Dewan Bahasa dan Pustaka menterjemahkan frasa “move on” sebagai bergerak ke hadapan atau membincangkan hal yang lain. Namun begitu, dalam konteks yang lebih umum, frasa tersebut lebih difahami sebagai melupakan seseorang. 

Semestinya ‘move on’ tidaklah semudah yang diungkap dan kerana manusia lebih memilih untuk kekal di tempat yang sama meski hati terus tersakiti. Kemungkinan juga mereka tidak ada sebab yang kukuh untuk ‘move on’ kerana bagi mereka harapan sentiasa ada sedangkan dalam banyak hal, realiti bertentangan dengan harapan. Pepatah Melayu berkata, bertepuk sebelah tangan tidak akan pernah berbunyi tetapi manusia sengaja tidak mengerti.

Melaksanakan langkah-langkah ‘move on’ adalah mudah namun sejauh mana mereka memahami tujuan dan keperluan untuk ‘move on’ itu lebih penting kerana ada orang yang mudah untuk ‘move on’ tetapi mudah juga tersakiti apabila berulang kali jatuh dalam lubang yang sama. Hanya mereka yang benar-benar faham akan tujuan ‘move on’ akan berjaya melepasi fasa-fasa penderitaan tersebut.

Bertenang

Dalam kebanyakan hal, tidak mudah untuk seseorang bertenang terutamanya ketika berada dalam kepanikan atau kejutan atas sesuatu berita. Hal ini seringkali mendorong manusia untuk bertindak balas secara tidak rasional. Sebagai contoh, seorang yang terlalu tertekan akibat diputuskan ikatan pertunangan mengambil keputusan untuk membunuh diri dengan anggapan bahawa hidupnya telah musnah. Demikianlah pelbagai berita yang dipaparkan tentang tindakan mereka yang sedang putus cinta.

Tiada sesiapa mampu menafikan betapa sukarnya untuk bertenang dalam keadaan-keadaan sebegitu apatah lagi ia merupakan pengalaman pertama kali dalam hidup, melainkan dengan kekuatan jiwa dan emosi. Masakan seorang pemuda sekuat Zainuddin yang sejak kecil mengharungi keperitan hidup sebagai yatim piatu akhirnya tumpas dalam perasaan yang dikecewakan? Lebih-lebih lagi tatkala dia mendapat tahu kekasih hatinya telah berkahwin dengan lelaki lain, hampir dia mati menanggung sakit cintanya.

Perasaan bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperkatakan. Perasaan mampu merubah sifat manusia. Kasih menjadi benci, tenang menjadi kacau bilau, gembira menjadi sedih, sabar menjadi marah dan sebagainya. Hakikatnya, perasaan memainkan peranan besar dalam kehidupan seseorang.

Oleh itu, untuk meremehkan perasaan orang yang terluka sebagai lembik, lemah dan sebagainya bukanlah perbuatan yang betul kerana mereka yang berkata tidak melalui kesakitan perasaan orang yang mengalaminya sendiri. 

Memang sukar, tetapi fikiran dan hati yang tenang membantu seseorang untuk menilai peristiwa yang berlaku  dengan penuh hikmah dan mengambil jalan penyelesaian yang wajar dan rasional. Ketahuilah bahawa kehidupan ini adalah kurniaan Ilahi, Dia memberi peluang kepada hamba-Nya untuk mengambil jalan yang terbaik untuk diri dan agama daripada pengalaman-pengalaman perit dalam hidup.

Luahkan

Keadaan tenang memudahkan manusia untuk berfikir dengan rasional kemudian merancang jalan terbaik untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Namun, fitrahnya manusia memerlukan bantuan daripada orang lain iaitu insan-insan terdekat dalam hidup seperti ahli keluarga, sahabat handai, guru dan kaunselor bagi menyelesaikan sebarang masalah.

Kerana itu disarankan bagi mereka yang mengalami masalah perasaan untuk berkongsi dengan insan yang dipercayai supaya edikit sebanyak meringankan bebanan perasaan yang dipikul sekalipun tidak dapat menyelesaikan masalah dalam tempoh yang singkat.

