Kadangkala untuk meluangkan masa yang ada, saya gemar menonton video di dalam Youtube berkenaan ulasan gajet terkini, ceramah agama, syarahan kajian, dan beberapa perkara rawak lain. Terdapat satu video berkenaan Dr Zakir Naik ketika beliau menyampaikan ceramah di negara Indonesia telah menarik perhatian saya. Ini kerana seorang pemuda bertanyakan soalan tentang sifat Tuhan yang bersifat sadistik, kerana dengan sengaja menciptakan manusia hidup dalam keadaan susah, sukar, terseksa, dan sedih. Apa yang menarik perhatian saya ialah persoalan ini jika difikirkan sekali lalu, kita akan seakan bersetuju dengannya. “Oh, betul juga ya”, bentak hati saya. Namun di sudut hati, masih tetap menafikan sifat sadistik tersebut kerana itu hanyalah perspektif manusia yang masih terkeliru terhadap Tuhannya sendiri.

 

Manusia Diciptakan Dalam Keadaan Lemah

Dalam al-Qur’an, ada disebutkan tentang Allah menciptakan manusia itu asalnya daripada keadaan yang susah dan lemah.

 

لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي كَبَدٍ

Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya)

(Surah al-Balad 90: 4)

 

Apabila menjawab soalan pemuda tersebut, Dr Zakir Naik memberikan hujah bahawa manusia itu diberikan kebebasan memilih (free will) berbanding dengan para malaikat yang sentiasa patuh dan taat setia. Tuhan tidak memberikan kepayahan dan kesukaran kepada manusia tanpa sebarang alasan, bahkan telah diulang berkali-kali di dalam al-Qur’an bahawa itu adalah untuk menguji manusia sementara berada di dunia. 

 

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)

(Surah al-Mulk 67: 2)

 

Jadi apa yang kita sangka sebagai ‘sadistik’ itu hanyalah disebabkan sudut pandang kita yang sempit terhadap sifat Tuhan. Kita rasakan sebagai tidak adil untuk diciptakan di dunia kemudian diberikan ujian yang susah dan terseksa, sedangkan boleh sahaja untuk mencipta makhluk tanpa menyusahkannya, begitulah bentuk pemikiran tersebut. Pada saya, kesukaran di dunia ini tidaklah seberapa dengan apa yang Allah janjikan kepada kita. Bahkan bukanlah sia-sia sahaja kita hidup di dunia untuk diuji, tetapi dengan ujian itulah Allah akan memberi ganjaran besar pada hari akhirat kelak.

Jika benar kita ingin meletakkan sifat sadistik kepada Tuhan, itu pun tidak berapa tepat. Kerana definisi sadistik ialah mendapat hiburan (pleasure) daripada kesusahan dan kesakitan orang lain. Sedangkan Allah langsung tidak mengharap pada sebarang bentuk hiburan kerana Dialah yang Maha Besar tidak berkehendak pada apa pun. Allah juga telah menerangkan bahawa manusia dan jin itu diciptakan untuk menyembah-Nya, jadi tidak ada pun isu sadistik kerana itu tidak tepat dan tersasar sama sekali. Persoalan ini sebenarnya hasutan syaitan kepada kita yang lemah (gullible) kerana berputus asa dalam hidup. Pemuda yang bertanyakan soalan itu juga secara ringkas menceritakan kisah hidupnya daripada keluarga yang porak peranda. Apabila selesai mendengar jawapan daripada Dr Zakir Naik, pemuda itu memeluk beliau sambil menangis. Saya tidak ingat di mana hendak cari pautan video tersebut tetapi situasi itu berlaku ketika Dr Zakir Naik di negara jiran, Indonesia.

