Sebelum Nabi Muhammad s.a.w diutus, masyarakat Arab Jahiliyah hidup di dalam kegelapan. Mereka mempersekutukan Allah dengan menyembah berhala. Selain itu, mereka mengamalkan cara hidup yang keji dan di luar norma kebiasaan manusia seperti membunuh anak perempuan, berjudi, minum arak, berzina dan suka berperang. 

Masyarakat Arab Jahiliyah pada asalnya menganut kepercayaan Nabi Ibrahim. Mereka menyembah Allah dan mengamalkan setiap ajaran Nabi Ibrahim dengan sempurna. Ajaran Nabi Ibrahim kekal sehinggalah mereka akhirnya perlahan-lahan lupa dan mula meninggalkannya. Walau bagaimanapun, beberapa elemen kepercayaan dalam ajaran Nabi Ibrahim masih dikekalkan. Antaranya ialah amalan haji. 

Seterusnya, manusia pertama yang mengubah ajaran Nabi Ibrahim ialah ‘Amru bin Luhai al-Khuza’i. ‘Amru bin Luhai merupakan ketua Kabilah Khuza’ah yang datang bersama kabilahnya dari Yaman ke Mekah. Kabilah Khuza’ah berjaya merampas Kota Mekah selepas menang dalam pertempuran bersama kabilah Jurhum yang telah mendiami Mekah selema lebih dua abad. 

‘Amru bin Luhai membawa masuk berhala bernama Hubal yang dibawa daripada Syam ke Mekah. Berhala Hubal diperbuat daripada batu akik berwarna merah dan berbentuk manusia. Ia merupakan berhala terbesar dan diletakkan di tengah Kaabah. Beliau menyeru agar masyarakat Arab yang lain menyembah berhala tersebut. Beliau terinspirasi dengan sembahan berhala masyarakat di Syiria semasa pengembaraannya di sana. Beliau percaya amalan menyembah berhala adalah satu amalan yang benar kerana Syiria adalah tanah kelahiran para nabi dan risalah suci ketuhanan. 

Sifat pemurah dan dermawan yang ada pada ‘Amru bin Luhai seperti menyediakan minuman pada rombongan haji yang datang ke Mekah dan ketaatan kabilahnya menjadi antara salah satu faktor ajaran baru ini mudah diterima dan tersebar luas. Seterusnya, beberapa berhala lain turut dibawa masuk ke Tanah Arab untuk disembah masyarakat Arab Jahiliyah. Menurut sejarawan, ketika penaklukan Mekah oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w, terdapat 360  buah berhala di sekeliling kaabah. 

Setiap berhala mempunyai nama yang berlainan. Berhala bernama Manat diletakkan di Al-Mushallal berdekatan Qudayd di Laut Merah. Berhala Al-Lat merupakan berhala yang paling tua dan terletak di Thoif. Selain itu, berhala Al-‘Uzza yang merupakan berhala kedua penting selepas Hubal di Kaabah terletak di perkampungan Nakhlah. Manakala berhala Manat terletak di kota Madinah dan disembah penduduk Yatsrib (Madinah). Berhala-berhala ini berfungsi sebagai tempat mengadu nasib, mendapat restu sebelum memulakan perjalanan musafir dan sebagai petunjuk di dalam pernikahan. 

Selain itu, ‘Amru bin Luhai dengan bantuan jin yang memberitahunya mengenai kedudukan berhala kaum Nabi Nuh yang tertanam di Jeddah turut menggali dan mengeluarkan berhala bernama Wadd, Suwa’ Yaguth, Ya’uq dan Nasr dan meletakkannya di Tihamah. Pada musim haji, berhala-berhala ini akan diagih-agihkan di kalangan jemaah haji untuk dibawa pulang. Pelbagai bentuk inovasi dilakukan ‘Amru bin Luhai di dalam ajaran baru ini. 

Antaranya ialah menyerahkan diri sepenuhnya kepada berhala ini selain memohon keselamatan dan bersumpah atas namanya. Mereka percaya berhala yang disembah menjadi perantara antara mereka yang berdoa atas namanya dengan Allah. Selain itu, mereka akan melakukan tawaf disekeliling berhala tersebut dan sujud di hadapannya. Mereka juga akan melakukan korban atas nama berhala tersebut. Inovasi lain ialah mereka akan menyediakan makanan dan minuman kepada berhala tersebut. 

Ironinya, masyarakat Arab Jahiliyah menyembah berhala ini kerana percaya berhala tersebut akan mendekatkan diri mereka kepada Allah dan akan memenuhi setiap permintaan mereka. Malaikat dianggap sebagai anak perempuan tuhan. Jin atau semangat adalah sekutu dengan Allah yang mentadbir alam ini dan menentukan masa hadapan mereka. Masyarakat Arab Jahiliyah hidup dalam kesesatan yang nyata selama beberapa abad lamanya sehinggalah Nabi Muhammad s.a.w diutus sebagai penyelamat dan cahaya kepada mereka. 

 

Rudza Hanim Mohamed Anuar

Pensyarah,

Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor.

 


Rujukan:

Abd. Basit Abd Rahman. (2019). Makkah Al-Mukarramah: Kelebihan & Sejarah. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd. 

Abul Hasan Ali Nadwi. (2006). Islam and the World. Saudi Arabia: International Islamic Federation of Student Organizations.

Safiur-Rahman Al Mubarakpuri. (2011). The Sealed Nectar: Biography of the Noble Prophet. Riyadh: Maktaba Dar-us-Salam.

Muhadir Joll. (2016). Kelahiran Teragung Junjungan Mulia Nabi Muhammad. Selangor: Galeri Ilmu.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.