Sejak dahulu lagi kegiatan menulis telah pernah wujud dan bertindak sebagai perantara untuk mengembangkan ilmu ke pelosok dunia. Di zaman Nabi Muhammad sal lahu ‘alaihi wa salam, aktiviti menulis seperti penulisan hadith telah dilaksanakan dengan kerjasama para sahabat baginda. Ada dikalangan mereka menulis kerana arahan Nabi. Ada yang mengambil langkah sendiri untuk menuliskan hadith seperti Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As. Sementelahan yang lain ada yang menulis hadith di helaian-helaian kertas seperti Saidina ‘Ali.

Menulis antara salah satu medium paling senang digunakan untuk menyebarkan dakwah kepada masyarakat. Walau bagaimana pun, ia memerlukan kecekapan dan teknik agar penulisan kita berada dalam landasan yang betul. Buat pemula yang berhajat ingin menceburi bidang penulisan, berikut 11 panduan ataupun tip menulis yang disenaraikan :

1. Betulkan niat. 

Niat adalah kunci kepada amalan kita diterima ataupun ditolak. Dalam riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi sal lahu ‘alaihi wa salam menyebut berkenaan fungsi utama niat, sabda baginda  :

إنما الأ عمال بالنيات، وإنما لكل امرئ ما نوى .

“Sesungguhnya amalan itu bergantung pada niatnya dan seseorang akan mendapatkan sesuai dengan apa yang dia niatkan.”

Seseorang yang menulis wajib memperhatikan tujuan niatnya supaya amalan menulis tersebut tidak dihitung sia-sia atau terhapus kerana niat hati yang tersasar. Menulis bertujuan untuk beribadah kepada-Nya, menambah pengetahuan dan menyebarkan ilmu kepada orang ramai. Kita memperolehi pahala apabila orang lain mendapatkan kebaikan daripada tulisan kita.

2. Kenal pasti genre.

Ketahui genre atau kategori jenis penulisan bagaimanakah kita hendak menulis. Menulis non fiksyen ataupun fiksyen. Ataupun separa ilmiah, ilmiah, sastera, thriller, cerpen dan puisi. Apabila kita telah tentukan jenis penulisan mengikut pilihan tersebut maka, perjalanan seterusnya akan kelihatan teratur kerana itulah ‘bakat’ sebenar yang perlu diasah. Kita akan lebih senang dan fokus pada satu bentuk penulisan sahaja. Jadi, cuba kenal pasti di mana kredibiliti anda ketika menulis.

3. Sumber bacaan yang banyak.

Banyak menggali sumber bacaan pelbagai. Boleh jadi melalui ebook, surat khabar, bacaan terhadap alam, pengalaman orang lain ataupun pengalaman masing-masing. Kita akan terokai sesuatu hal yang menarik hingga mendorong kita untuk mencipta sebuah tulisan.

4. Berlatih menulis.

Misalnya, tulis apa saja ilmu yang diperolehi hasil menyelam bacaan sebelum ini. Sekurang-kurangnya dalam tempoh sebulan ada kerja-kerja menulis dijalankan. Kemudian, ulang dan ulang sehingga kita merasakan sudah puas dan mantap. Tulis apa yang kita tahu baik di facebook, channel, blog dan lain-lain.

5. Catat idea.

Catat idea dan maklumat yang diperolehi. Catat isi-isi penting dan kumpul seketika. Idea-idea ini ibarat nota rujukan sementara kerana dapat melengkapkan sebuah tulisan. Orang yang suka menulis senantiasa gemar mencatat baik ketika pergi mengembara, membaca ataupun mendengarkan ilmu daripada ilmuan. Rekodkan dan mulailah menulis.

6. Belajar tatabahasa.

Dalam berlatih menajamkan pena jangan tergesa-gesa atau terburu-buru menyiapkan tulisan. Semak berulang-ulang kali agar tidak menemukan kesalahan tatabahasa. Kesilapan ini boleh menghilangkan kecantikkan ayat juga perkataan dan akhirnya tidak sedap dibaca. Kemahiran ini adalah asas dan wajib dikuasai oleh tiap-tiap penulis. Gunakan bahasa melayu dengan betul, kuasai tatabahasa sebaik mungkin. 

