in

LoveLove

Apakah Erti Hidup di Dunia?

Persoalan menyapa, “Apakah erti hidup di dunia?”

Kadangkala kita seakan-akan kehilangan arah di dalam perjalanan hidup sendiri kerana tidak tahu di manakah perhentian yang akan dituju. 

“Kau tak rasa laju ke? Semua mahukan perubahan, semuanya drastik.”

Ikutkan hati, ingin sahaja lari dari semua ini. Kerana ketidakupayaan kita mengejar realiti membuatkan kita kehilangan ‘makna’ dalam kehidupan. 

Salahkah untuk menikmati perlahan-lahan setiap saat yang mengalir?

Kita menyangka tiupan lilin di kek mencerminkan dewasanya kita meniti hidup di dunia, tetapi tiupan lilin juga menunjukkan betapa dekatnya kita kepada kematian.

Siang dan malam berterusan membuktikan bumi tidak pernah ‘mati’ dalam mendukung cita-cita. Namun, ia juga menjadi bukti bumi tidak pernah lelah ‘menelan’ umat manusia ke dalam tanah.

Kebiasaannya, pagi seorang manusia akan dibangunkan oleh tunggakkan sebuah tanggungjawab. Walau bagaimanapun, ada kalanya sinaran pagi juga tidak mampu membangunkan seorang manusia.

Begitulah hakikatnya, masa tidak menunggu kita.

Akhirnya, realiti memaksa kita untuk memilih meneruskan hidup. Sedangkan jauh di sudut hati, kita hanya ingin berhenti mendepaninya kerana luka-luka yang ada seolah-olah merentap kebahagiaan yang ingin dicapai. 

Bukankah kita cuma ingin difahami? 

Tentang perasaan, tentang beratnya jiwa yang menanggung segala cerita….

“Wahai Tuhan, di manakah jalan pulang buat segala penat lelah ini? Kami hanya ingin pulang untuk berehat dari mehnah. Seperti dunia, kami juga sedang penat dan tenat.”

Menuntut sebuah jawapan dalam memahami erti segala percaturan ini bukan bermakna kita ingin menjauh. Bahkan, itu menunjukkan kita sedang menyelami fitrah sebagai manusia yang berpaksikan tujuan dan makna.

Akan tetapi, tentang apakah erti hidup di dunia?

Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya).

(Surah al-Inshiqaq 84:6)

Ketahuilah, ‘makna’ itu tidak pernah hilang selagi kita sedar bahawa perjalanan ini sebenarnya bukan tentang manusia tetapi tentang menuju kepadaNya. 

Setiap apa yang dicapai dan dikorbankan hanyalah sementara. Malah, kisah kita di dunia hanyalah singkat sejak dilahirkan dari rahim seorang wanita yang mencintai kita dan ditamatkan dengan perjalanan pulang menuju Dia yang Maha Esa. 

Di sana nanti, akan diceritakan setiap penat lelah yang pernah kita lalui dahulu. Pada ketika itu, pilihan yang ada cuma dua antara bahagia dan derita. Dan semua itu bermula dengan bagaimana kita ‘menghidupkan’ cerita kita di dunia.

Sesungguhnya, Allah SWT tidak akan pernah meninggalkan kita sepertimana manusia yang sentiasa datang dan pergi. Lelahmu selama ini tidak akan hilang daripada perhatianNya. Bait-bait tangismu tadi sudah pun kedengaran oleh as-Sami’, yang Maha Mendengar.

Jika dengan hidup membuatmu merasakan semua ini tiada erti, itu bermakna kita sedang prejudis terhadap Tuhan yang membawa sejuta harapan. Dia sedang mengajarkan kepada kita bahawa bukan di sini tempat kembali bagi manusia kerana hakikatnya bumi juga makhluk Tuhan yang sedang menanti arahan untuk dimusnahkan.

Namun, lihatlah berapa ramai manusia yang sedang bergembira menjadikan bumi sebagai tempat yang kekal abadi. Sedangkan Allah SWT telah menyediakan sebuah tempat yang jauh lebih indah buat mereka yang sentiasa sabar dalam ketaatan.

Maka, pulanglah wahai jiwa menuju makna yang sebenar. Kerana dengan makna, semua ini tidak akan sia-sia.

Disediakan oleh: Elina Suraya


Hantar karya anda di emel [email protected]

Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!

HAMKA Kata Budi Itu…

Pelihara Haiwan Jangan Sampai Berbuat Dosa