Sebagai contoh, pernahkah anda mengeluh dengan keluhan yang panjang selepas melakukan sesuatu pekerjaan yang terlalu berat untuk disiapkan? Apakah yang anda rasai selepas menghembuskan nafas keluhan itu? Ada sedikit keringanan pada dada yang sesak bukan? Lepaskan apa yang menyesakkan hati dan kepala, nescaya ia meringankan bebanan yang dipikul.

Manusia sifatnya ingin didengari dan suka bercerita. Apabila ada sahabat handai yang datang kepada kita untuk berkongsi cerita apatah lagi kisah yang terlalu peribadi, raikanlah mereka dengan menjadi pendengar yang baik dan amanah dengan kisah yang dikongsikan. Secara psikologinya, mereka yang berkongsi kisah itu tidak pun mengharapkan penyelesaian sebaliknya hanya sekadar bercerita, melepaskan kesesakan di dada.

Ketahuilah bahawa bukan mudah bagi seseorang untuk berkongsi kisah mereka apatah lagi aib yang tidak patut diketahui oleh orang lain. Tetapi apabila mereka sudah memulakan bicara, ia tanda bahawa mereka sedang berdepan dengan episod kehidupan yang perit dan mencabar. 

Luahkanlah perasaan yang membelenggu diri, usah disimpan sendirian kerana ia hanya menyesakkan dada dan membantutkan fikiran. Minda perlu tenang supaya apa jua keputusan yang dibuat selepas itu adalah yang terbaik dan tidak didorong oleh emosi semata.

Berserah

Langkah terakhir selepas bertenang dan luahkan adalah berserah. Berserah kepada siapa? Sudah tentu kepada Yang Maha Esa. Sedarilah bahawa hakikatnya kita adalah hamba-Nya. Apa jua yang kita usahakan, belum tentu akan menjadi kenyataan tanpa izin-Nya dan tidak semua yang kita mahukan akan menjadi milik kita walau sekuat mana usaha yang dilakukan kerana hakikatnya hanya Dia yang menentukan segalanya.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (2:216)

Boleh jadi, apa yang kita lihat sekarang pada sangkaan kita adalah yang terbaik tetapi Allah lebih mengetahui segalanya termasuklah masa hadapan kita yang kita sendiri tidak mampu merencananya sehingga sampai waktunya Allah izinkan kita melihat hikmah di sebalik kejadian yang berlaku, barulah kita memahami segalanya.

Akidah orang yang beriman adalah berserah kepada-Nya sebagaimana HAMKA secara langsung menunjukkan jalan yang sepatutnya diambil bagi seorang hamba yang beriman dalam berdepan soal perasaan kecewa melalui karyanya “Di Bawah Lindungan Kaabah.

Novel Di Bawah Lindungan Ka'Bah | Shopee Indonesia
Tekan gambar untuk beli buku!

Hamid memilih untuk membawa diri ke Mekah setelah menyedari bahawa harapannya tidak mungkin menjadi kenyataan apabila mengetahui Zainab kekasih hatinya akan dinikahkan dengan orang lain.

Ujian adalah tanda Allah kasihkan hamba-Nya. Jika harapan tidak kesampaian, diri seakan-akan musnah tiada masa hadapan dan merasai seluruh dunia membenci, ketahuilah bahawa rahmat dan kasih sayang Allah melebihi segalanya. Ada ketika kita diberi ujian dan kesakitan agar kita beringat dan kembali kepada Ilahi.

Destinasi kepada sebuah cinta adalah bertemu jodoh. Jika jodoh tiada bertemu bermakna cinta itu bukan untuknya, dan segala pengalaman yang dilalui bersama hanya sekadar satu persinggahan sebelum tiba ke destinasi sebenar. Lepaskanlah segalanya.

What is meant for you, is always meant for you.

Disediakan oleh,

Firdani Adam

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.