Sewaktu di zaman jahiliah, sebahagian masyarakat Arab masih tidak mempunyai akses yang kukuh untuk mencerdikkan minda dan pengetahuan mereka dan ramai dalam kalangan mereka yang tidak tahu menulis dan membaca. Mereka tidak mempunyai asas ilmu sehinggalah datangnya seorang wanita yang membimbing masyarakat menjadi guru yang amat istimewa kedudukannya di sisi Rasulullah s.a.w.

Asy-Syifa binti Abdullah atau nama sebenarnya Laila binti Abdullah bin Abdi Syams bin Khalaf bin Syaddad Al-Adawiyyah Al-Qarsyiyah merupakan seorang wanita yang mahir dalam bidang ilmu penulisan di zaman Rasulullah s.a.w. Asy-Syifa berkahwin dengan Abu Hatsmah bin Fazruq bin Hudzaifah bin Ghanim bin Amir Al-Qarsyi. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Sulaiman bin Abi Hatsmah.

Sebelum kedatangan Islam, beliau ialah seorang wanita yang cerdas dan wanita pertama yang mengetahui alat tulis. Beliau kemudiannya berhijrah mengikuti kaum muhajirin dan memeluk Islam serta berbait kepada Rasulullah s.a.w. Dalam firman Allah s.w.t, Asy-Syifa ialah wanita yang termasuk disebutkan melalui surah Al-Mumtahanah.

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ إِذَا جَآءَكَ ٱلْمُؤْمِنَٰتُ يُبَايِعْنَكَ عَلَىٰٓ أَن لَّا يُشْرِكْنَ بِٱللَّهِ شَيْـًٔا وَلَا يَسْرِقْنَ وَلَا يَزْنِينَ وَلَا يَقْتُلْنَ أَوْلَٰدَهُنَّ وَلَا يَأْتِينَ بِبُهْتَٰنٍ يَفْتَرِينَهُۥ بَيْنَ أَيْدِيهِنَّ وَأَرْجُلِهِنَّ وَلَا يَعْصِينَكَ فِى مَعْرُوفٍ ۙ فَبَايِعْهُنَّ وَٱسْتَغْفِرْ لَهُنَّ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

“Hai Nabi, apabila datang kepadamu perempuan-perempuan yang beriman untuk mengadakan janji setia, bahwa mereka tiada akan menyekutukan Allah, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anaknya, tidak akan berbuat dusta yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka dan tidak akan mendurhakaimu dalam urusan yang baik, maka terimalah janji setia mereka dan mohonkanlah ampunan kepada Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang“. [Surah Al-Mumtahanah : 12]

Asy-Syifa menjadi ikon wanita paling berpengaruh di sekitar Kota Madinah kerana melahirkan ramai penduduk yang bijak menulis dan membaca. Beliau digelar Asy-Syifa kerana mendidik umat menjadi penulis dan beliau juga merupakan seorang pengamal ruqyah wanita yang handal. Dengan kepakarannya, Asy-Syifa telah membantu ramai pesakit di zaman Rasulullah.

Sesungguhnya, Asy-Syifa ialah seorang wanita yang memiliki pengetahuan yang luas dalam bidang pendidikan dan perubatan. Asy-Syifa menjadi permata yang berkilau menyinari anak-anak didiknya kerana tidak jemu mengajarkan ilmu kepada masyarakat yang kaku pada saat itu.

Murid-murid Asy-Syifa juga terdiri daripada kalangan isteri-isteri Rasulullah s.a.w Antara isteri baginda yang menuntut ilmu penulisan dengan beliau ialah Hafshah Binti Umar Al-Khattab. Asy-Syifa pernah mengunjungi Hafshah dan kemudian baginda meminta agar Asy-Syifa mengajarkan Hafshah sekali ilmu ruqyah. Dalilnya disebutkan dalam satu hadis daripada Asy-Syifa’ binti Abdullah dia berkata,

دَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا عِنْدَ حَفْصَةَ فَقَالَ لِي أَلَا تُعَلِّمِينَ هَذِهِ رُقْيَةَ النَّمْلَةِ كَمَا عَلَّمْتِيهَا الْكِتَابَةَ؟

“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menemuiku, sementara aku sedang berada di rumah Hafshah. Lalu baginda berkata kepadaku: “Tidakkah engkau ajari dia jampi namlah (penyakit bisul-bisul kecil yang keluar daripada lambung perut) sebagaimana engkau mengajarinya menulis?.” [Sunan Abu Daud no. 3887, Shahih menurut Syaikh Nashiruddin Al-Albani]

Ini menunjukkan bahawa betapa tinggi pengetahuan Asy-Syifa sehinggakan dalam hadis yang dinyatakan, Rasulullah s.a.w sendiri meminta kepadanya untuk mengajarkan Hafshah. Hafshah anak kepada sahabat Rasulullah iaitu Umar Al-Khattab turut dahagakan ilmu daripada sang guru dan perawat wanita, Asy-Syifa.

