Syeikh Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi merupakan seorang tokoh yang profilik dan masyhur di seluruh pelosok dunia. Beliau mengarang banyak buku. Sayangnya antara buku beliau yang tidak popular adalah buku yang diutarakan dalam karangan ini, Thaqafah Al-Da’iyyah.

Dalam buku ini, penulis memberi tahu bahawa ada enam perkara yang diutarakan dalam mukadimah berkenaan dengan Seni Berfikir Yang Hilang. Pertamanya berkenaan bab hudud dan perundangan. Dalam bab hudud, hanya sebahagian kecilnya sahaja yang berkaitan syariah dan selebihnya berkaitan perundangan. Penulis menyatakan bahawa kita perlu bertindak beyond the current issue. Kita tidak mahu terikat dengan isu semasa, malah kita perlu mengatasinya kerana kita mahu berbincang tentang ilmu.

This image has an empty alt attribute; its file name is 50535410._SX318_-212x300.jpg

Dalam bahagian Thaqafah Al-Da’iyyah, Syeikh Yusuf Al-Qaradawi pernah membentangkan berkaitan dakwah di sebuah persidangan antara bangsa di Universiti Islam Madinah. Antara enam cabang ilmu yang dikupaskan oleh Syeikh Yusuf Al-Qaradawi ialah berkaitan (i) ilmu agama, (ii) ilmu sejarah, (iii) ilmu sastera dan bahasa, (iv) ilmu kemanusiaan, (v) ilmu sains dan (vi) ilmu hal ehwal semasa. Ia bukan ilmu untuk diagihkan atau dibahagikan kepada setiap muslim tetapi semua muslim harus menguasai keenam-enam ilmu yang dinyatakan. Apabila ilmu itu dibahagi-bahagikan, ada ilmu yang kita belajar dan ada ilmu yang kita tidak belajar.  Hal ini kerana, cabaran yang mendatang terutama kepada pendakwah dan para asatizah tidak mengikut bab-bab ilmu tetapi akan datang seperti itu sahaja dan kadangkala kita sukar untuk memberi respons terhadap masalah yang dilontarkan.

Kata Syeikh Yusuf Al-Qaradawi, umat Islam ialah umat dakwah. Maka semua orang harus membuat kerja dakwah walaupun perkataan dakwah itu sendiri dilihat agak eksklusif bagi sesetengah orang. Sebagai manusia, kita tidak boleh lari daripada asas dakwah dan melaksanakan kerja dakwah itulah yang menjadikan kita mulia seperti yang disebut oleh Allah SWT:

‘’Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada ( mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, sertaia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: ‘Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!’

(Surah Fussilat: 33)

Umat Islam ialah umat dakwah dan bertanggungjawab untuk menjadi transmitter kepada Islam supaya ia terus berkembang. Sheikh Yusuf Al-Qaradawi pernah berkata bahawa:

“ Adalah menjadi satu kemestian buat para pendakwah untuk mempersiapkan senjata buat dirinya yakni bekalan tertentu sekiranya mahu memenangi peperangan menentang kejahilan dan kebatilan.” 

Setiap pendakwah wajib mempunyai tiga bekalan dakwah iaitu bekalan iman, akhlak dan ilmu. Tanpa ketiga-tiga bekalan ini, dakwah mereka sukar untuk disampaikan dengan baik dan diterima oleh mad’u dan orang sekeliling. Dakwah yang berbekalkan iman mempunyai tiga karakter penting iaitu keyakinan , harapan dan kekuatan. Akhlak sangat penting dalam menyampaikan dakwah kepada orang disekeliling. Akhlak yang baik akan menjadi alat yang penting untuk menyampaikan dakwah lebih-lebih lagi kepada mad’u yang berlainan agama. Dakwah itu dikenali sebagai infaq kepada orang lain. Untuk menginfaqkan sesuatu, kita perlu ada dan memilikinya. Sama seperti ilmu, kita wajib menuntut ilmu dan sebarkan kepada mereka yang dahagakan ilmu itu. Pendakwah tanpa ilmu dikhuatiri akan memberi kesan yang buruk kepada orang yang menerimanya. 

