Apa itu trauma?

Trauma dalam bahasa arabnya ialah اَاصَّدمَةُ dan ia datang daripada perkataan صدم dan اَلصَّدمُ.اَلصَّدمُ  membawa maksud menghentakkan sesuatu yang sama keras dengannya. Manakala صَدمَهُ الاَمرَ membawa maksud sesuatu perkara yakni musibah yang menimpanya.

Dan perkataan اَلصَّدمُ jika kita ingin fahaminya dengan lebih dalam, ia bermaksud pukulan pada sesuatu yang keras, kemudian digunakan secara majaz (figuratif) untuk semua perkara yang tidak disukai berlaku secara tiba-tiba. Maksudnya di sini, the unexpected event that happen in our life. Itulah yang kita sebutkan sebagai اَلصَّدمُ.

Menariknya, perkataan ini terkandung di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

“Sesungguhnya kesabaran yang hakiki itu saat hentakan kali pertama.”

Definisi trauma dalam psikologi ialah apabila terjadinya sesuatu peristiwa yang amat mengejutkan dan tidak disangka-sangka untuk berlaku, lalu memberi kesan negatif kepada seseorang dan menyebabkan perubahan terhadap peribadi, tingkah laku, emosi dan pemikiran seseorang itu. Trauma ini akan menjadikan seseorang itu merasa gementar yang melampau (terror), pesimisme (sentiasa negatif) dan ketakutan (horror)

Mesti kita juga tertanya-tanya, apakah punca terjadinya trauma ini? 

Dr. Fawziyah di dalam bukunya yang bertajuk Psikoterapi Rabbani: Mendepani Trauma Psikologi Dengan Menghayati Kisah Maryam Alaihassalam, telah menjelaskan bahawa terdapat dua jenis faktor terjadinya trauma iaitu yang pertama, faktor alam iaitu perisitiwa yang berlaku bukan disebabkan manusia seperti gempa bumi, banjir, tsunami dan sebagainya. Kedua, faktor manusiawi iaitu disebabkan oleh manusia seperti pembunuhan, peperangan, kemalangan, kebakaran dan sebagainya.

Simptom atau tanda-tanda yang biasa kita lihat terhadap mereka yang mengalami trauma boleh dikesan dalam aspek jasmani, emosi, kognitif dan tingkah laku. 

Aspek jasmani: Merasa pening disebabkan tekanan, tekanan darah tinggi yang naik secara mendadak, diabetes, sawan, migrain, sindrom rengsa usus (Irritable Bowel Syndrome, IBS), otot kejang, degupan jantung yang kencang, nafas yang laju, peluh yang berlebihan, sakit jantung dan malah dalam satu kajian perubatan, ahli perubatan mengesahkan kanser serta penyakit kronik yang lain mudah menyerang apabila imuniti badan menjadi lemah yang disebabkan jiwa mengalami krisis dan kesedihan yang melampau.

Aspek emosi: Mudah rasa marah, tension, gelisah, takut, sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga, kerisauan dan kemurungan. Kadang kala, perkara ini juga akan menyebabkan individu tersebut mengalami panic attack.

Aspek kognitif: Fikiran yang bercelaru, susah untuk fokus, ingatan yang lemah, sukar untuk mengingat dan susah untuk membuat keputusan.

Aspek tingkah laku: Pola atau rutin makan dan minum berubah, pakaian, penjagaan diri yang kurang dan kadang-kadang berjalan dalam keadaan tak menentu.

Trauma amat memberikan kesan terhadap kehidupan seseorang dan kadang ia menyerang kefungsian hidup bila mana kita tidak dapat beri fokus kepada kerja seharian kita, tidak dapat mencapai matlamat hidup yang kita sasarkan dan juga kadang menyebabkan kita kerap jatuh sakit. Oleh itu, Dr. Fawziyah dalam penghayatannya terhadap kisah Maryam alaihassalam telah menggariskan 9 perkara atau langkah yang boleh dilakukan dalam mendepani trauma psikologi.

