Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, taasub bermaksud pegangan atau keyakinan yang keterlaluan terhadap sesuatu atau seseorang, atau fanatik. Di dalam kitab Bida’i al-Fawa’id, Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyatakan definisi ghuluw sebagai berlebih-lebihan di dalam setiap perkara dalam mencintai dan membenci sesuatu [Rujuk kitab Bida’i al-Fawa’id, 69/4]. Kedua-dua perkara ini saling bersangkut paut  antara satu sama lain di dalam membentuk sikap individu mahupun kumpulan di mana sahaja. Individu yang mempunyai sikap taasub di dalam dirinya, semestinya akan ada sikap ghuluw di dalam dirinya. Begitu juga dengan sikap ghuluw, pasti ia berasal dari sikap taasubnya terhadap sesuatu perkara.

Taasub dan ghuluw yang paling buruk sekali adalah taasub dan ghuluw di dalam perkara agama. Sikap taasub dan ghuluw dalam perkara agama dapat memberikan imej yang buruk terhadap agama. Bukan itu sahaja, ia juga dapat menimbulkan salah faham dalam kalangan orang bukan Islam terhadap agama Islam. 

Allah SWT berfirman:

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لَا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ غَيْرَ الْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعُوا أَهْوَاءَ قَوْمٍ قَدْ ضَلُّوا مِن قَبْلُ وَأَضَلُّوا كَثِيرًا وَضَلُّوا عَن سَوَاءِ السَّبِيلِ

Maksudnya: Katakanlah: Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.”

 [Surah Al-Maidah: 77]

Imam al-Tabari rahimahullah menyatakan di dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Tabari berkenaan dengan peringatan kepada ahli kitab, Nasrani, agar tidak melebih-lebih dalam bercakap berkenaan dengan agama daripada apa yang diperintahkan oleh Nabi Isa a.s., dan jangan sesekali mengatakan bahawa al-Masih (nabi Isa a.s.) itu Tuhan atau anak Tuhan. [Rujuk kitab Tafsir al-Thabari, 487/10]

Penjelasan yang diberikan oleh Imam al-Tabari rahimahullah di atas jelas menunjukkan larangan untuk tidak melampau (ghuluw) di dalam beragama. Hal ini demikian kerana sikap taasub dan ghuluw, terutamanya terhadap tokoh dan pegangan di dalam agama akan mengundang kebinasaan. 

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ ‌إِيَّاكُمْ ‌وَالْغُلُوَّ ‌فِي ‌الدِّينِ، ‌فَإِنَّهُ ‌أَهْلَكَ ‌مَنْ ‌كَانَ ‌قَبْلَكُمُ ‌الْغُلُوُّ ‌فِي ‌الدِّينِ

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Waspada kalian daripada sikap melampau dalam agama, sesungguhnya telah binasa orang-orang terdahulu disebabkan melampau dalam agama.”

[HR Ibn Majah, No. 3029]

Syeikh Soleh bin Abdullah al-Hudaitsi hafizahullah (seorang tenaga pengajar Masjid Nabawi) apabila mensyarahkan kitab al-Tauhid oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab berkenaan dengan babAsbab Kekufuran Anak Adam & Jauhnya Mereka Dari Agamanya adalah Disebabkan Melampau Dalam Agama’, beliau menyatakan bahawa syirik pertama kali di atas muka bumi bermula pada zaman nabi Nuh as. 

Kata beliau lagi, manusia pada fitrahnya tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan syirik, kerana mereka pada asalnya hanya mengikut apa yang diajarkan oleh bapa mereka (Nabi Adam as). Namun, setelah meninggalnya beberapa orang soleh dalam kalangan mereka, maka diukir patung yang pada asalnya hanya sebagai tugu untuk mengingati orang-orang soleh tersebut, patung-patung tersebut diletakkan di suatu tempat di mana mereka selalu berkumpul dahulu, kemudian setiap daripada patung tersebut diberikan nama, dengan nama-nama orang soleh itu sendiri. Setelah pengukir patung meninggal dunia (yang mana dia sahaja yang mengetahui tujuan asal patung tersebut diukir), berbisik lah syaitan kepada orang-orang sesudahnya supaya patung-patung tersebut dijadikan sebagai sembahan. 

