TATKALA membaca lewat karya-karya buku tulisannya, sama ada fiksyen atau bukan fiksyen; penulisan islamik dan intelektual berkaitan kerohanian, Hamka seorang yang gigih dan cekal istiqamah. Selain tekun menulis, sudah semestinya setiap nukilannya bermaklumat dan bersumber daripada bahan rujukan yang sangat luas. 

Hamka tidak sekadar memfokuskan kemahiran menulis untuk dirinya semata-mata. Sama ada lewat nukilan, mahupun secara praktikal, sedikit sebanyak Hamka ada berkongsi ‘tips’ dan kaedah untuk menulis. Ini dilakukan secara tidak langsung; menunjukkan cara tanpa berwawasan untuk membuka satu perusahaan untuk melatih orang ramai dengan kaedah atau teknik-teknik yang lebih terperinci—melainkan tatkala beliau mengajar Kulliyatul Muballighin di Padang Panjang, untuk mereka yang ingin berdakwah, mendalami ilmu agama dan mengarang, selebihnya Hamka berkongsi dengan seikhlas hati. 

Di dalam karya novel popularnya, beliau ada berkongsi cara menjadi seorang penulis di dalam episod ‘Jiwa Pengarang—Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’. 

“Kata setengah orang, ilmu mengarang itu diperdapat lantaran dipelajari; diketahui nahu dan saraf bahasa dan dibaca karangan pujangga-pujangga lain dan menirunya, bisa orang menjadi pengarang. Banyak diperbuat orang aturan mengarang: mesti begini, mesti begitu, tak boleh salah. Tetapi bilamana kita lihat karangan pujangga yang sejati senantiasa berlain susunannya dengan lain pujangga. Seorang pengarang, bilamana dibaca orang karangannya, orang tertarik dengan kesulitan bahasa yang dipakainya. Yang lain pula, bahasanya tidak begitu dipedulikannya, kadang-kadang menyalahi kepada kebiasaan orang lain, bahkan menyalahi nahu dan saraf yang terpakai pada lazim, tetapi lebih enak orang membaca karangan itu.”

Klik gambar untuk beli buku ini!

Tidak sedikit penulisan beliau yang mempunyai maksud yang mendalam, serta butir-butir ilmu yang luas—seluas pengalamannya. Setiap kata ada pengisian maklumat yang tersirat. Semuanya itu menggambarkan daya keintelektualan dan kekuatan berfikir oleh Prof. Dr. Hamka. 

Penjelasannya mungkin sedikit, tetapi yang membacanya faham banyak perkara. Inilah kelebihan Sang Permata Nusantara ini. Jiwanya kaya dan lunak dengan hikmah. Apabila dibaca, tidak terasa kosong. Malah sesetengahnya memerlukan pembaca memiliki daya analisa yang tinggi dan ilmu yang mendalam untuk memahami sesetengah penulisan beliau. Antaranya ialah karya buku bertajuk ‘Falsafah Hidup’. 

Tak kurang juga jika dibaca, akan menambah enak dan tenang tatkala membacanya; tidak begitu sukar untuk dimengerti, seperti ‘Tasauf Moden’. Tak sedikit juga warga penulis yang kerap berkongsikan teknik Hamka menulis. Iaitu kata beliau:

“Ada empat syarat untuk menjadi pengarang. Pertama, memiliki daya khayal atau imaginasi. Kedua, memiliki kekuatan ingatan; ketiga, mempunyai kekuatan hafalan; dan keempat, memiliki kesanggupan mencurahkan tiga hal tersebut menjadi sebuah penulisan.”

Klik gambar untuk beli buku ini!

Rusydi, iaitu anak kedua Hamka, pernah menulis bukunya yang bertajuk ‘Buya Hamka’. Ia mengisahkan catatan yang dialami bersama ayahnya hampir segenap lapangan hidup. Rusydi menceritakan bahawa, ‘ayah agak sulit untuk memberitahuku rahsia-rahsia dapat menulis dengan baik. Kebiasaannya persoalan itu hanya dibalas dengan senyuman.’

Menulis bukanlah suatu pekerjaan yang mudah. Tambahan kalau menyampaikan suatu input atau maklumat untuk tatapan orang ramai. Bahan pengisian perlulah sahih. Bukan andai-andaikan sahaja. Untuk seseorang pengarang itu menulis, dia memerlukan persediaan mental. Difikirkan apakah pula implikasinya. Untuk menjadi pengarang yang baik, sifat bertanggungjawab perlu ada! Asbab ini juga membuatkan sesetengah pengarang menulis buku-buku mereka sebagai amal jariah; bekalan kebaikan yang akan memudahkan urusannya di akhirat kelak. 

Rusydi menceritakan, jika ayahnya ada menerima jemputan sama ada ceramah atau seminar, diskusi atau tazkirah ilmu, sama ada di masjid-masjid, media massa seperti rakaman suara di radio atau di televisyen, Hamka akan mencari bahan-bahan bacaan yang berkaitan. Ini termasuklah buku-buku ataupun akhbar. Beliau membaca dan menelitinya di ubin rumah. Disantuni ilmu-ilmu yang ditatapnya sebaik mungkin, sebelum sedia berkongsi ilmu tersebut dengan masyarakat.