 

Ilmu Agama (al-thaqafah al-diniyyah)

Dalam bahagian ilmu agama, penulis membahagikan kepada beberapa bahagian asas yang perlu dipelajari dan difahami. Yang pertama ialah ilmu Al-quran iaitu kalam Allah SWT. Dalam mempelajari ilmu Al-quran, kita perlu mempelajari bab tajwid agar apa yang dibaca itu tidak memberi makna yang berlainan dengan terjemahan yang asal. Al-syahid Imam Hassan Al-Banna pernah menyatakan bahawa asa kepada perjuangan Islam ialah keakraban dengan Al-Quran. Penulis juga ada menjelaskan tentang ciri- ciri Al-Quran. Antaranya, Al-Quran merupakan Wahyu Allah, tidak sulit, Mukjizat, Khulud dan Syumul. Yang kedua ialah Al-Sunnah atau Hadis sebagai sumber kedua yang mempunyai hubungan dengan Al-Quran, ia menjelaskan secara praktikal dan memberikan breakdown kepada dasar umum yang diletakkan dalam Al-Quran. Al-Sunnah melakukan perincian dan hal-hal praktikal bagaimanakah kehendak Al-Quran itu hendak dilaksanakan. Penulis juga menasihati kita supaya berhati-hati dan menjauhi dari terlibat dengan hadis-hadis palsu. Lambakan hadis palsu ini wujud atas sebab tiada tanggungjawab oleh segelintir pihak untuk menyebarkan perkara yang tidak benar. Fiqh dan Usul Fiqh juga termasuk dalam sebahagian dari ilmu agama. Tujuan ilmu fiqh untuk pendakwah adalah memahami hokum-hakam asa dalam Ibadat, Munakahat dan Muamalat. Ilmu fiqh adalah untuk mengetahui tentang status perbuatan kita dari segi hukumnya. 

Ilmu agama yang keempat ialah berkaitan akidah. Para pendakwah perlu komited dalam mencapai maksud berakidahnya seorang Muslim. Segala perbincangan terhadap akidah mesti menatijahkan manusia bertuhankan Allah SWT, dengan cara yang benar. Para pendakwah juga hendaklah menjauhkan diri dari membahaskan akidah yang menggelamkan seseorang dalam lautan syarahannya. Seterusnya ilmu tasawuf yang merujuk kepada ilmu tatacara atau tingkah laku kita. Bagi sesetengah orang barat, mereka menolak agama dari kehidupan mereka dan menyebabkan mereka mempunyai kesulitan dalam menentukan kebenaran atau kesalahan sesuatu perbuatan. Mereka menghasilkan satu falsafah berkaitan etika atau ethics. Ethics ini akan menentukan kesalahan dan kebenaran seseorang itu. Bagi orang Islam, ukuran baik dan buruk itu ada asasnya yang mana datang dari agama. Sesuatu perbuatan itu tidak boleh dinilai dari segi logik akal semata-mata. Ini kerana manusia bukan sahaja mempunyai akal, tetapi juga emosi dan jiwa. Maka bahagian emosi dan jiwa inilah yang termasuk dalam ilmu tasawuf.

 

Ilmu Sejarah (al-thaqafah al-tarikhiyyah)

Keduanya penulis mengupas tentang ilmu sejarah yang sangat penting buat kita sebagai pendakwah mahupun manusia biasa. Ini kerana sejarah tidak boleh diubah dan direka sesuka hati dan manusia hidup berlandaskan sejarah orang terdahulu. Dalam kehidupan , kita sentiasa mula mengetahui sesuatu melalui pintu gerbang sejarah. Dalam Al-Quran juga terdapat banyak ayat yang menceritakan tentang sejarah kehidupan para Rasul dan Anbiya untuk dicontohi oleh kita semua di zaman ini. Orang Islam mesti menjadi orang yang menilai masa silamnya dalam mencari dan memerhati kebenaran. 

