Andai Zainuddin bertemu Zainab, sudah pasti tiada jiwa yang menjadi korban tetapi hakikatnya dunia ini diciptakan bukan untuk menuruti kehendak hati manusia tetapi dunia diciptakan untuk hati manusia merasai kesakitan dan penderitaan kerana kebahagiaan yang abadi hanya ada di syurga.

Cita-cita seringkali terhalang bukan kerana kemahuan manusia sendiri tetapi atas sebab-sebab yang manusia tidak mungkin campur tangan untuk mengubahnya seperti suku kaum, peraturan atau undang-undang, dan status sosial dalam masyarakat.

Persoalannya, apakah pasti kebahagiaan yang menanti andai Zainuddin bertemu Zainab?

Zainuddin, pemuda berani bercita-cita besar

Sebagaimana penceritaan HAMKA di dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Zainuddin digambarkan sebagai seorang pemuda yang bercita-cita besar dan berani. Keberaniannya terserlah dengan tindakannya meminang Hayati walaupun sekadar melalui surat. Meskipun pada masa yang sama Zainuddin juga menyedari akan status sosialnya di dalam masyarakat meletakkannya dalam keadaan yang kurang beruntung, dia tetap meneruskan niatnya.

Jika dibandingkan dengan watak Hamid, agak jauh berbeza. Hamid seorang yang pemalu. Ia dapat dilihat melalui monolog-monolog Hamid di dalam Di Bawah Lindungan Kaabah yang berlegar sekitar perasaannya terhadap Zainab. Hamid lebih memilih untuk memendam daripada menyuarakan rasa hatinya walaupun seringkali Zainab memberi ruang dan peluang untuk dia menyatakan segalanya sehinggalah pada akhirnya, segala rahsia hati disampaikan oleh Zainab sendiri pada saat-saat akhir kehidupannya melalui surat yang dikirim kepada Hamid.

Zainab, setia dan tetap pendirian

Perwatakan Zainab juga tidak jauh berbeza dengan Hamid, seorang yang pemalu dan suka memendam perasaan. Rasa hormat yang tinggi kepada kedua orang tuanya menjadikan Zainab memilih untuk menyimpan segala rasa di hati sehingga memberi kesan kepada kesihatannya akibat terlalu merindukan Hamid.

Berbanding Hayati, Zainab ternyata lebih setia dan teguh pendiriannya. Walaupun bakal dipasangkan dengan pemuda yang berada dan dihormati kedudukannya dalam masyarakat dan yang sekufu sepertinya, tetapi hatinya tetap memilih Hamid, pemuda sebatang kara.

Andai kata Hamid memberanikan diri menyatakan hasrat hati untuk menjadikan Zainab sebagai teman hidupnya, sekalipun berdepan kemungkinan pinangannya ditolak, paling tidak kedua-duanya tahu akan isi hati masing-masing dan ada perkara yang boleh diusahakan supaya yang dicitakan itu boleh diperjuang dan impian menjadi nyata. Tetapi malangnya itu tidak terjadi.

Bagaimana pula sekiranya Zainuddin yang mengirim surat pinangannya kepada Zainab? Sudah tentu Zainab tidak jatuh sakit akibat menahan sakitnya perasaan yang terpendam kerana dia sedia maklum bahawa insan yang dicintainya juga punya rasa yang sama. Dia cuma perlu usahakan sedikit di pihaknya untuk memujuk ibunya dan kaum kerabatnya.

Realiti Masa Ini

Kedua-dua novel HAMKA ini dikatakan sebagai manifestasi kisah Laila dan Majnun yang diadaptasi berdasarkan kepada norma masyarakat setempat kerana jalan ceritanya sama, cinta tidak kesampaian dan berakhir dengan kekecewaan.

Suatu realiti yang tidak ditanggapi oleh kebanyakan cerita yang dihamparkan kepada para pembaca dan penonton. Bukan sekadar di televisyen, bahkan di media sosial juga kisah-kisah cinta yang berjaya diromantisasikan secara berlebihan sehingga memberi gambaran bahawa cinta itu pastinya berakhir bahagia.

Jika diperhatikan keadaan dunia masa ini, wabak Covid-19 yang melanda telah merencatkan bermacam perancangan. Ada yang hilang pekerjaan, terkesan pendapatan, berdepan ujian kesakitan dan bermacam rupa kepayahan yang menyukarkan seseorang untuk terus mara ke hadapan.

Mungkin ada pemuda yang hasratnya untuk hidup dengan insan yang dia cintai tidak kesampaian kerana kehilangan pekerjaan. Tiada jaminan masa hadapan jika si wanita memilih dia sebagai suami apatah lagi jika si pemuda satu-satunya tonggak harapan keluarga yang memikul tanggungjawab besar menyara isi rumah.

Lalu apa kaitannya dengan Zainuddin dan Zainab?

Keadaan yang sukar seperti sekarang memerlukan insan yang berperwatakan seperti Zainuddin dan Zainab dalam mencapai impian yang satu. Memang benar, cinta tanpa tindakan tidak membawa sebarang makna. Sebab itu dalam mencapai cita-cita, perlu ada usaha yang berterusan.

Tetapi jangan pula kerana kepayahan yang melanda itu menjadi punca impian terpaksa dilupakan kerana cinta itu satu perjuangan dan perjuangan itu perlu dilakukan bersama. Dengan perjuangan bersama itulah yang membuka jalan dan lembaran baharu untuk dilalui sehingga menuju ke akhir garisan. Boleh jadi ia masih tidak dapat dilaksanakan atas kekangan-kekangan yang tidak lagi mampu dialihkan tetapi sekurang-kurangnya, ada usaha yang dijalankan.

Mungkin nikah pada musim PKP ini mudah bagi pasangan yang lain tetapi ia juga sukar buat yang lain apabila ‘jaminan’ masa hadapan yang ada sebelum ini sudah tidak ada lagi.

Serahkan segalanya kepada Tuhan

Sebaiknya menyerahkan segalanya kepada yang Maha Esa, sebagaimana yang dilakukan oleh Hamid. Soal hati ini, tidak mudah untuk merawatnya kerana ia bukan luka fizikal yang boleh disapu ubat. Bagaimana hendak membalut luka yang tidak kelihatan? Siapakah lagi yang dapat menyembuhkan luka dalam hati andai bukan pemilik hati, Yang Maha Kuasa? Kembali kepada-Nya dan gantungkan segala pengharapan hanya kepada-Nya.

Akhir kalam, HAMKA berpesan,

“supaya pemuda beroleh kemenangan di dalam mencapai segala cita-citanya hendaklah dia mempunyai dada yang lebar, fahaman yang luas dan memandang dunia jangan dari segi buruknya saja, hendaklah dipandangnya juga dari segi baiknya. Orang memandang dunia ini dari segi buruknya saja tidaklah akan berhasil maksudnya dan tidaklah akan tercapai semua cita-citanya”.

Disediakan oleh,

Firdani Adam

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.