1. Pasrah dengan takdir Allah SWT

Iman dan takdir memang tidak akan dapat dipisahkan kerana itulah perkara yang akan mentautkan antara hamba dengan pencipta-Nya. Apabila sesuatu takdir buruk atau baik yang menimpa kepada kita, seharusnya kita belajar untuk menerima dan berdamai dengannya. 

Bahkan dengan cara itu, kita tidak akan mudah menyalahkan takdir apatah lagi mudah tersungkur dengan musibah yang menimpa kerana ini adalah kesan yang akan kita dapati setelah kita beriman dengan takdir. Suka untuk saya kongsikan ayat kegemaran saya di dalam surah Yusuf iaitu ayat 21: 

“Demikianlah Kami berikan kedudukan yang baik kepada Yusuf di negeri (Mesir), dan agar Kami ajarkan kepadanya takwil mimpi. Dan Allah berkuasa terhadap urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak memahami.”

Ia memujuk saya untuk sentiasa bersangka baik dengan takdir dan apa jua yang telah Allah susunkan untuk saya kerana pastilah dihujungnya akan ada kebahagiaan dan kejayaan yang sedang menunggu.

Ibnu Kathir berkata pada ayat 22 di dalam surah Maryam iaitu selepas Jibril memberitahu kepada Maryam tentang kekuasaan Allah untuk menciptakan manusia dan mentakdirkannya untuk hamil, Maryam tidak berkata apa-apa dan dikatakan beliau telah pasrah dengan ketetapan Allah dan mula menjalani proses penghamilannya tanpa sebarang rungutan. 

Kita perlu mencontohi perbuatan Maryam yang mana berhentilah daripada mempersoalkan kenapa sesetengah perkara itu terjadi dalam hidup kita dan move on lah dengan cara kita berdamai dengan takdir.

2. Bersendirian sementara waktu

Apa yang dimaksudkan di sini adalah menjauhkan diri daripada segala jenis kejahatan dan perkataan serta perbuatan yang sia-sia. Dr. Fawziyah berkata manusia sememangnya berhajat kepada bersendiri dalam tempoh tertentu untuk mengembalikan keseimbangannya dan perlukan kepada ketenangan persekitaran yang lebih untuk mendiamkan kacau-bilau yang berada di dalam jiwanya. 

Bahasa kita sekarang adalah me-time. Ini adalah perkara yang Maryam Alaihassalam lakukan seperti mana firman Allah di dalam surah Maryam, ayat ke 22, 

“Maka dia (Maryam) mengandung, lalu dia mengasingkan diri dengan kandungannya itu ke tempat yang jauh.”

Ibnu Sa’di mengatakan, mengasingkan diri atau bersendirian yang dimaksudkan di dalam ayat 22 berbeza dengan bersendirian yang ada di awal ayat iaitu ayat 16. Bersendirian dalam ayat 16 itu bermaksud kepada beribadat. Firman Allah yang bermaksud, 

“…dia mengasingkan diri daripada keluarganya ke suatu tempat di sebelah timur (Baitul Maqdis)”

3. Sabar sejujurnya dengan Allah akan bala dan musibah yang menimpa

Apabila kita ditimpa suatu musibah atau ujian yang terasa berat untuk dipikul, kita perlu berusaha untuk bersabar dan bertawakal kepada Allah. Kerana dengan cara itu, ketenangan akan secara perlahan-lahan menyerap ke dalam hati. Kalau kita melihat semula kisah Maryam, setelah beliau meluangkan masa bersendirian bersama kandungannya, beliau dapat mendepani ujian tersebut dengan hati yang tenang. 

Disebabkan kesabaran dan tawakalnya kepada Allah itu, kisahnya dirakam di dalam al-Quran dan sekaligus mengangkat nama dan martabatnya sebagai seorang wanita yang suci, beriman dan bertakwa. Sehinggakan Maryam telah berada dalam maqam al-siddiqah iaitu kedudukan yang sangat benar dan tidak pernah mendustakan.

