in

Adakah Kita Sudah Tawakal yang Sebenar-benarnya?

Antara perkara yang sangat ditekankan kepada kita selepas berusaha ialah bertawakal kepada-Nya. Tawakal membawa pengertian yang sangat akrab dalam jiwa seorang hamba. Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita diperintahkan untuk menyerahkan seluruh urusan setelah berhempas pulas melaksanakan sesuatu perkara untuk kembali kepada Allah Taala.

Tawakal ialah jalan seterusnya usai manusia telah menunaikan segalanya untuk meminta keputusan muktamad atau jawapan daripada Allah Taala. Makna tawakal ini didefinisikan oleh para ulama dengan berbagai-bagai maksud.

Syaikh Shalih al-Munajjid membawakan makna tawakal dalam bukunya yakni,

“Tawakal menurut istilah syarak ialah kepercayaan hati dalam berpegang kepada Allah SWT bahawa hanya Dialah yang dapat mendatangkan kemaslahatan dan menolak bahaya, baik dalam urusan dunia mahupun urusan akhirat. Demikianlah definisi yang dikemukakan oleh Ibnu Rajab.”

Sedangkan menurut Ibnu Utsaimin pula beliau menyatakan bahawa,

“Tawakal ialah mempercayai sepenuhnya kepada Allah yang dapat mendatangkan manfaat dan menolak bahaya, disertai dengan usaha melaksanakan semua perkara yang diperintahkan oleh Allah sebagai realisasinya.”

Jika dilihat kedua-dua pengertian ini, secara asasnya tawakal mengajak kita memahami dan meyakini secara total kepada Allah tanpa harus mencipta prasangka buruk terhadap apa yang telah diniatkan sama ada ia tercapai ataupun sebaliknya.

Dalam sirah Nabi SAW membuktikan kepada kita mengenai ketinggian sikap tawakal yang berhasil dikemudi oleh Rasulullah SAW saat baginda sedang bersembunyi bersama  sahabat karibnya Abu Bakar As-Siddiq RA di Gua Thur. Kisah ini ada diirekodkan dalam sebuah hadis sahih.

Daripada Abu Bakar RA dia berkata, “Aku bersama Nabi ﷺ  di dalam gua. Ketika aku mendongakkan kepalaku, ternyata aku berada di bawah kaki kaum (Kafir Quraisy). Aku katakan kepada Nabiyullah, “Seandainya sebahagian mereka menundukkan pandangannya, tentu akan melihat kami.” Baginda bersabda, “Tenanglah wahai Abu Bakar, jika kita berdua maka yang ketiganya adalah Allah.” [Shahih Al-Bukhari no. 3922]

Hadis ini membicarakan mengenai keresahan Abu Bakar yang menjadi pendamping setia baginda tatkala pihak musuh mulai menghidu tempat persembunyian Rasulullah SAW dengan Abu Bakar RA.

Abu Bakar RA berasa agak cemas sekiranya pihak musuh menghampiri mereka berdua dalam kedudukan yang sangat dekat. Lantas baginda dengan sangka baiknya meyakinkan Abu Bakar bahawa Allah ada bersama untuk mereka meminta pertolongan serta memasrahkan sepenuhnya tanpa membina perasaan was-was.

Inilah kisah tawakal yang sebenar-benarnya yang mampu memulihkan fikiran daripada dikepung oleh kelemahan dan ketakutan yang timbul secara tiba-tiba. Bayangkan sedang musuh cuba menceroboh tempat persembunyian baginda. Hakikatnya, baginda tidak sedikit pun menyerah kepada musuh disebabkan sandarannya yang kuat kepada Allah.

Al-Quran menyebutkan kaitan tawakal dalam kehidupan manusia melalui Surah At-Talaq ayat 3,

وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَٰلِغُ أَمْرِهِۦۚ قَدْ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَىْءٍ قَدْرًا 

“Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”

Ayat ini diterangkan lebih lanjut oleh Syaikh As-Sa’adi Abdurrahman dalam Tafsirnya yakni,

Allah berfirman  “Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya.” Maksudnya, Allah memberi rezeki bagi orang yang bertakwa dari arah yang tidak disangka dan dirasa.

“Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah,” dalam urusan agama dan dunianya dengan bergantung sepenuhnya kepada Allah dengan maksud untuk mendapatkan apa-apa yang bermanfaat dan menghindari apa-apa yang mudarat, serta percaya sepenuhnya kepada Allah, bahawa dia akan diberi kemudahan,

“Nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.” Maksudnya, Allah akan mencukupi keperluan yang disandarkannya kepada Allah. 

Dan ketika suatu urusan berada dalam tanggungan Yang Maha Kaya, Maha Kuat, Maha Perkasa lagi Penyayang, maka Dia paling dekat dengan hamba-Nya melebihi segala sesuatu. Hanya saja mungkin hikmah Ilahi mengharuskan pemberian itu ditunda sampai waktu yang tepat bagi hamba yang bersangkutan. 

Kerana itu Allah berfirman, “Sesungguhnya Allah pasti mewujudkan urusan (yang dikehendaki)-Nya.” Maksudnya, keputusan dan ketetapan-Nya pasti berlaku, hanya saja Allah menciptakan “ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” Yaitu, waktu dan ketentuan yang tidak akan terlampaui dan kurang darinya.”

Demikianlah penjelasan para ulama terhadap keutamaan tawakal yang wajib dipegangi oleh kaum muslim bagi membentuk pergantungan kepada Dia bukan sekadar melalui kemampuan diri sendiri yang terbatas dan bantuan manusia yang sekadar cuma. Kisah baginda dan Abu Bakar RA amat mengagumkan, mematahkan kekhuatiran dan melunakkan hati dengan ketenteraman.

Dalam kehidupan yang sangat mencabar ini, ada waktunya kita terpaksa jatuh tersadung oleh ujian dunia. Ada waktunya, ujian yang didatangkan kepada kita berwarna rumit bak bianglala. Apa pun warna dan rupanya, kita harus teguh menempuhinya sehingga ke garisan penamat meskipun perlu melalui jalan-jalan kesakitan.

Orang yang berusaha, akan diberikan kemudahan. Itulah jaminan daripada Allah SWT. Usah terlalu bimbang jikalau ada hal yang dikejarkan selama ini masih belum tercapai dan terlaksana seperti yang sudah diharapkan. Itulah lumrah kita sebagai insan biasa yang sentiasa diuji mengikut peredaran zaman yang bermacam ragam situasinya.

Bertawakallah kepada Allah agar diperkenankan apa jua yang dipinta baik berupa wang, harta dan keturunan. Iringi ia dengan usaha dan doa. Semoga yang datang hanyalah yang baik-baik sahaja.

Dsediakan oleh: Syuhara Suriati

Rujukan:

  1. Muslimah by Heart, Penulis: Syaikh Muhammad Soleh al-Munajjid, Penerbit Ibnu Katsir. Cetakan pertama 2020.
  2. Quran Tadabbur by Ustazd Firanda Andirja Official.

Luahan Hati Si Phubbee

Pentingnya “Me Time” untuk Seorang Ibu