Rutin ini kerap berulang. Namun, yang lebih ketara adalah kesungguhan Hamka menyiapkan penulisan buku-bukunya. Kerap juga Hamka sibuk mengarang dengan menggunakan mesin taipnya. Sehinggakan tetamu beliau yang hadir sudah faham apa yang perlu diperbuat jika melihat Hamka sedang gigih menaip di mesin taipnya. 

Sahabat Hamka seperti K. H. Abdullah Salim (Sekretari Yayasan Pesantren Islam Al-Azhar), atau Amirudin Siregar akan terus duduk tanpa dipersilakan oleh Hamka. Kalau yang tidak biasa, mereka akan terus berdiri lama sampailah Hamka menyuruh mereka duduk. Dek kerana terlalu fokus, setelah berhenti menaip untuk seketika, barulah beliau bertanyakan khabar kepada tetamu yang datang.

Menurut Rusydi, ayahnya itu pada kebiasaan akan mengarang bermula pukul 7.00 pagi sehingga 9.00 pagi—setelah beberapa kewajipan dilaksanakan. Kemudian Hamka akan keluar rumah, sama ada untuk menghadiri ceramah, perjumpaan atau diskusi ilmu. Bergantung jadual pada hari tersebut. Jika serasa Hamka ingin membelanjakan wang, beliau akan pergi ke rumah penerbitan yang telah menerbitkan buku-bukunya untuk mengambil honorarium atau hasil penjualan buku untuk bahagiannya.

Antara kesungguhan Hamka sebagai pengarang adalah dengan terhasilnya magnum opus beliau—antaranya—sebuah buku bertajuk ‘Sejarah Umat Islam’. Tempoh penulisan selama hampir dua puluh dua tahun. Dari sekitar tahun 1939 hingga 1961. Sejak Hamka tinggal di Medan, kemudian di Padang Panjang, dan berakhir di Maninjau. Sumber-sumber rujukannya lebih dari seratus buah buku. Berketebalan lebih 680 muka surat. Dikisahkan dengan teliti akan zaman permulaan perkembangan Islam hingga sampai Nusantara. Tidak sedikit juga penelitian yang Hamka tuliskan yang jarang kita ketahui. Dikarangnya dengan pengetahuan dan ilham.

Mengingatkan hal ini, sekali lagi Rusydi menceritakan nasihat bapanya berkenaan dengan penulisan. Pada ketika itu, Rusydi sedang berusaha menyiapkan laporan berkenaan perkembangan Islam di Jepun yang dipimpin oleh Dr. Futaki. Sebelum memulakan penulisan jurnalnya itu, terlebih dahulu Rusydi mencari bahan bacaan untuk dijadikan sumber rujukan. Jika banyak maklumat yang telah didapatnya, maka mudahlah untuk memulakan penulisan. Tapi agak malang, ilham untuk menulis laporan tak juga kunjung datang. Rusydi menghadapi sedikit kesulitan. Buntu sehingga berhari-hari.

Sehingga ayahnya tegur, “Kapan laporan Jepangmu itu akan selesai?”

Jawab Rusydi, “Saya masih menambahnya dulu dengan bahan-bahan ini.” Sambil menunjukkan buku-buku yang sedang ditelaahnya.

Lalu Hamka kata, “Mengaranglah dulu dengan ilham. Tulis apa yang kau lihat, alami, baru kemudian kau lengkapi dengan bacaan.” Kemudian ayahnya menyambung lagi, “Menurut pengalaman ayah, kalau terlalu lama untuk dimulai, akan lupa pada kesan-kesan perjalanan itu. Dan, bila terlalu menggantungkan pada buku, laporanmu itu tidak hidup nantinya.”

“Itulah sulitnya, ilham belum juga datang.” Balas Rusydi.

Lantas Hamka duduk di tempat mengarangnya. Kemudian menyuruh Rusydi ambilkan mesin taip berserta kertas. Bila kedua-duanya sudah di depan mata, Hamka terus fokus mengarang hampir setengah jam lamanya. Tekun. Idea yang ada dalam mindanya mengalir deras bak sungai yang tenteram. Setelah siap mengarang, kertas-kertas itu dihimpunkan dan diberi kepada Rusydi. Tujuannya supaya Rusydi dapat membaca dan dalam masa sama menjadi editor kepada hasil penulisan yang sudah siap ditaip. Selepas itu Hamka bersiap-siap untuk keluar pula. Bagi memenuhi jadualnya; merakamkan suara di media untuk slot kuliah subuh.

Melihat kepada hal ini, fikirannya bermonolog sendiri. 

“Enaknya.” Getus Rusydi.

Begitulah sedikit sebanyak perihal ilmuan ulung, Prof. Dr. Hamka. Semangatnya untuk berbakti melalui penulisan sangat tinggi dan seolah-olah tak terpadam. Insan yang sangat berjasa kepada agama, bangsa dan tanah airnya.

Disediakan oleh: Mohd Faiz Rasip

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.