Bukan itu sahaja, Allah menjadikan anak yang dikandungnya menjadi seorang nabi iaitulah Nabi Isa a.s. Maka berkat kesabaran itu tadi, Maryam menerima pelbagai nikmat yang dia sendiri tidak terfikir untuk menerimanya. Pengajarannya, tetaplah bersabar dengan ujian yang dilalui kerana kita tidak tahu, apakah hadiah atau kejutan yang sedang menanti kita di sebalik ujian dan kesakitan yang kita tanggung selama ini.

4. Keluar daripada lingkungan kesedihan

Setelah seseorang itu ditimpa trauma, kita boleh lihat emosinya berlaku perubahan seperti marah, sedih, kecewa, berputus asa, resah, takut dan gelisah. Kata Dr. Fawziyah, kesedihan ni antara perkara yang paling syaitan suka kerana ia membuka pintu dan peluang untuknya menjatuhkan semangat manusia sehinggalah manusia meninggalkan agama dan tidak lagi beribadat kepada Allah.

Sebab itulah, apabila kita sedang bersedih kita perlu berusaha untuk mengatasinya dan menghentikan perasaan tersebut daripada menjadi lebih buruk. Memang tidak dinafikan apabila kita berada dalam kesedihan, kita akan lebih cepat untuk menghukum diri kita, menyalahkan diri kita dan menjadi putus asa untuk keluar daripada kesedihan tersebut tetapi, firman Allah swt dalam surah Maryam, ayat 24:

“Janganlah engkau bersedih hati, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan anak sungai di bawahmu.”

Ibnu Sa’di berkata, makna ayat ini janganlah engkau murung dan janganlah engkau gelisah. Kemudian Allah memerintahkan Maryam untuk menggoncangkan pohon kurma (rujuk ayat 25) adalah supaya apabila kita bersedih, kita perlu lakukan sesuatu agar hati kita tidak leka daripada melayan perasaan sedih itu tadi. Buatlah apa-apa perkara yang kita seronok untuk melakukannya selagi tidak salah di sisi agama.

Ada orang apabila dia mengalami emosi sedih, dia akan mengemas rumah, memasak, membaca buku, membuat kek, bersenam, bermain alat muzik dan sebagainya. Di dalam psikologi, ia dipanggil sebagai coping mechanism atau coping strategies yang membantu seseorang untuk keluar seketika daripada masalah atau emosi negatif yang sedang dirasakan pada waktu itu. 

5. Mengingati nikmat Allah yang tak terbilang hingganya

Kadang apabila kita sedih atau emosi terganggu, kita sukar untuk melihat perkara lain. Kita akan lebih memberi perhatian terhadap masalah yang ada di depan mata. Sedangkan, kita sepatutnya perlu mengingatkan semula diri kita tentang nikmat-nikmat yang telah diberi selama ini. Hal ini dapat membantu kita untuk membina fikiran yang positif dan membantu untuk memiliki wawasan serta merasai nikmatnya meneruskan kehidupan.

Ayat 24, ketika mana Maryam tidak menyedarkan diri kerana terlalu merasa payah menanggung ujian atau yang dikatakan oleh Dr. Fawziyah iaitu Maryam sedang mengalami trauma, dia menjadi lupa akan sungai yang Allah telah jadikan dibawahnya. Ibnu Abbas berkata, dulunya sungai itu kering dan Allah telah menjadikannya mengalir semula.

6. Menjaga kekuatan badan, dan tidak rela menjadi lemah

Allah menyukai orang mukmin yang kuat dan Allah telah memerintahkan Maryam untuk menggegarkan pangkal pohon tamar. Surah Maryam, ayat 25: 

“Dan gegarkanlah pangkal pohon tamar itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah tamar yang masak kepadamu.”

Ayat ini menunjukkan tentang pentingnya pergerakan jasmani untuk membantu seseorang itu keluar daripada kesedihan. Kajian juga menunjukkan aktiviti jasmani dan gerakan badan dapat membantu serta menghapuskan rasa susah hati, kesedihan, mengimbangkan psikologi, menurunkan hormon kortisol, mengeluarkan hormon endorfin dan membantu seseorang untuk menjadi lebih produktif. Allahuakhbar!