Di samping dikenali dengan kehebatan menulis dan kecekapan dalam meruqyah, Umar Al-Khattab justeru mendapatkan Asy-Syifa untuk mengerahkan idea mengenai selok belok dalam perniagaan. Oleh yang demikian, Umar Al-Khattab telah memutuskan untuk melantik dan memberikan jawatan kepada beliau untuk menguruskan hal-hal perniagaan.

Kemahiran Asy-Syifa diperlukan untuk membantu memperkukuhkan kestabilan ekonomi negara. Asy-Syifa berjaya menjadikan dirinya sebagai pembantu perniagaan dengan penuh bertenaga dan usaha semaksimal agar mendapat kepercayaan daripada Umar Al-Khattab. 

Disebutkan juga dalam Ath-Thabaqat oleh Ibnu Sa’ad bahawa Umar Al-Khattab sangat mendahulukan pendapat Asy-Syifa, menjaganya dan mengutamakannya dan terkadang beliau mempercayakannya dalam pengurusan pasar.

Ibnu Sa’ad merekodkan bahawa Asy-Syifa termasuk wanita yang cerdas dan mulia. Rasulullah s.a.w telah menghadiahkan Asy-Syifa sebuah rumah di Madinah. Rasulullah s.a.w mengunjunginya dan beristirehat siang di rumahnya. Walaupun Asy-Syifa telah mempunyai anak, Rasulullah s.a.w masih sering menziarahinya.

Asy-Syifa mempelajari ilmu hadis daripada baginda. Selain meriwayatkan hadis, terdapat dalam kalangan mereka yang meriwayatkan hadis daripada Asy-Syifa. Antaranya, putranya sendiri Sulaiman, cucunya dan hamba sahaya iaitu Abu Ishak bahkan daripada ummul mukminin yang lain.

Sejarah membuktikan bahawa sahabiyah seperti Asy-Syifa boleh maju ke hadapan dan menakhluk dunia tanpa perlu bersaing dengan kaum lelaki. Kaum wanita pada ketika ini harus mencontohi dan meneladani kehidupan pejuang agama dan negara iaitu Laila binti Abdullah.

Ketokohan Asy-Syifa ini telah melahirkan ramai penulis Islam wanita selepas penyebaran Islam yang sedang perlahan-lahan berkembang pesat. Asy-Syifa, seorang penulis, guru wanita pertama di dalam Islam yang berbakat dan berkebolehan. Seorang perawat yang menyembuhkan banyak nyawa insan atas izin-Nya.

Bakat yang dimiliki oleh Asy-Syifa perlu dicontohi agar lebih ramai lagi yang mempunyai keperibadian yang luar biasa sepertinya. Menulis bertujuan untuk menyebakan lagi maklumat yang diperolehi ke seantero dunia. Dengan menulis, dakwah dapat ditularkan dengan mudah dan pantas.

Bagi mewujudkan generasi yang minat dalam menulis, maka bukalah lembaran kisah hidup srikandi ini agar dapat dicungkil lagi semangat dan kerajinan ingin menulis. Kemudian, beranikan diri menceburi bidang perubatan sebagaimana Asy-Syifa sendiri berkecimpungan dalam bidang berkenaan.

Sungguh sangat sedikit kisah Asy-Syifa diriwayatkan walhal, beliau merupakan tokoh wanita pertama yang pandai menulis di zamannya. Nama yang kurang didendangkan tetapi tercatat dalam senarai tokoh-tokoh wanita mulia di samping Rasulullah s.a.w. Asy-Syifa telah wafat pada tahun 20 hijrah sewaktu zaman pemerintahan khalifah Umar bin Al-Khattab.

Semoga selepas ini akan lebih ramai lagi wanita seumpama Asy-Syifa yang digeruni dan dihormati oleh seluruh penduduk di pelosok dunia.

Disediakan oleh,

Syuhara Suriati


Rujukan :

  1. Perempuan-perempuan Mulia di Sekitar Rasulullah SAW, hal. 94. Cetakan ketiga Mei 2016, penerbit Gema Insani. Muhammad Ibrahim Sallim.
  2. Wanita-wanita Kebanggaan Islam, hal. 12-14. Cetakan pertama Januari 2015, penerbit Akhbar Media. Umar Ahmad ar-Rawi.
  3. Mereka adalah Para Shahabiyat, hal. 202-204. Cetakan XIX Agustus 2014, penerbit Team At-Tibyan. Mahmud Mahdi al-Istanbuli, Musthafa Abu an-Nashr Asy-Syalabi, Dr. Abdurrahman Ra’fat Basya.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.