Apabila berbicara tentang pemikiran kritis dan budaya mengkritik, terdapat sebahagian pihak memandangnya dengan pandangan yang negatif. Mereka menganggap sikap kritis adalah satu sikap yang tidak baik dan tidak beradab terutamanya apabila pendekatan kritis digunakan untuk menilai dan membantah pandangan tokoh pautan mereka.

Sebenarnya mengkritik bukanlah budaya asing yang bertentangan dengan Islam, bahkan ia telah diamalkan sejak awal zaman Islam. Justeru, tulisan sederhana ini memperlihatkan sedikit gambaran pemikiran kritis yang dimiliki Saidatina ‘Aisyah r.a, seorang sahabat wanita yang sangat masyhur dalam dunia Islam.   

‘Aisyah r.a atau nama sebenarnya ‘Aisyah binti Abu Bakar al-Siddiq merupakan isteri Rasulullah s.a.w. Beliau juga dipanggil dengan gelaran Umm al-Mukminin. Ibn Atsir (m.630H) dalam kitabnya menyatakan bahawa setelah wafatnya Khadijah binti Khuwailid, Rasulullah s.a.w menikahi ‘Aisyah pada bulan Syawal tahun 10 kenabian, tiga tahun sebelum Hijrah. Beliau wafat pada malam 17 Ramadhan tahun 58H pada usia 67 tahun. Kehidupan yang cukup lama bersama Rasulullah s.a.w adalah antara faktor utama di sebalik kedalaman ilmu beliau.

‘Aisyah r.a tidak hanya dikenali sebagai isteri Rasulullah s.a.w, tetapi beliau juga diakui sebagai sahabat yang cerdas dan kritis pemikirannya. Ketokohan ‘Aisyah dalam keilmuan dilihat lebih menonjol berbanding kebanyakkan sahabat lelaki yang lain. Beliau banyak meriwayatkan hadis dan mengeluarkan fatwa hukum. Beliau tercatat sebagai ahli tafsir dan ahli hadis.

Banyak pemasalahan yang tidak difahami akan merujuk kepada ‘Aisyah. Pemikiran kritis beliau dapat dilihat dalam fatwa-fatwanya yang berbeza dengan Kibar Sahabat (Sahabat Besar) seperti Umar al-Khattab r.a dan lainnya. Walaupun ‘Aisyah merupakan sahabat yang junior, tetapi terdapat permasalahan tertentu beliau mengkritik pendapat sahabat yang senior

Hal ini dapat dilihat daripada sikap kritis beliau mengkritik Umar al-Khattab r.a dalam isu berkaitan hadis Nabi s.a.w tentang mayat diazab kerana tangisan keluarganya. Dalam konteks hadis tersebut ‘Aisyah r.a menganggap bahawa Rasulullah s.a.w tidak berkata demikian tetapi berkata Allah menambah azab orang kafir kerana tangisan keluarganya. Beliau membawakan hujah dalam Surah al-An’am ayat 164 yang bermaksud “Seorang yang berdosa tidak akan dapat memikul dosa orang lain”.

Selain itu, ‘Aisyah juga mengkritik pendapat Ibn Abbas r.a yang menyatakan Rasulullah s.a.w melihat Allah sebanyak dua kali. Pendapat ini dikritik oleh ‘Aisyah dengan menyatakan bahawa yang dilihat oleh Rasulullah s.a.w ialah malaikat Jibril. Kata ‘Aisyah, “Barangsiapa yang menetapkan bahawa Muhammad telah melihat Tuhannya, maka dia telah berbuat berlebihan, yang dilihat ialah malaikat Jibril dengan rupanya yang hitam di hujung langit.”

Tambahan lagi, ‘Aisyah pernah mengepalai sebuah peperangan iaitu Perang Jamal menentang Ali ibn Abi Talib r.a berkaitan isu pembunuhan Uthman ibn Affan r.a. Ringkasnya, penglibatan ‘Aisyah dalam keilmuan dan politik membuktikan beliau mempunyai daya intelektual yang tinggi dan ketajaman akal fikiran atau penilaian kritis. 

Kritikan ‘Aisyah r.a terhadap sahabat lain tidak pernah dianggap tidak beradab walaupun terhadap sahabat besar seperti Umar al-Khattab r.a. Tambahan pula, budaya mengkritik tidaklah terhenti sekadar itu, bahkan ia berterusan seiring dengan perkembangan ilmu Islam merentasi zaman sehingga ke hari ini.

Di zaman Imam mazhab misalnya, Imam Syafi’i mengemukakan kritikan beliau terhadap beberapa pendapat Imam Malik yang beliau tidak setuju, sedangkan Imam Malik ialah gurunya. Tidaklah Imam Syafi’i digelar sebagai anak murid derhaka atau tidak beradab.

Hal ini kerana mengkritik merupakan salah satu metod untuk menggali kebenaran.

Selagi mana kritikan yang dibuat mempunyai asas dan justifikasi, bukan berlandaskan hawa nafsu maka ia digalakkan kerana mengkritik merupakan interpretasi daripada proses berfikir yang mana Islam sangat menuntut manusia berfikir dan menggunakan akal.

Janganlah menjadi seperti sebahagian manusia, parti atau institusi pendidikan yang membenihkan taksub kepada pengikut atau murid sehingga berlebihan mengagungkan tokoh atau guru dan menganggap mereka tidak boleh dikritik. Taksub akan melahirkan kesetiaan yang membabi buta.

Sebagai kesimpulan, ‘Aisyah r.a sememangnya seorang sahabat yang tinggi nilai rasionalnya dan kritis pemikirannya. Kehebatan ‘Aisyah dalam pemikiran seharusnya menjadi teladan kepada umat. Ketokohan ‘Aisyah sebagai sahabat bukan sahaja menonjol dalam keilmuan bahkan juga dalam pemikiran.

Kritikan beliau terhadap pendapat Umar al-Khattab r.a memperlihatkan akan ketajaman pemikirannya. Hal ini secara tidak langsung membuktikan tidak ada manusia yang terlepas daripada kritikan melainkan Rasulullah s.a.w. Pemikiran dan riwayat hidup ‘Aisyah semestinya sesuatu yang menarik untuk dikaji dan diwacanakan. Terlalu banyak manfaat yang boleh diambil dan diteladani daripada ‘Aisyah.

Disediakan oleh,

Afiq Akmal

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.