Mungkin suatu ketika kita pernah mendengar mengenainya, tetapi samar akan sejarahnya.

Mungkin nama dahulunya  kurang dipahat di hati, namun nama modennya diketahui.

Mungkin apabila berbicara mengenainya ada yang kurang mengerti, tetapi sebahagian yang memahami akan menangisi.  ANDALUSIA….  Itulah julukan nama yang menyimpan sejuta satu kisah berharga,  namun kini, kian dilupa.

Andalusia atau Andalus merujuk kepada sebuah kerajaan Islam yang pernah gemilang seketika masa lalu. Dari segi geografinya, ianya terletak di benua Eropah dan keluasannya kira-kira 504,750 km  persegi.  Andalusia itu adalah rangkuman Sepanyol dan Portugal pada masa kini yang dahulunya sebelum abad ke-5M  dikenali sebagai wilayah Semenanjung Iberia atau Les Iberes.

Penanda arasan terhadap kejayaan  pertapakan Islam di sini bermula dan dapat diperhatikan apabila panglima perang Islam iaitu Tariq bin Ziyad berjaya menewaskan Raja Roderick pada tahun 711M. Meskipun hanya berbekalkan  kekuatan bala tentera lebih kurang  12, 000 orang  namun, pihak tentera Islam di bawah pimpinan panglima Tariq bin Ziyad ini mampu mengalahkan angkatan Kristian Goth yang ketika itu berkali ganda bilangannya iaitu berjumlah 100, 000 orang. Berbekalkan semangat juang yang tinggi maka pada hari kelapan peperangan, tentera Islam akhirnya berjaya mengecapi kemenangan bertempatkan Lembah Lekk (Guadalete) Sepanyol.

Datangnya Islam di bumi Andalus bukanlah  keutamaannya  untuk menguasai sebaliknya membebaskan wilayah-wilayah  yang ketika itu berada dalam kezaliman-kezaliman para penguasa sebelumnya. Kerajaan Islam hadir dengan membawa keadilan-keadilan  dan kedamaian-kedamaian buat penduduk-penduduknya yang sebelum ini tertindas dek pemerintah. Oleh itu, kehadiran kerajaan Islam di Andalusia ini disambut baik dan ibarat membawa satu sinar yang baru buat para penduduknya.

Pemerintahan Islam di bumi Andalusia ini adalah kurang lebih 800 tahun atau lapan abad lamanya. Hari bersilih hari, tahun berganti tahun, maka, kepimpinan demi kepimpinan di Andalusia turut bertukar ganti.  Ada sejarawan yang membahagikan kerajaan Andalusia ini kepada enam tahap pemerintahan iaitu bermula  Zaman Pemerintahan  Gabenor : Bani Umayyah Damsyik (711- 756M) , Zaman Pemerintahan Bani Umayyah (756-1031M),  Zaman

Pemerintahan Kerajaan Kecil (1031-1086M), Zaman Penguasaan Kerajaan Afrika Utara (1086-1143M), Zaman Al- Muwahhidun (1144-1223M) dan akhir sekali Zaman Bani Nasr / Al-Ahmar (1224-1429M).

Andalusia menjadi saksi utama terhadap pelbagai kejayaan mahupun kemajuan yang dikecapi  kerajaan ini, terutamanya pada ketika pemerintahan  zaman Bani Umayyah. Menurut penulisan Hamka dalam karyanya yang berjudul  Sejarah Umat Islam, menyatakan bahawa tiga orang raja-raja yang senama; Abdur Rahman I yang bergelar Ad-Dakhil (yang masuk), Abdur Rahman II yang bergelar ‘Al-Ausat’ (Yang Pertengahan) sampailah kepada Abdur Rahman III, yang bergelar ‘An-Nasir’  (Yang Membela) sangatlah naik semarak negeri Andalusia. Kemajuan demi kemajuan dicapai dan salah satunya dapat dibuktikan melalui penubuhan pusat kecemerlangan ilmu seperti Universiti Cordova yang didirikan pada zaman pemerintahan khalifah yang memerintah Andalusia selama 50 tahun ini iaitu Khalifah Abdur Rahman III.

Kemajuan yang dicapai kerajaan Andalusia bukan sahaja tertumpu dari segi kemajuan aspek keilmuan bahkan merangkumi aspek lainnya.  Adanya Andalusia ini, mencerminkan  terwujudnya  sebuah tamadun yang berasaskan toleransi, teknologi, penyelidikan dan kreativiti bersandarkan Al-Quran. Keagungan Kerajaan Andalusia ini walaubagaimanapun tidaklah dapat diteruskan kegemilangannya kerana akhirnya ia tetap tumbang ketika zaman pemerintahan pemerintah terakhir kerajaan terakhir iaitu kerajaan Bani Nasr ataupun Al-Ahmar. 

Istana Al-Hamra

2 Januari 1492, merubah segala- galanya. Istana Al-Hamra yang berdiri utuh, kukuh di Bukit La Sabica, Granada Sepanyol serta menjadi lambang kemegahan kerajaan Al-Ahmar ini akhirnya bertukar menjadi saksi bisu terhadap titisan air mata Sultan Muhammad XII yang jatuh berlinangan. Dengan bertukar tangan penguasaan terhadap Istana Al-Hamra ini kepada Raja Ferdinand II Aragon dan Ratu Isabel Castile maka berakhirlah empayar Islam yang sekian lama terbina di bumi Andalusia. Ada riwayat yang menyatakan ibunya Aisyah (ibu kepada Sultan Muhammad XII) berkata: “Thou dost weep like a woman for what thou couldst not defend as a man”. Meskipun toleransi dan kedamaian terhadap masyarakat Islam Granada dijanjikan melalui perjanjian yang disepakati , namun  kesudahannya perjanjian tersebut dimungkiri dan pembantaian yang terjadi.

Sesungguhnya Al-Andalus adalah suatu permata yang sukar untuk dibina semula. Hadirnya membawa cahaya, perginya menghilangkan sinar berharga.

 

Disediakan oleh,

Hafizah Munir

 


RUJUKAN

  1. Hamka (2018). Sejarah Umat Islam Edisi Kemas Kini. Selangor: PTS Publishing House Sendirian Berhad.
  2. https://www.academia.edu/38034905/Penaklukan_Andalusia_Ratu_Isabella   
  3. https://www.academia.edu/4284185/PERKEMBANGAN_TAMADUN_ISLAM 
  4. https://www.academia.edu/28664662/Kejatuhan_Tamadun_Andalusia_Abbasiyyah_dan_Uthmaniyah  
  5. http://www.tarbawi.my/2013/06/kisah-jatuh-bangun-pemerintahan-islam.html   
  6. https://www.academia.edu/people/search?utf8=%E2%9C%93&q=kerajaan+andalusia 

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.