 

Membazir Masa Tentang Tuhan

Beberapa hari lalu saya terbaca di dalam Facebook seseorang yang memuat naik gambar ‘screenshot’ daripada Twitter dan menjawab apa yang telah dimuat naik itu. Tulisan dalam Twitter tersebut adalah seseorang memberi analogi bahawa Tuhan itu mencipta manusia kerana Dia bosan. Analogi beliau ialah permainan video Sims. Katanya Tuhan cipta manusia sebab Tuhan sunyi dan bosan, seperti kita bermain permainan video Sims yang mengarahkan watak dalam permainan itu buat sesuatu. Individu yang menjawab dalam Facebook itu pula menjawab dengan hujah bahawa logik yang digunakan itu salah kerana tulisan dalam Twitter itu memikirkan dalam kerangka seorang manusia. Sedangkan manusia dan Tuhan adalah tidak sama. Lebih teruk lagi ialah kita cuba memandai-mandai untuk menentukan sebab kepada ketentuan Tuhan. Kita cuba mencipta alasan, sebab, dan punca sedangkan perkara itu sangat tidak masuk akal dan membuang masa. Inilah yang sebenarnya terjadi pada generasi sekarang, mereka tidak tahu berfikir dengan logik pada konsep Ketuhanan dan keimanan dalam beragama. Dan begitu mudah terpengaruh dengan kaedah logik yang membangkitkan keraguan-keraguan, oleh golongan yang benci kepada agama Islam.

Kita membuang masa dengan cubaan melogikkan Tuhan dengan kekangan yang ada pada diri kita. Manusia sifatnya memerlukan pada sesuatu, seperti perlu makan, perlu bergerak, perlu bernafas, perlu tenaga, dan macam-macam lagi sedangkan Tuhan langsung tidak perlukan apa-apa.

 

يَأْتِي الشَّيْطَانُ أَحَدَكُمْ فَيَقُولُ: مَنْ خَلَقَ كَذَا، مَنْ خَلَقَ كَذَا، حَتَّى يَقُولَ: مَنْ خَلَقَ رَبَّكَ؟ فَإِذَا بَلَغَهُ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ وَلْيَنْتَهِ

Syaitan akan datang kepada salah seorang daripada kamu dan berkata: ‘Siapa menciptakan ini? Siapa menciptakan ini? Hingga dia berkata: ‘Siapa menciptakan Tuhanmu?’ Sekiranya soalan ini sampai, maka dia (lelaki yang beriman) hendaklah beristighfar kepada Allah dan berhenti (daripada melayani persoalan itu).

(Riwayat Bukhari)

 

Rasulullah menggalakkan kita menghindari persoalan-persoalan berbentuk keraguan. Ini kerana soalan tersebut tidak akan habis dan tidak memberi kebaikan pun kepada diri kita. Kita hanya akan semakin terkeliru dan menghabiskan masa cuba menegakkan hujah yang lemah kepada setiap orang yang kita jumpa. Akhirnya tidak memberikan apa-apa manfaat pada kita dalam masa yang sama kehidupan kita tidak bertambah baik. 

 

تفكَّرُوا فِي خَلْقِ اللهِ ولَا تَفَكَّرُوا فِي اللهِ

Berfikirlah kamu tentang makhluk Allah, dan janganlah kamu berfikir tentang (Zat) Allah.

(Riwayat Suyuti – Hadis Hasan)

 

Secara kesimpulannya, seeloknya kita memperbanyakkan mendengar dan membaca hujah-hujah yang baik daripada mereka yang berilmu. Kebiasaan mereka yang mempunyai soalan berbentuk keraguan adalah apabila mereka ditimpa malapetaka atau musibah yang mana mereka tidak mampu untuk bersabar dengannya. Kita menjadi putus asa dan mula mempersoalkan Tuhan, mencari seseorang atau sesuatu untuk dipersalahkan. Semoga ujian-ujian yang menimpa kita semakin mendekatkan diri kita kepada Tuhan sekalian alam, insyaAllah.

Oleh: Muhammad Baha’uddin Hamizan

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.