Hamka dalam tafsirnya, Al-Azhar (1965) memuatkan pandangan Ibnu Kathir mengenai keberkatan pangkal surah Al-Alaq yang bermula dari ayat 1 hingga 5. Pangkal ayat yang bermula dengan perkataan Iqra‘ ini memaparkan nikmat yang telah dianugerahkan Allah kepada manusia yang bermula daripada kecerdasan akal, sekaligus memenangkan umat manusia ini dari segi keilmuan dan pengetahuan berbanding makhluk-makhluk yang lain. Agungnya Allah Azza Wajalla dalam segenap penciptaan makhluknya, yang sudah pasti direncanakan dengan penuh teliti bagi hambaNya berfikir dan beramal pada jalan yang diredhaiNya.

Perkataan Iqra‘ adalah sebuah perkataan yang penuh keramat. Kalimat inilah yang menarik minat saya untuk membaca sebuah buku yang membawa saya menghayati tuntutan pertama agama Islam iaitu membaca. Buku Kuasa Iqra‘: Menguasai Dunia, Menikmati Akhirat (2012) ini adalah antara buku yang tepat membicarakan soal pembacaan atau lebih gemar disebut biblioholisme dalam kalangan para pencinta buku. 

Menariknya, buku yang ditulis oleh Menteri Agama Malaysia ini bukanlah sebuah buku yang sekadar bercerita mengenai budaya membaca, malah turut memuatkan tuntutan membaca dalam agama Islam melalui tafsir surah Al-Alaq, kisah para ulama‘ yang menjadikan membaca sebagai satu tuntutan kehidupan dan cadangan buku yang perlu dimiliki dan dibaca oleh semua umat Islam. Turut menjadi perhatian saya juga adalah berkaitan tips membaca yang dicadangkan oleh penulis sendiri, yang sudah semestinya wajar untuk kita contohi. 

Permulaan buku ini membawa kita menghayati tuntutan membaca yang perlu dimiliki oleh umat Islam sedari awal penurunan wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. Rujukan daripada beberapa kitab tafsir dikehadapankan oleh penulis supaya pembaca lebih jelas mengenai rahmatnya tuntutan ini diturunkan pada detik awal kenabian Nabi Muhammad s.a.w. 

Dr Aidh Al-Qarni dalam bukunya, Muhammad Seolah-Olah Kamu Melihatnya (2002) menyatakan kalimah Iqra‘ yang membawa maksud Bacalah  merupakan permulaan bagi kedudukan mulia umat manusia yang memimpin di atas ilmu yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t. Kalimah inilah yang menjadi bukti pemisahan antara kegelapan dan keterangan, kekufuran dan keimanan serta kejahilan dan keilmuan. 

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (2012) turut memuatkan betapa hebatnya tuntutan Iqra‘ ini yang membawa kita untuk mengamalkan bacaan yang terpimpin dan mengenal makrifatullah melalui ayat 1, surah Al-Alaq: 


Maksud : Bacalah (Muhammad) dengan nama TuhanMu yang menciptakan (sekalian makhluk) 

Melalui ayat ini, jelas dipaparkan kepada kita dengan membaca atas nama Tuhan Yang Maha Esa, kita akan mengenali Allah melalui tanda-tanda kebesaranNya dan membawa kita menghayati dalil-dalil yang akan membawa kita kepada sebuah ketakutan, iaitu ketakutan kepada Allah s.w.t. 

Pembacaan secara terpimpin inilah yang telah diamalkan oleh kerajaan Islam suatu ketika dahulu bagi menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat juga pemimpinnya. Mohd Zamrus Mohd Ali (2016) menyatakan budaya membaca yang berteraskan wahyu utama Islam iaitu Al-Quran Al-Karim dan As-Sunnah dijadikan sebagai satu kayu ukur dalam memperkembangkan ilmu-ilmu yang lain di Andalusia seperti ilmu matematik, astronomi, optik dan sebagainya. Hasilnya, perkembangan ilmu berkembang dengan pesat dalam sebuah kerajaan dan turut memberi tempias pada hampir dua per tiga dunia. 

Penulis juga memuatkan tokoh-tokoh Islam yang amat berpegang teguh dengan tuntutan membaca seperti Al-Jahiz, Imam As-Syafie Imam As-Syirazi, Imam Al-Muzani dan Dr Yusuf Al-Qaradhawi. Pengenalan nama-nama besar dalam Islam ini tidak lain tidak bukan untuk membuktikan kepada pembaca betapa umat Islam terdahulu amat mementingkan budaya membaca sebagai pengubat kehidupan dan bukannya dijadikan ubat untuk melelapkan mata. 

Beberapa tips dan teknik pembacaan berkesan turut digariskan dalam buku ini untuk menyemarakkan budaya membaca dalam diri masyarakat khususnya anak muda. Saranan Dr Aidh Al-Qarni (2002) untuk kita merenungi kisah para sahabat, tabiin, para ulama‘ dan orang soleh adalah antara tips yang secara tidak langsung mendekatkan diri kita ke arah pembacaan yang berkualiti. 

Perpustakaan juga merupakan gedung utama dalam usaha penyebaran ilmu dan budaya membaca. Dr Zulkifli (2012) tidak ketinggalan untuk menceritakan kepada kita mengenai perpustakaan Islam dan barat yang memuatkan pelbagai khazanah dunia yang harus kita terokai. Ini antara bab yang sangat menarik kerana sarat dengan info-info yang segar. 

Secara keseluruhan, buku ini amat berbaloi untuk dimiliki oleh setiap masyarakat yang masih mencari-cari rentak pembacaan dalam hidup. Selain sarat dengan fakta yang berpandukan rujukan sahih, percayalah buku ini juga boleh dikatakan buku motivasi buat para pembaca di luar sana. Mungkin, tidak keterlaluan untuk saya katakan buku ini wajib dimiliki oleh semua orang bagi melihat betapa besarnya tuntutan membaca yang telah diangkat oleh Allah Azza Wajalla sejak awal kedatangan Islam lagi. 

Bacalah buku ini dan percayalah anda akan berbangga menjadi seorang Muslim yang beriman dan berilmu pengetahuan sejajar dengan kalimah pertama yang diturunkan kepada kita, Iqra‘.

Pengulas.

Nurul Syuhadah Ainin Binti Abdullah
Pulau Pinang

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.