Pertama, menurut pandangan Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, sejarah dapat meluaskan horizon fikiran dalam memahami sunnatullah. Meluaskan ufuk kefahaman kita tentang satu-satu perkara. Merujuk kepada sejarah, bilakah ayat Al-Quran diturunkan? 1400 lebih tahun yang lalu. Bermakna , ayat itu telah wujud dalam kehidupan manusia selama 1400 tahun dan sepanjang tempoh tersebut lah masyarakat melaksanakan perintah yang ada dalam Al-Quran sehingga kini. Kedua, sejarah menjadi bukti paling nyata bagi intipati seruan agama. Hal ini kerana sejarah merupakan satu bukti yang universal dan ia tidak dapat dinafikan lagi. Sejarah merupakan sumber ketiga selepas Al-Quran dan Hadis untuk kita lebih memahami kehidupan para Rasul dan golongan-golongan yang sebelumnya. Untuk membuktikan kebenaran agama, sejarah adalah salah satu alatnya. 

Ketiga, sejarah membantu kita menganalisis dan memahami realiti kehidupan semasa. Ada yang beranggapan bahawa sejarah adalah sesuatu yang ada sifat pengulangan. Ada perkara yang berlaku ketika ini dan ada yang berlaku pada tempoh masa akan datang. Jika sesuatu perkara itu pernah berlaku, jadi kita sudah mempunyai sample yang cukup dalam menangani atau menjangkakan apa natijah akhir kepada perkara tersebut. Keempat, sejarah membantu memahami sesuatu pemikiran, aliran, mazhab, ideologi dan falsafah. Ini sangat penting apabila menggunakan perkataan ‘isme-isme’. Kesemua ini merupakan ideologi yang muncul dalam sejarah. Setiap satu istilah ada pengalaman dan latar sejarahnya. Dengan memahami sejarah istilah-istilah tersebut, kita akan faham mengapa ‘isme-isme’ berkenaan muncul supaya nanti kita boleh berfikir dengan objektif dalam menilai ideologi-ideologi tersebut.

 

Ilmu Sastera dan Bahasa (al-thaqafah al-adabiyyah wa al-lughawiyyah)

Ilmu Sastera dan Bahasa ini dapat memimpin pertuturan kita supaya selamat dan sejahtera. Antara sebab dan hikmah mengapa bahasa Al-Quran adalah dari bahasa arab kerana bahasa arab ini sangat digital. Kompleks tetapi tepat dan padat. Dalam mempelajari bahasa ia banyak membantu dalam menjaga kesejahteraan dalam penyampaian. Bahas adalah kunci membuka kepada gedung ilmu. Penulis menyatakan bahawa dia tidak mampu untuk mengkaji sejarah tanpa mendalami ilmu bahasa kerana sukar untuk akses daripada pelbagai sumber.  Menurut Prof Asmah Hj Omar, menyatakan bahawa bahasa mempunyai dua fungsi iaitu Representasional dan Ideasional. Representasional membawa maksud mendeskripsi apa yang kita fikir manakala ideasional bererti apabila kita bertutur dalam bahasa tertentu , pertuturan itu menjelaskan asosiasi kita dengan identiti yang mana. Bahasa mempengaruhi tentang dari mana asal usul kita dilahirkan dan dibesarkan. Apabila kita bertutur dalam bahasa tertentu, sebenarnya kita mengasosialkan identiti kita kita dengan sesuatu. Yang paling penting, hormatilah bahasa ibunda kita.

