah hari pertama aku membenci diriku kerana memilih bahasa Arab dan hari pertamaku jua aku jatuh cinta kepada bahasa Arab. Kenapa? 

Aku membenci diriku kerana tidak sedar diri bahawa aku ini memang tidak pandai lagi bahasa Arab tetapi memilih kekal dalam aliran ini. Memilih kursus ini berbanding kursus perniagaan yang aku dapat dahulu. Aku jatuh cinta dengan bahasa Arab kerana sejak hari itu aku serius belajar. Aku serius membelek segala kamus yang aku miliki. Aku lunyaikan kamus mini yang aku beli di pesta buku.

Aku sedar, bahasa Arab adalah bahasa yang perlu serius dipelajari kerana bahasa itu bahasa Al-Quran. Bayangkan jika terbiasa membaca teks Arab dengan baris yang diletakkan mengikut sedap dan kata hati, bagaimana jika suatu hari tiada baris dalam Al-Quran? Sanggupkah aku bacakan kalam Tuhan dengan baris sesedap rasa seperti kebiasaan? Tentunya tidak. Bukan semata tak sanggup bahkan bebanan dosa yang menanti…tak tertanggung akibatnya.

Mulai hari itu, berkajang-kajang poin yang aku tulis di atas kertas kajang tiada jenama. Berjam-jam memerah idea di bilik Ummu Maryam dan Mina bergilir-gilir. Berebut-rebut menunggu di hadapan pintu bilik pensyarah hanya untuk mendapatkan bantuan beliau. Berjela-jela perbualan di group whatsapp membincangkan isi-isi debat. 

Kemuncaknya, pensyarah memuji kami yang melanjutkan tempoh 7 minit setiap orang kerana tidak puas melontarkan hujah kerana tidak puas ada tiga poin berbaki yang merupakan kelemahan pihak lawan belum sempat dibahas. Biarpun berbekalkan penguasaan bahasa yang sederhana, sinar kami memahami tajuk dan kebolehan menterjemahkan semuanya ke satu bahasa asing, bukan bahasa ibunda, adalah satu nikmat Tuhan yang tak dapat didustakan. 

Aku ingat lagi detik pensyarahku menyuruh aku berhenti berhujah dan menyembunyikan senyumnya kerana terlalu gembira. Pelajarnya sudah berada di landasan yang betul. Sejak itu, khabar pensyarahku garang sirna daripada fikiran aku dan rakan kelas. Kami terlalu menghargai setiap saat dalam kelas ini, kami terlalu gembira dengan setiap aktiviti sepanjang semester. Semua ini demi bahasa Arab!

Malam dan dini hari ku tak lagi berteman duka. Hanya kesungguhan dalam mempelajari bahasa Nabi ini yang kuingat. Biarpun masih berada pada tahap sederhana tapi semakin yakin dalam bicara. Semakin aku mahu menjadi pakar dalam bahasa ini.

Sampai detik ini, aku masih berada pada tahap sederhana tapi niat dalam hatiku masih sama. Aku mahu terus mempelajari bahasa Arab. Seperti kata arwah Emak, “Jangan pernah tinggal bahasa Arab.”.

Uhibbu Lughatul Arabiah. Uhibbu ke uhibbi? Yallah!

Nukilan,

Amirah Fahim

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.