7. Guru penulisan.

Guru adalah ketua yang akan membetulkan kesilapan dan menilai baik buruk penulisan kita. Seorang pelajar tidak akan cemerlang tanpa didikan seorang guru. Begitu juga ketika mulai menulis. Carilah guru penulisan seramai mungkin agar dapat kita tadah dan cedok ilmu yang berbeza-beza.

8. Hadiri bengkel penulisan.

Ini juga antara platform yang akan menguatkan lagi keinginan kita hendak menulis. Bengkel penulisan banyak diadakan secara online ataupun offline dan ia tidak berkali-kali diadakan pada setiap tahun. Oleh yang demikian peruntukkan masa mengikuti bengkel tersebut kerana di sinilah permulaan seorang individu belajar seni penulisan secara langsung.

9. Hantar tulisan ke beberapa website.

Terdapat beberapa website percuma menyajikan perkongsian ilmu-ilmu bermanfaat. Cuba sumbangkan satu artikel yang mengandungi tulisan kita. Sekiranya diterima, bererti tulisan tersebut sudah lulus dan terbaik. Jika ditolak, barangkali tidak menepati syarat atau kelemahan penulisan kita yang perlu dibaiki lagi.

10. Bukan plagiat.

Plagiat bermaksud mengambil karya atau tulisan orang lain dan menyiarkannya sebagai karya sendiri. Ini merupakan jenayah paling kerap berlaku dikalangan penulis buku kebanyakan. Plagiat juga biasa terjadi pada sebahagian individu yang baru belajar menulis. Perkara ini perlu dijauhi kerana ia bukan hanya sekadar merompak harta benda orang lain tetapi turut mencemarkan reputasi. Kelakuan ini amat tidak bermoral dan harus ada kesedaran serta malu. Dalam proses belajar tidak sepatutnya belaku perbuatan meniru, sebaliknya perlu mencari guru.

11. Berdoa.

Doa adalah senjata orang-orang mukmin. Kehidupan seorang hamba tidak lengkap tanpa meletakkan urusan dan pergantungan kepada-Nya. Berdoalah kepada Allah ta’ala agar dikurniakan kecukupan masa, dipermudahkan dan diturunkan ilham yang mencurah-mencurah kerana doa mempunyai keajaibannya disisi Tuhan.

Jika diimbas kembali kegilaan ulama’ terhadap aktiviti menulis ini, kita dapati ada ulama’ masih menulis walaupun di dalam penjara. Antaranya, Syaikul Islam Ibnu Taimiyyah. Ketika di penjara kerana tuduhan palsu ke atas dirinya, beliau menulis beberapa surat atau Rasail Min al-Sijn (Himpunan Surat-surat dari Penjara). Manakala ulama’ kelahiran kota Albania pula, iaitu Syaikh Nashiruddin al-Albani menulis ringkasan atau Mukhtasar Shahih Muslim ketika berada di dalam penjara juga.

Lalu bagaimana pula jika dibandingkan dengan situasi kita yang selamat dan bebas dari tahanan lokap yang gelap gelita. Pastilah jauh lebih senang dan mudah sekali kita mencari sumber maklumat untuk mengukuhkan penulisan kita. 

Buat individu yang mahu menjadi penulis, tiada alasan jika beranggapan bahawa menulis itu satu pekerjaan sukar dan berat. Contohilah kesungguhan dan ketekunan para ulama’ menulis meskipun terdapat halangan dan cabaran.

Menulis menjadi kegilaan dikalangan para ulama’ kerana dengan amalan menulis ini mereka mampu menerbitkan buku milik sendiri. Kitab mereka tersebar ke serata dunia walaupun mereka telah pergi dan wafat meninggalkan manusia.

Kesimpulannya, 11 tip ini akan membantu serba sedikit kepada sesiapa yang berminat menjadi seorang penulis tetapi tidak tahu bagaimana hendak bermula. Semoga entri pada kali ini bermanfaat buat bakal penulis yang dikasihi sekalian.

“Kita juga harus memahami bahawa menulis menjadi suatu ibadah sekiranya kita dapat menjadikannya alat untuk menyampaikan dakwah dan menyebarluaskan mesej islam serta memperkasakan ajarannya. Bukankah mata pena itu jauh lebih tajam daripada pedang? ”

Mudahnya Menulis, hal.19. Prof Ummi Kalthum Ngah

Disediakan oleh,

Syuhara Suriati,

Isteri suri rumah yang suka menulis.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.