Tambahan pula ilmu agama semakin dilupakan, maka pada saat itulah terjadinya syirik pertama di atas muka bumi, iaitu penyembahan berhala orang soleh. Hal ini seperti yang dilaporkan oleh Abdullah Ibn Abbas R.anhuma di dalam Sahih al-Bukhari, hadis nombor 4920. 

putih, dan sedang duduk di atas kerusi), sebelum bermula kuliah maghrib kitab Al-Tauhid oleh Syeikh Muhammad Ibn Abdul Wahab rahimahullah.

Berkata Ibn Qayyim al-Jauziyyah (w.751 H) di dalam kitabnya: 

‌قَالَ ‌غَيْرُ ‌وَاحِدٍ ‌مِنَ ‌السَّلَفِ: ‌لَمَّا ‌مَاتُوا؛ عَكَفُوا عَلَى قُبُورِهِمْ، ثُمَّ صَوَّرُوا تَمَاثِيلَهُمْ، ثُمَّ طَالَ عَلَيْهِمُ الأَمَدُ؛ فَعَبَدُوهُمْ

Maksudnya: “Berkata salah seorang dalam kalangan ulama’ salaf: Setelah mereka (orang-orang soleh) itu meninggal dunia, ramai manusia berbondong-bondong mengerumuni kubur mereka, kemudian dibina patung-patung yang menyerupai orang-orang soleh tersebut, setelah beberapa waktu yang lama, akhirnya patung-patung tersebut menjadi sembahan mereka.”

[Rujuk kitab ‘Ighasah al-Lahfan Min Maso’id al-Syaithan, m/s 184]

Kenyataan di atas merupakan contoh akibat daripada sikap taasub dan ghuluw di dalam agama, sehingga ia boleh membuka pintu kesesatan dan syirik di dalam agama ini. 

Sejauh mana keburukan taasub dan ghuluw ini, sehingga ia dilarang di dalam Allah dan Rasul menerusi al-Quran dan as-Sunnah? Di sini penulis akan berkongsi tiga sebab utama daripada sekian banyak kesan negatif akibat taasub dan ghuluw dalam agama.

1. Membantutkan Fungsi Akal.

Taasub dan ghuluw mampu membantutkan fungsi akal yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada sekalian manusia. Kesan buruk taasub dan ghuluw ini dapat dilihat dengan jelas, apabila kebenaran yang dibawa dengan hujah dan fakta yang tidak dapat lagi disangkal oleh akal ditepis begitu sahaja, tanpa menimbang penghujahan dan fakta yang dikemukakan. Bukan itu sahaja, golongan taasub dan ghuluw ini juga dapat dikenal pasti dengan sikap emosi mereka apabila dipertikaikan dan dinafikan pandangan, kumpulan atau tokoh yang mereka gemari. Pada saat ini, sengaja merencatkan akal untuk memberi ruang kepada hawa nafsu dan sikap ego untuk bermaharajalela di dalam diri. Kesan buruk ini bukan hanya terkena kepada diri mereka sahaja, namun ia turut tempias kepada  agama Islam.

2. Merosakkan Wajah Agama.

Agama Islam mengajar para penganutnya untuk beriman kepada Allah dan Rasul. Barang siapa yang melampaui keduanya, menyelisihi keduanya dan mengingkari keduanya, maka mereka ini terdapat masalah yang begitu besar di dalam dirinya. 

Sesungguhnya, agama Islam sudah sempurna. Tidak ada yang mampu menokok tambah atau menghapus kurang walaupun satu amalan atau ibadah di dalam agama ini. Mustahil! Hal ini seperti apa yang dikhabarkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Maksudnya: “Pada hari ini, Aku sempurnakan agama kalian (Islam)! Dan Aku cukupkan bagi kalian nikmat-Ku, serta Aku redha agama Islam sebagai agama kalian.”