 

Ilmu Kemanusiaan (al-thaqafah al-insaniyyah)

Bab kemanusiaan juga salah satu ilmu yang penting digariskan oleh Syeikh Yusuf Al-Qaradawi dalam memahami sikap dan sifat manusia disekeliling kita. Apabila kita mengetahui sikap dan sifat manusia, ia serba sedikit dapat membantu cara yang paling berkesan dalam menyampaikan dakwah dan nasihat kebenaran. Untuk memahami manusia, ada beberapa ilmu bantuan sama ada dalam memahami manusia secara individu iaitu psikologi atau secara kolektif dan berkumpulan iaitu sosiologi. Ada enam jenis ilmu yang digariskan oleh Sheikh Yusuf Al-Qaradawi iaitu ilmu al-nafs (psikologi), ilmu al-ijtim, (sosiologi), ilmu al-iqtisad (ekonomi), al-falsafah (falsafah), ilmu akhlaq dan ilmu sejarah. Dalam bab ini juga, penulis ada menceritakan tentang ilmu-ilmu sains kemanusiaan yang merupakan pelbagai tafsiran mengikut apa yang dipelajari di sekolah. Ilmu sains sosial yang dinyatakan dalam penulisan ini perlu diambil seperti mana makan ikan buntal iaitu, ilmu ini penting dan berfaedah untuk dipelajari tetapi perlu pandai mengasingkan racun dalam ilmu tersebut. 

 

Ilmu Sains (al-thaqafah al-ilmiyyah)

Para pendakwah perlu memahami tuntutan-tuntutan ilmu sains. Sebagai contoh, golongan pengkaji sains yang menkaji tentang kewujudan dua elemen atau unsur yang terdapat dalam air iaitu 2 Hidrogen dan 1 Oksigen. Ini bukan rekaan saintis tetapi ia adalah hasil penemuan yang diperolehi oleh mereka. Terdapat unsur-unsur tersebut yang membentuk molekul air. Dalam hal yang melibatkan ilmu sains, kita perlu faham dan amalkan dua perkara iaitu Sunnatullah dan Syari’atullah. Buat sesuatu perkara itu dengan kedua-duanya bergerak secara seiring supaya hasilnya pasti memuaskan. Dalam sebuah hadis Qudsi, Nabi SAW bersabda:

“Pena telah terangkat, lembaran pula yang kering..” (Hadis Riwayat Al-Tirmizi)

Ia telah menimbulkan salah faham dalam kalangan umat islam sehingga mereka fahami, andai saya mencuri, ia sememangnya sudah ada dalam catatan Allah SWT bahawa saya akan mencuri. Walhal bukan itu maksud hadis tersebut. Contoh yang lain ialah sembelih ayam itu Sunnatullah-nya ialah menggunakan pisau yang tajam dan Syari’atullah-nya ialah sembelih dengan lafaz bismillah. Dalam kita mengambil nyawa ayam tersebut, kita perlu menyebut nama Allah SWT, Pencipta sekalian mahkluk termasuk ayam yang disembelih. Pisau yang tajam digunakan supaya less effort, more production.

 

Ilmu Hal Ehwal Semasa (al-tsaqafah al-waqi’iyyah)

Bab akhir dalam penulisan ini, Syiekh Yusuf Al-Qaradawi berpesan supaya ilmu berkaitan hal ehwal semasa juga perlu dititik beratkan oleh orang islam. Beliau mahu umat islam tahu apa yang berlaku disekeliling kita pada zaman kini dan pemerhatian kita terhadap sekeliling memerlukan ilmu agar pemerhatian itu dibezakan sama ada realiti, sangkaan atau persepsi semata-mata. Get the required knowledge, to understand the current affairs. Muslim hari ini perlu mengambil tahu dan memahami hal-hal berikut: 1) realiti dunia Islam, 2) Realiti kuasa dunia yang menentang islam, 3) Realiti agama-agama dunia semasa, 4) Realiti ideologi politik semasa, 5) Realiti gerakan-gerakan Islam dunia, 6) Realiti aliran pemikiran yang bertentangan dengan Islam, 7) Realiti kumpulan yang menyimpang daripada Islam dan 8) Realiti persekitaran domestik. Cakna dengan berita dan isu-isu semasa, supaya kita tahu tahu kita hidup dalam dunia yang bagaimana coraknya. Pengetahuan yang luas akan menjadikan kita mempunyai bekalan dalam menentukan strategi dan pendekatan yang sesuai untuk menyampaikan kebenaran.

Pengulas,

Adi Harith Mohd Tahir
Peserta Write @ Home
Persatuan Nastia Youth Club

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.