7. Mengesan perubahan yang berlaku dengan cepat dan bertindak mengatasinya

Trauma psikologi sekali lagi memberikan kesan dan perubahan kepada diri seseorang terutamanya dari segi selera makan yang tiba-tiba hilang, turun berat badan yang mendadak dan juga hilang ketenangan serta sedih yang melampau.

Kalau diperhatikan semula ayat 26, surah Maryam:

“Makan, minum dan bersenang hatilah engkau.”

Ayat ini menunjukkan betapa Maha Bijaksananya Allah yang telah mengajarkan Maryam untuk merawat 2 perkara iaitu;

Pertama, dapat merawat dirinya dari segi fizikal iaitu menjaga kesihatan tubuh badannya dengan memakan makanan yang berkhasiat dan baik untuknya seperti kurma.

Menarik jika saya kongsikan sekali tentang kelebihan buah kurma ini kerana kajian mendapati makanan yang bergula dapat membantu otak untuk memperolehi keseimbangannya. Dan sebaik-baik makanan bergula ialah kurma dan madu. Dua makanan ini dapat membantu untuk menenangkan jiwa dan urat saraf serta memberikan rasa bahagia. Air pula memainkan peranan untuk menenangkan minda dan mengubati stres. 

Kedua, mendapat ketenangan hati disebabkan mengambil makanan yang baik untuk jiwa dan rohani. 

Tafsir bagi ayat ini, kata Dr. Fawziyah:

“Menjadi baiklah jiwamu, janganlah engkau bersedih, tinggalkanlah perkara yang menyedihkan dan merunsingkanmu serta berbahagialah dikau kerana dipilih Allah, bergembiralah dikau atas pemberian-Nya. Apa yang dikau sedihkan dan runsingkan merupakan nikmat yang tidak dikurniakan kepada seorang pun selainmu daripada wanita-wanita seluruh alam.”

8. Berdiam diri dan menyandarkan segala urusan kepada-Nya

Dalam surah Maryam, ayat ke-26:

“Jika engkau melihat seseorang, maka katakanlah , sesungguhnya aku telah bernazar berpuasa untuk Tuhan Yang Maha Pengasih, maka aku tidak akan berbicara dengan sesiapa pun pada hari ini.”

Dan Fakhr al-Razi berkata,

“Ayat ini mengandung makna bahawa bertekak lidah dengan orang safih (kurang akalnya) itu hukumnya makruh dan berdiam diri daripada mereka itu wajib.”

Pada waktu itu, Maryam dengan beraninya mendepani kaumnya dan sambil membawa anaknya iaitu Nabi Isa a.s telah menyerahkan urusannya kepada Allah, tenang dalam berharap bantuan-Nya dan sesungguhnya Allah tidak pernah meninggalkannya.

9. Yakin bahawa setiap kesusahan pasti ada kesenangan, setiap kesempitan pasti ada kelapangan

Jika kita ingat kembali cerita keseluruhan tentang Maryam, ada satu waktu apabila beliau menyendiri dan sehingga pernah meminta dirinya untuk dilupakan dan tidak diingati oleh sesiapa, waktu itu Allah mengabdikan kisah dan keperitan beliau di dalam al-Quran.

Sehingga sekarang, Maryam menjadi contoh dan suri teladan oleh wanita seluruh alam. Dan bukan itu sahaja, anaknya menjadi seorang nabi dan rasul serta Allah membantunya dengan mukjizat yang banyak. Allahuakhbar!

Kita perlu memandang ujian yang dilalui sedang membawa kita kepada satu keadaan yang lebih baik. Allah tidak berniat untuk menjadikan kita manusia yang lebih teruk di masa depannya tetapi Allah sedang menyiapkan kita untuk menerima masa depan yang lebih indah daripada apa yang kita sedang lalui. In shaa Allah, dengan 9 langkah ini kita mampu untuk mencontohi dan mengambil iktibar sebagai cara untuk kita mendepani masalah trauma psikologi. Wallahua’lam.

Disediakan oleh,

Faha Anuar

Pelajar Psikologi UMS.

Sumber rujukan: 

Psikoterapi Rabbani: Mendepani Trauma Psikologi Dengan Menghayati Kisah Maryam Alaihassalam, Dr. Fawziyah Salih Al-Khulayfi

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.