[Surah Ali Maidah: 3]

Apabila golongan taasub dan ghuluw ini mula mendewakan tokoh kegemaran dan hawa nafsu mereka, maka ketulenan agama ini mula dihakis sedikit demi sedikit. Misalnya, apabila tokoh-tokoh mereka datang dan ‘mengijazahkan’ kepada mereka amalan-amalan yang jelas bertentangan dengan Allah dan Rasul, ditambah pula dengan aksi-aksi yang kononnya ‘ibadah’ namun sebenarnya sangat jauh lagi menyimpang dari ajaran sebenar Rasulullah SAW dan para sahabat r.a, maka tercemarlah wajah sebenar agama ini, sehingga generasi yang akan datang akan mengenali bahawa agama Islam ini seperti apa yang mereka lihat pada hari itu! Sedangkan ia bukan sesekali amalan dan tatacara agama yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat r.anhum pada hari ia telah disempurnakan oleh Allah SWT.

3. Memundurkan Umat Islam

Cara berfikir golongan pentaasub dan ghuluw ini sangat rendah. Disebabkan kelemahan ini, mereka tidak mampu bersaing dengan bangsa-bangsa lain di atas muka bumi ini. Misalnya, penerokaan bangsa Eropah terhadap ilmu Sains sangat maju kehadapan, mendahului bangsa-bangsa lain di dunia ini. Namun, bagi golongan ghuluw di dalam agama ini akan memandang remeh ilmu Sains yang sudah dipelopori oleh bangsa-bangsa Eropah ini. Kononnya, ilmu Sains ini merupakan ilmu Kafir, umat Islam cukup dengan ilmu agama sahaja. 

Pemikiran seperti inilah yang menjadikan umat Islam mundur dan dipandang rendah oleh bangsa-bangsa lain di dunia ini. Seolah-olah agama Islam ini melarang penganutnya untuk menguasai ilmu-ilmu duniawi, sedangkan ilmu-ilmu tersebut berasal daripada Islam! Tokoh-tokoh sarjana dalam bidang Sains dahulu kebanyakannya dipelopori oleh orang Islam. Misalnya, Ibnu Sina (Perubatan Moden), Al-Battani (Astronomi & Trigonometri), Al-Haitsam (Optik), Al-Razi (Kedoktoran) dan lain-lain.  

Penulis pernah menulis artikel bersama Jejak Tarbiah yang bertajuk: Mengapa Orang Melayu Gemarkan Peristiwa Ajaib dan Pelik?’. Penulis menyatakan:

“Sikap melebih-lebih terhadap sesuatu perkara dan peristiwa yang ajaib dan pelik ini kebiasaannya akan mempengaruhi pemikiran dan cara berfikir seseorang apabila bertemu dengan perkara-perkara yang ajaib dan luar biasa yang lain pula. Jika hal ini dilihat perkara yang biasa dan bukti reda dan restu Tuhan, maka agama lain jika mengalaminya juga, kita tidak boleh menafikan kebenaran agama mereka.”

Pada akhir perbahasan ini, kita dapat fahami bahawa sikap taasub dan ghuluw ini membawa kesan negatif yang serius terhadap cara dan kematangan manusia di dalam berfikir. Sekiranya kita terus dengan sikap taasub dan ghuluw di dalam agama ini, tidak mustahil umat Islam tidak akan pernah berjaya dan maju ke hadapan. Maka, umat Islam akan terus ketinggalan ke belakang, dipandang rendah oleh bangsa-bangsa lain disebabkan kemunduran di dalam berfikir. 

Pada kesempatan ini, penulis ingin menyeru umat Islam, agar kita menggunakan sebaik mungkin kemampuan akal di dalam berfikir, dan menghindarkan diri, keluarga dan sahabat handai kita daripada sikap taasub dan ghuluw di dalam agama. Demi Allah! sikap taasub dan ghuluw ini tidak membawa sebarang keuntungan kepada kita.  

Disediakan oleh,

Muhammad Hamzani al-Kanowiti,

Pendakwah & Pemikir Isu Semasa.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.