Al Kindi atau nama sebenarnya Abu Yusuf Ya‘qub bin Ishaq bin sobah bin Imran bin Muhammad Al Kindi. Beliau merupakan seorang tokoh cendekiawan Islam yang sangat masyhur bukan sahaja di dalam peradaban Islam, malah masyarakat dan ilmuan eropah juga mengangkat beliau sebagai tokoh terpenting di dalam bidang falsafah, astronomi, matematik dan muzik. Beliau juga digelar sebagai ahli falsafah arab pertama kerana beliau merupakan individu terawal daripada bangsa Arab yang berkecimpung di dalam falsafah.

Beliau dilahirkan di Kufah pada tahun 185 hijrah bersamaan 801 masihi pada era khalifah bani abbasiyyah. Ayah beliau, Ishaq bin Sobah telah meninggal pada ketika umur Al Kindi baru mencecah  6 tahun. Kemudian beliau dan ibunya berpindah ke Kufah. Walaupun ayahnya meninggal sejak kecil, namun beliau hidup dengan kehidupan yang mewah kerana keturunan beliau tergolong dari golongan bangsawan.

Al Kindi menghembuskan nafas terakhir pada tahun 252 hijrah bersamaan 866 masihi ketika umurnya 68 tahun.

Latar belakang Pendidikan Al Kindi:

Sejak kecil lagi, Al Kindi telah menghafal Al Quran, hadis- hadis Rasulullah SAW; mendalami ilmu Bahasa Arab seperti Nahu. Beliau juga telah mendalami ilmu fiqh dan usul fiqh. Selepas Mendalami pelbagai ilmu Syariah dan ilmu kalam, kecenderungan beliau berubah kepada mempelajari falsafah. Beliau mempelajari falsafah-falsafah yang datang daripada tamadun-tamadun Yunani kuno seperti falsafah Aristotle.

 

 

 

Al Kindi meninggalkan banyak karya dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan. Kebanyakan karya dan tulisan beliau adalah dalam bentuk risalah atau makalah pendek. Karya dan tulisan Al kindi khususnya dalam bidang-bidang seperti falsafah, perubatan, muzik dan astronomi sangat terkenal dan terpengaruh di Eropah khususnya pada kurun pertengahan. Kebanyakan risalah-risalah ini diterjemahkan ke dalam Bahasa-bahasa utama eropah. (Wan Suhaimi Wan Abdullah, 2017) 

Al Kindi Dan Falsafah

Al Kindi mula cenderung kepada falsafah terutamanya falsafah Aristotle selepas beliau menguasai ilmu Syariah. Beliau mula mempelajari falsafah selepas berpindah ke kota Baghdad yang pada ketika itu merupakan satu kota yang dipenuhi dengan kekayaan khazanah ilmu hasil daripada galakan khalifah  Abbasiyyah kepada para cendekiawan untuk mengorek dan menggali kembali Mutiara ilmu yang terdapat pada tamadun-tamadun kuno. 

Antara perkara penting yang di lakukan oleh Al kindi ialah usaha beliau untuk mengharmonikan hubungan di antara falsafah dan agama. Bagi beliau falsafah dan agama mempunyai tujuan dan asas yang sama. Falsafah dan agama kedua-duanya mencari akan kebenaran dan beramal dengannya.

Falsafah ialah pengetahuan tentang kebenaran. Ahli falsafah Islam juga seperti ahli Yunani yang mempercayai bahawa kebenaran itu ialah sesuatu yang mengatasi pengalaman diri; dan ia berada di alam metafizik dengan keadaan tidak berubah dan kekal. Al Kindi mendatangkan maksud falsafah di dalam Al Falsafah Al Ula” : “ Falsafah ialah pengetahuan berkaitan realiti dan hakikat benda mengikut kemampuan manusia itu sendiri, hal ini kerana pengetahuan secara teoritikal ahli falsafah ialah bertujuan untuk memperolehi kebenaran dan pengetahuan secara praktikal bertindak sebagaimana yang dikehendaki kebenaran”. (Ahmed Fouad El-Ehwany, 1963)

Namun, persamaan ini tidak membawa maksud falsafah dan agama langsung tiada beza. Terdapat juga perbezaan pada hakikat antara falsafah dan agama dari sudut metodologi atau jalan mendapatkannya serta sandaran yang dipegang oleh para ahli falsafah dan para nabi. ( Dr Shehata Hafiz Muhammad Ridwan El Shiekh, 2019)  Para rasul dan anbiya’ ilmu mereka bukanlah dengan cara mengambil daripada orang lain, tetapi ia datang daripada wahyu yang diturunkan kepada Allah SWT. Manakala, ahli falsafah memperoleh ilmu mereka dengan cara mencari, mengkaji serta meneroka dalam tempoh waktu yang lama tanpa ada jaminan ilmu mereka sempurna tanpa ada cacat – cela.

Al Kindi disebut sebagai ahli falsafah arab yang terpengaruh dengan pemikiran  school of peripatetic  yang diasaskan oleh Aristotle. Namun terdapat banyak perbezaan di antara falsafah yang dikemukan oleh Al Kindi dengan falsafah Aristotle. Perbezaan ini berlaku disebabkan Al Kindi lebih cenderung falsafahnya dengan Syariah islam. Salah satu perbezaan di antara dua tokoh ini ialah perbezaan berkenaan dengan konsep ketuhanan.

Aristotle

 

 

 

 

Aristotle menggunakan konsep rasional akal dalam memahami konsep ketuhanan. Konsep ketuhanan bagi Aristotle bukanlah daripada konsep yang berasaskan agama, hanya semata-mata pengamatan akal yang absolute tanpa bercampur dengan konsep wahyu. Ia tidak mungkin dapat difahami kecuali melalui pengamatan akal. Konsep ketuhanan di sisi Al Kindi pula bersandarkan kepada hujah agama. Menurut beliau, alam ini lahir daripada tiada kepada ada, dan Allah SWT yang mengadakan setiap sesuatu daripada tiada. Di sini kita dapat simpulkan bahawa konsep ketuhanan Al Kindi lebih cenderung sandarannya kepada agama.

Selain daripada usaha Al Kindi untuk mengharmonikan hubungan di antara agama dan falsafah. Beliau juga mengeluarkan pendapat-pendapat di dalam perbahasan berkenaan dengan akal. Perbahasan berkaitan dengan akal ini sudah tentu lah tidak dapat lari lagi daripada beliau kerana akal juga merupakan antara perkara yang terpenting dibahaskan di dalam kalangan ahli falsafah seperti Aristotle dan Plato. 

Al Kindi di dalam risalahnnya Risalah Abi Yusuf Ya’qub ibn ishaq al-kindi fi al-‘aql  cuba mengemukakan suatu penjelasan tentang akal berdasarkan pandangan Aristotle dan gurunya Plato. (Wan Suhaimi Wan Abdullah, 2017).

 

Pengulas,

Ahmad Muaz

 


Rujukan:
1. Dr Shehata Hafiz Muhammad Ridwan El Shiekh, Al Falsafah Al Islamiyah, Baiyna Al Ibda’ Wa Al Itiba’, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, 2019.
2. Prof Dr. Wan Suhaimi Wan Abdullah, Falsafah Al Kindi Tentang Akal: Analisis Awalan dan Terjemahan Risalah Fi Al ‘Aql, Majalah Al Afkar Universiti Malaya.
3. Ahmed Fouad El-Ehwany, Al Kindi, History Of Muslim Philosophy, Otto Harrassowitz, 1963

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.